11.8.17

Budak lelaki 7 tahun.

Sudah seminggu berlalu. Namun, pemandangan itu masih belum hilang dari ingatan. Masih kuat mempengaruhi jiwa seorang ibu.

Lampu isyarat bertukar merah. Bertafakur seisi kereta memerhati keluar tingkap. Dari dekat kelihatan seorang lelaki tua bertongkat bersama seorang budak lelaki kecil yang cukup dikenali mengheret permainan terpakai. Mungkin terjumpa ditepi jalan kerana dibuang orang.

Budak lelaki itu berusia 7 tahun. Sama seperti anakku. Kebiasaannya 5 hari seminggu kami bersua muka. Comot dan sentiasa tidak membawa alatulis. Buku juga entah ke mana. Tiada wang yang dibawa tetapi mujur ada bantuan makanan untuk murid miskin. Salasilah keluarganya yang bercelaru menjadikan anak ini begitulah seadanya. Hidup perlu berjuang. Hanya menumpang kasih orang yang sudi.

Pelbagai soalan tanpa jawapan. Bagaimana peranan kita untuk membantu golongan sebegini? Bagaimana cara terbaik untuk diberikan kesedaran hidup beragama? Kerana hanya iman dan islam yang mampu menjadikan hidup ini penuh makna.

Aku pandang satu persatu wajah anak-anak yang masih dua itu. Masih terurus. Masih rapi terjaga. Malah hampir 24 jam di depan mata. Mudah-mudahan sentiasa terpelihara iman dan islam mereka. Maka, bersyukurlah.

"Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang sedikit".

No comments: