Ketua: Saya mahu tegur sedikit (nada sopan dan lembut). Awak mengajar English. Bukan agama. Surau tidak sesuai untuk aktiviti dijalankan. Saya faham awak mahu solat awal waktu bila awak minta rehat waktu ke-6 atau ke-7. Saya bimbang apabila pemantau datang.
Cikgu: Saya biasa solat awal waktu. Bila jadi macam ini, saya memang sedihlah (air mata sudah tidak terbendung lagi). Sekiranya saya tidak boleh solat di awal waktu, saya rasakan bagaikan hamba kerja dan bukan hamba kepada Allah.
Kolam mata sudah terlalu banjir dari perjalanan pulang tadi sehinggakan sampai ketika entry ini ditaipkan. Sesungguhnya saya tidak kisah ditegur dan saya faham kefahaman kita dan cara memandang sesuatu adalah berbeza. Sekali lagi, sistem hari ini menjadikan kita lebih takut kepada manusia berbanding Maha Pencipta manusia.
Ketua saya seorang yang baik. Aurat terjaga. Semuanya baik. Saya faham kerisauan seorang pemimpin. Saya menangis bukan sebab teguran beliau. Saya terlalu sebak, memikirkan anak-anak saya yang tidak solat. Walaupun perintah untuk pukul bersyarat pada usia 10 tahun tetapi usia 7, 8 tahun adalah usia untuk pengenalan dan memupuk, menyemai kecintaan, tidak sabar-sabar menghadap Ilahi.
Cadangan beliau, masuk ke kelas dan sediakan kerja. Minta guru sebelah melihat-lihat anak-anakku yang ramai itu. Pengamatan saya, anak-anak usia ini memang tidak boleh dibiarkan lepa walaupun seketika. Asbab itu, saya lebih sanggup untuk bawa mereka semua menunaikan solat bersama-sama saya tadi.
Kedua, tunggu habis kelas sekitar 510 petang dan tunaikan solat selepas itu. Ini betul-betul ujian buat saya. Saya tidak mahu takdir pengakhiran saya dalam keadaan saya berhutang solat dengan Allah. Minta Allah jauhkan tiba-tiba terkena serangan jantung dan mati dalam keadaan melengahkan waktu solat. Allah! Lemahnya saya rasa ketika ini. T__T
Wahai puan hajjah yang saya cintai kerana Allah, kalaulah hajjah tahu betapa sayangnya saya kepada puan hajjah. Saya tidak mahu puan hajjah dipertanggungjawabkan tentang tanggungjawab kehambaan saya yang sengaja dilewatkan hanya kerana tuntutan dunia. Sekurang-kurangnya, hajjah tidak perlu menjawab bagi pihak saya. Saya terlalu ingin memudahkan urusan hajjah dengan Allah nanti sebagai pemimpin.
Maka, dosa ini adalah dosa rangkaian dan berkait-kait. Ketua saya dibawah kuasa ketua di atasnya. Ketua di atasnya adalah di bawah kuasa ketua di atasnya. Lapisan demi lapisan yang bakal dipertanggungjawabkan kelak. Bayangkanlah pemimpin negara yang bakal menjawab kerajaan dan isinya yang berada di bawah pemeritahannya. Begitu juga saya. Saya juga akan dipertanggungjawabkan anak-anak yang berada di bawah jagaan saya. Ya Allah! Seksanya T__T.
Tampak isu solat awal waktu itu remeh tetapi bukan pada saya. Mati itu terlalu dekat. Kita sahaja yang rasa kematian itu jauh kerana ianya kerahsiaan Allah. Kita tidak tahu ketibaan, asbab kematian dan sebagainya. Sungguh kita tidak dinilai pada permulaan hidup kita tetapi kita semua dinilai di pengakhiran kehidupan kita. Mati dalam taat atau lalai T__T.
Allah! Allah! Allah! Bantulah hamba ya Allah! T___T
Buku wasiat. Dan hidup ini terlalu singkat.
Nampaknya, saya perlu fikirkan semula cadangan suamiku tercinta fillah. Buat donut senang hati. Masa dhuha, solat dhuha. Masuk waktu terus solat. Hidup dengan gembira. Saya pula berfikiran lain. Saya rasakan yang sistem salah ini memerlukan kualiti insan-insan taat yang faham kepentingan hidup beraqidah untuk ditanamkan ke dalam hati anak-anak keseluruhannya. Sekiranya makpak diluar sana faham, betapa sayangnya 12 tahun anak-anak mereka dibiarkan dalam sistem yang lemah ini. Allah! Lemahnya hamba ya Allah!
Hati ini terlalu sebak.