21.4.15

IMAN TIDAK DIWARISI

Satu kisah benar yang menarik untuk dikongsikan. Tok guru mengaji zauji dan bonda adalah orang yang sama. Pagi ada bonda belajar mengaji diusia emasnya kini. Zauji bekerja siang dan malamnya adalah masanya untuk mencari ilmu. Menurut zauji, menuntut ilmu sangat dituntut kerana dalam menuntut ilmu terlalu banyak hikmahnya.

Walaupun, dalam kebanyakkan masa, banyak ilmu yang kita telah ketahui tetapi adab menuntut ilmu tidak membolehkan kita mendabik dada seolah-olah kita telah mengetahui segalanya. Jadi, menuntut ilmu lebih mendekatkan, melunakkan sebuah jiwa hamba. Mahukan ilmu, tundukkan ego.

Iman tidak diwarisi.

Adik-beradik tok guru mengaji zauji dan bonda adalah penghafal Al-Quran yang 'berisi'. Mereka alim diusia yang sangat muda. Menguasai cabang-cabang ilmu agama dengan bergaya. Ramai yang meneka mereka pastinya daripada keturunan kiai-kiai di Indonesia. Setelah abang mereka ke Mesir, adiknya pula yang mengambil alih kelas mengaji.

Menurutnya, dalam rumah mereka, hanya ibunya yang solat. Bapanya tidak solat. Setelah abangnya hafiz 30 juzuk dan dia hafiz 20 juzuk, bapanya sudah mula solat tetapi masih belum cukup 5 waktu sehari semalam. Namun, apa yang sungguh memberi kesan kepada saya, mereka menyantuni ayah mereka untuk solat tanpa mengeluarkan sebarang kata yang mereka khuatir boleh menyebabkan bapa mereka terasa hati. 

Menurutnya hafiz Indonesia ini, kita sebagai anak, walaupun bapa kita tidak solat dan banyak salahnya, kita tidak boleh menegurnya dengan perkataan kerana ianya boleh menyebabkan bapa kita tersinggung dan terasa hati kerana suatu masa, kita seorang ulama' sekalipun, di mata bapa kita, kita hanyalah anaknya.

Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah S.A.W., dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Cara mereka adik-beradik menyantuni bapa mereka apabila mereka bercuti dari pasentran mereka, azan sahaja, mereka adik-beradik akan bergegas ke masjid, surau sehingga akhirnya, Allah bantu mereka melembutkan hati bapa mereka untuk solat penuh 5 kali sehari semalam.

Sungguh iman itu tidak diwarisi. Ianya benar-benar dari seketul daging. Baik seketul daging ini, maka, baiklah keseluruhan jasadnya.

Itulah hati.

No comments: