16.2.16

UNIT BERUNIFORM

Saya mungkin tidak akan melupakan zaman paling jahiliyyah iaitu zaman ketika belajar yang mana ketika itu kami dibahagikan kepada 3 unit beruniform iaitu pengakap, persatuan bulan sabit merah dan kadet remaja/bersatu sekolah. Saya pun kurang pasti nama sebenar. Ketika itu usia saya lingkungan 19-22 tahun. Usia yang masih anak-anak dan ada perasaan 'takut' untuk melanggar peraturan yang manusia buat.

Baju uniform yang sedia kita maklum kesemuanya memerlukan kita memasukkan tudung ke dalam. Kami antara yang ketika itu menerima awal tarbiyyah hampir kehabisan idea mencari solusi supaya tudung tidak dimasukkan ke dalam. Bayangkanlah betapa seksanya!

Semenjak itu saya tidak nampak rasioal pasukan beruniform kerana kita dilatih untuk mengetepikan hukum Allah dan menyanjung tinggi hukum manusia. Kami perlu mematuhi etika pakaian beruniform ketika waktu persatuan. Seminggu sekali selama 2 jam, saya sendiri berasa seperti di dalam API NERAKA JAHANNAM. Jerut leher dengan skaf pengakap, baju singkat dan seluar potongan tegak serta kasut bertumit hitam berkilat. Tidak ubah seperti badut sarkas buat pertunjukkan.

Mak saya adalah orang paling menyampah dengan program ko-ko sekolah. Mak mengatakan, pergi ke sekolah di hujung minggu tidak lain tidak bukan untuk 'pergi menggatal' haha! Memang banyak betul. Ketika inilah anak-anak remaja mengambil kesempatan 'dating' dan berkenalan dengan lawan jantina. Program seumpama ini memang melibatkan percampuran jantina.

Ketika zaman saya belajar juga, kami terlibat dengan pekhemahan jambori yang melibatkan kolej-kolej seluruh Malaysia selama 5 hari 4 malam. Ketika itu saya ahli pengakap. Khemah dipasang rapat antara lelaki dan perempuan. Percampuran lelaki dan perempuan ketika malam hari juga tidak terjaga dan paling sadis, kami perlu berpakaian pengakap selama mana perkhemahan berlangsung. Jika memakai t-shirt, ada sedikit kelapangan tudung dikeluarkan.

Tudung lebar menutup aib kami dicemari maksiat pakaian unit beruniform.

Ketika itu jugalah Allah memperlihatkan saya dengan seorang ahli pengakap dari kolej Islam. Allahu! Tidak pernah saya terbayang yang berpersatuan juga kita boleh sahaja mendahulukan hak Allah dengan syarat tidak peduli dengan kata-kata ahli besar yang taksub dengan pakaian pengakap dan pelbagai protokol persatuan yang bodoh.

Ada seorang ahli pengakap dari kolej Islam yang memakai pakaian pengakap muslimah. Baju kelabu labuh seperti kebarung, kain kembang A dan tudung besar sehingga menutupi punggung dan dia juga memakai skaf pengakap di luar tudung besarnya. Allahu terjaga sungguh!

Perkhemahan jambori itu juga menyaksikan, itulah kali terakhir kami menyarungkan baju pengakap buat kali terakhirnya.

Dilema zaman belajar ini berterusan sehingga saya bekerja. Zaman bekerja tidak sama seperti zaman belajar. Sudah pandai tapis dengan mana-mana peraturan yang rasa perlu atau tidak dipatuhi. Usia mematangkan kita untuk tidak takut kepada peraturan manusia dan kata-kata manusia yang ketika itu berkuasa.

Amatlah kasihan pemimpin atasan perempuan dengan tubuh gempal lagi montok berpakaian pemimpin tertinggi unit berunifom dengan tudung dimasukkan ke dalam. Berapa banyak mata yang kita dera sepanjang hari tersebut?

Menjadi kesukaan manusia yang bernama wanita/perempuan tidak kira anak-anak remaja, mak-mak orang hatta nenek-nenek yang sudah lanjut usia menanti dimasukkan ke dalam liang lahad, mereka ini memang sangat suka meletakkan 'profile picture' mereka silih berganti setiap hari dengan pelbagai rupa dan gaya. Gaya ala-ala model pakaian renang di tepi pantai. Yang taksub dengan unit beruniform, dengan pakaian beruniform tudung masuk ke dalam termasuklah yang bertudung besar, lebar dan labuh. Bangga sungguh dengan persatuannya yang 'buat sehabis baik'. Yang hijab lebar dengan gaya model muslimahnya dan pelbagai lagi.


Mahu tunjuk apa sebenarnya? Mana letaknya malu? Malu ini adalah salah satu cabang iman. Jika hilang sifat malu ini, maka dunia akan binasa seperti hari ini. Dengan malu inilah kita takut untuk melanggar hak Allah. Dengan malu ini jugalah kita malu untuk berpakaian tetapi seperti telanjang. Dengan malu jugalah kita malu untuk tidak solat kerana setiap nafas kita, Allah tidak pernah suruh bayar seperti kita bayar bil air, elektrik dan internet!

Persatuan Puteri Islam (PPI) juga dijahatkan!

Dahulu baju (PPI) adalah tudung dan kain berwarna merah jambu dipadankan dengan baju kurung putih sekolah tetapi sekarang telah diwujudkan baju kawad sama seperti persatuan lainnya yang mana tudung juga perlu dimasukkan ke dalam baju. Rosak habis!


Allah perintahkan lelaki-lelaki untuk menundukkan pandangan dan wanita-wanita menjaga aurat mereka dengan sempurna kerana apa? Kerana jika manusia melawan perintah Allah ini, memang akan jadilah seperti mana kerosakkan akhlak hari ini. Orang tua juga tidak mampu menunjukkan tauladan yang baik buat anak-anak, bagaimana kita mahukan anak-anak kita berakhlak dengan kualiti akhlak yang terpuji?

Jangan terlalu seronok diangkat sebagai pemimpin. Usah terlalu berbangga dengan pangkat dan darjat yang Allah amanahkan kerana setiap satu jiwa yang kita pimpin, akan dipertanggungjawabkan satu per satu dihadapan Allah. Ahli bawah tidak solat, tidak menutup aurat dan pemimpin tidak tegur, maka tanggunglah!

Sebenarnya ada isu yang lebih besar membuatkan saya panas bahang dan rasa seperti mahu menyembur api dari semalam. Entry mukadimah dahulu. InshaAllah sambung lain kali.

10.2.16

HS KENDERAAN AWAM|TRAVEL BAJET

Travel bajet inspirasi kawan depan meja. Terima kasih kawan kongsi pengalaman. Kami tiru!

Konon-konon homeschooling (HS) tajuk kenderaan awam sempena CNY 2016. Travel bajet kami bawah RM100 dengan objektif utama ialah memperkenalkan, merasai sendiri pengalaman serta menebus janji menaiki keretapi, bas loceng serta bas ekspres. Teksi tidak termasuk dalam objektif kali ini kerana mengambil kira faktor travel yang bajet bawah RM100 serta teksi pun lebih kurang naik kereta juga.

Perkara pertama ialah mencari tiket keretapi. Kami memilih tempat duduk kelas kedua dengan 2 tiket dewasa yang berharga RM14 seorang dan satu tiket kanak-kanak untuk usia 4 tahun ke atas yang berharga RM11. Nama keretapi kami ialah Ekspres Senandung Timuran yang dijangka berlepas pada 8.50 pagi pada tarikh 10.2.16.

Sebelum memulakan perjalanan, kami bersarapan dirumah dengan anggaran tenaga dalam hidangan adalah tahan sehingga petang. Lebih kurang jam 8 pagi, kami bertolak ke stesen keretapi. Kereta pula diletakkan di masjid berdekatan stesen bas. Jadi, ada seorang yang perlu berkorban untuk berjalan dari stesen bas ke stesen keretapi supaya turun bas nanti terus sahaja ke kereta.

Nampak sangat keterujaan yang kecil-kecil termasuk si ibu yang juga pertama kali menaiki keretapi. Kasihan sudah tua baru merasa.

Gerabak keretapi kami ini tampak usang dan apabila gerabak sesekali laju, seram juga tergelincir dari landasan. Perjalanan seakan tidak terasa kerana kami tidur berjemaah, haha! Tidak pasti masing-masing pening atau tidak. Paling penting, kepala mak sudah mula 'tingtong'.


Setelah 2 jam lebih perjalanan, kami sampai di stesen keretapi utama ibu negeri kami. Terkenang semula zaman belajar selama 4 tahun setengah di sana, tidak pernah sekali walau sekali menjejakkan kaki di stesen keretapi ini. Kemudahan bas ekspres lebih memudahkan untuk segera sampai. Penyakit zaman berzaman, apabila travel, mahu cepat-cepat sampai destinasi.


Kami terus mencari bas ke stesen bas besar ibu negeri kami. Rata-rata adalah warga asing yang berasak-asak mencari bas. Bas yang kami naiki seperti berada di Bollywood! Ketika ini, bukan sahaja kepala mak 'tingtong', perut juga seperti mahu mengeluarkan isinya akibat tidak lalu bersarapan pagi tadi. Tiket bas hanya RM2 untuk seorang dewasa. Kami hanya dikehendaki membayar RM4 untuk tiket 2 orang dewasa.

Kami melalui tempat bersejarah lagi kenangan terindah. Tempat belajar selama 4 tahun setengah, jodoh pertemuan dan selepas hampir 8 tahun tinggalkan tempat-tempat ini, kami datang dengan kembangan bayt al-muslim. Ini berangan namanya kahkah! Kami tidak ke sana pun. Nampak dari atas bas sahaja bumbung asrama. Patah kaki makpak nak berjalan ala-ala makan angin sambil gendong anak-anak yang berkilo-kilo.

Selit kisah diet. Berat paling manis setakat ini ialah 53.8kg. Travel bajet ini betul-betul membawa kenangan ketika zaman belajar ketika berat sama seperti sekarang. Berangan seperti mahu daftar sebagai pelajar tahun 1 semula. Silakan muntah berjemaah.

Anak-anak masih belum bersuara untuk makan. Masih kenyang dengan bekalan sarapan nasi pagi tadi tetapi kami pusing juga satu stesen bas untuk cari tempat makan yang senonoh. Dari pengalaman kami yang sudah-sudah di tempat ini, memang agak payah untuk mencari tempat makan yang 'selera' untuk makan. Hampir satu jam berjalan, berpusing sambil target untuk solat jamak qasar di masjid terminal bas sana, satu kedai pun tidak melepasi piawaian pak kepada anak-anak.


Penghabisannya, dia datang dengan kerepek apit berharga RM3.50. Ini sahajalah yang melepasi piawaian agaknya. Sambil tunggu Zohor-Asar, kami ke kaunter tiket bas S&S untuk pulang. Harga tiket 8 tahun sudah ialah RM9.10. Harga terkini ialah RM9.80. Untuk tempoh 8 tahun, harga bas naik 70sen tetapi sempena CNY 2016 ini, mereka menaikkan RM2 untuk setiap tiket menjadikan RM11.80 satu tiket.

Kami beli 2 tiket dengan membayangkan akan banyak seat kosong seperti zaman berzaman dahulu. Sekali naik sahaja bas tidak sampai 5 minit, kerusi sudah penuh. Jadi kesimpulannya, 19.9kg memang bahagian ayahanda manakala 13.1kg ialah bahagian ibunda. Merasalah mereka kasih sayang ibunda ayahanda selama 1 jam 40 minit dalam pangkuan. Kebas!


Kami sampai ke stesen bas tempat kami kira-kira jam 3.40 petang dan terus ke masjid berdekatan. Kami menuju ke kedai makan yang selalu juga kami kunjungi dengan memesan 2 keping roti bakar wholemeal, sebiji pau kukus, sepinggan meehoon goreng seafood, sepinggan nasi kosong dan telur berserta kuah sup, air kopi o panas, limau o suam dan sebotol air mineral dengan harga RM16.70. Sampai di rumah lebih kurang 20 minit sebelum Asar.

Walaupun kami semua tidur hampir dalam setiap kenderaan awam semalam tetapi perjalanan setengah hari tetap meletihkan. Semuanya pengsan sebaik selepas isyak dan pengalaman tidur terindah untuk mak kepada anak-anak. Setelah bergelar ibu, hampir '0' tidur dengan lena tanpa gangguan. Pasti akan tersedar-sedar teringatkan anak-anak. Kebiasaannya jam 2-3 pagi ada seruan dari bilik mereka. Yang kecil tersedar mahukan air walaupun botol air letaknya atas kepala masing-masing tetapi malam semalam paling nyenyak dalam sejarah tidur pakej dengan sakit kepala. 

Allah sangat baik. Dia beri sakit kepala, Dia juga beri tidur ternikmat untuk menghilangkan sakit tersebut.


Menjadikan sebahagian rutin aktiviti bersama anak-anak, kami menggalakkan mereka untuk membuat buku mini yang menceritakan pengalaman mereka dalam satu-satu perkara seperti travel bajet bawah RM100 semalam. Dalam beg galas kami, ada tempat pensel dan pensel warna serta beberapa helaian aktiviti untuk dipenuhi anak-anak ketika masa-masa lengang dan sesuai.

Jadi, mereka ada buku-buku kecil yang menceritakan pelbagai pengalaman melalui gambar-gambar, lukisan-lukisan hasil seni bagi yang suka melukis, menyediakan gambar bagi yang suka mewarna serta catatan kecil dengan batasan kemampuan membaca mengikut level setakat yang dikuasai anak-anak untuk buku-buku kecil mereka.

Alhamdulillah travel bajet HS kenderaan awam sempena CNY 2016 kami semalam mencapai objektif. Keseluruhan anggaran kos untuk semalam ialah RM86.80 untuk tiket-tiket dan makan sahaja.

Jika ditanya pengajaran paling membawa makna ialah ERTI SYUKUR. Bersyukur atas segala sesuatu yang telah Allah tetapkan dan anugerahkan buat kita. Jika kita merasa kita susah, perjalanan singkat ini juga Allah ajar kita bahawasanya, ada lagi yang lebih melarat. Rumah-rumah setinggan di sepanjang perjalanan ketika menaiki keretapi, kebanjiran warga asing untuk mencari rezeki dengan merantau ke negara kita, Allahu, betapa beruntungnya kita.

Allah beri pinjam kita kenderaan ada yang sebuah dan ada yang bersusun kenderaan, tidak cukup kurniaan darat, ada yang Allah lipatgandakan rezeki kenderaan air dan udara, sesekali perjalanan sebegini sungguh menginsafkan, betapa pentingkan bas dan pengangkutan awam yang lain, berhimpit-himpit untuk mereka yang berjuang untuk sesuap nasi. Dan kita?

Maka, banyakkanlah sujud tanda syukur.

6.2.16

KISAH ORANG MENANG (4) I EMAS

Ramalan ekonomi dari penjahil ekonomi.

Bab kecil yang menceritakan kisah ekonomi negara kita. Ramalan SN dalam tempoh 5 tahun ke depan, kita bakal mengalami STROKE EKONOMI. Seperkara yang perlu kita faham adalah berkaitan HUTANG NEGARA. Analogi mudah SN seperti kereta yang tidak berbayar dan akan ditarik tonto. Persoalannya, siapa yang mahu ambil negara kita?

Kerajaan memerlukan wang untuk membangunkan negara dan negara kita mempunyai 2 sumber besar. Pertama dari kerajaan melalui cukai yang pelbagai,  hasil GLC (petronas, TNB, Telekom etc) dan lain-lain. Sumber kedua adalah dari rakyat melalui SIMPANAN WANG ANDA DALAM BANK, KWSP, TABUNG HAJI, segala wang-wang dalam bank serta lain-lain seperti rizab luar dan dalam negara.

Pemerintah akan menggunakan sumber pertama dan jika tidak menampung, mereka akan menggunakan sumber kedua tadi. Lagi analogi mudah SN, seperti meminjam duit tabung anak, apabila gaji, kita bayar. Dalam masa yang sama kita perlu memastikan bila masa anak mahu menggunakan simpanannya nanti, duit tetap ADA. Jika bapa boros, gaji habis dan duit tabung anak pun kering kontang. Hutang bapa pinjam sama dengan duit tabungan anak, maka itu dinamakan BANKRUP.

Untuk pengetahuan bersama tabung besar negara adalah KWSP yang mana ianya satu bentuk simpanan paksa. Pada saya ianya sangat menjerut. Pengalaman perniagaan saya sendiri, majikan perlu mencarum lebih daripada pekerja sendiri dan potongan untuk pekerja juga tinggi. Terbaru tulisan Ustaz Zaharuddin (UZAR), jumlah KWSP yang bersih utuk digunakan pada tempoh matangnya hanya 70% sahaja manakala baki 30% kita tidak boleh ambil. Jadi, sebagai majikan perniagaan kecil, saya terpaksa mengecilkan gaji pokok dan menambah pada imbuhan lain supaya potongan KWSP menjadi kecil dan berharap mereka menyimpan wang mereka dalam bentuk emas.

Jadi, apa yang bapa akan buat jika tabung anak yang dia berhutang tadi semakin kosong? Bapa tadi akan mempromosi tabung baharu yang cantik-cantik untuk anak-anak menabung dalam tabung baharu. Ianya sama seperti BON, Sukuk (Islamik) dan paling mudah mahu faham menurut SN ialah AMANAH SAHAM. Kerajaan akan mempromosi rakyat menyimpan duit dalam bank dan BUKAN KELUARKAN DUIT UNTUK BELI EMAS.

Anak pula yang sentiasa menabung tetapi didapati tabung semakin ringan semakin hilang kepercayaan. Anak yang bijak akan mula menabung di tempat lain. Ada yang mengemaskan duit simpanannya dan ada juga yang menabung dalam tabungan Makcik sebelah rumah yang lebih dipercayai daripada bapanya.

Jika situasi di atas berlaku, sumber negara yang dua itu tadi, tidak mampu menampung kos negara dan tidak cukup untuk membayar semula pinjaman kepada penabung yang mengakibatkan:
1. kenaikan cukai
2. pengenalan cukai baharu
3. kadar faedah pinjaman diubah
4. cetakan wang
5. pengurangan subsidi etc

5 perkara di atas akan berlaku dan sedang berlaku yang merupakan punca inflasi. Apa itu inflasi? Contoh mudah SN lagi, RM1 dahulu tidak sama dengan RM1 sekarang. Dahulu RM1 untuk sekilo kacang tetapi sekarang hanya untuk 500g sahaja.

Sambungan cerita bapa pinjam tabung anak. Kesimpulan SN, Malaysia tidak mungkin menjadi milik orang lain KECUALI bapa meminjam dari CETI depan rumah dengan cagaran rumah untuk membayar hutang si anak. Sebenarnya hutang si anak tadi berpindah kepada CETI.  Apabila bapa tidak mampu juga membayar hutang CETI, rumah bapa tergadai pada CETI. CETI ialah IMF.

Ramalan SN, dalam masa 5 tahun, Malaysia akan sampai ke tahap itu. Duit tabung anak habis dibelanja dan siap korek tabung atok yang mahu pencen. Juga, tidak mampu membayar balik hutang. Anak yang memang sudah lama hilang kepercayaan pada bapa, sudah membeli emas atau menabung pada tabungan jiran (foreign investment).

Ketika itu, Malaysia di ambang bankrup. Kita tidak perlu  risau negara tergadai selagi kita tidak meminjam IMF tetapi menurutnya, mana lagi kerajaan mahu korek?  Pada ketika itu, tidak kira mana-mana parti politik tidak lagi berminat untuk memerintah Malaysia. Siapakah penyelamat?

Ketika itu menurut SN, pemimpin tidak boleh bongkak dan ego mereka dijatuhkan rakyat. Ketika itu rakyat menjadi tuan kerana apa? Di tangan rakyat telah adad WANG DAN ASET yang tidak ada dalam tabungan. Di tangan rakyat ada EMAS yang berjongkong-jongkong, simpanan yang ditabung di negara jiran dan ada cukai yang patut dibayar. Disitulah bermulanya ERA EKONOMI BAHARU.

Alhamdulillah simpanan emas yang semakin celik dikalangan kita hari ini. Orang mula berlumba-lumba menyimpan emas atas kesedaran ekonomi semasa negara.

KISAH ORANG MENANG (3) l TARBIATUL AULAD

Cerita SN tentang fitrah kelakian.

Satu kisahnya yang sangat terkesan buat saya sehingga hari ini apabila SN ketika usia tingkatan 1, dia dihantar untuk mewakili sekolahnya ke satu pertandingan yang saya lupa dan bermalam bersama guru pengiringnyan di sebuah hotel jika saya tidak silap.

Guru pengiringnya adalah seorang guru perempuan dan suaminya pula guru Geografi yang garang di sekolah yang sama. 

Mungkin pada perasaan kebanyakkan perempuan, naluri kelelakian adalah sama seperti rasa seorang perempuan. Cara perempuan memandang sesuatu itu pada seorang perempuan adalah sama dengan seorang lelaki. Jika kita melihat itu hijau, kita juga memikirkan lelaki juga melihat itu warna hijau. Hakikatnya tidak sama sekali.

Menurut SN, gurunya baik. Tidur pun memakai tudung dan lengkap berpakaian menutup aurat. Tidur juga di katil berasingan. Penekanan pada ceritanya, diusia tingkatan satu, perasaan kelelakian itu sudah ada. Betapa beliau rasa tidak selesa yang pada usia itu, dia sendiri tidak faham. Diceritakan beliau juga lebih terperinci untuk memudahkan pemahaman.

Apa yang membuatkan saya terkesan dengan ceritanya ini yang mana secara tidak langsung saya belajar psikologi anak-anak lelaki pada awal usianya. Maksudnya, janganlah dipandang remeh berkenaan perasaan tidak kira anak-anak lelaki dan perempuan. Sentiasalah 'alert' yang mereka sentiasa memerlukan bimbingan berterusan ibu bapa dan guru-guru.

Satu lagi yang suami selalu ingatkan tentang video-video di youtube yang mana kebiasaannya apabila kita buka untuk video mengaji, pembelajaran, pasti terselit iklan yang tidak baik seperti kebiasaannya iklan di TV (ikhtilat tiada batas, aurat etc) yang mana apabila kita bukakan youtube, kita sebagai ibu bapa perlu ada bersama anak-anak untuk mendidik mereka mana yang boleh dilihat dan mana yang tidak.

Ini juga disentuh dalam KOM oleh SN. Iklan ditepi-tepi sebegini memang jahat. Sekali, dua boleh abaikan. Masuk kali ketiga, klik juga akhirnya. Semangat ingin tahu sebegini bukan terjadi hanya kepada kanak-kanak, lebih dahsyat lagi kepada orang dewasa dan tua. Kasihan jika anak-anak juga terlibat dengan gejala sebegini hasil sikap tidak 'cakna' kita kerana pada kita anak-anak masih kecil. Mereka tidak tahu apa-apa.

Selain itu, pada halaman 245 buku KOM, salah satu didikannya untuk anak-anaknya adalah ROLL CALL. Setiap malam anak-anak perlu berkumpul santai selama 5 minit untuk:
1. Laporan harian aktiviti anak
2. Laporan harian kesalahan anak (sendiri mengaku)
3. Pesanan & aspirasi ayah
4. Pesanan hormati ibu (ulang-ulang)
5. Pesanan taati bapa, Rasul & Allah

Saya juga tertarik dengan didikan awal yang mana sekali panggilan sahaja, anak-anak terus datang dan tidak bertangguh-tangguh. Ianya bukan mudah kerana jawapan yang kadangkala kita dapat, 'sekejap', 'nanti' dan sebagainya yang mana ianya memerlukan didikan awal (tarbiatul aulad) untuk melatih kepatuhan anak kepada arahan ibu bapa.

Saya percaya, ramai dikalangan ibu bapa hari ini semakin celik tentang keburukan tablet dan segala jenis gajet. Usahlah masih mengatakan ianya masih betul dengan pemantauan yang betul kerana setakat mana semua dalam kawalan kita. Hati yang berada dalam badan juga bukan mudah kita pegang dan kontrol.

Sekian, sebahagian daripada rumusan tarbiatul aulad yang saya dapat melalui buku KOM. Yang baik-baik kita ambil dan beramal selagi tidak langgar batas syara' dan cerita-cerita tidak seronok yang pernah kita terbaca dan sebagainya, kita juga tidak tahu sejauh mana soheh atau tidak, minta pada Allah untuk tetap dengan aqidah yang benar sehingga akhir hayat kita.