17.8.12

3rd birthday giveaway

Terlalu kejap rasanya puteri solehah ummi na menginjak ke angka 3. Terasa baru sahaja menyertai GA ulangtahunnya yang ke-2 ;). Semoga membesar sebagaimana doa-doa ummi dan abah insyaAllah!

Klik gambar untuk sama memeriahkan birthday auni yang ke-3! ;D

Dialog rekaan BAi ;D
(A) Abah dah lebih 2 jam kita tunggu, lamanya ummi. Ummi pergi mana abah?
(B) Ummi pergi saloon sebelah ni buat facial, sauna, rawatan kuku. Janji sejam je. Bagi abah handphone tu, abah nak telefon ummi. Kalau lambat lagi, kita tinggal je ummi..

Ukhuwwah fillah buat TM dari BAi! ;D

13.8.12

ANUGERAH RAMADHAN TIBA

Panglima-panglima Ramadhan hebat&hensem yang diredhoi Allah dan Rasul
Ramadhan sangat signifikan dengan kelahiran Muhammad dan Abdullah. Kelahiran dengan rezeki tersendiri. Banyak hikmah yang tersembunyi walaupun ibu perlu qada' berhari-hari. Sekiranya semasa Muhammad dahulu ibu perlu qada' puasa 16 hari, Abdullah pula 26 hari ;D.

Ramadhan kali ini, Allah gembirakan keluarga kita dengan pertambahan bilangan ahli keluarga dengan hadirnya Abdullah. Allah gembirakan lagi kita setelah melalui hakikat-hakikat ketetapan Allah sebelum ini dengan rezeki lain lagi. Alhamdulillah kurniaan di bulan barakah ;).

Hadiah utama menerusi segmen nostalgia Ramadhan di blog c'jai ;).

Ibu pernah ceritakan berkenaan keinginan ibu dan ayah untuk membelikan Quran digital buat Muhammad di entry REZEKI BERGANDA RAMADHAN. Alhamdulillah selang beberapa hari, menerusi segmen anjuran c'jai, Allah berikan hadiah buat Muhammad dan Abdullah juga secara percuma. Sememangnya bagai anugerah Ramadhan buat kita sekeluarga ;).

Terima kasih banyak kepada semua yang terlibat terutamanya penganjur yang sudi memberi kita hadiah yang sangat hebat ini ;). Muhammad dan ayah begitu teruja sehingga berebut-rebut dua beranak ini ;P. Sesiapa yang berminat dengan Quran digital seperti ini, boleh menghubungi c'jai di blognya DISINI atau terus kepada penganjur hadiah, hajizulkarnaen. Quran digital ini sedang dijual dengan harga promosi sempena Ramadhan iaitu RM200 untuk senaskah. InsyaAllah pelaburan yang sangat berbaloi!

Serentak dengan sampainya Quran digital, sampai juga coklat yang ibu pesan dengan mama aufa. Subhanallah rasanya cukup sedap mengalahkan coklat-coklat yang ada di pasaran. Coklat halawah ini dibuat oleh tangan-tangan orang soleh, rasanya juga pasti sedap ;).

bekas biasa bentuk bulat (A1)
50 pcs = RM20 sahaja. Lawati blog coklat mama aufa DISINI. Kredit foto DISINI juga.

Ramadhan 1433H semakin hampir melabuhkan tirainya. Semoga Allah pertemukan kita semua dengan malam yang mana Al-Quran diturunkan yang pada malam itu Allah kurniakan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Ya Allah pertemukan kami semua dengan Lailatul Qadr!

Mudah-mudahan Allah sampaikan lagi kita pada Ramadhan akan datang dalam suasana yang lebih baik lagi insyaAllah. Ya Rabb perkenankanlah!

29.7.12

REZEKI BERGANDA RAMADHAN

Alhamdulillah dapat juga jenguk blog BAi ;). Alhamdulillah dan terima kasih kepada rakan-rakan maya sama ada yang meninggalkan komen mahupun yang sentiasa SMS bertanya khabar. Terima kasih  atas segala doa dan kata-kata semangat untuk kami. Hanya Allah yang boleh membalas segala doa-doa dan semoga semua doa yang baik-baik pulang mencari yang mendoakan. Kepada fifah ummi tasneem, nina ibu danial, myza mummy bamlom, huda ummi husna dan rakan-rakan yang hampir mahupun dekat, jemput singgah ke BAi di alam nyata ;). Kita memanjangkan ukhuwwah ya! Kepada rakan-rakan baru, insyaAllah sekiranya ada masa yang terluang, saya akan ziarah rumah-rumah anda dan follow you back! ;) Sekiranya tiada tinggal jejak minta maaf sekali lagi. Kadang-kadang hanya sempat touch and go! ;)

Alhamdulillah semalam kami di BAi dikurniakan rezeki berganda Ramadhan! Ramadhan yang sangat signifikan dengan turning point dalam kehidupan, kehadiran 2 panglima Ramadhan yang gagah berani (Muhammad 15 Ramadhan 1431H dan adik 5 Ramadhan 1433H). Semalam pula, Allah kurniakan lagi rezeki menang TEMPAT PERTAMA untuk SEGMEN: NOSTALGIA RAMADHAN. Mata yang mengantuk, terus segar sampai ke pagi sambil bertemankan kedua-dua panglima yang sedang saling takruf.  Takruf mereka berdua sangat  menguji mataku semalam ;D. Seorang menyusu tidak mahu berhenti dan seorang lagi mahu tidur seperti zaman solonya dahulu. Sabarlah wahai ibu! ;P Mudah-mudahan keduanya bakal bersahabat baik sebagaimana Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq!


Bukan sahaja saya yang teruja, ayah Muhammad juga bersinar-sinar biji matanya ;D. Semasa menulis pengalaman sendiri melalui segmen nostagia Ramadhan anjuran ummuairies, saya tidak perasan pula hadiah utamanya. Saya sangkakan hanya segmen untuk memanjangkan uhuwwah dengan menceritakan pengalaman-pengalaman berharga semasa Ramadhan. Jadi, saya pun menulis dengan hati sambil membayangkan Ramadhan 1425H yang sangat istimewa pernah saya lalui. Saya hanya perasan ada hadiah disediakan setelah singgah di laman seorang adik yang meninggalkan komen di ruangan entry segmen nostalgia Ramadhan saya. Hadiahnya sangat mengujaka rupanya tetapi tidak dalam target saya. Hadiah yang sangat istimewa dan ada cerita sebelumnya. Apakah hadiahnya?

*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*
*

Tempat Pertama: Quran berserta pen digital! Kredit gambar di blog c'jai ;).

Sehari sebelum mengetahui keputusannya, saya dan suami ada berhajat untuk memiliki sebuah Quran dan pen digital untuk panglima Ramadhan kami yang pertama mengenangkan Muhammad yang insyaAllah genap 2 tahun pada pertengahan puasa ini. InsyaAllah seiring dengan pangkat 'abang' yang dirangkulnya kini, mudah-mudahan Muhammad akan semakin dewasa dan matang untuk menggunakan alat bantu mengajarnya menghafaz Al-Quran di peringkat permulaan. Rezeki berganda Ramadhan ;D. Alhamdulillah mudah-mudahan dengan hadiah daripada ummuainries ini, Muhammad serta adik-adiknya dapat memanfaatkannya semata-mata kerana agamaNya dan semoga saham jariah sentiasa mengalir buat ummuainries insyaAllah!

Terima kasih tidak terhingga buat team SEGMEN: NOSTALGIA RAMADHAN terutama untuk penganjur segmen, ummuainries, juri-juri dan semua peserta-peserta yang memberi sokongan kepada c'jai ;). Hanya Allah yang dapat membalasnya. Tidak lupa kepada ummi-iman yang menjadi asbab membuka jalan rezeki buat kami ;). Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya dan Allah perkenankan kita semua bertemu dan menikmati malam yang lebih baik dari seribu bulan insyaAllah!

Panglima-panglima kecil Ramadhan hebat yang diredhoi Allah dan Rasul! Cerita yang bakal menyusul insyaAllah! ;)

26.7.12

MARHABAN PANGLIMA RAMADHAN KE-2!

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, tepat jam 10.27 malam bersamaan 5 Ramadhan 1433H, lahir seorang lagi panglima Ramadhan kecil ;). Marhaban panglima Ramadhan ke-2!

Kelahiran kedua yang Allah izin dan takdirkan ianya normal tetapi dengan bantuan forcep mungkin asbab panglima Ramadhan ke-2 agak besar berbanding si abang dahulu. 

Panglima Ramadhan ke-2 lahir dengan berat 3.7kg, tinggi/panjang badan 52cm dan ukur lilit kepala 34 cm. Rupa semasa lahir ada kesamaan dengan si panglima Ramadhan pertama walapun pasti ada bezanya ;).

19.7.12

BERSIH 4.0: BELI-BELAH & HADIAH

Khalifah kecil II hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
InsyaAllah lagi 6 hari untuk sampai kepada due scan yang diberikan doktor. Ibu memang tampak begitu sarat dengan jalan yang terkedek-kedek. Jubah ibu juga sudah seperti sarung nangka. Kebiasaan jubah yang ibu beli bersaiz paling besar kerana prioriti pemilihan jubah untuk ibu adalah labuhnya dan ianya lebih besar daripada baju mengandung yang dijual. Sekarang ianya terlihat begitu sendat. Memalukan T_T. Mungkin minggu hadapan ibu perlu memulakan cuti. Di tempat bertugas, rata-rata sudah bertanya bila ibu mahu memulakan cuti kerana memang terlihat begitu sarat. Semasa membuat ujian imbasan buat pertama kalinya, due pertama yang terpapar adalah pada 1 Ramadhan iaitu boleh jadi pada hari Sabtu ini. Due untuk kali kedua membuat ujian imbasan jatuh pula pada 7 Ramadhan. Final due date yang diberikan doktor berpandukan ujian imbasan kali ketiga adalah pada 5 Ramadan. Setakat hari ini, hanya 3 kali khalifah kecil II discan. Kesimpulannya, insyaAllah ibu memang tunggu masa yang sesuai yang telah ditentukan Allah sahaja ;).

SoftFit & Puting
Walaupun menyambut kelahiran kedua, sebenarnya masih ada barang-barang yang diperlukan oleh khalifah kecil II sebagai contoh sparepart alatan pam. Disebabkan semasa Muhammad, ibu adalah pengempam tegar, kedua softfit asal telah pun koyak dalam jangka masa 6 bulan pertama. Ibu beli lagi dan satu daripadanya koyak untuk 6 bulan seterusnya dan ini menjadikan jumlah softfit yang telah koyak adalah 3 ;). Bulan lepas ibu beli sepasang bersama puting medela.

Sepasang softFit dan puting medela.

Suatu hari ibu memerhatikan puting susu yang sedia ada yang digunakan Muhammad sehingga kini, rupa-rupanya sudah terkoyak di bahagian leher puting. Pada Muhammad ianya tidak menjadi masalah tetapi mungkin bermasalah buat khalifah kecil II yang masih belum pandai mengawal aliran susu yang melalui puting tersebut. Mahu atau tidak, ibu beli juga puting baru buat adik Muhammad kerana ibu belajar daripada kesilapan dahulu. Khalifah kecil II perlu diajar menggunakan botol sejak lahir kerana ibu bekerja. Mudah-mudahan kejadian Muhammad yang keliru puting tidak berulang kepada khalifah kecil II insyaAllah!

Besan Mandi
Kelmarin ayah ada mesyuarat. Ibu mengambil kesempatan membuat 'latihan berjalan' bersama Nenek dan Makngah. Riadhah cuci-cuci mata ;). Di BAi kita memang tiada besen menadah air di dalam bilik air. Semasa Muhammad dahulu ayah ada membeli jenis yang bukan untuk mandi. Mudah bagi ayah tetapi ibu mengenangkan apabila ayah kembali bekerja, pastinya ibu yang perlu memandikan khalifah kecil II secara berdiri. Jadi, ibu memerlukan besen mandi untuk bayi yang muat-muat di atas permukaan mesin basuh kecil kita berdekatan dengan sinki. Sebagaimana Muhammad, khalifah kecil II pun akan dimandikan dengan air paip sahaja cuma Muhammad dimandikan air sejuk atau lebih tepatnya air telaga diusia 3 bulan di kampung ayah. Meraung sekampung tetapi sehingga kini, Muhammad memang tidak pandai mandi dengan air suam. Muhammad akan menolak air suam dan minta dimandikan dengan air paip ;).

Di kedai yang menjual peralatan bayi, besen sebegini harganya tidak kurang RM20. Ada sehingga mencapai RM28. Alhamdulillah ibu terus membeli besin mandi di atas kerana promosi penghabisan stok yang hanya tinggal 2 unit warna yang sama berharga RM14.20 ;).

Muhammad adalah pengalaman pertama ibu dan ayah. Jadi, banyak perkara keibubapaan yang kami belajar ketika Muhammad. Sebagai contoh mandikan bayi dengan air sejuk. Banyak hikmah antaranya ianya dapat menguatkan tulang bayi dan meningkatkan sistem imun bayi sebagai pencegahan pelbagai penyakit. Ianya juga sebagai perencat kecederaan akut seperti demam panas yang selalu terjadi kepada bayi. Banyak lagi kajian berkenaan air sejuk yang ibu dan ayah ketahui semenjak dikurniakan Muhammad. Pastinya semuanya dengan izin Allah. Terima kasih kepada Muhammad kerana asbabnya, insyaAllah khalifah kecil II dan adik-adik bakal menerima yang lebih baik.

Bantal Menyusu
Lama ibu idamkan bantal untuk menyusu dan Alhamdulillah adik bongsu nenek yang anaknya telah pun berusia setahun lebih tidak lagi menggunakannya. Masih cantik. Apabila diamati bantal menyusu yang mahal juga harganya ini, mudah juga untuk membuatnya. Potong kain ikut potongan ladam kuda dan sumbat kekabu sepadat-padatnya mungkin. Angan-angan ibu yang terbaru adalah ingin membuat tilam kekabu dan mahu belajar membuat cadar tilam khalifah kecil II ;). Apabila mengenangkan semula, bila pula masanya. Sebaik ibu habis cuti, insyaAllah dengan izin Allah, khalifah kecil II insyaAllah sudah ke fasa meniarap pula.

Big bro yang keletihan ;). Bantal kepala karipap juga pemberian Tokcu. 

Setakat hari ini, barang-barang khalifah kecil II telah lengkap kerana banyak warisan daripada Muhammad diguna pakai semula. InsyaAllah ayah dan ibu ada hadiah buat khalifah kecil II tetapi kami menunggu pengakhiran pertapaan khalifah kecil II di alam rahim ibu dahulu. Muhammad dahulu ibu ayah hadiahi set penyusuan Medela Freestyle yang paling mahal harganya di pasaran dan Alhamdulillah ianya sangat berbaloi. Ibu abadikan di entry HADIAH UNTUK MUHAMMAD. InsyaAllah khalifah kecil II juga ada hadiah sebagaimana Muhammad dahulu. InsyaAllah ada kelapangan dengan nikmat umur di masa mendatang, ibu abadikan di sini hadiah buat khalifah kecil II insyaAllah. Rindu tidak tertahan buat khalifah kecil II daripada ayah, ibu, dan Muhammad kerana Allah! ;)

18.7.12

SEGMEN: NOSTALGIA RAMADHAN

Bayt Al-Iman ditag oleh Ummi Iman ;)


Klik banner untuk turut serta!

Ramadhan 1425H adalah Ramadhan yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila kecuali Allah menarik semula nikmat ingatan buat saya. Ramadhan yang mana di situlah segala-galanya bermula. Ketika itu saya belajar di dalam semester akhir semasa kursus persediaan yang tempohnya 3 semester di sebuah kolej perguruan yang kesemuanya perempuan melayu. Hati saya disentuh.

Dilahirkan dalam keluarga yang bukan roh islam, Allah membawa saya melihat kebesaran nikmat taufik dan hidayah di sana. Indahnya islam. Rasa gelisah dan gementar yang sukar ditafsirkan. Merasakan diri ini bagai tidak lengap sebagai seorang muslimah.

Di sana, kepimpinan dipegang oleh orang-orang yang mengamalkan agama walaupun bukan bergelar ustaz. Disebabkan semuanya perempuan melayu, disiplin juga agak ketat. Pagar kolej tutup seawal 7 petang jika saya tidak silap berbanding kolej lain yang sehingga lewat malam. Bukan mudah mahu menjaga anak-anak perempuan.

Hati saya sangat tersentuh dengan keluarga seorang pensyarah yang kami panggil ustaz walaupun bukan mengajar agama. Beliaulah antara insan yang Allah kirimkan untuk saya koreksi diri ketika itu. Anak-anak beliau jika tidak silap saya kira dahulu ada 6 orang yang mana anak lelakinya lebih ramai. Kuasa veto seorang ayah dipamerkan ustaz apabila, beliau mampu membawa kesemua anak-anak lelakinya solat berjemaah subuh walaupun ada yang tidur di hujung saf lelaki. Masih kecil dalam lingkungan 3 hingga belasan tahun.

Di surau kolejlah saya belajar banyak perkara. Maklumlah saya bersekolah di sekolah sekular dan sekolah agama petang pun main-main. Banyak perkara yang saya tidak tahu dan pastinya tidak amal. Saya belajar mengenal apa itu zikir mathurat, apa itu solat sunat dhuha, rawatib, tahajjud dan sebagainya, semuanya di sana. Kalau dahulu semasa zaman persekolahan, saya hanya tahu solat sunat hajat meminta banyak A untuk setiap kali peperiksaan besar. Namun, di sana ada perkembangan ilmu buat saya. Masih terbayang yang mana saya terkebil-kebil mengikut ustaz dan jemaah lainnya baca zikir al-mathurat selepas solat subuh berjemaah. Akhirnya saya diam mendalami maknanya. Allah! Saya terlalu rindukan saat itu.

Bait-bait makna zikir mathurat membuat air mata saya berjurai setiap kali membacanya. Ramadhan 1425H, saya bagai merasa ada kuasa memontem untuk saya melakukan perubahan besar dalam hidup saya. Saya asyik memikirkan kematian yang boleh datang tiba-tiba. Syurga atau neraka. Selain itu, saya memikirkan orang soleh adalah untuk solehah. Jarang mata orang soleh mahu menangkap yang bukan solehah. Magnet semula jadi hati ke hati. Azam saya untuk membina sebuah baitul muslim yang istiqomah mencari redho Allah. Melahirkan anak-anak dengan hidup beragama yang jauh lebih baik dari kehidupan saya.

Saya jadi teringat kepada seorang lagi ustaz yang memang aktif di jalan dakwah yang punya jadual kuliahnya sendiri di surau. Disebabkan kami semua perempuan, tajuknya juga banyak untuk wanita. Ustaz membentangkan ciri-ciri wanita idamannya yang mana kesemuanya ada pada isterinya.  Beliau cukup menjunjung isterinya. Semestinya yang auratnya cukup terjaga. Paling mengesankan hati saya apabila ustaz memperincikan tentang aurat pergelangan tangan. Saya sendiri tidak ingat persis kata-katanya tetapi saya sangat ingat butir isinya yang mana ketika si wanita menganggat tangannya dan lengan baju terjatuh, masih ada sarung lengan yang menutupi aurat pergelangan tangan. Ketika itu sekali lagi berderai air mata saya. Terasa begitu hinanya diri di mata orang-orang soleh yang memandang aurat wanita begitu emas. Begitulah sensitifnya apabila hati disentuh.

Ramadhan 1425H lagi, ketika suasana sesak, gelisah dan pelbagai lagi perasaan yang entah dari mana datangnya, saya didatangi mimpi ustaz-ustaz kolej membuat usrah dirumah saya sambil tersenyum dan berbual ceria di dalam bulatan gembira mereka. Bayangkanlah ustaz-ustaz datang membuat usrah di rumah saya! Mimpi yang cukup bermakna. Ramadhan yang benar-benar istimewa buat saya.

Sepanjang Ramadhan 1425H, apa yang tidak boleh dilupakan juga, saya sentiasa ditemani air mata. Perasaan yang bercampur baur, membuak-buak, suatu yang sukar untuk ditafsirkan. Masa saya banyak dihabiskan untuk memperbaiki mutu solat fardhu, solat-solat sunat, istiqomah bangun dan mandi sebelum subuh, Al-Quran pun saya mampu khatam sehingga 3 kali ketika Ramadhan itu.  Dikala diri berkeadaan sedemikian rupa, pastinya saya mencari-cari seorang role model yang saya dambakan nasihat. Selama masa itu, motivasi saya hanya kepada buku-buku ilmiah yang mengajak anjakan perubahan dalam kehidupan. Ianya bukan daripada rakan-rakan mahupun ahli keluarga. Kesemuanya menyatakan kebimbingan sekiranya saya tidak mampu istiqomah.

Semuanya saya telah buat namun, ianya masih tidak memberi ketenangan buat diri saya. Masih tidak cukup. Tidak puas. Masih ada yang saya tertinggal. Melihat keseluruhan diri di hadapan cermin besar, oh aku belum sempurna dalam menutup aurat. Mana stokin? Mana tudung besar yang mampu menyembunyikan aib, mana sarung lengan. Perintah Allah yang masih belum tertunai. Selagi mana ianya tidak ditegakkan dalam  diri, selagi itu ketidak tenangan itu menjalar di setiap urat saraf.

Kasih sayang Allah itu luas. Hamba mencari, Allah berganda-ganda lagi datang kepada hambaNya. Di asrama, kami tinggal di dalam kompartment yang punya 4 pintu. Setiap pintu dihuni 2 orang pelajar. Senang satu pintu, ada seorang kakak yang merupakan AJK tertinggi surau yang saya panggil Kak Muna, kursus diploma keguruan tahun akhir dan batch terakhir yang rajin bangun sebelum subuh dan kuat mengaji Al-Quran. Pada kakak itu saya mengadu dan menyatakan hasrat untuk melakukan perubahan drastik. Mati bukan boleh ditangguh-tangguh. Minta jauh Allah cabut nyawa ini dalam keadaan tidak beriman. Kak Muna juga menyatakan dia juga sedang berusaha istiqomah dari segi memakai stokin. Ya memang bukan mudah untuk memulakan pembaikkan. Saya pula mula melabuhkan tudung daripada tudung bawal kepada tudung lerang 50. Ada sedikit ketenangan tetapi bukan keseluruhan. Saya masih mencari-cari lagi ketidak selesaan sekeping hati.

Sekeping hati ini rupa-rupanya kehausan rohani yang minta dilegakan. Melalui Kak Muna, saya meminjam tudung labuhnya. Emak yang pada mulanya tidak bersetuju, akhirnya membawa saya ke kedai kain untuk membeli kain untuk melabuhkan tudung saya. Bermula di sini saya belajar 'memegang gunting' dan menggunakan mesin jahit. Hasil didikan emak ini membuahkan hasil buat kehidupan saya hari ini. Walaupun masih amatur dalam bidang jahitan, tetapi hikmah dan kesan dari ketidak selesaan sekeping hati kurniaan Allah beberapa tahun sudah, memberi impak yang besar rupanya pada hari ini. Saya mampu menjahit baju kurung sendiri dan beberapa perkara lain dengan menggunakan sebuah mesin jahit. 

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar! Madrasah Ramadhan 1425H yang cukup istimewa. Memang agak malu memulakan satu perubahan pada mulanya. Rendah diri tetapi lama-kelamaan Allah meniupkan 'izzah, betapa saya berbangga menjadi seorang muslimah yang berusaha untuk menjadi mukminah dalam mengharap redho dan kasih sayang Allah sepanjang perjalanan kehidupan di dunia yang penuh tipu daya. Alhamdulillah Maha Suci Allah yang menempatkan saya di sana untuk saya belajar memperbaiki diri terlebih dahulu sebelum saya bertemu penyambung takdir sebuah sunnah 'baiki diri dan serulah manusia lain' di kolej tempat saya belajar selepas kursus persediaan.

Sekali lagi Allah mengirimkan saya di tempat yang tepat tetapi suasananya jauh berbeza dengan tempat saya menghabiskan kursus persediaan selama 3 semester sebelum ini. Kali ini saya ada 8 semester yang mana kesemuanya ada 4 tahun secara keseluruhannya untuk segenggam ijazah sarjana muda. Target seorang individu yang masih belum mengenal apa itu tarbiyyah. Hanya belajar demi segenggam ijazah seperti robot.

Di tempat baru saya mengenal apa itu tarbiyyah dan diuji ketahanan dalaman yang saya bina di kolej terdahulu sebelum ini.  Di sini Allah hadirkan seorang insan yang saya gelarkannya 'daeyah semelaya' kerana asbabnya, saya mengerti apa itu madrasah tarbiyyah yang mana kita bukan sahaja perlu berusaha memperbaiki diri malah yang lebih penting adalah melakukan tugas seruan yang mana kita mengajak sama orang-orang sekeliling menjadi baik dan taat perintah Allah. Jalan ini jalan yang terlalu sukar dan bukan mudah mahu membina modal insan mukmin sehebat as-syahid Dr. Rantissi, as-syahid Syed Ahmad Yassin dan terbaru model ikhwanul muslimin hebat, Dr. Morsi, Presiden Mesir yang baharu. Semoga Allah bersamanya dalam mendaulatkan islah. Asbab 'daeyah semalaya' juga, saya belajar menghayati sejarah islam sebenar dan keperluan mengetahuinya secara mendalam kerana kita tidak akan berjaya selagi kita tidak belajar melalui sejarah. Jalan tarbiyyah sememangnya pahit, penat dan ianya luar daripada tabiat normal manusia lain. Sesiapa yang Allah kehendaki, pasti mereka merasa kemanisan sebuah kesempitan dan saya tidak mampu seperti daeyah semalaya kesayangan adik-adik yang masih tegar dalam medan tarbiyyah.

'Sesiapa yang menazarkan hidupnya utk agamanya, dia akan hidup penuh dengan kepenatan tetapi sebenarnya dia akan hidup mulia dan mati dalam keadaan mulia'... makna lakaran ayat di dinding rumah As Syahid Sheikh Ahmad Yaseen di Gaza.

Setiap perubahan pastinya disertakan ujian tanda kasih sayang Allah. Salah satu ujian yang paling berat buat saya dan mungkin yang sama dapat merasa kegelisahan sebuah taufik dan hidayah adalah mengekalkan rasa 'bersalah' kepada Allah. Bukan mudah mahu istiqomah. Saya pernah mendengar kuliah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman atau UZAR yang mengupas tentang hal ini. Ianya adalah sunnatullah apabila perkara yang sama dilakukan, ianya mendatangkan perasaan BIASA sehingga TIADA RASA. Sejujurnya, saya cukup merindukan perasaan bercelaru yang lebih dahsyat dari tsunami ketika Ramadhan 1425H dahulu. Perasaan yang sentiasa merasakan Allah memerhatikan setiap detik waktu.

Sekadar catatan kenangan nostalgia yang tidak mungkin terlupakan. Madrasah Ramadhan 1425H merubah fikrah. Semoga Allah sampaikan saya dan kita semua di dalam Ramadhan kali ini dan dilimpahkan segala keberkatan yang terkandung di dalamnya untuk istiqomah menempuh 11 bulan lain sebelum Ramadhan datang menjenguk lagi.  Sesungguhnya saya mendambarkan Ramadhan yang sebegitu indah. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun sudah buat kita semua insyaAllah! 


Bayt Al-Iman suka hatinya tag Kak Atie, blog Azatiesayang ;).

17.7.12

ANMUM CLUB

Jumaat lepas, saya menerima sampul surat besar dari anmum club. Saya terus teringat bagaimana saya boleh terjebak dengan anmum club. Rupa-rupanya saya pernah mendaftar di anmum club selepas membaca entry berkenaan di blog Puan Intan yang memang minum susu anmum bersama puteri cerdiknya, Alisha yang lebih kurang sebaya Muhammad sahaja. Saya yang tidak pernah pun minum susu anmum ini tertarik apabila saya difahamkan anmum club sering menghubungi sama ada melalui SMS atau terus kepada peserta kelab untuk menyalurkan info-info tentang penyusuan.

Alhamdulillah sekali lagi ada rezeki Muhammad di dalam sampul surat besar tersebut. Mereka memberi boucer diskaun 30% untuk membeli susu anmum dan yang paling menarik, mereka memberi bekas yang dapat menahan kepanasan suhu susu dalam jangka masa yang lama yang seakan sarung botol air ataupun seperti tempat letak pensel. Terima kasih daun keladi ;).


Sebelum menerima sampul surat besar tersebut, pihak anmum club ada menghungi saya bertanya sama ada saya minum susu anmum, anak minum susu apa, sekarang bagaimana dan pelbagai lagi. Saya pun dengan jujurnya memaklumkan kepada mereka yang Muhammad dan saya serta suami, minum susu kambing brand karihome. Disebabkan saya memang tidak minum susu anmum, mereka bercadang mahu memberikan sampel susu tetapi saya pernah menerima sampel susu tersebut. Mereka juga mencadangkan susu anmum untuk ibu menyusukan nanti. Mereka sememangnya sangat caring dan penuh keibuan ketika sesi soal selidik tersebut ;). Saya dihubungi mereka sebanyak 2 kali setakat hari ini. Kali kedua perbualan singkat sahaja. Sesiapa yang berminat boleh google anmum club untuk isi form ;).