30.10.14

WANITA DALAM PANDANGAN LELAKI

Semester pertama dalam lingkungan 5-6 tahun adalah tempoh yang cukup untuk saya memahami prinsip zauji. Tahun-tahun awal perkahwinan, kami selalu atau lebih tepatnya terlalu banyak perbezaan pendapat. Dia dengan kefahaman dia dan saya pun tidak mahu kalah, tetap mahu tegakkan pendapat saya.

Pendek kata, SEMUA TIDAK BOLEH.

Perempuan ini walau di dalam kotak, kotak duduk dalam kotak lainnya pun, lelaki tetap tahu yang di dalamnya itu adalah wanita hatta sekalipun dia berkelubung.

Saya masih ingat lagi kata-kata zauji semasa kami bermusafir bertahun-tahun sudah. Dalam fikiran saya, mengapa dahsyat sangat cemburu suamiku. Sehinggakan pernah dia suarakan yang blog iman kami ditutup.

Berhenti muat naik gambar anak-anaknya. Banyak perkara boleh menjadi alat berdakwah. Biarkan orang lain yang lebih layak berdakwah melalui keluarga mereka. Kita bukan sesiapa dan tidak punya apa-apa.

Sama betul kata-kata zauji dengan kuliah Ustaz Basit.

Alhamdulillah setelah lebih 6 tahun usia bayt al-muslim kami, Allah bagi sedar melalui satu khutbah Ustaz Basit. Saya jadi malu sendiri ketika mendengar kuliah Jumaat beliau ketika itu. Panas terasa mukaku.

Orang alim seperti Ustaz Zulkifli Al-Bakri, Ustaz Basit dan perbandingan orang-orang yang faham agama begini kata zauji, ada tak keluarga mereka buat seperti apa yang saya buat hari ini. Zauji rasa rendah diri kerana kami bukan orang alim. Melebih-lebih pula saya dari orang-orang alim.

Takkan tidak rasa apa-apa sekiranya dipuji orang. Tipu kalau sedikit pun tiada dalam lintasan hati.

Orang lelaki sifatnya malas mahu berdebat. Akhir sekali kata zauji, saya perlu dengar banyak kuliah agama :D.

Memang benarlah. Semalam isu niqobis mendapat liputan hangat dari kalangan sahabat-sahabat niqobis saya. Memakai niqob hari ini umpama satu trend. Ada yang pakai niqob selapis tetapi ginju merah menyala di dalamnya. Saya khuatir ada golongan yang sengaja untuk memburukkan golongan niqobis yang memakai niqob kerana Allah dengan memperlekehkan melalui berniqob tetapi tabarruj.

Allahu! Akhir zaman ini terlalu banyak fitnah. Kita memang tidak mampu untuk menutup mulut semua orang daripada terus memfinah tetapi kita sebagai seorang muslim yang sama-sama mahukan darjat mukmin, perlulah mencari solusi dalam diri kita.

Zauji berpesan kepada saya sejak awal usia perkahwinan kami supaya tidak memuat sebarang gambar saya walau hanya dari belakang dan walau hanya menampakkan anggota-anggota badan tertentu kerana dia lelaki dan hanya lelaki akan faham lelaki. Mesej ini untuk renungan bersama betapa mengapa kita perlu sangat memelihara diri demi menjaga nafsu-nafsu lelaki lainnya.

Jazakillah kepada sahabat saya.

Antara status-status lelaki ini:

I always stalk my female fb frens. They love to upload their pictures. And I love to scan their face and bodies.

I dont care of what they wear, i dont care they are hijabis or niqobis. i dont care if they just upload pic of their back, or hand, or eyes on their side. I dont care if they take pic w frens or very small pic. Cz I see more than that.

U might think that i'm gila sex punye orang. But i cant see women bodies if they put pic of car, trees or stone. I am just a NORMAL  guy. There a lots of ur male frens r more extreme thn me. All guys see what i see. It is just u who fool.

Tutup aurat ke pakai sarung tgn ke, Kalau org upload gmbr, aku tgklh. Mana-mana perempuan yg upload gamba tu same. tkde tk penh aku teroke. ckp aku mcm2. kau yg bagi, lelaki mane nk tolak. kau ingat lelaki hitam dahi tu tkde nafsu?

Maafkan saya. Saya bukan sempurna dan tidak mungkin akan sempurna tetapi cita-cita saya untuk berjiran tetangga dengan anda semua di syurga sana. Saya sayang anda semua kerana Allah dan RasulNya. 

29.10.14

NIQOBIS, STOP SELFIE!

Tajuk sentap mak!

Sekali lagi, kuliah-kuliah Ustaz Dr Basit atau lebih dikenali melalui FB beliau Ustaz Dr Abu Anas Mandani berjaya mengetuk kepala apatah lagi hati saya ketika mendengar ceramahnya melalui VCD semasa musafir ke kampung zauji perihal mendedahkan kehidupan peribadi secara keterlaluan. Sedikit sedikit ambil gambar dan masuk ke laman sosial.

Untuk apa semua itu? Mahu tunjuk siapa? Suami isteri berpelukan. Hampir semua sudut dalam rumah mahu ditayangnya. Kita ini ada apa? Apa sangat yang kita ada?

KITA TIADA APA! TIADA APA!

Sebenarnya, kita perlu fahami, apabila golongan agamawan yang mempelopori suasana ini, golongan awam seperti saya akan fikirkan semuanya boleh dan tidak mengapa.

INSAF!

Pandangan masyarakat kepada wanita yang berniqob adalah tinggi dan mereka berfahaman mereka -niqobis- sangat tahu semua perihal agama walaupun tidak semua kerana niqobis juga adalah wanita biasa yang punya keinginan yang sama, sama seperti manusia lain juga.

Cuma, pada pendapat saya, mereka yang mengambil keputusan untuk berniqab perlu memikirkan banyak benda supaya ianya tidak menjadi fitnah kepada agama sendiri. Niqoblah muka tetapi mereka perlu betul-betul, benar-benar niqob hati. Faham tujuan sebenar berniqob. Berniqob dengan ilmu dan bukan ikut-ikutan sehingga ianya boleh menimbulkan fitnah kepada niqobis yang lain.

Menarik juga untuk saya kongsikan sebuah cerpen tulisan Inche Gabbana yang bertajuk PURDAH, khas untuk niqobis. Bacalah dan fahamilah. Wanita ini cantik kerana malunya, bukan kerana niqobnya.

******************************************************************


"Kau tahu tak Yah, tadi si Suri dok jeling-jeling aku lagi. Lepas tu tersengih-sengih macam dubuk busuk. Eeerrgghh geram betul akuuu!"

Basirah membebel-bebel sambil menanggalkan purdahnya, menampakkan wajahnya yang ayu di sebalik purdah itu.

Basirah bukanlah seorang yang lawa, cun meletup, yang jika lelaki terpandang wajahnya, akan tak berkedip mata dan mahu melihatnya berkali-kali sentiasa. Tetapi cukup ayu untuk membuatkan sesiapa sahaja yang menatapnya berasa senang.

Kulit wajahnya mulus. Hidungnya tidak mancung, tetapi kecil dan comel. Bulu matanya melentik; aset terbesar pada wajahnya. Selain itu, yang lain-lain adalah biasa-biasa sahaja. 

Sumayyah hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia mai daaahh...

"Aku tak faham la spesis macam Suri tu. Apa masalahnya aku nak pakai purdah? Sekurang-kurangnya aku tutup aurat, dan cuba yang terbaik untuk jaga kehormatan aku! Dia tu..?? Dah la rambut menggerbang macam pontianak! Pakai baju asek nak ketat je memanjang. Kalau badan lawa macam model takpelah jugak! Ini tak, macam... Ish, buat dosa kering je aku ni!"

"Dah la tu Yong. Apa sangatlah yang nak marah tu."

Sumayyah dan Basirah adalah rakan sebilik sejak enam bulan yang lalu. Mereka sama-sama mengambil jurusan ekonomi dan pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Sewaktu mula-mula mendapat tawaran penempatan di dalam kampus, gelisah juga Sumayyah dibuatnya. Takut-takut dia tak boleh nak 'masuk' dengan rakan sebiliknya nanti.

Namun dia lega apabila pertama kali melihat Basirah; bertudung labuh dan berpurdah. Tidak disangkanya nasibnya akan sebertuah itu, mendapat teman sebilik yang jauh lebih baik dari dirinya. Dia sendiri masih lagi mahu berjinak-jinak mahu memakai tudung labuh.

Maka dia sangat respek pada perempuan seperti Basirah. Kagum. Baginya, ia memerlukan keberanian yang cukup besar untuk memakai purdah. Sumayyah sendiri pernah berangan untuk memakainya suatu hari nanti, tetapi tidaklah dalam masa yang terdekat ini. 

Namun kini dia tidak berapa pasti lagi, sama ada sebilik dengan Basirah adalah suatu kurniaan atau cubaan. Suatu nikmat dariNya atau bala bencana!

"Mahunya tak marah?! Suri tu sengaja nak cari gaduh dengan aku! Daripada dulu dia tak puas hati dengan aku! Aku rasa dia marah dekat aku sebab di Faisal tu minat kat aku! Ha, mesti sebab tu! 

Eleh dia boleh amiklah Faisal tu! Ramai lagi laki kat luar sana yang tergila-gilakan aku! Sekali aku kenyit mata, hah, berpuluh, beratus lelaki datang menyembah aku tahu tak??"

Astaghfirullah. 

Sumayyah memejamkan matanya. Dadanya terasa sedikit sesak. Sebak. Dia mengetapkan bibirnya, mengumpul kekuatan sebelum berkata-kata. 

"Yong, apa ni? Sudah-sudahlah tu. Bawakkan beristighfar. Kalau ye pon kau marah sangat kat Suri tu, jagalah kata-kata kau tu. Tak perlulah nak hamburkan semuanya. Ya rabbi..."

Basirah menjeling tajam. 

"Itulah kau. Sikit-sikit istighfar. Sikit-sikit istighfar. Tak sapot aku langsung!" 

Basirah mencebik. Dia menanggalkan tudungnya dan menyidainya pada penyidai aluminium yang diletakkan di tepi meja belajarnya. Dia kemudian menghempaskan badannya pada katil. Wajahnya masih macam mencuka. 

Sumayyah memerhatikan keletah Basirah buat seketika, sebelum menyambung kerja-kerjanya. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya. 

Lama mereka menyepi, masing-masing dengan kerja sendiri. Sumayyah sibuk mahu menyiapkan esainmennya yang perlu dihantar esok. Basirah pula sejak dari tadi asyik menggaru telefon pintarnya.

Tidak semena-mena suasana kembali menjadi hingar. 

"Eyyyy Yah aku tengok nii! Gambar aku dapat seratus lebih like kat Insta ni! 

Sumayyah sempat memandang siling sebelum beralih pandangannya kepada Basirah. Sepertinya ada Tuhan di siling itu untuk menjawab doanya.

Mungkin ada sedikit rasa bersalah pada Basirah, Sumayyah melayan sahaja karenah rakannya itu. 

"Gambar yang mana?"

"Ni gambar yang aku pakai tudung kaler velvet, matching dengan purdah tu. Yang aku tulis quote, 

'Diriku berserah pada Ilahi,
Menanti hari berganti hari,
Menunggu sesiapa yang sudi,
Diriku melengkapkan rusuk kiri.'

Tengoklah ni!"

Hampir-hampir Sumayyah mahu tersembur ketawa. Bersungguh dia menahannya. Hampir mengalir air mata dibuatnya. 

Diambilnya telefon Lenovi milik Basirah dan dipandangnya skrin telefon itu sekilas lalu. 

"Baguslah."

Tidak perasan dengan ketidakpedulian Sumayyah agaknya, Basirah mengambil semula telefonnya dengan wajah yang penuh bercahaya dan keterujaan. 

"Kau tengok ni! Faisal pon like jugak gambar aku ni! Ahahaha padan muka si Suri tu! Perempuan tak tahu malu!" 

"Yong, aku nak tanya sikit boleh tak. Tapi kau jangan marah pulak."

"Hmmm..?" 

Sumayyah merenung tepat wajah Basirah. Basirah masih lagi tersengih-sengih memerhatikan skrin telefonnya, macam budak kecik yang baharu dapat lolipop. 

"Yong."

Mendengarkan keseriusan pada nada Sumayyah, Basirah akhirnya memberikan Sumayyah perhatian seperti yang dipinta.

"Apa dia?"

"Aku dah lama nak tanya kau ni. Tapi aku takut kau kecik hati."

"Alah kau ni. Macam la kau tak kenal aku. Aku kan happy-go-lucky? Takde masalah aku nak kecik-kecik hati ni!"

Sekali lagi Sumayyah terasa seperti mahu gelak besar. Tetapi dia hanya mengembangkan sedikit hidungnya.

Sebab aku kenal kau lah Basirah oii...

"Ok. Hmm. Sebab apa kau pakai purdah eh sebenarnya?"

Kening Basirah terangkat sebelah, tanda dia terkejut dengan soalan Sumayyah. Dia membetukan duduknya.

"Mestilah sebab nak jaga aurat! Nak jaga kehormatan aku sebagai perempuan Islam! Haihh kau ni, takkan tu pon tak tahu?" 

"Betul ke kau pakai purdah untuk jaga kehormatan?"

Terbeliak mata Basirah mendengarnya. 

"Kau ni dah kenapa? Nak cari gaduh ke apa? Elok-elok mood aku dah nak ok, kau pulak nak cari pasal dengan aku en?"

Sumayyah tersengih. Menyesal pula dia bertanyakan soalan itu kepada Basirah. Namun nasi sudah menjadi bubur. Alang-alang tu, nikmati sahajalah bubur itu dengan lauk-pauk yang ada!

"Bukan apa Yong. Masuk bulan ni, dah nak dekat 6 bulan aku kenal kau. Setengah tahun. Bukan sekejap tu. Tapi semenjak aku kenal kau, kau hampir-hampir ubah persepsi aku pasal orang yang berpurdah ni."

Sekali lagi Basirah membetulkan duduknya. Kali ini dia duduk tegak. Hampir sepenuh perhatiannya kini diberikan kepada Sumayyah.

"Err.. Kenapa pulak?"

"Aku respek tau kat orang macam kau ni, yang pakai purdah ni. Sebab bagi aku, kau orang berani. Bukan semua orang yang berani macam kau orang. Ye lah, walaupon pakai purdah tu tak wajib, tapi aku sendiri memang pernah terasa nak pakai purdah. Sebab pada aku, ia lambang emansipasi wanita. Kebebasan! Bukan calang-calang orang yang mampu untuk berpurdah!"

Hidung Basirah sedikit kembang. Bangga. 

"Tapi... Lepas kenal kau, entahlah. Hari-hari dengan kau, yang aku dengar caci dan maki. Caci dan maki. Gossip sana, gossip sini. Lepas tu asyik berselfie, nak tunjuk satu dunia yang kau tu berpurdah. Kau tu berpurdah, sebab Allah atau makhluk Allah? 

Kalau kita beramal untuk dilihat manusia, apa lagi yang tinggal untuk dilihat olehNya..?"

Tersentap Basirah dibuatnya. Kalau ketika itu Basirah boleh menghapdet status MukaBuku atau Instagramnya, sudah pasti "Sentap kau maaakk!" yang akan ditulisnya. 

"Kau kata kau pakai purdah untuk jaga kehormatan. Tapi apa definisi kehormatan bagi kau? Kehormatan tu jauh lebih besar dari sekadar menutup anggota badan yang telah disyariatkan. Kehormatan tu akhlak. Kehormatan tu integriti. Kehormatan tu adab! Dan sorry to say Yong, semua tu aku tak nampak pada kau."

Merah padam muka Basirah. Dia mahu memprotes, tapi Sumayyah pantas mencelah.

"Aku rasa, orang macam kau ni lah yang selalu buat orang salah faham pasal perempuan yang bertudung, pasal Islam in a bigger context. Aku selalu dengar orang kata, 'Eleh buat apa bertudung bagai kalau perangai macam jin sungai!' Sebab apa? 

Sebab orang macam kita ni gagal jadi duta Islam dengan baik. Orang macam kita ni tak pakejkan sekali akhlak dengan tudung yang kita pakai. Alih-alih keluar statement, 'Alah, daripada pakai tudung tapi asek nak mengata orang, mencaci dan mengeji, lebih baik tak pakai tudung tapi jaga mulut dan hati! Lagi bagus!' Alahai sedihnya."

Wajah Basirah berubah. Kurang tegangnya. Ada bibit-bibit keinsafan pada raut mukanya.

"Kau jangan salah faham Yong. Aku bukan tak suka kau pakai purdah. Aku suka malah aku galakkan kau terus pakai. Sebab aku sayang kau lah aku cakap benda ni.

Tapi sebelum kau nak pakai purdah untuk tutup muka, aku rasa baik kau pakai purdah pada hati dan jiwa, untuk protect dari sebarang bisikan syaitan dan kejahatan. Kalau kau pakai purdah demi sebuah kehormatan, lebih baik kau bersihkan dulu hati dan jiwa kau demi sebuah ketaqwaan!"

Mengalir air mata Basirah. Dadanya berombak.

"Kau... Kau dah abes?"

Sumayyah sedikit jengkel dengan soalan Basirah itu. 

Dia ni dengar tak apa yang aku cakap tadi..?

"Dah."

"To...Tolong bagi aku...purdah aku tu."

Tersekat-sekat suara Basirah dalam sedunya.

"Nak buat apa?"

"Nak buat lap air mata."


*******************************************************************

Sekiranya saya seorang niqobis, setelah membaca cerpen ini, saya akan padam semua gambar saya lebih-lebih lagi sedang berselfie. Malu! Kembali kepada niat mengapa kita berniqob? Adakah setelah menutup keseluruhan tubuh dan hanya menampakkan mata sahaja, yang haram semuanya telah kembali halal? Mahu tunjukkan apakah?

Wanita soleheh itu cantik kerana tinggi malunya.

28.10.14

MENANTU loves MERTUA

Dua hari lepas, saya belajar satu perkara baru tetapi telah lama 'dinyanyikan' oleh zauji, iaitu, kemahiran berfikir aras tinggi atau bahasa pendidikannya hari ini ialah KBAT!

Apakah KBAT?

Definisi ringkas yang paling mudah difahami ialah berkifir untuk menyelesaikan masalah. Selama ini kita -termasuk saya- selalu menyalahkan itu dan ini tetapi tahap berfikir yang paling tinggi ialah cara atau kaedah untuk menyelesaikan masalah yang selalu kita salahkan itu. 

Berbalik kepada tajuk entry hari ini, ramai sahabat-sahabat mengadu kepada tentang mertua yang tidak suka kepada mereka dan baru-baru ini, saya ke sebuh kedai dan jurujual merangkap pemilik kedai tersebut dengan mudahnya mengalirkan air matanya untuk menggambarkan betapa serabutnya fikiran beliau ketika itu. Masalah yang sama. Masalah rumahtangga yang melibatkan mertuanya dan tentu sekali suaminya.

Alhamdulillah Allah kurniakan mertua yang baik buat saya. Mertua saya walaupun bukan berpendidikan tinggi, tetapi sangat rajin duduk dalam majlis-majlis ilmu di masjid berdekatan rumah. Jadi, walaupun beliau bukan seorang terdidik lagi terpelajar, tetapi asas agama yang baik menjadikan manusia ini lain. Manusia yang beramal dengan kefahaman agama sememangnya istimewa. InshaAllah saya teringin mengulas isu antara faham dan amal.

Pada pendapat saya, 5 tahun pertama adalah semester pertama kita taaruf (suai kenal) sesama ahli keluarga baharu kita sebagaimana tempoh masa dan ruang perkenalan antara kita dan suami. Kita cuba faham setiap daripada mereka dan kita cuba fahami situasi mereka. Adatlah dalam tempoh ini kita berhabis setempayan air mata, hati remuk bagai dicincang dan bercantum kembali serta sebagainya bergantung kepada cara kita berfikir.

Kebanyakkan sahabat saya yang punya masalah dengan mertua mereka adalah berpunca daripada sifat mertua yang TAMAK dan pastinya kerana WANG! Mereka -ibu mertua- merasakan yang mereka telah penat membesarkan dan sepatutnya semua wang anak lelakinya adalah untuk membalas budi penat lelah mereka membesarkan dan memberi pendidikan sewajarnya.

Belum lagi cerita, mertua sihir menantu dan anaknya. Menantu bekerja ditatang bagai minyak yang penuh. Menantu yang tidak berkerja menghabiskan duit anaknya sahaja. Dikriminasi dan pelbagai versi tomahan yang semuanya mempunyai pokok cerita yang sama. 

Baiklah. Isunya memang mertua kita yang salah. Di pihak kita, berhenti untuk menyalahkan mereka.

Saya pernah berbual dengan jiran dunia dan syurga saya di tempat kerja. Kami -saya dan rakan-rakan- jarang boleh duduk berbual sesama kami kerana setiap minggu kami mempunyai 31 masa ke atas untuk dipenuhkan. Jadi, masa-masa bertemu ini kadangkala kami sempat bualkan banyak isu antaranya kes mertua dan menantu yang tidak sekufu. Tajuk bebas, asalkan bukan mengumpat.

Suka saya kongsikan mutiara kata dari FB Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman untuk muhasabah diri dari semasa ke semasa supaya hari ini dan mendatang lebih baik dari semalam.

Seorang yang jiwanya penuh ingin kecantikan, pasti mudah kagum dengan orang cantik.

Seorang yang cintakan Rasulullah pasti berlumba walau sukar, untuk pelajari dan contohi akhlak & amalan baginda. Tidak caci maki.

Seorang yang jiwanya cinta ilmu, mudah mesra dan kagum dengan org berilmu.

Seorang yang jiwanya hasad dan dendam, sentiasa melihat manusia dengan dendam serta hasad & suka ber'team' dengan penghasad.

Seorang yang jiwanya penuh sangka buruk, keladak lagi busuk, sentiasa suka bersangka buruk sehingga & suka ber'team' dengan ahli keladak.

Seorang yang jiwanya suka maki hamun, sentiasa suka dan puas membaca dan mempelopori makin dan hamunan.

Lalat pasti akan ke najis..jangan kita ikut rentak lalat, nanti bernajis jua.

Semoga kita adalah jiwa-jiwa yang tenang yang hidup untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati inshaAllah. Berbalik kepada tajuk, bak kata zauji, kita tidak akan mampu mengubah seseorang untuk menjadi apa yang kita inginkan dan solusinya ialah kitalah yang perlu merubah cara dan corak kita berfikir untuk mengatasi masalah atau kepincangan yang ada.

Nasihat saya buat sahabat-sahabat saya yang saya yakin rata-rata diluar sana juga mempunyai permasalahan yang sama supaya jangan balas dan cuba, cuba dan CUBALAH pandang mertua kita dari sudut yang positif, dari sisi mereka yang lain seperti:

1. Berapa lama sangat masa mereka tinggal untuk hidup. Maka, maafkanlah mereka.
2. Letakkan diri kita di tempat kesusahan mereka ketika mereka membesarkan anak-anak mereka. Mereka bergadai, berhutang, demi sebuah kehidupan untuk anak-anak mereka. Maka, fahami dan selami perasaan penat letih mereka menyemai benih yang baik tetapi kitalah pula yang menuai hasilnya. Fahami dan hargailah perasaan mereka ini. Kesusahan dahulu menjadi asbab mereka berfikiran seperti sekarang dan kita pula perlu sedar yang Allah sedang tarbiyyah kita dengan baik melalui situasi ini supaya perkara yang sama tidak berulang.

3. Raikan mereka dan adik-beradik ipar dengan hadiah lebih-lebih lagi wang. Percayalah yang Allah akan membalas lebih lagi atas kesabaran dan rasa ikhlas kita.
4. Sihir atau apa sahaja yang sama bentuknya HANYA akan terjadi dengan izin Allah. Usahlah memikirkannya sehingga terbit di hati yang sedikit sakit, orang yang buat kita, kerana syaitan sangat suka akan hal ini. Laknatullah ini amat gemar memecah belahkan manusia sehingga bergaduh dan mereka tidak akan puas sehingga kita mati.
5. Ubah hati dan sentiasa hidupkan dengan zikir, majlis ilmu untuk mendapatkan REDHA atas segala ketentuan Allah. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan dan kata-kata yang terpandu kepada kebaikkan inshaAllah.

InshaAllah jadikan semua yang berlaku antara kita dan mertua sebagai pelajaran yang paling baik untuk kehidupan sebagai mertua apabila sampai masanya kelak. InshaAllah Allah memberi pelajaran kepada kita yang suatu hari, kita juga adalah ibu kepada anak-anak lelaki. Usah membuatkan anak-anak lelaki kita tersepit antara isteri mereka dan kita, ibunya.

Sekali anak-anak lelaki kita melangkah keluar untuk mengembara ilmu bermakna kita telah MEWAQAFKAN mereka buat ummah! Usah ditunggu kepulangan mereka. Lepaskan. Lepaskan. Lepaskan! Sehingga mereka mampu berdikari dan punya keluarga sendiri kerana kita pernah menjadi isteri dan menantu kepada mertua kita yang dahulu. Sejarah lama jangan diulang. Jadilah mertua yang disayangi dan dihormati menantu-menantu kita kerana akhlak mulia sebagai mertua mereka.

Buat ibu mertuaku yang dicintai kerana Allah dan RasulNya,
Sungguh, Allah kurniakan apa sahaja buat kita, bukanlah sia-sia!

26.10.14

BESAN SEFIKRAH

Sekali seumur hidup.

Asbab ayat ini, ramai anak-anak muda sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mencapai darkat 'raja dan ratu' sehari. Idamkan cantik dan kacak ala-ala puteri dan putera raja golongan bangsawan sehingga sanggup berhabis puluhan malah ratusan ribu ringgit.

Harga hantaran perkahwinan sekarang mashaAllah. Sekiranya saya seorang lelaki juga saya boleh pitam. Bak kata Ustaz Azhar, goreng ikan pun hangit, tumit kaki pecah, minta hantaran berpuluh ribu. Semoga Allah melindungi para ulama' kita di hujung usia dunia ini.

Alhamdulillah, Allah beri sedikit kesedaran dan kematangan kepada zauji dalam urusan walimah kami lebih 6 tahun sudah. Tiada sebarang pinjaman peribadi dan hasil simpanan berhemahnya dari gaji permulaan dan Alhamdulillah mak abah juga tidak meletakkan sebarang harga. Ikut semampu suamiku.

Kesedaran fenomena belanja kahwin yang sangat membebankan, kami berhasrat supaya anak-anak kami tidak akan terbelenggu dek hutang piutang yang terikat. Saya tolong sayangkan wang para bakal pengantin yang mengalir terlalu banyak semata-mata untuk satu hari itu sahaja kerana kita bukan orang berada, golongan bangsawan, anak raja yang wang bukan menjadi masalah.

Satu hari bahagia, 20 tahun menderita.

Alangkah eloknya sekiranya pengantin dan keluarga mempelai memandang sedikit ke hadapan yang anak-anak akan terbeban dengan hutang perkahwinan dengan keadaan mereka baru hendak memulakan hidup yang memerlukan pelbagai perbelanjaan sebagai asas rukun untuk hidup. 50K yang dibelanjakan boleh sahaja dikembangkan untuk permulaan perniagaan selepas berkahwin.

Bertitik tolak dengan fenomena hari ini, kami suami isteri telah memulakan tabungan bulanan buat anak-anak dengan harapan apabila mereka dewasa, anak-anak kami tidak perlu berhutang itu dan ini. Biarlah mereka hidup bahagia tanpa hutang keliling pinggang seperti mana kita hari ini.

Kini saya mengerti mengapa murabbi saya tidak beli rumah, tiada kereta, kerana mereka sangat faham yang dunia hanya untuk mereka menjalankan tugas mengapa manusia diciptakan. Mereka terlalu faham yang dunia hanya tempat persinggahan untuk kehidupan yang kekal.

Rupanya, kami silap. Masih ada manusia yang berfikiran luar biasa! Berkahwin dengan cara paling barakah dengan syarat kita punya orang tua yang sangat faham agama dan tuntutan insaniah. MashaAllah tanpa hantaran, tanpa jurugambar, tanpa kos sampingan, majlis akad nikah selesai dengan hanya bermaskahwinkan seset kitab. Subhanallah!


Anak-anak masing-masing baru berusia 4 tahun dan 2 tahun, mak anak-anak sudah fikirkan bakal-bakal besan :D. Doa saya moga anak-anak saya dan bakal-bakal menantu saya dikurniakan perkahwinan yang paling barakah disisi Allah, hidup bahagia tanpa hutang sampai jannah inshaAllah!

25.10.14

IMPIAN HIJRAH 1436

Di tempat kerja, saya berjiran dengan sahabat seusia saya yang juga seorang pengedar vitamin tambahan terkenal dan selalu juga kami berbual berkenaan aura positif perniagaan dan impian serta terpenting keyakinan yang rezeki adalah hanya dan semata-mata daripada Allah. 

Alhamdulillah saya bersyukur, Allah pertemukan sahabat-sahabat yang baik di tempat-tempat kerja. Saya tidak pernah mendengar mereka bercakap berkenaan rakan-rakan lain malah sangat positif. Suka saya kongsikan tazkirah ringkas di FB Dr Abu Anad Mandani berkenaan 'Angkara Lidah!'

Berkata pula Imam Ibnu al-Qayyim rhm:
Pada hari Kiamat, terdapat seorang hamba yang datang dengan membawa amalan kebaikan sebesar gunung; tetapi malangnya, didapati (kejahatan) lidahnya telah menghapuskan semua itu darinya.
Ad-Da'u wa ad-Dawa', ms 375.
*Oleh itu jauhilah mengumpat dan ghibah serta mengungkit pemberian dan anugerah.

Antara yang terkesan di hati saya, jiran di tempat kerja dan mudah-mudahan jiran tetangga juga di syurga, sebaik menunaikan solat dhuha, rezeki terus melimpah. Selepas membaca surah Al-Waqiah (sesetangah orang memanggil surah orang kaya), terus sahaja 2K masuk dengan senang hatinya. Betapa hanya Allah Pemberi rezeki dan bukannya manusia. Resepi kejayaan, murah rezeki hanya kembali menjadi hamba yang taat.

Menarik juga untuk dikongsikan isi-isi perbualan kami, antaranya tampal apa yang kita impikan dan inshaAllah Allah akan tunaikan impian kita kerana inshaAllah setiap hari kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Sebenarnya banyak perkara yang boleh kita bualkan untuk manfaat bersama untuk terus maju. Tidak perlu bercakap itu dan ini berkenaan orang lain. Mahu naik, tidak perlu menjatuhkan orang lain.

Impian dan azam saya setiap tahun sentiasa berubah-ubah mengikut peristiwa semasa yang Allah tetapkan. Penubuhan TTM juga bukan antara koleksi azam tahunan saya. TTM langsung tiada dalam perancangan tetapi perancangan Allah untuk penubuhan TTM inshaAllah saya pasti adalah terbaik untuk agamaNya inshaAllah. 

Bermula dengan TTM ini, saya mula berangan-angan. Alangkah seronoknya, andai Tentera Tentera al-Malik ini punya kesinambungan sekolah rendah sebelum mereka terbang mengembara bertalaqqi (baca: berguru) dengan tuan-tuan guru muktabar.

Ibu ayah yang boleh mendidik anak-anak mereka dengan mengorbankan kerjaya mereka mashaAllah mereka memang sangat dahsyat. Pengorbanan bukan sedikit. Sunnatullah generasi awwal kebiasaannya, anak-anak akan dihantar ke tuan-tuan guru alim sebagai contoh mak imam syafie yang berusaha mendapatkan pendidikan yang sebaiknya buat anaknya. 

Sama seperti kita. InshaAllah bukan untuk anak-anak saya malah anak-anak saya yang diluar sana. Takdir setiap dari kita berbeza. Ada yang Allah fahamkan dahulu tentang apa sebenarnya tujuan kehidupan kita tetapi masih terlalu ramai ibu ayah yang belum tahu mengapakah Allah menjadikan kita sebagai hamba (51:56) dan khalifah (2:30) di muka bumiNya ini. 

Saya lebih seronok anak-anak lelaki saya memahirkan diri untuk sunnah-sunnah Ar-Rasul ketika kecil seperti mengembala kambing dan berniaga. Dalam sirah ulung Baginda SAW mengikut bapa saudara Baginda berdagang ke Syam. Antara akhlak dalam berniaga yang menjadi sebahagian sunnah Baginda ialah kita diajar untuk merendah diri. Pendidikan akhlak.

Pernah atau tidak kita berasa bangga dengan apa yang Allah izinkan kita miliki hari ini. Kita bangga mendapat pekerjaan tetap. Kita bangga berkereta besar dan punya rumah mewah. Kita bangga anak-anak kita cemerlang UPSR, PMR, SPM, serta menjawat jawatan bergaji lumayan sehinggakan kita memandang orang sekeliling kita yang tidak setaraf dengan apa yang kita miliki. Kita memandang semua orang kecil dan kerdil. Cara bercakap dan gaya bahasa badan pun mengujakan.

InshaAllah melalui perniagaan Allah ajarkan kita untuk berakhlak. Sifat ego dan tinggi diri inilah yang Allah sediakan untuk kita koreksi dan muhasabah diri untuk direndahkan. Saya pernah bualkan dengan jiran di dunia dan syurga saya di tempat kerja. Sahabat saya mengiyakan. Belum lagi perihal pelanggan yang pelbagai ragam. Kadang barang yang dipos tidak sampai atau lambat sampai, kita dipersalahkan. Begitulah hikmah yang Allah sediakan bagi insan-insan yang mengambil pengajaran.

Fenomena hari ini umpama sejarah akan berulang. Hari ini dunia perniagaan bukan lagi dipelopori bangsa cina malah orang melayu yang sangat signifikan dengan ‘orang kerajaan’ juga mula dan semakin maju dalam perniagaan. Dahulu terlalu sukar untuk dengar sukan-sukan sunnah seperti memanah, berkuda dan berenang tetapi hari ini sukan-sukan sunnah ini semakin popular. Malah, sekarang ramai wanita-wanita yang berhenti kerja dan kerjaya mereka kembali ke rumah.

Melalui kumpulan Whatsup Homeschool is Rock!, saya belajar yang kemahiran perlu diajar satu per satu sehingga anak-anak menguasai satu-satu kemahiran dengan baik. InshaAllah untuk permulaan, TTM fokus kepada sukan sunnah berenang terlebih dahulu dengan matlamat, tentera-tentera Al-Malik ini mampu menguasai sekurang-kurangnya satu gaya renang.

Kemudian, saya berangan yang anak-anak huffaz ini akan belajar kemahiran memanah dan berkuda di sekolah rendah, kesinambungan dari TTM selain belajar mengembala kambing, menternak dan bertani. Di sana-sana anak-anak diajar untuk menghafal Al-Quran dari tuan-tuan guru dari pasentran Indonesia.

Sekolan rendah TTM juga memerlukan kawasan lapang untuk anak-anak ini riadah. Selepas menguasai sunnah berenang, kita beralih pula kepada kemahiran menunggang kuda dan memanah. Impian saya, mudah-mudahan TTM punya beberapa ekor kuda dalam jangka masa 3 tahun mendatang disamping tanah lapang untuk mereka mengamalkan sukan-sukan sunnah seperti berkuda, memenah dan juga sunnah-sunah kehidupan seperti mengembala kambing dan berniaga.

Kuda yang menjadi subjek untuk matlamat TTM seterusnya ;).
Gambar ehsan dari admin Homeschool is Rock!

Pendek kata, anak-anak ini sekiranya di campak di belukar, tanah yang tandus sekalipun, berupaya menjadi sebuah pulau yang cantik. Boleh hidup dan menghidupkan jiwa-jiwa orang lain inshaAllah.

MashaAllah alangkah indahnya sekolah rendah kesinambungan TTM ini punya jaringan yang baik dengan pasentran Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa arab. Saya sangat sukakan kaedah menghafaz anak-anak Indonesia yang lahir dari program realiti TV Indonesia melalui program Hafidz Indonesia Cinta Al-Quran. Subahnallah, para huffaz yang sangat kualiti hafalannya.

Setelah anak-anak TTM berusia 15 tahun dan target Al-Quran juga sudah mumtaz hafalannya, anak-anak ini diterbangkan pula ke pasentran tok-tok guru Indonesia beliau yang mengajar Al-Quran disini untuk belajar kitab-kitab muktabar lainnya. Jaringan Al-Quran antara Malaysia dan Indonesia.

Selepas Tentera Tentera al-Malik ini mengusai Al-Quran dan sunnah-sunnah Baginda SAW, inshaAllah mereka jugalah akan bertebaran ke seluruh pelosok dunia untuk menyambung penyebar risalah Ar-Rasul sebagai doktor Tibbun Nabawi, sebagai sheikh-sheikh mengajar Al-Quran, apa sahaja selagi mana mereka terdidik dalam suasana dakwah dan tarbiyyah. MashaAllah umpama Al-Quran merayap ke seluruh dunia!

Saya juga berdoa agar Allah menyibukkan dan matikan kami dalam keadaan kami sibuk dengan urusan-urusan menegakkan kalimah Allah. Dunia memang tempat berkerja keras, kerana syurga adalah tempat istirehat yang panjang. Wahai bonda ayahanda yang dicintai kerana Allah dan Ar-Rasul, izinkan anakanda untuk fokus menghafal dan mengamalkan Al-Quran sebaiknya T__T.

Sekian, impian 1 Muharram 1436H. Doakan kami agar generasi Al-Quran di selatan sini berkembang mekar menyinari alam. Salam maal hijrah 1436.

Lagi buku-buku sebagai idea pendidikan kewangan TTM.

22.10.14

KAIN DI DALAM

Ada beberapa siri ceramah VCD Ustaz Dr Abu Anas Mandani yang dibeli zauji. Allahu! Banyak sangat saya terlepas disini. Betapa terasa begitu tidak lengkap rukun hidup sebagai seorang manusia yang bukan sahaja punya tanggungjawab kepada diri malah kepada ummah keseluruhannya. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah, sedang dan akan datang.

Kubur masing-masing.

Antara dialog terkenal orang-orang yang tidak mampu menerima teguran. Mungkin orang seperti ini yang akan menguruskan jenazahnya sendiri. Memandikan, memakaikan kain kafan, solatkan dan tanam diri sendiri di dalam perut tanah nanti.

Tidak dan sama sekali tidak.

Kita hidup sehinggakan mati malah di padang mahsyar sekalipun, kita memang tidak terlepas dari tanggungjawab sesama insan. Tanggungjawab kepada Allah dan Ar-Rasul. Melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Tanggungjawab kita kepada masyarakat. Tanggungjawab isteri kepada suami dan anak-anak dan paling berat tanggungjawab pemimpin kepada yang dipimpinnya. Skop lebih kecil suami kepada isterinya.

Pada pendapat saya, seorang lelaki memerlukan asas agama yang kukuh seperti sifat cemburu yang menepati syariat. Contohnya, cemburu melihat isteri kita senda gurau gelak ketawa dengan lelaki ajnabi. Cemburu melihat isteri bersolek berlebihan ke tempat kerja. Cemburukan isteri berpakaian tetapi seolah-olah telanjang.

Telanjang?

Wahai para suami yang diredhai Allah, lihatlah pakaian-pakaian yang dipakai para isterimu. Pastikan isteri anda, berbaju kurung hatta berjubah sekalipun bersama KAIN DI DALAM. Kasihanilah lelaki-lelaki yang tipis iman mereka lagi jahiliyyah.

Tanggungjawab kita sangat luas. Bukan untuk diri kita sendiri. Berapa ramai yang melihat kelibat dan bayang-bayang kaki-kaki isteri anda. Suami adalah pakaian isteri. Begitu juga sebaliknya. Saling peliharalah pakaian-pakaian kita di dunia untuk mencapai redha Allah sampai syurga.

15.10.14

BAGAI MENYAMBUT MALAIKAT TURUN DARI LANGIT

Usia hampir 5 tahun bertugas dalam bidang ini sebagai kuli dan suara kecil yang tidak didengari, saya belajar terlalu banyak. Saya jumpa kepelbagaian spesis manusia yang mashaAllah, Allah hidangkan sesuatu yang bermanfaat buat proses muhasabah diri dari semasa ke semasa.

Suka saya kongsikan tentang peribadi pemimpin yang disukai orang bawahan yang menjadi inspirasi kepada saya hasil bacaan dengan beberapa buku dan mendengar ceramah-ceramah berkaitan.

Memetik kata-kata Robert T. Kiyosaki, satu perkataan yang meraikan pekerja-pekerjanya yang mana kelulusan akademiknya lebih tinggi dari orang kaya ini adalah HORMAT. Bukan semua pemimpin boleh tunduk hormat dan masuk ke dalam kasut orang lain bak kata pepatah orang putih 'PUTTING YOURSELF IN OTHER'S SHOES'.

Ramai pemimpin suka memberi arahan itu dan ini dan mengharapkan semua pekerja ikut arahan mereka tetapi berapa pemimpin yang boleh turun setiap kali arahan yang dibuatnya sendiri? Raikan arahan sendiri, dengan datang bersama-sama pekerja bawahan dan bukan hanya tahu keluarkan arahan.

Memetik kata-kata Dr. Maszlee dalam buku tulisannya yang saya lupa, pemimpin yang turun padang adalah pemimpin yang cukup disenangi dan dihormati. Saya pernah dipimpin oleh ketua-ketua yang bagus. Pernah suatu hari saya datang, langsir perpustakaan sudah siap terpasang. Rupanya bos datang pada waktu petang senyap-senyap bersama isterinya dan pasangkan langsir. MashaAllah! Tidak perlukan ambil gambar dan dokumentasi untuk hebahan. Pemimpin sebegini begitu dekat di hati pekerja.

Pernah juga saya dipimpin oleh ketua yang setiap pagi lipat lengan baju dan seluar, bancuh simen dan buat kolam ikan, mencantikkan taman herba dan saya cukup merindukan ketua-ketua saya yang berjiwa rakyat jelata ini. Semoga Allah memberkati mereka sampai ke syurga kerana sentiasa menyenangkan hati-hati pekerjanya.

Antara korupsi yang paling saya tidak tahan adalah menyambut orang yang lebih tinggi bagai menyambut malaikat turun dari langit. Semuanya perlu dicantikkan. Semuanya perlu diubah semata-mata ada orang atasan mahu datang. Astagfirullah BAGAI MENYAMBUT MALAIKAT TURUN DARI LANGIT.

Sekali lagi, saya juga pernah dipimpin oleh ketua yang mashaAllah langsung tidak kisah siapa pun mahu datang. Kata bos, biarlah mereka datang. Biarlah dengan apa adanya. Jadi, kami tidak disibukkan dengan keceriaan, dimomokkan dengan itu dan ini. Semuanya berjalan seperti biasa. Tiada lakonan yang perlu dibuat-buat.

Saya juga belajar erti profesionalisme. Apabila kita berada di atas, usahlah kita memandang semua orang di bawah kita terlalu kecil kerana yang mebezakan kita disisi Allah bukan pangkat, rupa harta atau darjat tetapi yang yang paling mulia disisi Allah adalah insan-insan yang bertawqa. Meletakkan Allah semuanya nombor SATU.

Pekerja salah buat kerja, sila panggil dan berbincanglah. Bukannya mendengar pihak-pihak yang disukai membawa cerita dan mengiyakan dan menghentam sebaiknya ketika mesyuarat sehingga memalukan orang-orang berkenaan. Beringatlah, yang anda semua punya anak dan cucu serta keturunan. Kalau bukan anda, mungkin anak cucu cicit anda yang Allah timpakan BALA atas kesilapan tidak bertempat kita.

Bab menyuarat pula. Pukul sekian dan semua perlu TEPAT masuk bilik mesyuarat. Allahu! Alangkah eloknya pesanannya:

HARI INI MASUK WAKTU ZOHOR JAM 12.57 TENGAH HARI, PARA PENDIDIK DISERU UNTUK BERSEGERA MENUNAIKAN SOLAT ZOHOR BERJEMAAH TEPAT WAKTUNYA DAN MESYUARAT KITA DIADAKAN SEBAIK ZOHOR TAMAT PADA JAM 1.30 PETANG.

Saya pasti keadaan seperti ini mungkin wujud 20 bahkan 50 tahun akan datang. Ketika itu mungkin orang sudah berhenti mengumpat orang lain dan hanya bercakap yang baik-baik tentang keindahan Islam.

Suka juga saya kongsikan seorang tokoh usahawan wanita terkenal tanahair, kata beliau, orang kerajaan SUKA MENYUARAT. Tersenyum saya membaca status beliau kerana sememangnya tepat sekali. Mesyuarat yang tidak berkesudahan dan tidak praktikal. Isi menyuarat yang selalu digaduhkan ialah program ini dan itu, bergaduh kertas kerja dan sangat sedikit membincangkan akhlak murid.

Buatlah program banyak mana sekali pun untuk mengatasi kepincangan yang ada dalam sistem pendidikan kerana SELAGI TIDAK PULANG KEPADA ALLAH DAN RASUL, semua program adalah sia-sia dan langsung tidak bermakna. Guru tidak balik ke pangkal jalan, apatah lagi anak-anak murid yang diibaratkan ibu ketam mengajar anaknya berjalan tegak.

Guru mengharapkan anak-anak muridnya tinggi budi pekerti tetapi sendiri suka sangat mengumpat. Guru mengharap anak-anak murid beriman, guru sendiri lengah suruhan Allah. Guru yang mahu solat awal dijaga-jaga dan dicari-cari salahnya tetapi guru yang tidak solat dibiar malah dipuja sayang. Umpama guru yang berjubah itu salah, yang berkebaya pendek dan ketat itu tidak mengapa. Memang beginilah dunia akhir zaman agaknya.

Berkata Imam Ahmad bin Harb rhm:
Aku tidak mendapat kemanisan dalam beribadat sehinggalah aku meninggalkan tiga perkara, iaitu;
1) Meninggalkan mencari redha manusia hatta aku mampu mengatakan kebenaran.
2) Meninggalkan rakan yang fasiq hatta aku mendapat sahabat yang soleh.
3) Meninggalkan kemanisan dunia hatta aku menemui kemanisan akhirat.
Siyar A'lam An-Nubala', 11-34. [Sumber: FB Dr Abu Anas Mandani]

13.10.14

BERSALAMAN

Cikgu: Tahun depan awak tak boleh salam teacher dah. Dah besar.
Murid: Tahun depan saya dah tak sekolah sini lagi teacher. Saya nak ke sekolah tahfiz.

MashaAllah betapa sejuknya perut saya mendengar anak tahun 2 saya. Darjah satu dan dua, inshaAllah tiada masalah untuk salam tetapi ianya pada saya mendatangkan masalah pula di akhirnya. Kenapa?

Saya perhatikan, tiada tegahan bersalaman di awalnya, menjadikan anak-anak yang telah mumayyiz, suara pun sudah seperti bapa orang seperti tiada salahnya bersalaman antara murid dan guru. Contohnya di majlis atau program-program keraikan, anak-anak tahun 6 bersalaman dengan guru-guru mereka yang berlainan jantina.

Ada pula sehingga ke tua, guru dan murid tiada batasnya seperti mak dan anak. Si guru boleh mengusap kepala anak muridnya yang telah dewasa. Saya kurang pasti apakah punca situasi ini menjadi biasa.

Adakah guru dan anak murid kurang didikan agama atau ianya telah jatuh tidak mengapa yang melibatkan murid dan guru.

Asbab itu juga, saya tidak berapa raikan anak-anak saya untuk bersalaman dengan sahabat-sahabat saya yang perempuan. InshaAllah pra didikan akhlak supaya mereka lebih prihatin tentang ikhtilat antara lelaki dan perempuan inshaAllah.

InshaAllah sama-samalah kita perbaiki dan betulkan mana yang silap. Mendidik ini memakan masa dan menuntut kesabaran.  Salah didik buruk padanya. Didikan yang betul, inshaAllah saham syurga buat kita.

8.10.14

KENAPA HOMESCHOOL?

Aku seperti mencari manusia yang masih hidup di celah timbunan mayat di sini. [Abu A'ala Al-Maududi].

Saya pernah tuliskan berkenaan fikrah beliau di entry IJAZAH = SIJIL KEMATIAN.

Perjuangan dalam sistem sekular hari ini bukannya mudah. Terlalu banyak kerenah biokrasi yang perlu kita hadapi dengan perasaan yang bercampur baur. Pandangan sebagai dewasa saya hari ini, membenarkan kata-kata Al-Maududi yang sistem pendidikan kita hari ini mempersiapkan manusia-manusia untuk berkhidmat dalam sistem manusia yang melekakan, melalaikan, 24 jam hiburan, tanpa haluan dan matlamat yang tidak pernah jelas.

Umpama mayat yang telah mati tanpa tujuan hidup.

Tidak perlu jauh. Waktu solat. Marilah kita sama-sama kira bilangan kepala yang boleh berhenti daripada melakukan sebarang pekerjaan sebaik mendengar azan berkumandang? Situasi ini terlalu jauh. Mari pula perhatikan waktu solat anak-anak yang dianggap masih kecil di usia 7 dan 8 tahun. Tidak tahu menjaga kebersihan, maka mereka tidak perlu waktu solat.

Saya fikir dan terus berfikir. Dimanakah selayaknya anak-anak saya bakal mendapatkan pendidikan yang sewajarnya. Sedarkah kita yang tentera-tentera Allah dipelihara akhlaknya semenjak kecil mereka. Bagaimanakah kualiti jiwa kehambaan mereka sehingga Umar Al-Khattab dan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi mampu membuka kota Palestin? Bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh membuka kota Konstantinopal?

Mereka bukan sahaja menjaga waktu solat tetapi mereka cukup menjaga kualiti solat-solat mereka. Antara insan-insan pilihan Allah untuk tidak tinggal solat berjemaah, solat tahajjud dan solat sunat rawatib. 

Selama ini, sebagai ibu ayah yang berkesedaran yang kejayaan itu bukan diukur melalui pelbagai kertas yang dinilaikan tetapi kejayaan kita adalah berjaya bertemu Allah di syurga sana, adalah cukup MENGERIKAN memperjudikan anak-anak saya dalam sistem pendidikan yang terlalu sekular dan ketempangan arah tujuan ke destinasi hakiki. 

Bagaimana sistem pendidikan hari ini mampu membina generasi yang berkualiti persis generasi awwal sedangkan waktu solat murid, tiada siapa yang mahu perjuangkan. Allahu! Dosa paling besar apabila bukan ustaz atau ustazah mengajar apa itu keindahan Islam kepada anak-anak. 

Maka tidak pelik terlalu ramai ibu-ibu yang sanggup mengorbankan profesion mereka untuk homeschool anak-anak mereka. Mereka ibu-ibu berjaya dalam kerjaya seperti doktor, usahawan tetapi memilih untuk tidak memperjudikan nasib anak-anak mereka. Solusi mereka, berhenti kerja dan mengajar anak-anak mereka ilmu-ilmu yang sepatutnya mereka dapat di awal usia. Tenang dan lapang.

Boleh rujuk sahabat-sahabat para puan tabib yang mengorbankan kerjaya mereka demi anak-anak mereka seperti Dr. Siti Rohana dan Dr. Aida Fazlin.

Sebagaimana mereka, kami juga pening memikirkan pendidikan selayaknya buat anak-anak. Dalam fikiran kami memang HOMESCHOOL yang menekankan pendidikan akhlak dan Al-Quran. Bagaimana aturan masa buat mereka dalam keadaan kedua-duanya bekerja. Terlalu banyak cabang dalam fikiran sehinggalah Allah kurniakan ilham penubuhan Tadika Tahfiz Muhammad dengan sokongan padu dan semangat serta doa tidak putus sahabat-sahabat yang saya cintai kerana Allah. Mohon doa Allah kumpulkan kami dalam syurga tertinggiNya.

Terlalu banyak hak anak-anak kami yang perlu ditunaikan dan kami tidak mahu dipertanggungjawabkan atas kelalaian kami dalam sistem yang diibaratkan Al-Maududi sebagai sistem penyembilihan manusia. Sistem yang terancang rapi.

Dari segi jagaan pemakanan anak-anak. Dari segi kualiti didikan. MashaAllah kasihan anak-anak saya di luar sana. Tatap muka-muka mereka menjadikan sayu sungguh hati. Mereka yang berlatar belakangkan pelbagai jenis ibu ayah. Berat sungguh hati, merantai kaki ini untuk melangkah meninggalkan mereka pergi. Apakah nasib anak-anak saya. Berapa banyak manusia yang bakal keluar dari sistem manusia ini tanpa kualiti jiwa kehambaan.

Jangan terkejut, sehingga hari ini kami sengaja tidak memperkanalkan anak-anak dengan ABC dan 123 malah tidak pernah ada walau sedikit kerisauan saya anak-anak belum pandai baca BM bercakap orang putih dan masih dengan 'lungatul jannah' mereka. Kami tidak menafikan kepentingan ilmu-ilmu ini tetapi perjalanan hidup Ar-Rasul SAW itu sungguh menjadi suri tauladan.

Menyusuri sirah Baginda SAW, bagaimana wahyu Allah itu turun melalui Jibril yang mana Rasulullah SAW adalah ummi, tidak tahu membaca. MashaAllah sungguh bertepatan dengan anak-anak kita diusia bayi. Mengapa bayi dan anak-anak kecil memang cepat atau lebih dahulu menghafal daripada mengenal.

Dakwah dan tarbiyyah Allah melalui usrah membawa saya untuk memahami sabda Rasulullah SAW supaya memperbaiki diri dan serulah orang lain. Untuk menanti kesempurnaan dalam memulakan dakwah, inshaAllah sampai mati sekalipun kita tidak akan berjaya kerana manusia sifatnya tidak maksum dan tidak akan pernah sempurna.

Kemashlahatan ummah hari ini membuat kami terfikir, bagaimana untuk masuk ke dalam masyarakat yang tidak dekat dalam dunia internet di hujung jari untuk mengajak maaruf dan mencegah mungkar. Bagaimana mahu masuk ke dalam masyarakat hari ini melalui didikan Al-Quran seawal bayi. Bagaimanakah cara terbaik untuk menyuntik kesedaran ummah, wahai manusia, mari menyembah Allah dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah SAW.

MashaAllah wa tabarakallah! InshaAllah rupa-rupanya Allah sediakan permulaan tapak yang baik buat para tentera Allah yang keluar dari rahim saya dan tentera-tentera Allah melalui rahim-rahim manusia sekeliling saya untuk saling menguatkan di akhir zaman ini. Allah kurniakan TTM dengan matlamat jelas serta inshaAllah menghidupkan sunnah yang inshaAllah kami nampak kesinambungannya. 

Impian saya, moga ada sekolah rendah kesinambungan dari TTM buat TTM (baca: TENTERA-TENTERA al-MALIK) untuk mendalami sunnah-sunnah para Nabi Allah seperti mengembala kambing, menternak dan pelbagai aktiviti-aktiviti alam buat mereka untuk membentuk akhlak mulia. Sekolah rendah untuk usia 7-15 tahun untuk mereka hafal Al-Quran dan bermain dengan alam sebelum dilepaskan untuk bertalaqqi dengan tuan-tuan guru muktabar seluruh dunia.

Takdir saya adalah bidang akademik. Mudah-mudahan TENTERA-TENTERA al-MALIK melalui dan bermula dengan TADIKA TAHFIZ MUHAMMAD, graduasi sebagai orang-orang alim yang sungguh terkenal dikalangan penduduk langit yang bakal menarik tangan-tangan kami orang tuanya untuk berkumpul dalam syurga tertinggi Allah inshaAllah wa biiznillah.

Semoga Allah memuliakan rahim saya dan rahim-rahim anda semua.

Antara koleksi buku terbaru yang dibeli untuk TTM buat TTM dan selamat diulangkaji sepanjang cuti raya haji 1436 di kampung zauji.