Gambarkan perasaan anda sebagai ibu atau ayah yang mendengar bahawasanya anak gadis anda tidak mampu untuk fokus kepada peperiksaan kerana dia ada 10 teman lelaki. Apakah tindakan anda sebagai ibu bapa untuk menangani masalah anak gadis anda ini.
Tentulah sedih. Saya akan menasihatinya dan sekiranya tidak berjaya juga, saya akan hantar ke kaunselor. Respon saya (hanya dalam hati), mungkin kaunselor pilihan yang tiada dalam senarai saya.
Rata-rata jawapan masing-masing menggambarkan perasaan mereka dengan sedih dan dengan bawa berbincang. Saya pula bersedia dengan jawapan untuk kuarintin anak gadis saya yang terlalu ramai peminat ini haha! Tiada telefon bimbit dan diuzlakan sementara.
Pengalaman saya sendiri. Saya ini perlu sangat bersyukur yang Allah jaga saya dari kecil dalam keadaan duduk di sebuah keluarga yang bukan dibesarkan dalam roh Islam sebenar. Muslim itu sekadar cukup solat 5 waktu, puasa dan sebagainya. Selebihnya, biasa-biasa sahaja. Alhamdulillah Allah bagi saya sangat takut dengan apa jua yang keluar dari mulut mak. Saya sangat takut mak saya mati semasa kecil. Betapa sayangnya saya pada mak.
Walaupun mak saya bukan seorang ahli dalam agama dan kasar juga, tetapi kata-kata mak selalu saya ambil berat. Kata mak, perempuan dan lelaki umpama magnet yang berlaian cas. Jangan bagi lelaki pegang tangan. Maksudnya bersentuhan kulit. Mak jenis yang cakap tegak tanpa belok. Senang faham dan memang sehingga kini tiada pelapik.
Mungkin asbab saya yang Allah jaga sedia baik, saya pegang kata-kata mak dalam melalui usia-usia remaja saya. Pergi mana sahaja maklah yang hantar dan ambil. Semasa zaman sekolah, saya antara pelajar yang kerap ponteng aktiviti kokurikulum setiap Sabtu sebab, mak dengan tegasnya mengatakan aktiviti ko-ko di sekolah menggalakkan anak-anak remaja MENGGATAL.
Selingan kisah saya. Jadi, dalam pemikiran saya ialah bagaimana kaedah yang mak terapkan semasa saya remaja untuk menjawab soalan KBAT ustaz. Pendekatan ustaz adalah dari segi psikologi. Antara dialog lakonan beliau meletakkan dia sebagai bapa kepada anak gadis tersebut ialah,
Ayah mahu engkau lihat mesti ada sesuatu yang istimewa pada diri kau yang tiada pada orang lain sehingga 10 orang lelaki suka. Sebenarnya bukan setakat 10 malah 100 orang boleh suka pada kau sebab ada sesuatu yang ada dalam diri kau, tiada pada orang lain yang perlu hargai dan jaga.
Saya simpulkan, ustaz mengajar si anak untuk 'memahalkan' dirinya. Selain itu, antara tips ketika anak masuk ke usia mumayyiz:
1. Raikan anak dengan membuat kenduri doa selamat. Jangan pula diberitahu sebab kenduri doa selamat kerana anak sudah datang haid atau pecah suara. Kita sebagai ibu bapa sahaja faham asbab kenduri dan diaminkan doa orang-orang sekampung supaya Allah memelihara anak-anak kita dari kemudaratan.
2. Lafaz akad melepaskan anak-anak. Terangkan yang mereka sudah menanggung dosa mereka sendiri dan mereka perlu menjadi insan yang bagaimana, dan bagaimana kehidupan ini.
3. Perjanjian demi perjanjian.
Ketika semester pertama ustaz di Morocco, dia mahu bertunang dengan si pengawas sumber inspirasi beliau itu dan beliau membuat perjanjian dengan bapanya. Bapa beliau akan meminangkan si gadis tersebut dengan syarat si anak ini lepas peperiksaan dengan cemerlang semseter 1. Begitulah contoh perjanjian dengan anak-anak. Kita beri apa yang diingini anak dengan syarat anak beri juga apa yang dimahukan ibu ayah.
Bagi saya, pendekatan seperti ini tidak mudah berlaku dengan mengambil faktor perbezaan personaliti antara anak-anak serta perbezaan latar belakang tetapi saya percaya psikologi yang lembut yang menyentuh hati anak-anak untuk kembali taat dan dekat kepada Allah, sangat perlu. Sebagai ibu ayah, penekanan utama adalah penekanan bab hati. Bagaimana menanamkan aqidah yang sejahtera kepada kefahaman anak yang kita berTUHAN.
Sentuh hati anak-anak dengan kasih sayang. Santuni mereka dengan ketaatan kita kepada Allah melalui perbuatan. Kaitkan kasih sayang Allah kepada anak-anak yang taat perintah Allah, ikut sunnah Ar-Rasul dan dengar kata ibu dan ayah. Ganjaran syurga yang tidak mampu digambarkan hatta dengan kata-kata keindahannya buat para hamba Allah yang soleh wa musleh.
MashaAllah menulis bab ini menjadikan saya rindukan srikandi kami yang entah bila Allah takdirkan untuk menjengah dunya (baca: dunia). Srikandi yang indah terjaga rapi yang sangat eksklusif. Srikandi yang berjiwa pahlawan sekental Nusayba si jururawat dalam Perang Uhud. Bagaimana beliau sanggup syahid untuk mempertahankan Ar-Rasul daripada diserang di celahan Bukit Uhud yang bakal menjadi saksi kehebatan Nusayba pertaruhkan nyawa sehingga gugur syahid.
Buat puteriku,
InshaAllah pastinya engkau srikandi Islam yang terlalu mahal dari dunia dan isinya. Semoga Allah menjaga kerahsiaanmu semenjak dikau lahir sehingga akhirnya. Tidak akan pernah dikenali penduduk dunia tetapi engkau cukup terkenal dikalangan penghuni langit. Ini janji ibu dan ayah.
Wahai Allah, teguhkan dan peliharalah janji kami ini.