25.4.15

KEBERKATAN

Teringat pesan mak dan mak mertua yang mana anak-anak mereka rapat-rapat. Kedua ibu kami ini menasihatkan untuk belajar dari pengalaman mereka. Ayat-ayat sentap mak buat kami adik-beradik, jangan beranak untuk merosakkan ummat. Melaram bukan main, bagi anak main play station tetapi anak-anak tidak diajar mengaji, aurat anak-anak tidak terjaga. Tiada kualiti.

Bukan menolak rezeki tetapi artikel tulisan Ustaz Dr Abu Anas Mandani ini, cukup memahamkan kami maksud mereka. Ianya demi sebuah keberkatan.

**************************************************

Adik Beradik!

Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan. Selawat dan salam atas Rasul junjungan pada hari jumaat yang penuh keberkatan.

Nabi Yusuf Alaihissalam mempunyai 11 orang adik-beradik. Malangnya, adik-beradiknya yang ramai itu telah mengkhianati dan membuangnya. Sebaliknya yang berlaku, saudara kandung Nabi Musa Alaihissalam iaitu Nabi Harun Alaihissalam yang hanya seorang itu, tetap berdiri teguh dan setia menguatkan saudaranya.

Kerana itu, pohonlah daripada Allah swt KEBERKATAN pada diri sendiri, harta benda, anak pinak, keturunan, persaudaraan, silaturrahim serta rezeki. Sama ada ianya SIKIT ataupun BANYAK kerana, bukan BANYAK yang menjadi ukuran. Tetapi KEBERKATAN yang lebih bernilai.

KEBERKATAN, salah satu tentera halus daripada tentera-tentera Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang banyak. Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengirimnya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Apabila ia kena pada harta, harta jadi banyak. Apabila ia ada pada anak-anak, anak-anak jadi elok. Begitulah juga keberkatan itu menyebabkan tubuh badan yang sihat, masa yang diisi dengan ketaatan dan kebaikan. Seterusnya menyebabkan hati merasa bahagia.

Ya Allah, kami pohon kepada Mu keberkatan pada diri kami dan segala pinjaman Mu kepada kami.

Kredit: Ustaz Dr Anas Mandani / Ustaz Basit

22.4.15

HAK IBU BAPA

Nota pendek sebelum tidur.

Menurut bonda yang sedang seronok menuntut ilmu agama kini, kata ustaz, bukan anak sahaja yang mempunyai hak atas ibu bapanya malah ibu bapa juga mempunyai hak ke atas anak-anaknya iaitu hak doa buat kedua ibu bapa sebanyak 5 kali dalam sehari.

Dengan kata lainnya, solatlah wahai anak 5 waktu sehari semalam. Doakanlah ibu bapamu.

21.4.15

IMAN TIDAK DIWARISI

Satu kisah benar yang menarik untuk dikongsikan. Tok guru mengaji zauji dan bonda adalah orang yang sama. Pagi ada bonda belajar mengaji diusia emasnya kini. Zauji bekerja siang dan malamnya adalah masanya untuk mencari ilmu. Menurut zauji, menuntut ilmu sangat dituntut kerana dalam menuntut ilmu terlalu banyak hikmahnya.

Walaupun, dalam kebanyakkan masa, banyak ilmu yang kita telah ketahui tetapi adab menuntut ilmu tidak membolehkan kita mendabik dada seolah-olah kita telah mengetahui segalanya. Jadi, menuntut ilmu lebih mendekatkan, melunakkan sebuah jiwa hamba. Mahukan ilmu, tundukkan ego.

Iman tidak diwarisi.

Adik-beradik tok guru mengaji zauji dan bonda adalah penghafal Al-Quran yang 'berisi'. Mereka alim diusia yang sangat muda. Menguasai cabang-cabang ilmu agama dengan bergaya. Ramai yang meneka mereka pastinya daripada keturunan kiai-kiai di Indonesia. Setelah abang mereka ke Mesir, adiknya pula yang mengambil alih kelas mengaji.

Menurutnya, dalam rumah mereka, hanya ibunya yang solat. Bapanya tidak solat. Setelah abangnya hafiz 30 juzuk dan dia hafiz 20 juzuk, bapanya sudah mula solat tetapi masih belum cukup 5 waktu sehari semalam. Namun, apa yang sungguh memberi kesan kepada saya, mereka menyantuni ayah mereka untuk solat tanpa mengeluarkan sebarang kata yang mereka khuatir boleh menyebabkan bapa mereka terasa hati. 

Menurutnya hafiz Indonesia ini, kita sebagai anak, walaupun bapa kita tidak solat dan banyak salahnya, kita tidak boleh menegurnya dengan perkataan kerana ianya boleh menyebabkan bapa kita tersinggung dan terasa hati kerana suatu masa, kita seorang ulama' sekalipun, di mata bapa kita, kita hanyalah anaknya.

Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah S.A.W., dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).

Cara mereka adik-beradik menyantuni bapa mereka apabila mereka bercuti dari pasentran mereka, azan sahaja, mereka adik-beradik akan bergegas ke masjid, surau sehingga akhirnya, Allah bantu mereka melembutkan hati bapa mereka untuk solat penuh 5 kali sehari semalam.

Sungguh iman itu tidak diwarisi. Ianya benar-benar dari seketul daging. Baik seketul daging ini, maka, baiklah keseluruhan jasadnya.

Itulah hati.

19.4.15

FITNAH WHATSAPP

Antara video yang menarik perhatian saya beberapa hari lepas berkenaan sedutan khutbah Jumaat Dr. Anas Mandani berkenaan aplikasi yang boleh dikategorikan paling popular abad ini. Penyakit hari ini serampang dua mata yang lebih tajam dari pisau. Pelbagai group. Group sekolah, group bekerja dan macam-macam lagi yang mana meilbatkan percampuran lelaki dan perempuan.

Suami tidur, isteri Whatsapp sampai jam 2 pagi. Musibah zaman ini. Perempuan-perempuan yang berkerja, sudah-sudahlah, tinggalkan telefon selepas waktu berkerja. Tinggalkan kawan-kawan kerana ada anak-anak, suami yang memerlukan perhatian di rumah.

Cemburu itu penyakit menurutnya tetapi suami perlu ada sifat cemburu. Disuruhnya suami lihat siapa yang isteri Whatsup sehingga pagi. Kadangkala suami balik dalam keadaan letih, isteri masih main telefon. Suami bagaikan tiada harga. Suami menyampah. Hindarilah fitnah-fitnah yang boleh mengundang perkara-perkara sebegini. 

Beliau juga menerima aduan, apabila orang perempuan diusik dan menjawab dalam alat-alat sebegini, maka mulalah bertukar gambar. Kemudian, mulalah mencari tempat dimana mahu berjumpa yang menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingin seperti perceraian dan lebih dahsyat daripada itu. 


Skandal. Antara perkara haram yang semakin berleluasa dengan kemudahan kecanggihan alat berhubung. Realiti dunia hari ini cukup menakutkan saya. Berapa ramai pak lebai, terbang kopiahnya dek kerana terlalu asyik dengan telefon. Skandal isteri dan suami orang seperti perkara biasa yang sangat harmoni dimana sekalipun.

Usah berdabik dada yang kita kebal kerana syaitan itu licik. Mohon Allah jauhi kita dan keturunan kita dari semua bentuk fitnah yang mengundang kemurkaan Allah.

15.4.15

WW- UBAT SAKIT & MAKSIAT

Hendaklah kamu melakukan solat pada tengah malam. Sesungguhnya ia kebiasaan orang soleh sebelum kamu dan boleh mendekatkanmu kepada Tuhanmu. Ia juga penghapus segala dosa, penghalang maksiat dan dosa serta penawar penyakit yang ada pada tubuh. [Riwayat Ahmad]

14.4.15

PERASAN CANTIK

Kata zauji lagi, masalah terbesar orang perempuan adalah perasan cantik. Tidak kira siapapun dia termasuklah yang bertutup nampak mata sekalipun. Perempuan sangat suka dipandang oleh lelaki. Dia akan buat apa cara sekalipun supaya kelihatan cantik dan menarik perhatian.

Amboi!

Perasaan perasan cantik inilah mendorong, perempuan ini kelihatan bodoh. Perempuan, buka sahaja mulut sudah terserlah kebodohannya. Apa matlamat sentiasa bertukar gambar profile di laman sesawang? Apa rasional sentiasa memasukkan gambar-gambar menyeringai, tersengih dalam laman sosial. Apa sebab?

Sebab perasan cantiklah!


Saya sering diingatkan dan ditegur zauji berkenaan menundukkan pandangan mata. Kadangkala, deruman enjin kereta motor yang lalu lalang di hadapan rumah secara spontan membuatkan kepala kita terangkat dan mahu melihat arah bunyi tersebut. Bukan dengan perasaan mahu melihat.

MATA!

Itulah perempuan katanya. Dia pandang, mahu dipandang. Sebab itulah Allah perintahkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan untuk menundukkan pandangan. Usahlah cari sebab untuk dipandang. Tiada istilah sombong apabila tidak bertegur, tidak memandang antara lelaki dan perempuan bukan halal. Lebih baik dilabel sombong daripada mengundang fitnah dikemudian hari. Selain menundukkan pandangan, berpuasalah untuk melemahkan keinginan syahwat.

Apabila engkau tidak mampu solat tengah malam dan puasa pada waktu siang hari, maka ketahuilah bahawa engkau orang yang rugi dan terjerat. Dosa-dosamu telah menjeratmu. - Fudail Bin Iyad [Testimoni Tahajud Para Solihin, Majalah Al-Ustaz No. 34].

13.4.15

HABBATUSSAUDA'

Seorang pemuda kategori belia kelihatan tua daripada usianya mengalami rambut beruban. Bukan tidak redha tetapi keinginannya untuk tahu dari segi biologi tubuh, apakah yang menyumbang kepada rambut cepat beruban sedangkan kedua ibu bapanya tidak beruban pada usia 30-an. Jadi, saya segera mendapatkan penjelasan dari Puan Tabib Terpercaya, doktor yang lebih percaya kepada rawatan sunnah dan alami berkenaan masalah ini.

Saya simpulkan perbualan kami. Menurut beliau, kandungan logam berat dalam badan pemuda ini banyak dan menjadi asbab rambut cepat beruban. Oleh kerana setiap manusia itu mengandungi unsur-unsur kimia berbeza, jadi, walaupun adik-beradik yang menyusu ibu dan makan benda yang sama sahaja tetapi beliau seorang yang cepat beruban yang menjadi antara asbab rambut beliau terpilih untuk tanda-tanda bersedia lebih dahulu untuk kematian :D.

Jadi, menurut sahabat doktor saya ini, beliau menyarankan untuk mengambil minyak habbatussauda' untuk mengikat logam-logam berat dalam badan selain kerap berbekam.

Hadiah atas hadiah. Terima kasih sahabat-sahabat syurga yang susah senang bersama.

Usik sahabat saya, makin hensemlah zauji selepas ini. Paling saya tidak boleh tahan gelak, lelaki sepatutnya dibiarkan kelihatan tua, jangan bagi hensem untuk keharmonian rumahtangga. Maksudnya tiada siapa yang akan pandang apabila sudah kelihatan tua :D.

Sedikit perkongsian berkenaan lelaki. Menurut zauji, beliau pernah mendengar yang lelaki akan kembali remaja ketika usia stabilnya iaitu 40 tahun. Ketika ini, lelaki sudah semakin stabil karier, aset dan sebagainya. Jadi, isteri-isteri perlu berjaga-jaga ketika usia suami lingkungan ini dan berusahalah untuk mendapatkan usia remaja kita semula. Ya berusahalah untuk mengembalikan keropok kembang cecah minyak panas kepada keropok keping :D.

Walau bagaimanapun, satu perkara pesan mak, hensem atau hodoh suami itu bukan penyumpang kepada suami mula mencari keseronokkan diluar. Semuanya balik kepada sekeping hati. Hodoh sekalipun, andai tidak mampu mengawal kemahuan hati, mereka akan melakukannya juga. Begitu juga, hensem sekalipun, andai meletakkan iman di tempat teratas, inshaAllah selamat pelbagai godaan.

Pesan mak, jika diletakkan ular dan lelaki, beliau lebih mempercayai ular daripada lelaki. Pesan Ustaz Azhar Idrus kepada sekalian wanita, semua lelaki atas dunia ini tidak boleh dipercayai kecuali dirinya. Begitu juga pesan zauji, usah percaya semua lelaki atas dunia ini kecuali dirinya :D.

Siapapun lelaki sama ada ustaz atau bukan, Allah kurniakan mereka satu pandangan yang dipanggil pandangan serigala. Hanya iman yang mampu mengawalnya. Maka, ingatkan firman Allah swt untuk saling menundukkan pandangan.

"Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka." [Surah An-Nuur, 24: 30]

12.4.15

IKHTILAT CYBER

Berkenaan status seseorang yang menjadi 'silent reader' dalam kumpulan whatsup yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang lebih banyak langho daripada manfaat.

Sebelum ini kami pernah membincangkan isu ini dalam bulatan gembira kami. Jawapan makcik (baca: mak usrah) kami adalah sama dengan kuliah Ustaz Azhar Idrus yang mana Allah izinkan kami sekeluarga duduk dalam majlis ilmu semasa baharu sampai ke kampung halaman zauji semasa cuti baru-baru ini.

Kata UAI, orang lelaki ini cerdik dan orang perempuan sifatnya sentiasa bodoh. Jadi, apabila dalam satu kumpulan yang tidak formal, berlainan jantina memang tidak boleh. Cerdik jumpa bodoh. Saya simpulkan, yang perempuan dijadikan bahan permainan sahajalah kerana sifat perempuan yang bodoh ini tidak berfikir lajak ke hadapan sepertimana cara lelaki berfikir. Cara berfikir dan imaginasi lelaki dan perempuan sangat berbeza. Sebab itu perempuan ini banyak bodoh daripada cerdik.

Lain pula dalam kumpulan yang formal yang bercampur dan hanya membincangkan topik penting dan tidak melarat-larat sehingga boleh menjatuhkan maruah seorang perempuan apabila perbualan ada unsur lucah apabila ia melibatkan percampuran lelaki dan perempuan dalam kumpulan tidak rasmi.

Kata UAI kurang lebih begini, orang perempuan ini bodoh. Dia suka main macam budak-budak. Kira pinggan mangkuk. Perkara-perkara bodoh. Lain pula, sekiranya satu kumpulan semua perempuan. Sama-sama bodoh tidak mengapa.

Seperti jawapan mak usrah saya, sekiranya terdapat banyak perkara mungkar dalam kumpulan tersebut, kita sebagai orang yang inshaAllah ada tarbiyyah, perlulah menegur dengan hikmah dan sekiranya tidak mampu, keluarlah daripada kumpulan tersebut kerana menurut zauji, dosa mengumpat dan yang hanya senyap daripada mencegah mungkar, sama sahaja dikira bersubahat dengan si pengumpat, hilang amalan 40 tahun.

Allahu! Tidak tertanggung rasa. Usia kita pun belum cecah 40 tahun. Bagaimana jika amalan ditolak sebanyak 40 tahun? Kantung amalan negatif.

Teringat tazkirah sentap zauji semasa kali pertama saya mula menceburkan diri dalam kumpulan-kumpulan Whatsup. Perasaan teruja yang teramat sehinggakan saya dan telefon seperti kembar siam. Ketika itu, banyak perkara berubah. Tanpa saya sedar saya telah mengabaikan banyak perkara atas nama menyebarkan 'kebaikkan'. Perubahan saya disedari zauji yang mana sehingga kini Allah izinkannya masih belum terjerumus dalam kancah mengikat diri dengan media sosial, alam cyber.

Soalan zauji, siapakah yang lebih bahagia, dirinya atau saya? Sekiranya dia juga 'sibuk' sebagaimana saya, apakah yang terjadi? Seorang sahaja yang 'sibuk' dengan telefon sudah terlalu memberi kesan. Lantai tidak bersapu, pinggan bersusun, baju tidak bersidai yang sekiranya buat sekalipun, cepat-cepat capai telefon lagi dan sifat kita manusia ini lebih kurang sama sahaja.

Sambil perli dan  tazkirah sentap, menulis bukan main hebat, tetapi hakikatnya rumah tidak berkemas dan banyak orang-orang sekeliling kita yang kita remehkan. Begitulah lebih kurang. Banyak masa dihabiskan menghadap skrin telefon.

Sebenarnya satu perkara yang paling susah untuk dijaga adalah hati. Walaupun dalam kumpulan formal melibatkan bos dan pekerja-pekerja, kadangkala hati tidak bagus manusia itu datang menguji. Terdetik perkara-perkara yang mengganggu iman. Hati jadi bersangka-sangka.

Tambahan lagi sekiranya dalam kumpulan yang tidak formal. Saya pernah dimasukkan dalam kumpulan Whatsup tempat berkerja dan saya hanya mampu bertahan paling lama sehari. Hati saya meronta menolak untuk berada dalam jemaah Whatsup berkenaan. Hati saya terus jadi tidak bagus. Hati saya terus bersangka-sangka kepada admin kumpulan tersebut. Mengapa dibiarkan berlainan jantina berada dalam satu kumpulan. Apakah motif dan tujuan kumpulan ini ditubuhkan.

Saya simpulkan, lebih baik saya keluar untuk menundukkan sekeping hati ini supaya tidak bersangka-sangka sesama rakan dan paling penting, tidak terbit dalam diri perasaan diri sendiri cukup bagus dari semua orang dan kita sebenarnya mempunyai urusan yang lebih terdesak daripada menghadirkan diri dalam majlis-majlis sedemikian rupa.

Kata zauji lagi, antara sifat perempuan solehah yang baik apabila rumah menjadi tempat paling disukainya berbanding keseronokkan di luar rumah. Keluar tanpa apa-apa keperluan tetapi itu perempuan dahulu. Perempuan zaman sekarang, tidak keluar rumah sekalipun tetapi habis semua isi rumah dalam publik. Sifat perempuan yang bodoh menyebabkan golongan perempuan buat banyak perkara tidak berfikir panjang. Tidak boleh berfikir dan menjangkakan kesan dan akibat.

Ini sentap.

Dahulu saya melenting tetapi setelah umur semakin meningkat, saya mula faham larangan keras mak dan tazkirah-tazkirah sentap suami. Semuanya demi sebuah maruah untuk yang bernama perempaun. Suami berusaha dengan caranya memahamkan saya bagaimana meletakkan maruah diri di tempat teratas yang menjadikan seorang perempuan itu lebih dihormati dikalangan lelaki.

Terhormat disini, lelaki-lelaki tidak bercakap sebarangan terutama perkara-perkara lucah yang tidak bertamadun dengan kita. Tidak sibuk mencari peluang bercakap dengan asbab pembawakan diri yang cukup-cukup menjaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Teringat kata-kata pujangga indah berkaitan wanita.

Usah jadi seperti sinaran bulan yang mana terlihat indah di mata lelaki tetapi jadilah sinaran matahari yang silauannya menyebabkan lelaki menundukkan pandangannya.

11.4.15

TELEKONG RAYA

Lama kami terpaksa tangguhkan daripada menerima sebarang tempahan telekong. Alhamdulillah beberapa tempahan Allah izinkan siap. Jadi, inshaAllah tempahan telekong raya dibuka dengan warna-warni tetapi hanya gelap menjadi pilihan. Contohnya, biru gelap, hijau gelap, ungu gelap, coklat gelap, hitam dan warna-warna kematian lainnya.

Ungu gelap.

7.4.15

SELFIE? TIDAK PERLU.

Kata zauji, kita umat Islam hari ini tidak perlu bersusah payah berjihad dengan berperang kerana peperangan yang paling hebat untuk setiap daripada kita zaman ini adalah peperangan dengan telefon pintar. Ramai hari ini yang boleh hidup tanpa makan nasi tetapi tidak boleh hidup tanpa telefon.

Teringat zaman jahiliyyah saya sendiri dan sehingga kini pun masih berjuang untuk jahiliyyah tersebut, mahu tidur juga masih berzikir dengan telefon sehingga telefon jatuh atas muka sendiri. Tanpa sedar sebenarnya kita telah menggantikan zikir dengan telefon sebelum tidur. Bangun pagi area tahajjud, capai telefon lagi dan hantar ke seberapa kumpulan yang ada atas nama tazkirah. Nampak baik tetapi jahatnya lagi banyak. 

Orang sibuk selfie, kita pun sama juga. Pernah suatu ketika dahulu, saya menghadiri sebuah taklimat ditemani zauji tanpa anak-anak. Jadi, malam sebelum bertolak, dengan bersemangatnya saya meminjam kayu selfie daripada adik. Kononnya ambil masa bersama suami untuk bercinta dengan berselfie berakhir dengan tazkirah sentap!

Katanya, orang berselfie, dia pun sibuk berselfie. Sepatutnya orang yang ada tarbiyyah telah hilang keinginan yang bukan-bukan sebagaimana minat untuk menonton cerita korea, menonton TV yang mana kebanyakkannya mata pastinya tidak terjaga sekaligus dengan hati dan baru-baru ini katanya lagi, bahayanya berselfie secara tidak sedar boleh mendatangkan sifat 'ujub.

Sifat 'ujub yang merasakan diri cantik. Apa yang kita akan buat selepas berselfie? Pilih gambar selfie yang kita rasakan paling jelita dan tampan dan update gambar dalam media sosial, sentiasa bertukar gambar profile dalam aplikasi pintar. Pasti kita tidak akan pilih gambar yang memuatkan rupa kita yang lebih tua 20 tahun dari umur, masam, comot yang boleh menyebabkan orang langsung tidak tertarik mahu melihat kita. Kesimpulannya, apa tujuan kita meletakkan semua gambar-gambar berkenaan? Tanya hati yang paling dalam.

Zauji juga pernah masam muka hanya kerana kes saya bergambar bersama rakan sejawat. Katanya, saya boleh jaminkah yang suami-suami rakan-rakan saya tidak melihat telefon isteri-isteri mereka. Asbab itu juga, zauji hadkan saya bersosial dalam linkungan alam maya kerana dia sangat tidak suka gambar isterinya boleh dilihat lelaki seantero dunia. Bertutup mana pun kita, sifat cemburu seorang lelaki yang fitrahnya, tidak suka isteri mereka memandang dan dipandang kerana destinasi akhir sebuah perkahwinan hanya ada dua, syurga atau neraka.

Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka. [Surah An-Nuur, 24: 30]

Hati ini cukup bahaya. Tidak diurus dengan baik, terdetik sebesar zarah perasaan-perasaan berpenyakit hati, maka hilang terus amalan harian yang diumpamakan membawa bekalan dalam bekas yang bocor.

Bersedia bersetuju untuk tidak bersetuju.

Tahap didikan hati kita berbeza. Ada yang Alhamdulillah Allah bagi kebal dan boleh jaga hati semata-mata niat kerana Allah dan untuk saya, lebih baik jangan dari ya. Lebih baik tiada dari ada. Ada yang memerlukan medium internet dan melekat di telefon kerana sumber rezeki mereka tetapi tidak pada kami. Kerana manusia itu berbeza.

Sehingga suatu ketika, saya jarang mahu menulis untuk muhasabah diri. Saya takut apa yang saya tulis, nampak seperti baik tetapi rupanya tiada apa nilai di sisi Allah.