26.11.16

TARBIATUL AULAD

Ulangkaji lagi. Dari satu buku ke buku lainnya. Dari kulit ke kulit. Biasalah, manusia dan lupa terpisah tidak.

Buku yang dibeli seingatnya sebelum ada anak. Mungkin sedang hamil. Jadi, banyaklah buat 'homework' persediaan menghadapi kelahiran.

Melalui pembacaan, tahulah mengenai tuntutan syariat kelahiran dan hari ke-7 kelahiran yang perlu disegerakan. Dari pengetahuan juga, mulalah menabung untuk perbelanjaan menyambut gembira anak-anak yang bakal lahir.


Letak keyakinan tentang keberkesanan sunah tuntutan menyambut kelahiran, inshaAllah Allah anugerahkan sesuatu yang diluar dugaan.

Sebab, sedayanya amal sunat itu tanda taat jiwa hamba.

25.11.16

SYUKUR

Dalam hidup kita, Allah sengaja tak bagi semua yang kita mahu. Kejar yang itu, yang ini akan tercicir. Kejar yang ini, yang itu pula ditarik semula.

Kerana Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Sebab pujuk hati yang selalu kita dengar dan memang betul. Sunnatullah.


Bersyukur dengan apa yang kita ada. Hargailah selagi ada. Jangan sampai cukup masa, Allah ambil dan ganti pula sebaliknya.

Jiwa cedera, itulah doanya.

24.11.16

MDS DRAF 1

Berkarya di malam hari. Alhamdulillah akhirnya dapat juga capai target untuk print MDS draf 1 untuk diagihkan kepada yang berkenaan. Juga senaskah untuk diri sendiri cek error sana dan sini.


Sebenarnya apa yang dikisahkan hanyalah permulaan sebuah universiti kehidupan tetapi inshaAllah mungkin ada panduan untuk bakal ibu ayah yang masih tercari-cari kaedah serta bagaimana untuk bermula.

Zero to hero dengan izin Allah.

23.11.16

PILIH JODOH

Walaupun bukan kategori rupawan apatah lagi hartawan lagi dermawan, hati itu tetap ada kriteria lelaki pilihan. Sebab soal jodoh berimpak masa depan. Alhamdulillah yang datang juga seperti apa yang kita minta dan zikirkan. 


Ada seorang lelaki mencari jodoh. Pesan lelaki lainnya: "Bukan ustazah pun tak apa ustaz asal dengar kata".

Barulah tahu antara kriteria perempuan pilihan lelaki ialah mendengar kata. Mungkin senang urus dan tak banyak ragamnya.

Betul. Sebab itu ramai perempuan dalam neraka. Mulut binasa.

20.11.16

ULANGKAJI

Alhamdulillah penangan delete aplikasi fb sementara waktu untuk laluan ketenangan jiwa. Masa banyak habis ulangkaji bahan bacaan dan menulis sedikit melalui lintasan kenangan-kenangan lebih 6 tahun sudah.

Walau bagaimanapun, mesti konsisten asah kemahiran menulis dengan bahasa-bahasa menggugah jiwa melalui penulisan di blog supaya penulisan dari hati sampai menyantuni hati-hati manusia lainnya inshaAllah dengan izin Allah pastinya.


Hari ini buka kitab rujukan seterusnya. Rupanya bukan mudah untuk menghasilkan penulisan berkualiti lagi-lagi status penulis yang ilmunya ala kadar dan latar belakang agama yang ala-ala sahaja.

Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis. (Imam Al-Ghazali)

Manis penuh pujukan syahdu kata-kata semangat imam yang hebat. Tulisan sekian lama dibingkaikan supaya masih boleh dibaca dan dipraktikkan sehingga generasi hari ini.

Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. (20:114)

19.11.16

BELI JIWA

Walaupun akaun TTI telah pun negatif di akhir tahun, tetapi jasa staff sepanjang tahun 2016 mesti dihargai. Staff yang gembira bekerja, impak mashaAllah luar biasa. Untung rugi kerja adalah Dia. Doa dan usaha sahajalah tanda taat setia kepada-Nya.


InshaAllah program HS akan dilaksanakan untuk 2017. Jadi, TTI sepenuhnya akan diuruskan mereka kerana masa yang ada terlalu singkat untuk mengurus banyak perkara. Tak menang tangan. Maka, tugas mesti diagihkan untuk manfaat ummat jagat.

Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya. (Imam Hassan Al-Banna)

17.11.16

IHTIFAL MAHKOTA HUFFAZ

Petang semalam terima gambar ini daripada group TTI. Mereka kerja lebih hampir 2 minggu kebelakangan ini. InshaAllah esok ialah hari yang dinanti-nanti ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka beraksi comel menghafal Quran, berzikir, berpuisi dan macam-macam lagi.

Disebabkan tak mahu aturcara majlis terganggu dek kerana kehadiran kami yang mempunyai 2 jiwa di TTI yang malu-malu jika si ibu dan ayah melihat persembahan mereka, jadi, semalam luangkan masa untuk melihat sedikit sebanyak 'rehearsal' anak-anak TTI. MashaAllah, comel sungguh!


Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari berada di rumah kita. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

16.11.16

MDS 👑

Sebenarnya tidaklah berapa mahir teknologi. Tengok email, barulah perasan bahagian circles yang tidak dibaca sejak 2014. 2 tahun sudah berlalu.


Tentang program Al-Quran separuh jalan yang sebelum ini dikongsikan dan di sembunyikan semula untuk ruang hati dan dengar cakap suami. Isteri cerdik yang solehah haha!

Alhamdulillah mungkin berkat dengar kata, Allah balas sesuai dengan pengorbanan melalui anak-anak juga.

InshaAllah dalam proses bab terakhir MDS. Selepas ini perlu print dan hantar tapis pada big boss Bayt Al-Iman dan inshaAllah baru boleh diusulkan pada syarikat yang Allah telah tetapkan untuk terbit. Biidznillah.

MDS, Anugerah Langit Tertinggi. 👑

12.11.16

TUNTUTAN SEBAR ILMU

+ Tidak perlu tunggu khatam dan amal, barulah mahu sampaikan.

Zaaaapp. Gegar jiwa sekejap. Rasa seperti Allah tujukan pada diri sendiri.

+ Taat Allah dan Rasul secara mutlak.
+ Berdamping dengan Al-Quran.
+ Quran turun selama 23 tahun dan akan naik semula ke langit seperti bunyi lebah apabila manusia tidak lagi beramal dengan isi Al-Quran.
+ Banyakkan baca Quran umpama baca surat daripada Allah melalui Nabi SAW sebelum diangkat.
+ Baca Quran semulia-mulia ibadat.

+ Dalam Quran ada beberapa yang Nabi SAW iaitu:
++Yassin
++Waqiah
++Al-Kahfi
++Sajadah
++Al-Mulk

+ Muliakan Nabi SAW dengan hafal paling kurang Yassin dan surah-surah kesukaan Nabi SAW.
+ Sentuh Al-Quran dengan wudu'.
+ Baca dengan pelihara hukum tajwid dan wajib belajar serta berguru.
+ Setiap benda hidup ada hati dan Quran hatinya pada surah Yassin.


Nota tentang Al-Quran untuk projek khabar gembira. MDS, our first lovely baby. InshaAllah biidznillah.

Kuliah selepas Maghrib,
Masjid Jamek.

11.11.16

MARY JARDIN

Pagi tadi baru terima ditangan. Petang tadi cuba cuci muka dengan sabun diberi. Tadi bancuh detox clay dengan cuka epal, susu dan madu. Sapu muka seisi rumah. Sebelum tidur pula, sapu face oil.


Kali pertama sabun muka, bersih dan ada rasa tajam. Detox clay pula memang mshaAllah terbaik. Mulus terasa kulit. Face oil pula berfungsi melembabkan kulit.

Produk hampir 100% organik. InshaAllah pilih yang baik-baik untuk kesihatan dan kecantikkan berpanjangan.

RADIO QURAN JOC

Kebiasaannya, setiap malam Jumaat selepas maghrib bersama anak-anak kami mengaji surah Al-Kahfi. Kadangkala bertemankan shaikh-shaikh besar tanah haram.

Jika mahu bacaan laju, kami pilih Shaikh Sudais. Antara laju dengan tak, kami pilih Shaikh Ghamidi. Jika bacaan perlahan, pilihlah Shaikh Mishari. Jika mahukan bacaan berserta maknanya, kami pilih Shaikh Maher.

Betapa mudahnya kami membaca Al-Kahfi berjemaah dengan shaikh-shaikh yang bukan sebarangan. Petik sahaja. Haha.


Bagusnya radio Quran JOC ini ialah kita semak makhraj huruf.

Malam semalam bertemankan Shaikh Sudais. Semput juga kawal pernafasan. Laju. Cukup masa antara maghrib dan isya'.

Harga sebuah radio Quran pun semakin murah sekarang.

10.11.16

SIFIR RUMAHTANGGA



The closer you get to Allah,
The closer you are to each other.

ZON SELESA

Bermula Syawwal 1436H, Allah gerakkan kami suami isteri untuk cuba jaya menurunkan berat badan. Ianya bukanlah rancangan yang terancang. Seperti kebiasaannya, sentuhan mengejut anugerah dari langit.

Alhamdulillah pada Syawwal 1437H, kami masing-masing hilang lebih 10kg. Berat sebelum ialah 64kg dan berat sekarang pernah juga mencecah 51kg. Berat tingkatan 5 mungkin. Tapi kebiasaannya purata berat ialah 53kg.


Antara petua santai kami
+ puasa gula: air semuanya O
+ makan sepinggan kongsi bersama
+ bersenam

Namun, apabila telah capai zon selesa, kami sudah boleh makan sepinggan nasi dan berat tetap sama. Metabolisme begitu cepat membakar dan cepat lapar juga.

Kemudian, apa yang paling ketara apabila mula meninggalkan senaman ialah badan jadi lemah dan mudah lemau. Tidak seperti kebiasaan apabila bersenam. Toksin dalam badan dirembes keluar melalui peluh.

Hari ini kita mula bermini gym semula. Cuma angkat besi dengan 6 set gaya sebanyak 10 kali setiap set.

Sebenarnya signifikan juga dengan kehidupan kita. Apabila terlalu selesa, kita manusia mula lupa. Sebab itu jugalah Allah cipta ujian dan dugaan supaya manusia yang selalu lalai ini, mudah buat u-turn pulang ke pangkuan Yang Memberi Ujian.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (29:2)

ANAKKU SUPER AL-QURAN

Sampai ditangan petang semalam. Khatam baca waktu yang lebih kurang sama seperti semalam.


Satu perkataan yang boleh menggambarkan perasaan setelah habis baca ialah BERTUAH.

Bertuahnya rasa Allah kirimkan orang alim yang sudi bersahabat dan berkongsi pelbagai perkara dengan kami. Mudah-mudahan aura sinaran Al-Quran dari utara sampai ke selatan sini. Ameen.

Buku padat tapi sarat dengan petua keibubapaan ikut gaya Nabi SAW. Boleh didapati melalui kedai buku Galeri Ilmu atau boleh terus mengunjungi blog mereka: www.cinta-rasul.blogspot.com untuk maklumat lanjut berkenaan buku ini.

9.11.16

MATI

Cuti mengejut. Dapat khabaran kurang lebih 3 pagi tadi, bahawasanya, nenek sebelah abah pergi tinggalkan dunia.



Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (21:35)

Dan kita adalah calon yang seterusnya.

8.11.16

PISANG

Pisang hasil tanaman di tepi rumah. Tidak pasti sama ada pisang dari pokok yang sama atau berbeza. Tahu-tahu sudah ada di dapur menanti bertukar warna.


Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri, dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).(Al-Waqiah 56:27-29)

Pokok yang ada di dunia dan dimuliakan dalam Quran sebagai bukti salah satu makhluk penghuni syurga.

Alangkah seronoknya menjadi sebatang pokok pisang antara yang bersusun-susun. 🍌

7.11.16

ADDICTED

Sekian lama betapa dunia blog, cuba bina 'personal branding' untuk niaga di fb santai-santai. Wujud personal fb pun asbab page TTI cuma tidak berfungsi sahaja. Jadi, dengan inisiatif yang ada, cuba kembangkan imaniagaMA dengan modal kecil dan mula aktif sebelum Ramadan 1437.

Seronok juga berada dalam dunia cyber fb. Macam-macam ada. Banyak keperluan makan dan pakai yang menepati kriteria kami boleh didapati dengan mudah. 


Antaranya ialah deoderon. Punyalah gembira suka bertemu teknologi yang memudahkan. Maklum sahaja, bertahun bersara produk yang mengandungi aluminium. Bahan alami pula agak leceh.

Sekarang RnR. Rehat dan rawat hati. Padam aplikasi fb kerana hampir tidak terkawal. Banyak masa dihabiskan menghadap skrin sambil scroll. Istilah paling tepat ialah addicted. Sendiri cari penyakit, sendiri perlu pandai cari ubat.

Bila rasa penat, maka rehatlah sekejap.

TAZKIRAH KAIN BAJU

Hari minggu dan cuti semalam adalah hari sambung mengemas dan susun atur bilik. Antara perkara berfasa yang perlu buat adalah tapis kain baju. Dalam pada tapis menapis, rupanya ada tazkirah yang menyentap sanubari. Betapa yang nama manusia ini memang fitrahnya bersifat tamak dan loba.

Kita pakai baju cukup 2 pasang sehari semalam. Katalah seminggu, kita hanya perlu 14 pasang pakaian sahaja. Tapi punyalah rakus, pakaian bersusun siap ada yang belum pakai atau pakai yang boleh dibilang jari. Masalahnya ialah sayang nak beri pada orang. Baju jarang pakai semestinya masih baru dan cantik dipandang. Kadang bukan buruk dipakai tapi reput tidak berusik tergantung bersidai.


Pelan-pelan tarik baju-baju cantik yang jarang dipakai dan letak dalam plastik hitam. Labelkan. Itu pun masih banyak lagi yang tidak dilepaskan. Peringatan dari langit terkesan dijiwa hanya melalui kain baju bersidai tidak dipakai.

Macam manalah mahu jawab berdepan dengan Tuhan.

4.11.16

HADIAH DARI SYURGA

Hadiah dari sahabat berhati mulia lagi rendah diri orangnya. Banyak belajar akhlak dan adab daripada si dia. Anugerah tanda sokongan dan sentiasa gembira meraikan.


Striving for jannah. Every success starts with a PLAN.

Maknanya, dari seorang yang sentiasa plan mengejut, perlu belajar juga untuk merancang supaya hidup lebih teratur.

Terima kasih sahabat.
Sayang kerana Allah. 💖