16.7.12

BERSIH 3.0: PERSIAPAN AKHIR

Khalifah kecil II yang diredhoi Allah dan Rasul :)
Malam semalam ibu ayah mula berdebar. Ibu bagai rasakan sudah ada kontraksi tetapi yang tidak kerap. Sepantas kilat, ibu menyudahkan segala kelengkapan dan terus sahaja meletakkan beg di atas meja jepun ruang tamu. Tunggu punya tunggu, sakit hilang. Rupa-rupanya kontraksi palsu ;). Alhamdulillah dengan kontraksi palsu tersebut, Allah izinkan ibu berkemas dengan cemas setelah sekian lama menangguh kerana rajin yang teramat ;).

Persiapan terakhir yang ibu bermalas-malasan ;). Sebotol air zam-zam, kurma yang perlu diletakkan di 3 tempat. Beg ayah, ibu dan khalifah kecil serta sesudu madu sebagai alternatif selain kurma untuk tahnik nanti. Mudah-mudahan dengan sunnah bertahnik, Allah kurniakan lidah yang kuat buat khalifah kecil II untuk 'pam' keluar susu ibu sesegera yang boleh. Jangan lupa nangis sebaik keluar dari alam rahim ;).

Kuliah Ambang Ramadhan
Kelas ibu setiap isnin berakhir jam 10. Perjumpaan berkala dengan doktor yang kini menjadi seminggu sekali menjelang sebulan sebelum kelahiran juga pada hari isnin. Selepas meminta keizinan bos, ibu ke klinik selepas kelas terakhir dan dapatlah giliran awal berbanding petang yang kebiasaan lebih ramai orang walaupun swasta dengan izin Allah pastinya yang memudahkan segala urusan. Sepanjang perjalanan keluar ladang ke klinik yang memakan masa lebih 30 minit tersebut, ibu sempat mendengar kuliah di ambang Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah Al-Amin. Kuliah yang menarik perhatian menemani perjalanan ibu ke klinik bersama khalifah kecil II yang juga setia mendengar di alam rahim. Iktikaflah puas-puas di dalam rahim ibu sebelum takdirmu datang menjemputmu menjengah ke kampung dunia yang penuh tipu daya T_T.

Nilai Kendiri
Apabila menyebut Ramadhan, pastinya kita sangat familiar dengan istilah bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga. Kita sebenarnya melatih diri untuk menahan semua pancaindera daripada melakukan maksiat. Madrasah Ramadhan adalah permulaan yang baik sebagai momentum ke bulan-bulan lain. Maksudnya, kita boleh nilai kendiri ibadah puasa kita. Contohnya kita mampu untuk istiqomah bangun tahajjud bukan sahaja di dalam Ramadhan malah berlanjutan sehingga mati. Maksudnya, insyaAllah ibadah kita Allah terima.

Kekuatan Deria
Ibu sangat tertarik apabila ustaz menyentuh berkenaan kekuatan deria yang dikurniakan Allah kepada satu-satu kaum. Sebagai contoh orang melayu kita dikurniakan kekuatan deria lidah sebab itu orang melayu masak sedap. Ustaz membandingkan dengan masakan arab. Kadang orang arab goreng ikan tanpa garam tetapi sudah terlalu sedap bagi mereka tetapi tidak kita. Orang arab pula dikurniakan kekuatan deria membau, sebab itu mereka gemarkan bau-bauan seperti minyak atar yang pada kita sakit hidung tetapi terlalu wangi buat mereka. Kekuatan mata atau melihat, Allah kurniakan kepada bangsa Eropah. Mereka sangat menghargai seni. Sebahagian besar mereka boleh melihat potret Monalisa berjam-jam di muzium atau galeri lukisan. Bayangkanlah sekiranya galeri seperti tersebut di sini, pastinya tiada yang sudi datang kata ustaz secara berseloroh dengan DJ ikim yang bertugas ketika itu.

Okestra
Ustaz ada pengalaman ke okestra kerana diajak rakannya. Si rakan mampu menangis mendengar okesta tersebut sedangkan beliau menghitung detik, bilakah majlis yang membosankan itu akan berakhir. Ustaz memberi bayangan tentang kekuatan deria mendengar sehingga si rakan tersebut mampu menangis kerana menghayati dengan hatinya. Begitulah kesimpulannya, apabila kita mampu mengawal semua deria yang dikurniakan Allah sehingga menyentuh ke dalam hati. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Bahkan ianya berupaya mendidik segala pancaindera agar kembali taat perintah Allah dengan bermula melalui madrasah Ramadhan insyaAllah.

Belum Mahu Keluar
Ibu tidak sempat mendengar habis isi kuliah tersebut kerana sudah berada di hadapan klinik. Mungkin pemeriksaan berkala yang terakhir dan boleh jadi kedua terakhir ;). Berat ibu naik lagi. Doktor kata baby masih growing kerana apabila sudah mahu bersalin, kebiasaannya berat badan akan statik. InsyaAllah due scan lagi 8 hari. Nampaknya khalifah kecil II sangat selesa di alam rahim ibu ;). Ramadhan pula insyaAllah lagi 4 hari. Mudah-mudahan Allah sampaikan kita di dalam Ramadhan lagi pada tahun ini. Bulan keberkatan yang kita nanti-nantikan saban tahun. Kedatangannya disambut gembira dan pemergiaannya pasti mengundang pilu. Adakah sempat bertemu Ramadhan sekali lagi T_T.

InsyaAllah persiapan terakhir menyambut kehadiran kalifah kecil II telah diselesaikan malam semalam. Tinggal memasukkan ke semua beg di dalam unta kita. Mudah-mudahan proses bersalin kali ini mudah sebagaimana rakan-rakan seangkatan ibu. Jauh disudut hati ibu, sesungguhnya proses bersalin adalah antara hidup dan mati. Boleh jadi Allah kurniaan jihad bersalin buat ibu. Andainya nyawa setakat itu, ibu halalkan dan redho segalanya buat anak-anak ibu. Tandai pusara ibu hanya dengan nesan tanpa hiasan. Pastinya saat ini ibu merindukan khalifah kecil II. Rupa ayahkah? Atau rupa ibu ;). Mudah-mudahan khalifah kecil II keluar dengan selamat, sihat sempurna dengan iman yang mantap pastinya mengikut jadual Allah ;).

Hanya tinggal dimasukkan ke dalam unta kita ;).

15.7.12

SIAPA CEPAT DIA DAPAT!

TELEKONG KANAK-KANAK JAMILAH SAIZ S PROMOSI RAMADHAN SIRI 2
Kunjungi imaNiaga kami ;).

Alhamdulillah dengan izin Allah, dapat juga pihak imaNiaga menyiapkan projek TELEKONG KANAK-KANAK JAMILAH SAIZ S PROMOSI RAMADHAN untuk siri yang kedua. Telekong saiz S ini sesuai untuk anak-anak berumur 1-4 tahun dan insyaAllah ada penambahbaikan dari yang sebelum ini ;).


InsyaAllah ini projek terakhir dalam menanti khalifah kecil II insyaAllah! Selepas ini segala tempahan boleh dibuat tetapi proses untuk menyiapkan insyaAllah memakan masa sedikit dari kebiasaan ;).

13.7.12

SELAMAT MELAHIRKAN

Hari ini genap 38 minggu 2 hari. Maksudnya tinggal dalam 12 hari sahaja untuk menyempurnakan due yang doktor bagi. Ikut kira-kira manusia. Namun Allah lebih mengetahui masa yang paling sesuai untuk anak-anak kami menjengah keluar. Tajuk suspen ;D. Bukan saya tetapi rakan seangkatan yang sama due dengan saya. Alhamdulillah dia selamat melahirkan pada pagi tadi.

Di entry terdahulu ada saya menyatakan rakan saya yang membuat ujian imbasan di klinik kerajaan, jantina yang telihat adalah boy. Menjelang bulan ke-8 kehamilan, si rakan tadi membuat ujian imbasan sekali lagi di klinik swasta pula dan jantina yang terlihat adalah girl. Pening juga si rakan tadi memandangan persediaannya sebelum ini ke arah boy. Pagi tadi, permulaan membaca Yasin di tempat bertugas, saya teringat si rakan dan terus sahaja SMS. Dia telah mengambil cuti awal untuk bersalin di kampung mertuanya. Alhamdulillah tepat jam 4.24 tengah pagi tadi, si rakan saya ini selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3kg. Nampaknya dia sudah punya 2 hero ;).

Alhamdulillah tahniah ma! Sekarang anda ada 2 orang pengawal peribadi yang bakal menjaga keselamatan mamanya hehe! ;D

Rakan saya mengalamai sakit bersalin yang sekejap sahaja. 12 malam tadi sudah ada tanda umpama awal kedatangan bulan. Kemudian, jam 2 lebih pagi si rakan sudah mengalami sakit-sakit. Pergi ke hospital dan terus dimasukkan ke dalam labour room. Jam 4.24am si rakan telah selamat melahirkan dengan hanya 3 kali teranan. Ya Allah mudahkan juga aku T_T. Dia juga mengakui kali kedua ini lebih mudah dan umpama tidak begitu terasa sakit mahu bersalin tidak sama seperti hero pertamanya yang mana beza abang dan adiknya adalah 3 tahun.

Saya pula, malam tadi kusangkakan sudah turun tanda. Rupanya masih belum. Nenek Muhammad beriya menyuruh si adik Muhammad keluar sebelum Ramadhan.  Kalau boleh esok. Boleh ke nenek? ;D Tidak sanggup melihat saya membawa perut yang memboyot. Penat melihat katanya ;D. InsyaAllah saya sedang menunggu masa. Anak Sya'ban atau Ramadhan. Due insyaAllah pada 5 Ramadhan. Sekiranya si adik tidak mahu kalah dengan si abang, overdue 10 hari dapatlah sama tarikh dengan si abang, 15 Ramadhan ;) tetapi minta jauh untuk paksa keluar ;(. Melihatkan keadaan perut yang sudah ke bawah, insyaAllah tunggu masa sahaja ;). Wahai adik Muhammad, sila tunggu ibu membuat persiapan terakhir BERSIH 3.0 dahulu insyaAllah cuti hujung minggu ini ;D.

Jom teka! ;D

11.7.12

WW- 35% LAGI

Sedang mencari model sementara. Nantikan projek pencarian model hak milik kekal imaNiaga insyaAllah! ;)

10.7.12

TERIMA KASIH TERTUNGGAK

Semangat menulis yang terbang entah ke mana hampir seminggu. Touch and go sahaja ;D. Semalam sahaja saya telah menerima hadiah GA yang keempat dan hari ini barulah ada semangat sedikit mahu menghadap samra' (laptop hitamku ;). Mungkin penangan projek jahitan yang masih berbaki 35% untuk disiapkan ;). Walaupun bukan pemenang utama, tetapi saya mahu juga abadikan di BAi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang pemurah-pemurah yang sudi memberi hadiah free buat saya dan Muhammad ;).

Rasanya sudah berbulan lamanya Puan Intan melangsungkan GA sulungnya. Foto hadiah pun saya ada ambil sebelum berangkat menunaikan umrah tetapi apabila dicari-cari, tidak ketemu foto-foto hadiah tersebut T_T. Penghabisannya saya google mana yang tiada. Minta halal tuan tanah yang fotonya saya ambil melalui google ;).

Ada key chain bunga, brooch jurai dan buku jawi buat Muhammad ;).


2. Tidak Dapat Dikenalpasti
Hadiah penanda buku keras yang tertulis nama MUHAMMAD ini saya tidak pasti dari mana GAnya yang mana saya terima serentak dengan hadiah Puan Intan. Walau bagaimanapun, ianya cukup manis kerana siap gambar Muhammad berkopiah semasa bayi ;).

Manis sahaja penanda buku buatan sendiri ini ;).


Ini pula saya terima minggu lepas. Cik Kema ini sedang menunggu hari dan sudah terlebih banyak hari dari due sebenarnya. Semoga Cik Kema selamat dan mudah melahirkan anak keempatnya nanti insyaAllah ;).

Hadiah tudung ;). Bak kata emak, sesuai pakai ketika di dalam labour room nanti. Selesa kerana ianya singkat ;).


4. Hadiah Teka-Teki Azatiesayang
Ini pula saya tidak bertuah untuk memberikan jawapan yang betul tetapi Kak Atie dengan pemurahnya mahu memberi kepada beberapa rakan blogger yang menyertai teka-teki tersebut secara cabutan. Hadiah ini baru sahaja sampai semalam ;).

Hadiah yang sangat berguna buat ibu mengandung seperti saya iaitu kain batik ;). Juga, puzzle buat Muhammad. Ada sahaja rezeki Muhammad ;).

Terima kasih kepada semua penganjur GA. Semoga Allah melipat gandakan rezeki buat anda semua asbab kebaikan anda yang suka memberi. Terima kasih semua! Ukhuwwah dan sayang fillah dari BAi! ;)

4.7.12

SUSU KURANG

Suatu pagi sedang saya memandu, saya menerima panggilan bertubi yang seakan kecemasan. Rupanya makngah Muhammad. Nadanya sungguh cemas. Rupa-rupanya cemas kerana susunya semakin merundum. Puas dia memakan apa sahaja untuk meningkatkan kuantiti susu namun hasilnya tetap sama. Pagi itu, dia hanya mampu memerah sebanyak 7oz sahaja dan ianya tidak mencukupi untuk anaknya yang kini berusia hampir 10 bulan. Selalunya anaknya bangun malam menyusu sehingga 'kosong' dan menjadi asbab pagi itu dia tidak mampu memerah dengan banyak. Stok susunya habis sepenuhnya. Makngah Muhammad meminta pandangan sama ada anaknya perlu diberi susu formula kerana dengan sedihnya dia berkata yang jumlah 7oz memang tidak mampu menampung susu anaknya ketika dia keluar bekerja setiap hari.

Alhamdulillah saya dikurniakan susu ibu yang meriah kerana stok susu Muhammad mampu lanjut sehingga Muhammad berusia setahun 7 bulan cuma Allah takdirkan saya tahu cara-cara menyimpan dan memperkenalkan alat memerah yang sesuai ketika Muhammad berusia 6 bulan. Berbeza dengan makngah Muhammad yang belajar dari pengalaman saya. Bayangkan di awal kelahiran, sekali sesi perahan, Allah izinkan air susunya mampu keluar paling sedikit 20oz. Penuh peti ais 2 tingat rumahnya dan rumah mak. Penghabisannya sebaldi yang berisi susunya terpaksa dibuang memandangkan tiada lagi tempat menyimpan. Pendek kata banyaklah yang terpaksa dibuang.

Soalan yang ditanya, adakah semasa saya disahkan hamil, kuantiti susu saya sama keadaannya sepertinya kini? Jawapan saya tidak. Dalam bulan pertama dan kedua ketika saya tidak mengetahui perihal kehamilan kedua, susu saya hanya mampu keluar 0.5oz dan paling banyak 2oz sahaja. Masuk bulan ketiga, saya tidak mampu untuk perah lagi kerana kesakitan. Bulan ketiga saya semakin redho yang susu semakin tiada T_T.

Melalui pembacaan saya di blog ibu-ibu yang sedang dalam situasi seperti saya, juga di dalam forum-forum, masuk trimester kedua, hampir kesemua mereka mengalami situasi yang sama seperti saya. Air susu tidak lagi keluar. Namun ada yang gigih untuk meneruskan walaupun mengakui kesakitannya dan tiada air susu. Jujurnya air mata saya berderai jatuh membaca satu persatu fakta mengenai penyusuan ketika hamil. Saya sedang membina semangat dan belajar untuk redho yang Muhammad perlu disokong dengan susu formula untuk menggantikan susu ibu walaupun khasiatnya berbeza tetapi sekurang-kurangnya ianya kewajipan kami untuk mencukupkan susunya walaupun bukan susu ibu T_T.

Saya juga pernah mengalami situasi seperti makngah Muhammad yang mana saya berlengah-lengah untuk pam kerana tiada lagi tempat untuk menyimpan EBM sehingga sampai satu masa, stok susu semakin menyusut dan pengeluaran susu tidak berapa meriah. Sebenarnya mengepam pun memerlukan disiplin mematuhi jadual waktu sesi mengepam. Automatik, sistem tubuh akan membaca jadual biologi badan si ibu tadi. Tidak dinafikan, kadangkala memang semangat berkurang.

Apa yang saya lakukan ketika stok kritikal, saya bangun pagi sebelum Muhammad bangun menyusu. Alhamdulillah sebotol penuh untuk sekali sesi. Jadi, Muhammad tinggal mengosongkan lagi sisa yang ada. InsyaAllah istimewanya susu ibu ialah ianya sentiasa ada. Pagi sebelum ke tempat bertugas, saya melakukan sesi mengepam lagi. Di tempat bertugas lagi. Balik bekerja untuk sesi yang keempat. Malam untuk sesi yang kelima. Jadi, kesimpulannya memang penat tetapi ianya insyaAllah suatu kepuasan apabila melihatkan stok susu yang meriah ;). Tanyalah ibu-ibu pengepam tegar seperti saya ;D.

Walau bagaimanapun, rezeki susu ibu juga adalah suatu kurniaan. Pengetahuan untuk pelaksanaan sangat penting sebagai panduan masa mendatang lebih-lebih lagi ibu-ibu bekerja seperti saya yang mana rezeki anak-anak nampaknya susu EBM ketika keluar bekerja. Saya berharap Allah panjangkan lagi rezeki susu ibu buat anak saudara saya sehingga 2 tahun penuh dan makngah Muhammad diberi kekuatan dan kesungguhan yang sentiasa meningkat dari masa ke semasa insyaAllah!

3.7.12

give away susu ilham


Klik banner untuk ke kedai kakak Tasneem ;)

GA mudah untuk sesiapa yang berminat untuk mendapatkan sampel percuma susu ilham yang tidak boleh dilangkah kerana mengandungi terapi Al-Quran.

Jom ramai-ramai berukuwwah fillah insyaAllah! ;)