26.11.15

Berguru dengan alam, biar bertambah imannya.

Alam Allah s.w.t telah ciptakan untuk manusia. Manusia memerlukan alam. Keperluan paling utama untuk manusia adalah sebagai hujah, yakin kita kepada Allah s.w.t. Jika ini tidak dijadikan asas untuk berguru dengan alam kita akan jadi hamba nafsu dan syaitan. Berguru dengan alam adakalanya kita belajar terus daripada makhluk yang diciptakan dan akalanya alam mengajar kita melalui peristiwa,kisah atau sejarah yang berlaku. Realitikan ilmu dalam Al-quran,hadis, kitab, buku dan ilmu 'alim 'ulamak yang kita pelajari dengan alam yang Allah ciptakan ini. Insyaallah manfaatnya lebih dirasai.


13.11.15


     Sendiri tak semestinya kalah, tapi sendiri biasanya lemah.

     Rasulullah menang apabila bersendirian daripada manusia di gua hira', mendampingi Allah s.w.t menjauhkan diri daripada kecelaruan hidup manusia yang penuh dengan maksiat. Rasulullah s.a w sendiri dan banginda menang. Rasulullah s.a.w kuat sebab baginda bersendirian bersama Tuhannya. Ada masanya kita perlu bersendirian untuk menjadi orang yang menang dan kuat. Ikut cara Rasulullah bersendirian.

12.11.15

SUCI, SIHAT & WANGI

Susah mahu ditajukkan entry kali ini :D.

Kawan-kawan (baca: makcik-makcik Jlos) ada beberapa orang yang bercerita perihal produk mandian dan wangian serta penjagaan kesihatan Dr. Zulkifli Sharif terutama mandian bidaranya yang 'berhantu'. Berhantu disini maksudnya, memberikan kepuasan yang bukan sedikit. Mandian dan wangian yang inshaAllah bebas kimia merbahaya.


Pada asalnya, sebelum terjebak dengan mandian merangkap shampoo ini, kami mencari-cari krim untuk ruam di leher anak. Saya sendiri tidak mampu mengagak makanan yang memberi alahan kepada kulitnya. Jadi dari situ, saya berkenalan dengan produk-produk Dr. Zul melalui kawan-kawan. Kami beli krim Baybie yang paling kecil.

Alhamdulillah dengan sapuan setiap kali selepas mandi selama lebih kurang seminggu, ruam di leher si anak hilang dengan izin Allah. Alhamdulillah juga sehingga hari ini, ruam tersebut tidak muncul-muncul lagi.

Semenjak itu, kami sekeluarga adalah pengguna produk Dr. Azma oleh Dr. Zul. Dari mandian, wangian sehinggalah kepada produk makanan sunnah seperti kapsul Habbatussauda'. Cuma belum jadi stokis mereka sahaja. InshaAllah sedang dalam kira-kira :D. InshaAllah akan dipanjangkan penggunaannya di TTI untuk anak-anak kami disana juga.

Kesimpulannya, highly recommended!

1.11.15

KISAH ORANG MENANG (2) l USAHAWAN

Takdir kemiskinan bukan lesen untuk meminta-minta tetapi anugerah Allah untuk otak bergeliga mencari jalan keluar segala permasalahan. Banyak kisah semasa kecil Saiful Nang yang masih lekat di kepala saya. Betapa orang ini pandai mencari wang!

Dilahirkan dalam keluarga yang susah, beliau sentiasa mencari jalan untuk mencari wang. Maka, bermulalah episod demi episod zaman kanak-kanaknya. Pertama sekali, ketika dia memancing ikan sepat dan jual di pasar. Memancing di kolam tempat sisa kelapa sawit yang sihat. Setelah diketahui oleh orang lain, maka tangkapan ikannya terus merosot. Dikurniakan akal yang cerdik, dengan hasil tangkapan yang sangat merosot, beliau menjadikan hasil sedikit itu menjadi ikan sepat pekasam yang jauh lebih mahal apabila dijual. Bijak!


Pengidap Disleksia ini memang sebati dengan 'bodoh' semasa sekolah rendahnya kerana masih belum boleh membaca di awal usia ketika kanak-kanak lain telah pandai membaca. Asbab 'bodoh' itu juga menjadikan dia seorang yang rajin berusaha sehingga ketika sekolah menengah, pelajar-pelajar cemerlang sekolah rendahnya dicantas satu-persatu.

Salah satu kekejaman sistem pendidikan untuk golongan senasib dengannya adalah mengasingkan murid ini dalam kelas khas yang terpisah dengan murid yang lebih laju pencapaiannya pada hari ini. Menurut beliau, masalah pembelajaran seperti Disleksia ini tidak perlu diasingkan dari komuniti sebenar dan biarkan sahaja mereka bergaul dan bercampur dengan rakan-rakan sebaya dalam kelas yang sama.

Balik kepada ceritanya di zaman kanak-kanak yang suka mencari wang. Watak kecilnya tidak ubah seperti watak Mail dalam cerita Upin dan Ipin jika saya tidak silap. Beliau telah mengumpulkan beberapa haiwan dalam sangkar dan diletakkan di suatu kawasan khas yang boleh diumpamakan seperti mini zoo. Jika kawan-kawannya ingin masuk ke mini zoo buatannya, mereka perlu membayar wang masuk. Sama juga projeknya menggali terowong bawah tanah. Sesiapa yang mahu masuk juga dikenakan bayaran.

Sengeh sahaja saya baca. Ada sahaja akalnya. Yang penting pada beliau bukan meminta-minta.

Sifat usahawannya sehingga dewasa. Ada sahaja surat dari individu-individu yang memohon sumbangan dan tidak pernah satu pun yang menarik minatnya kecuali satu surat siswa yang menawarkan beliau sebagai pelabur. Jadi, beliau melabur sebanyak 1k.

Anda tahu apakah yang dilakukan anak-anak muda ini dengan modal 1k? Mereka mentadbir dengan cukup baik. Seorang ke Cameron Highland untuk menguruskan urusan jual beli bunga dan dibawah turun ke bawah. Sedang yang lain, mengumpul bahan-bahan buangan untuk diniagakan sebagai BUNGA KONVO! Dengan modal yang sedemikian, mereka berjaya menjual bunga-bunga berbelas-belas k! Inilah yang dimahukan beliau dalam setiap anak muda. Didikan mencari solusi dan bukannya hanya mengharap. Setelah tolak segala kos dan siswa-siswi ini memulangkan modal disamping keuntungannya sebagai pelabur.

Selain itu, salah satu bab adalah berkenaan BOS. Perspetif kepada bos. Jika anda seorang yang bermasalah dengan bos-bos anda, selepas membaca Kisah Orang Menang, perspektif anda mungkin boleh berubah 180 hingga 270 darjah. Begitu juga saya. Kita tidak akan merasa seperti apa yang mereka rasa sehinggalah kita berada pada kedudukan mereka. Terutamanya bos swasta yang mempunyai empayar perniagaan yang besar.

Saya sangkakan tulisan kali ini boleh diselitkan berkenaan didikan anak (tarbiatul aulad) tetapi apakan daya, kemampuan saya terbatas setakat ini. InshaAllah sambung tips didikan anak ala beliau dan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWR) yang antaranya melalui ROLL CALL.

InshaAllah wa biidznillah.

31.10.15

KISAH ORANG MENANG (1) l RARE!

SAIFUL NANG. Satu nama yang tidak asing lagi di Malaysia dan baru-baru ini kontroversi yang melibatkan kenyataan beliau berkenaan tanah haram. Pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan masyarakat daripada ahli agama, golongan profesional dan komen-komen rendah akhlak yang pada saya mereka perlu ke sekolah tadika semula untuk belajar adab dan akhlak.

Bagaikan menanti masa yang sesuai untuk dilepaskan peluru-peluru untuk menyerang beliau yang sememangnya lantang melontarkan pendapat. Saya faham, pastinya ada stigma atau pandangan sinis kepada beliau yang berstatus jurugambar profesional. Mungkin mengambil gambar perkahwinan yang mana kita faham pengantin-pengatin yang kebanyakkan tidak menutup aib mereka dengan sempurna dari segi syara' dan diambil pula gambar-gambar mereka oleh seorang lelaki.



Pernah satu ketika, ketika dalam majlis ilmu yang kebanyakkan mereka adalah ahli agama, mudah sekali memahami maksud memek muka tidak menyenangi apabila ada suara yang menyatakan pendapat untuk menjemput beliau dalam satu program khas. Wahailah!

Selepas membaca buku Kisah Orang Menang tulisan beliau, pekspektif saya berpusing 360 darjah. Kadangkala yang sinis itu lebih pandai berkata-kata daripada terjun ke lapangan sendiri. Sungguh bernarlah kata-kata hikmah As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, 

orang yang berilmu itu berbeza dengan orang yang beramal,
orang yang beramal itu berbeza dengan orang yang berjihad.

Lagi benar, Islam ini bukan hanya untuk golongan agamawan. Pangkal ustaz ustazah bukan jaminan masuk syurga laju-laju.

Ada satu bab beliau menceritakan pengalaman haji beliau. Ya memang lain dari yang lain. Jika kita, saya terutamanya yang sangat jahil ilmu agama apatah lagi amalan yang sangat tiada, pastinya haji menurut kita mesti mencukupkan rukun dan syarat wajib ukuran kepada mabrurnya haji kita sehinggakan maksud sebenar haji dengan menyelami budaya dan adat serta sirah pembukaan Mekah tidak kita hayati melainkan yang asas-asas sahaja.

Apabila saya membaca novel Di Bawah Lindungan Ka'bah oleh Buya Hamka, ada satu perenggan yang menggambarkan apa yang sebenarnya yang Saiful Nang ingin bawakan adalah untuk kita berfikir dan ianya memang benar-benar bergantung kepada cara kita memandang sesuatu. Jika kita pandang untuk mencari salah, maka kita akan dapat salah. Jika kita mengambil suatu yang positif, maka kita berjaya dalam meraikan dalam kepelbagaian pendapat.

Mula-mula saya menyangka, bahwa di negeri yang suci itu, saya tidak akan bertemu dengan kejadian yang ganjil dan hikayat yang sedih dalam kehidupan manusia. Sebab sangka saya, tentu saja selain dari diri saya sendiri, orang-orang yang datang ke sana itu adalah orang-orang yang gembira dan mampu, yang banyak tertawanya daripada tangisnya. Tetapi rupayanya, di mana jua pun di atas dunia ini, asal ditempati oleh manusia, kita akan bertemu dengan yang tinggi dan yang rendah, kita akan bertemu dengan kekayaan dan kemiskinan, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan ratap tangis. [Di Bawah Lindungan Ka'bah, Hamka].

Kesimpulannya, Kisah Orang Menang adalah sangat RARE! InshaAllah apabila saya ada kerajinan dan kelapangan, ingin juga dikongsikan tips-tips untuk kita yang masih bernama manusia yang hidup, bukan yang mati sebelum tiba ajal.

29.10.15

MENJADI ULUL ALBAB

Buku Menjadi Ulul Albab Generasi Genius Bertaqwa adalah buku pertama bacaan saya. Antara ciri yang membuatkan buku ini yang pertama saya baca adalah tidak tebal muka suratnya. Hanya 125 muka surat yang padat.


Bab-bab awal buku ini lebih kepada mengajak para pembaca berfikir ala golongan ulul albab yang kaya dengan zikir. Ada cerita berkenaan cerdik pandai yang akhirnya kembali kepada fitrah setelah banyak penyelidikan sains yang menunjukkan kebenaran sains dalam Al-Quran yang telah Allah khabarkan sekian lama.

Menjauhi otak dari kemudaratan.

Bab yang pada saya penting untuk kita sebagai manusia perlu tahu bagaimana caranya atau pilihan kaedah yang boleh membantu otak kita supaya sihat sejahtera. Antaranya ialah:

1. Pelihara otak dari kerosakkan dan kecederaan. Dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati. Pakai tali pinggang dalam kereta. Memakai topi ketika berbasikal.

2. Jauhi dadah. Huraian yang semua telah maklum.

3. Jauhi alkohol dan arak. Arak melemahkan fungsi otak. Ibu hamil yang minum arak sesungguhnya telah berlaku zalim kepada bayinya kerana sel-se otak anak mati sebelum dilahirkan.

4. Jauhi rokok. Sama sahaja dengan vape.

5. Berhati-hati dengan TV. Ada hiburan keterlaluan dan ada juga program didikan. Menonton TV lebih 2 jam adalah memudaratkan buat kanak-kanak. Kajian terhadap kanak-kanak berumur 5-15 tahun, keasyikkan menonton TV menyebabkan jantung dan paru-paru mereka menjadi lemah, berat badan dan kolestrol dalam darah meningkat dan berisiko sakit jantung apabila dewasa.

Akademi Kanak-kanak Amerika (The American Academy of Pediatric atau AAP) telah mengambil beberapa pendirian iaitu, TIDAK MENGGALAKKAN SAMA SEKALI kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah menonton TV manakalah yang berusia 2 tahun ke atas, mereka hanya dibenarkan menonton TV tidak lebih dari 2 jam sahaja dan hanya disyaratkan untuk program-program berkualiti.

6. Berhati-hati dengan telefon bimbit. Ini pun semua telah maklum. Kekerapan tinggi bersama telefon adalah tidak sihat tetapi kita semua pada hari ini adalah PENAGIH TELEFON TEGAR. Nangis!

7. Berhati-hati dengan makanan ringan dan segera. Perisa, pewarna dan pengawet makanan mampu mengubah tingkahlaku anak sehingga sangat agresif (penemuan dalam majalah Lancet, 2007). Jangan ingat kami suci tidak makan semua ini. Memang sangat sukar menjauhi mereka bertiga ini.

8. Berhati-hati dengan lagu dan hiburan. Saya akui muzik hari ini termasuk nasyid, sangat menyesakkan dada dan kepala juga automatik pening. Muzik zaman sekarang yang tiada nilai. Maka, tidak pelik remaja kita hari ini menjadi tidak senonoh akibat pengaruh muzik yang merosakkan akhlak dan merubah tingkah laku sehingga sanggup membunuh atau membunuh diri. Remaja adalah zaman BERKHAYAL!

Kesemua 8 perkara di atas adalalah antara penyebab rosaknya otak dan melemahkan fikiran dan dalam bab seterusnya, disertakan penawar pula. Antaranya:

1. Beribadah dan berzikir.
2. Mengutamakan makanan halal lagi berkhasiat (minyak zaitun pencegah nyanyuk, buah tin kaya vitamin B kompleks etc).
3. Pengambilan madu lebah berfungsi sebagai antioksidan.
4. Manfaatkan buah kurma yang kaya zat besi.
5. Memakan ikan (omega-3 untuk otak).
6. Banyakkan sayur. Rasulullah SAW suka makan timun (Direkodkan oleh Imam Al-Bukhari).
7. Banyakkan pengambilan buah-buahan. Rasulullah SAW menjamah buah tembikai dan tamar (Direkodkan Imam Abu Daud).
8. Rajin bersenam. InshaAllah berat lagi 2 kg untuk kembali kepada berat zaman remaja. InshaAllah berjaya, nantikan tips untuk kurus bergaya ala kami (tangan di bahu mata ke atas).
9. Rangsang minda. Banyak aktiviti yang boleh meransang minda seperti catur etc. Anda sendiri lebih kreatif!
10. Tidur berkualiti. Remaja perlu 8 jam tidur waktu malam tetapi saya percaya bukan sahaja remaja malah orang tua juga akan tidur purata 4 jam sahaja kerana selebihnya akan bermain telefon. Jangan tipu, saya tahu :P.
11. Bergaul dan bermasyarakat. InshaAllah batasi apa yang patut. 
12. Belajar teknik meningkatkan memori. 

Kesimpulannya, ulul albab adalah golongan yang mengutamakan zikir dan fikir untuk meletuskan potensi minda mereka yang menjadi asbab mereka cemerlang. Justeru, zikir tidak terlaksana tanpa ilmu dan kefahaman.

Buku ini adalah seruan kepada golongan muda hari ini untuk menjejaki ulul albab dan menempah kejayaan sebagaimana golongan terdahulu yang berjaya kerana mereka menggunakan formula Allah SWT. Biidznillah.

21.10.15

HANYA MARYAM

Mak selalu berkongsi ilmu-ilmu agama yang ditadahnya 4 hari seminggu di masjid berdekatan. Banyak perkara yang secara tidak langsung membuatkan saya juga turut belajar apa yang dibelajarnya.

Pada suatu hari di tengah hari dimana rumah mak menjadi tempat transit untuk ke tempat kerja.

Mak: Ada berapa nama perempuan yang disebutkan dalam Al-Quran? (santai-santai di atas peraduannya)
Anak: 2. (yakin tanpa was-was)
Mak: Salah!
Anak: Tak silap pernah terbaca. Ada 2 orang yang disebut namanya dalam Al-Quran iaitu Maryam dan Asiah.
Mak: Hanya Maryam yang disebut jelas namanya dalam Al-Quran sehingga tercatat nama surah Maryam. Sedangkan yang lainnya tidak disebut nama.
(Banyak lagi penerangan Mak tetapi saya singkatkan).

Menurut Mak lagi seronok berkongsi ilmu, Maryam satu-satunya nama perempuan yang tersebut dalam Al-Quran kerana dia tidak bersuami. Disini betapa seorang perempuan itu sifatnya perlu tersorok kerana sehinggakan dalam Al-Quran pun nama perempuan tidak bersepah-sepah. Hanya Maryam yang Allah takdirkan tidak bersuami.

Fitnah terbesar akhir zaman adalah perempuan. Perempuan menjadi malapetaka besar buat lelaki sehinggakan semasa kedatangan dajjal nanti, para suami terpaksa mengikat isteri-isteri mereka di tiang rumah masing-masing kerana perempuan adalah golongan yang dengan mudahnya akan mengikut dajjal.

Begitu sekali.

Kenapa hanya nama Maryam?
Kenapa nama-nama perempuan lain tidak disebut dalam Al-Quran?

Disini melambangkan nama juga boleh merubah hati seorang lelaki. Menurut Mak, nama perempuan hanya satu tersebut dalam Al-Quran dan tidak yang lainnya kerana ianya sendiri memberi gangguan kepada hati lelaki. Gangguan dimana lelaki-lelaki akan terganggu dengan nama-nama perempuan yang pada pendengarannya elok dan menarik didengar. Lelaki akan berimaginasi.

Apakah rupa empunya nama secantik ini?
Adakah secantik namanya?

Lihatlah betapa Allah mahu melindungi sebuah makhluk lemah bernama perempuan sehinggakan nama pun tidak mahu disebutnya dalam Al-Quran tetapi perempuan-perempuan hari ini, sama ada terbuka dan tertutup, sifatnya memang suka cari perhatian (bukan saya kata, suami kata). Jika tidak disekat dan disekolahkan selalu, dia memang mudah lupa dan tidak tahu yang dibuatnya itu bahaya atau tidak.

Sebagai contoh mudah, saya selalu mengeluh dengan peraturan-peraturan suami yang pada saya dahulunya, leceh sungguh!

1. Jika ada posmen datang rumah atau sesiapa sahaja, tetaplah berada dalam rumah kecuali mak atau ahli keluarga kita. Jangan dibuka pintunya untuk orang asing.

2. Jika dia keluar sama ada ke bank dan kami berada dalam kereta, ada orang mengetuk cermin tingkap menjual barang-barang, jangan diturunkan cerminnya.

3. Jika mahu keluar ketika dia bekerja, pastikan hanya dengan mak atau adik-beradik lainnya.

4. Tidak suka saya terlalu berkawan-kawan kerana perempuan ini sifatnya mudah sangat mengumpat. Balik baca yassin yang didapatnya, rumah orang itu ada itu dan ini, orang itu sekian, sekian. Bercerita memang tidak akan habis. Akhirnya, dia yang akan tanggung dosa-dosa itu.

5. Bermuamalat secara tegak dan tidak perlu sama sekali mesra dengan berlawanan jantina sama ada nyata atau maya. Jangan gedik. Bercakap tidak perlu satu dunia perlu dengar. Ketawa pun tidak perlu berdekah-dekah. Dengan erti kata lain, muka cuka orang tengok, manis dan cantik sangat pada dia.

Saya tulis sahaja, saya pun manusia biasa. Masih belajar pegang mulut apabila bersengketa. Kadangkala banyak juga yang tersasar. Ingat balik nasihat-nasihat suami, kesukaan dan kepantangan dia. Kendur semula hati. Jaga hati, mata dan mulut. Allah redha akan isteri yang diredhai suaminya. Jangan jadi penyebab lelaki-lelaki terganggu imannya hanya kerana kita perempuan yang tidak ada malu.

Ingat mudahkah mahu jaga hati?
Ingat syurga itu murah harganya?
Ingat dalam Al-Quran hanya ada Maryam sebagai peringatan buat kita!