28.10.17

Big Y.

Dulu antara sebab untuk menguruskan badan kerana tersentap tanpa sengaja oleh lisan berbisa yang tidaklah diingat siapa gerangannya. Sedap sahaja lontaran kata-katanya.

Lihat sahaja orang yang berimej agama, hampir rata-rata orangnya perut lebih depan dari dadanya. Sepatutnya, dia lebih tahu akan hak perutnya. Lebih tahu hak badannya. Makna kata, lebih 'fit' orangnya kerana akan lebih berganding rapat dengan namanya puasa, berhenti makan sebelum kenyang betul.

Betul juga. Rasa terpukul sungguh. Begitulah juga ikrar kami suami isteri diawal perkahwinan untuk kekal momentum perut supaya tidak lebih daripada dada. Alhamdulillah dengan kata-kata yang pedas dan berbisa itu, Allah izinkan kami dapat semula berat sebelum berkahwin malah lebih ringan. Paling syukur dikurniakan kebolehupayaan membaca kehendak badan sendiri jika terlebih atau terkurang makan.

Sunnatullah orang yang makan berpantang, Allah bukan sahaja kurniakan tubuh yang kurus malah dikurniakan juga pakej kulit yang lebih cantik. Ketika inilah sekali lagi hati diuji malah ianya lebih menakutkan lagi.

Ujub.
Riya'.
Takabbur.
Perasaan cantik.

Masalah-masalah hati yang jika tidak dibendung awal mengundang bencana yang bukan sedikit. Masih terkesan dengan nasihat tuan guru yang dimuliakan Allah SWT, apa yang paling dirisaukannya ialah apabila penyakit-penyakit ini bersarang dihati. Suka dipandang, suka dipuji dan suka mempamer kecantikkan di sana sini.

Semenjak itu agak gentar terlalu teruja untuk mendorong. Tahap gembira turun hampir 70% peratusannya. Kita memang dituntut memakmurkan hak perut serta anggota lainnya. Namun, jangan dilupa, pokok hati yang letaknya mahmudah itu yang paling utama. Alhamdulillah masih ada yang sudi ingat-mengingatkan dan saling berpesan-pesan ke arah kebaikkan. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

R.

22.10.2017
Tarikh keramat doa diangkat
Lidah dilurus makraj kembali kemas
Agh-ghahman kini benar Ar-Rahman
Ghumah kini sudah jadi rumah
Bighu kini sudah cantik biru.

Benar sekali
Kita hanya ada doa
Masa dan makbulnya bukan kerja kita
Tugas kita hanya terus menghinakan diri minta apa sahaja
Usaha berterusan dengan yakin Allah akan makbul segalanya
Kerana sedar kita hanya ikhtiar selebihnya urusan Dia
Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

9.10.17

Kawan.

Kawan rupanya antara nasihat dan musibat juga. Hidup memang lebih ceria dengan kawan. Meriah terasa berkawan-kawan. Semakin lama kita pun kenal lebih mendalam dan kita berkongsi banyak perkara juga.

Sayangnya apabila tidak sehaluan, hujah perkongsian itulah yang dijadikan bahan. Kita teruji untuk berbual tentang orang. Mula-mula cerita yang biasa-biasa sahaja. Lama-lama kita perlu dengar pula apa yang tidak sepatutnya kita dengar.

Jika melibatkan maruah dan aib kawan-kawan lainnya, begitu pedih terasa hati. Patutlah tuan guru pesan ketat tentang musibat berkawan kerana cara kita bukan seperti zaman awal.

Kita tidak akan tergamak tanya kawan kita contohnya, "hari ini dapat katam sejuzuk?", "hafazan macam mana hari ini, ada peningkatan?". Kalau inilah yang kita tanya, nescaya dikatanya kita 'good, good' sahaja.

Kita juga manusia yang memang akan buat silap. Kita tegur bukan kerana kita bagus. Kita sebenarnya sayang. Sanggupkah kita biarkan kawan-kawan kita kunyah daging kawan lainnya seperti makan gula-gula?

Akhirnya aku belajar apa erti kawan. Hidup perlu tertutup banyak perkara. Bukan semua akan senang dengan apa yang kita ada, pembawakan kita dan sebagainya. Pamer hanya keperluan dan bukan kebahagiaan atau kejayaan mahupun kesenangan.

Alhamdulillah Allah beri kekuatan menegur kawan-kawan. Tidak pedulilah suka atau tidak, yang penting aku berlepas dari semuanya. Cukuplah dosa kita yang menggunung tinggi. Tidak mampu untuk tanggung dosa manusia lainnya. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".