31.12.14

DISIPLIN

Alhamdulillah. Rindu untuk menulis. Berhenti sejenak untuk ibadah santai ini.

Lebih sebulan kami mengalami putaran 360 darjah kehidupan. Sekarang juga dalam tempoh penyesuaian diri. Bukan semua anak-anak ini mudah dibentuk. Kita lahir dari latar belakang yang berbeza. Latar belakang yang pelbagai menjadikan kita semua berbeza cara befikir. 

Anak-anak telah mula ke sekolah bermain. Satu perkara yang saya suka sekolah ialah ianya mendidik anak-anak berdisiplin. Seawal usia anak-anak dilatih bangun awal, mandi, solat Subuh seterusnya berkemas untuk ke sekolah.

Masa terlalu mahal buat kami ketika ini. Diikutkan rasa hati, mahu sahaja saya kemaskini entry-entry lepas untuk di simpan sebagai 'draft'. Bayt al-iman memerlukan nafas baharu yang lebih dewasa.

25.12.14

UZLAH & MUHASABAH

Semasa dalam perjalanan ke Palestin, dalam kepala saya bermacam-macam, perasaan juga pelbagai. Palestin bumi yang dibedil hebat oleh Zionis tetapi sangkaan saya tidak seperti mana yang dibayangkan. Buka tingkap di pagi hari, bumi Palestin adalah tempat yang paling indah pernah saya lawati. Tenang.

Turun dari bas ketika baru sampai, kami di sambut dengan senyuman oleh anak-anak kecil. Langsung tiada rasa takut. Kita yang pada mulanya takut, jadi berani kerana mereka semua di sana berani. [Afdlin Shauki, Mimbar Pencetus Ummah Akhir]

Saya sendiri tidak pernah mengikuti program realiti Pencetus Ummah sehinggalah saya ke rumah bonda yang mana program ini sedang bersiaran langsung ketika ini. Saya tertarik dengan kata-kata Tuan Afdlin Shauki tentang pengalaman beliau ke Palestin.

Saudara kita di Palestin hidup di alam nyata.

Bandingkan dengn realiti kehidupan kita disini. Betapa jauhnya kita. Kita berperang dengan skrin telefon sahaja terlalu kalah. Telefon pintar menjadikan kita ralit mencakarnya sehingga ianya menjadi suatu gangguan di hati. Ini keadaan saya sehingga membuatkan saya perlu memadam aplikasi facebook peribadi dan meninggalkan pages TTM, padam aplikasi telegram dan hanya membiarkan aplikasi Whatsup yang tidak sibuk sebagai cara mengatasi.

Alhamdulillah dan MashaAllah. Selepas saya padam semua aplikasi yang mengganggu, saya terasa begitu lapang. Benarlah kata zauji, saya memang tidak memerlukan facebook. Wujudnya facebook untuk tujuan promosi TTM yang memerlukan akaun personal. Maka, saya hanya meninggalkan laman Fb TTM. Hidup terasa tidak terikat lagi dengan telefon pintar.

Maka, hari ini Allah semakin beri saya faham tentang alam nyata dan bukan semata khayalan dengan bimbingan berterusan dan doa yang tidak pernah putus mereka terdekat saya. Sehinggakan saya terasa begitu banyak sampah sarap yang saya tulis selama ini. Allahu.

Hari ini saya berasa begitu bersalah dengan anak-anak saya. Betapa terlalu banyak cerita mereka yang saya hebahkan tanpa saya peduli tentang pegangan mereka apabila mereka besar. Mungkin mereka tidak suka dengan apa yang saya tulis tentang mereka selama ini.

Ulama dahulu terkenal dengan tulisan-tulisan mereka sebelum wajah mereka dikenali bahkan ada yang Allah pelihara sehingga tidak dikenali tetapi hari ini saya berasa yang saya telah 'mencabuli' hak-hak anak-anak saya yang mungkin tidak suka saya menulis tentang mereka dan memaparkan gambar-gambar mereka walau dari sisi manapun mereka sebagaimana ayahanda mereka tidak suka diikat dengan semua laman sosial. Semoga mereka memaafkan ibunda mereka atas segala keterlanjuran saya selama ini.

Wahai Allah, pimpinlah kami ke alam realiti dan bawa kami jauh pergi dari alam fantasi.

9.12.14

BERKAT DHUHA

Bangun pagi, satu mesej Whatup daripada seseorang. Barangkali rindukan tulisan di blog iman ini. Alhamdulillah wa tabarakallah, kami sihat dan sedang bertungkus lumus untuk TTM yang mana hari terbuka tadika dijadualkan pada Sabtu, 20 Disember 2014 ini.

Mari lepaskan rindu kerana Allah ;).

Beberapa minggu lepas, zauji ada memuat turun nasyid UNIC jika saya tidak silap berkenaan doa dhuha dan apa yang meruntun jiwa ialah lirik doa solat dhuha itu sendiri sehinggakan secara peribadi saya merasakan yang setiap daripada kita PERLU membudayakan solat dhuha kerana, kita banyak tidak betul daripada betul. [zauji]

Jangan kita fikirkan, apa yang kita buat, dalam dunia harian, pekerjaan dan apa sahaja, semuanya betul. Kadangkala tanpa kita sedar yang kita telah mengambil hak orang lain. Tidak memberikan apa yang sepatutnya dan sebagainya. 

Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, mudahkanlah
JIKA HARAM, SUCIKANLAH
Jika jauh, dekatkanlah.

Sebahagian dari doa solat dhuha dendangan kumpulan UNIC yang terkesan di hati saya lebih-lebih lagi ayat, JIKA HARAM, SUCIKANLAH. InshaAllah melalui solat sunat dhuha, kita memohon kepada Allah untuk disucikan rezeki-rezeki yang haram yang mungkin tanpa kita sedari.

Salah satu hikmah Allah membersihkan rezeki ;).

Maka, jika Allah turunkan hikmat melalui kehilangan harta atau apa sahaja yang merugikan, inshaAllah mungkin itu adalah daripada asbab permohonan dan doa kita melalui solat sunat dhuha.

Maka, bersangka baiklah terhadap Allah dalam apa juga situasi.

12.11.14

PENDEKATAN ANAK MUMAYYIZ (2)

Gambarkan perasaan anda sebagai ibu atau ayah yang mendengar bahawasanya anak gadis anda tidak mampu untuk fokus kepada peperiksaan kerana dia ada 10 teman lelaki. Apakah tindakan anda sebagai ibu bapa untuk menangani masalah anak gadis anda ini.

Tentulah sedih. Saya akan menasihatinya dan sekiranya tidak berjaya juga, saya akan hantar ke kaunselor. Respon saya (hanya dalam hati), mungkin kaunselor pilihan yang tiada dalam senarai saya.

Rata-rata jawapan masing-masing menggambarkan perasaan mereka dengan sedih dan dengan bawa berbincang. Saya pula bersedia dengan jawapan untuk kuarintin anak gadis saya yang terlalu ramai peminat ini haha! Tiada telefon bimbit dan diuzlakan sementara.

Pengalaman saya sendiri. Saya ini perlu sangat bersyukur yang Allah jaga saya dari kecil dalam keadaan duduk di sebuah keluarga yang bukan dibesarkan dalam roh Islam sebenar. Muslim itu sekadar cukup solat 5 waktu, puasa dan sebagainya. Selebihnya, biasa-biasa sahaja. Alhamdulillah Allah bagi saya sangat takut dengan apa jua yang keluar dari mulut mak. Saya sangat takut mak saya mati semasa kecil. Betapa sayangnya saya pada mak.

Walaupun mak saya bukan seorang ahli dalam agama dan kasar juga, tetapi kata-kata mak selalu saya ambil berat. Kata mak, perempuan dan lelaki umpama magnet yang berlaian cas. Jangan bagi lelaki pegang tangan. Maksudnya bersentuhan kulit. Mak jenis yang cakap tegak tanpa belok. Senang faham dan memang sehingga kini tiada pelapik.

Mungkin asbab saya yang Allah jaga sedia baik, saya pegang kata-kata mak dalam melalui usia-usia remaja saya. Pergi mana sahaja maklah yang hantar dan ambil. Semasa zaman sekolah, saya antara pelajar yang kerap ponteng aktiviti kokurikulum setiap Sabtu sebab, mak dengan tegasnya mengatakan aktiviti ko-ko di sekolah menggalakkan anak-anak remaja MENGGATAL.

Selingan kisah saya. Jadi, dalam pemikiran saya ialah bagaimana kaedah yang mak terapkan semasa saya remaja untuk menjawab soalan KBAT ustaz. Pendekatan ustaz adalah dari segi psikologi. Antara dialog lakonan beliau meletakkan dia sebagai bapa kepada anak gadis tersebut ialah,

Ayah mahu engkau lihat mesti ada sesuatu yang istimewa pada diri kau yang tiada pada orang lain sehingga 10 orang lelaki suka. Sebenarnya bukan setakat 10 malah 100 orang boleh suka pada kau sebab ada sesuatu yang ada dalam diri kau, tiada pada orang lain yang perlu hargai dan jaga. 

Saya simpulkan, ustaz mengajar si anak untuk 'memahalkan' dirinya. Selain itu, antara tips ketika anak masuk ke usia mumayyiz:
1. Raikan anak dengan membuat kenduri doa selamat. Jangan pula diberitahu sebab kenduri doa selamat kerana anak sudah datang haid atau pecah suara. Kita sebagai ibu bapa sahaja faham asbab kenduri dan diaminkan doa orang-orang sekampung supaya Allah memelihara anak-anak kita dari kemudaratan.
2. Lafaz akad melepaskan anak-anak. Terangkan yang mereka sudah menanggung dosa mereka sendiri dan mereka perlu menjadi insan yang bagaimana, dan bagaimana kehidupan ini.
3. Perjanjian demi perjanjian.

Ketika semester pertama ustaz di Morocco, dia mahu bertunang dengan si pengawas sumber inspirasi beliau itu dan beliau membuat perjanjian dengan bapanya. Bapa beliau akan meminangkan si gadis tersebut dengan syarat si anak ini lepas peperiksaan dengan cemerlang semseter 1. Begitulah contoh perjanjian dengan anak-anak. Kita beri apa yang diingini anak dengan syarat anak beri juga apa yang dimahukan ibu ayah.


Bagi saya, pendekatan seperti ini tidak mudah berlaku dengan mengambil faktor perbezaan personaliti antara anak-anak serta perbezaan latar belakang tetapi saya percaya psikologi yang lembut yang menyentuh hati anak-anak untuk kembali taat dan dekat kepada Allah, sangat perlu. Sebagai ibu ayah, penekanan utama adalah penekanan bab hati. Bagaimana menanamkan aqidah yang sejahtera kepada kefahaman anak yang kita berTUHAN.

Sentuh hati anak-anak dengan kasih sayang. Santuni mereka dengan ketaatan kita kepada Allah melalui perbuatan. Kaitkan kasih sayang Allah kepada anak-anak yang taat perintah Allah, ikut sunnah Ar-Rasul dan dengar kata ibu dan ayah. Ganjaran syurga yang tidak mampu digambarkan hatta dengan kata-kata keindahannya buat para hamba Allah yang soleh wa musleh.

MashaAllah menulis bab ini menjadikan saya rindukan srikandi kami yang entah bila Allah takdirkan untuk menjengah dunya (baca: dunia). Srikandi yang indah terjaga rapi yang sangat eksklusif. Srikandi yang berjiwa pahlawan sekental Nusayba si jururawat dalam Perang Uhud. Bagaimana beliau sanggup syahid untuk mempertahankan Ar-Rasul daripada diserang di celahan Bukit Uhud yang bakal menjadi saksi kehebatan Nusayba pertaruhkan nyawa sehingga gugur syahid.

Buat puteriku,
InshaAllah pastinya engkau srikandi Islam yang terlalu mahal dari dunia dan isinya. Semoga Allah menjaga kerahsiaanmu semenjak dikau lahir sehingga akhirnya. Tidak akan pernah dikenali penduduk dunia tetapi engkau cukup terkenal dikalangan penghuni langit. Ini janji ibu dan ayah.

Wahai Allah, teguhkan dan peliharalah janji kami ini.

6.11.14

PENDEKATAN ANAK MUMAYYIZ (1)

Kesusahan adalah nikmat yang tertangguh.

Sepotong ayat dari seorang pensyarah iaitu seorang ustaz dalam slot selama 5 hari saya kursus naik gred yang saya hadiri minggu lepas. Secara spontan Allah berikan saya kecekapan menangkap mutiara-mutiara kata yang manis dan signifkan. Ustaz menceritakan bagaimana dia yang pada kecilnya seorang yang sangat nakal. Setiap kali hujung minggu, aktivitinya penuh dari pagi sampai ke malam.

Ayahanda beliau melihat potensi dalam kenakalan anaknya ini dan disekolahkan ke sekolah arab sehinggakan kesedaran itu sampai kerana beliau meminati seorang pengawas semasa zaman sekolahnya yang mana perjanjian demi perjanjian beliau dengan ayahnya ketika belajar sehinggakan akhirnya jodoh beliau bersama si gadis tersebut tanpa melibatkan ikhtilat dan perhubungan tanpa batas. Paling saya ingat. Ustaz-ustaz ini tidak boleh bercinta. HARAM! HARAM! HARAM! haha! Namanya jodoh. Seorang di benua Afrika, seorang di benua Eropah, sudah takdirNya jodoh, bersatu juga :).

Soalan KBAT (baca: kemahiran berfikir aras tinggi) si ustaz kepada kami.

Anda mempunyai seorang anak gadis yang berusia belasan tahun yang tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan (SPM mungkin-saya kurang pasti) dan tiba-tiba anak gadis anda yang mengatakan yang dia tidak boleh fokus kepada peperiksaannya kerana dia memilik 10 BOYFRIENDS!

Fuh pengsan mak dengar!

Secara random ustaz panggillah beberapa nama yang bertuah untuk menyelesaikan masalah ini. Bermacam jawapan keluar dan saya juga bersedia dengan jawapan saya tetapi inahaAllah saya tinggalkan permasalahan ini untuk sesiapa yang sudi untuk cabar diri berfikir ala KBAT. Gambarkan perasaan dan tindakan anda sebagai ibu bapa untuk mengatasi masalah anak gadis anda ini.

5.11.14

WW- ANZIETI YANG TERUK


Kerisauan yang teruk tentang ummah. Lagi beberapa tahun hampir edisi siri ke-3, tetapi apakah sumbangan untuk ummah setakat umur hari ini? Al-Fateh usia 22 tahun sudah menjadi panglima perang dengan mengetuai beberapa siri peperangan. Keindahan Islam sampai ke seluruh pelusuk alam.

Hari ini, dalam ketenatan ummat, tugas dan fokus utama kita adalah mengiISLAHkan ummat. InshaAllah sambung nanti disebalik kisah anzieti yang teruk ini.

Nangis lagi.

4.11.14

BAHANA LIDAH

Diminta semua penumpang memerhatikan pakaian mereka. Pastikan semuanya menutup aurat dengan sempurna.

Pakai tali pinggang keselamatan. 

Semua penumpang diminta untuk menadah tangan untuk berdoa keselamatan sepanjang perjalanan.

Sesungguhnya kematian itu tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat. Dari DIA kita datang dan kepada DIA pasti kita kembali.

Anda diminta untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan zikrullah sepanjang perjalanan.

Bayangkan situasi di atas adalah situasi di dalam kapal terbang yang hanya terpenuh dengan kata-kata membesarkan Allah. Di mana-mana sudut pepenjuru dunia, kita hanya akan mendengar kehebatan Islam. Perkembangan ilmu Islam dan tokoh-tokoh ilmuan Islam. Tiada seorang pun yang berkata-kata perihal keburukkan orang lain.

Mengimbas kembali usrah zaman belajar. Gambaran di atas adalah berkenaan kerajaan Abasiyyah yang mana Islam sedang berada di puncak dunia. Islam menjadi rujukan seluruh ummat dan ketika itu lahir banyak ilmuan Islam pelbagai bidang. Di mana-mana hanya bercerita tentang kehebatan Islam. Betapa kagumnya kita kepada Islam agama Allah ini.

Bandingkan pula kita di zaman ini. Kita tidak pernah untuk ambil tahu akan kehebatan sebenar sejarah KITA yang mana sejarah kita hari ini banyak yang telah diputarkan 360 darjah dan kebohongan semata-mata. Alangkah baiknya, kita berhenti memakan daging saudara kita dan gantikan dengan membaca dan zikrullah. Ilmu dapat. Pahala berganda. Berbanding bercerita perihal orang lain, sedeqah pahala sahaja setiap hari.

Setiap orang ada jahiliyyah yang sifatnya sentiasa ada. Hati ini memang sifatnya tertarik dan menarik. Setiap kali mahu baik, ada sahaja halangan untuk merealisasikan keinginan kita itu. Adatlah semakin kita mahu mendalami Islam, setiap itu akan datang segala jenis jeneral laknatullah untuk menggoda supaya tidak diteruskan dan menyeru untuk terus membuat dosa.

Pernah suatu ketika di zaman belajar, kami ke KL untuk menghadiri komferen yang melibatkan katibah-katibah yang membentangkan tentang Ghuzur Fikh (baca: serangan pemikiran). Ahli usrah kami disambut oleh ahli usrah di KL di stesen LRT umpama saudara Ansar Madinah menyambut Muhajirin Mekah. Kami disambut gembira. Kami berjalan menuju ke kolej kediaman mereka sebagai tempat bermalam.

Dalam perjalanan, kami berpegangan tangan erat antara Ansar dan Muhajirin. Cerita kami sekitar perjalanan dakwah dan tarbiyyah di kolej masing-masing. Saya banyak bercerita sedang saudara saya banyak mendengar sehingga satu tahap, si Ansar ini menggegar tangan saya ala-ala tok iman menggeggar tangan pengantin lelaki ketika akad nikah.

Mereka belum dapat tarbiyyah Allah sambil menggenggam lebih erat tangan ini.

Saya jadi malu sendiri. Berdosa dan alangkah buruknya orang yang dalam tarbiyyah menceritakan yang buruk-buruk tentang orang lain. Allah tegur saya melalui makcik (baca: panggilan akhowat walaupun masih muda :).

Akhlak yang luar biasa! Mereka bukan jurusan agama tetapi TESL saya fikir. Tarbiyyah menjadikan mereka lain walaupun mereka bukan ustazah. Sama juga dalam kalangan adik-beradik usrah saya hari ini. Kami semua bukan ustazah kecuali seorang tetapi sedikit kefahaman yang Allah sedarkan, kami mahu beramal dengan ilmu dan kefahaman yang Allah campakkan.

Mak usrah saya adalah seorang pentadbir sekolah dan beliau seorang yang amat disenangi orang bawahannya. Tarbiyyah membuatkan kita berbeza. Tindakan, perkataan, semuanya perlu ditapis dan berfikir panjang untuk melontarkan apa-apa pandangan atau kritikan.

Walau bagaimanapun selagi mana bergelar manusia, kita tetap masih ada jahiliyyah. Sebab itu juga jangan memandang seseorang itu dengan pandangan yang sempurna. Selagi mana nama manusia, kita tetap tidak akan pernah sempurna.

Saya dan zauji serang berbincang itu dan ini dan Allah izinkan saya banyak belajar melaluinya. Pernah suatu hari, saya dalam jahiliyyah. Ianya berkaitan alam pernikahan. Saya sekadar melontarkan pandangan dan selera saya. Saya katakan yang sekiranya, saya juga tidak suka akan lelaki yang keanak-anakkan yang banyak kelemahan di mata saya dengan merujuk dengan individu yang dekat dengan kami.

Saya terus dinasihati zauji.

Katanya, sekiranya saya berfikir maju setapak, saya akan takut untuk mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa. Adalah tidak patut seorang yang pergi usrah dan dalam tarbiyyah Allah mengeluarkan kata-kata sebegitu rupa. Jangan lupa yang suatu hari, kita juga punya anak dan inshaAllah cucu cicit pula. Takutlah Allah uji kita asbab kesalahan lidah kita kepada anak cucu cicit kita.

Astagfirullah. Istigfar saya berkali-kali.

Zauji pesan dan nasihat awal-awal kepada saya untuk tolong jaga dirinya dengan tidak mengumpat dan tolong jaga ikhtilat. Tidak perlu menjurumusan diri dalam lingkungan rakan-rakan pengumpat. Dalam mensyurat sekiranya tidak bersetuju, tolong duduk diam-diam. Tidak perlu berhujah apa-apa. Sekiranya ada mesyuarat yang bertindih dengan waktu solat, tinggalkan mesyuarat dan pergilah menunaikan solat. Wajib tinggalkan mesyuarat kerana tidak yang lebih penting selain bersegera menghadap Allah. Sehinggakan semalam mesyuarat, saya tidak tahu menahu ada mesyuarat. Punyalah tidak bermasyarakat :D. 

Begitulah perumpamaan kita hari ini. Kita akan jumpa kawan-kawan yang masih dalam jahiliyyah. Suka berkata itu dan ini berkenaan perihal orang lain hatta pokok yang tidak mengusik mereka pun akan banyak salahnya. Terlalu negatif.

"Mayat hidup ialah orang yang tidak menentang kemungkaran sama ada dengan tangan, lidah atau hatinya." - Huzaifah al-Yamani r.a. [sumber: Fb Inche gabbana]

Perkara yang paling susah dalam beramal dan mengajak makruf adalah untuk berhadapan dengan keluarga sendiri. Saya sangat tidak bersetuju ruangan aplikasi pintar seperti Whatsup digunakan untuk mengatakan dan menyebarkan apa-apa yang mengaibkan orang lain.

Sebagai contoh, saya terasa begitu rimas dan sesak dengan komen-komen mereka yang menonton AF dan menjadi juri tidak bertauliah. Rambut dia macam itulah. Baju dia macam kampunglah. Allahu! Silap saya tidak terus tegur semasa itu juga.

Begitu juga, apabila berlaku kematian, pelbagai gambar-gambar mengaibkan masuk tidak kira dari kumpulan mana sekali pun. Gambar arwah kemalangan dilenyek keretapi, jatuh dari syiling sekolah, habis disebarkan! Bayangkanlah mayat itu anda atau ahli keluarga terdekat anda, apa perasaan anda? Allahu!

Baru-baru ini juga saya sendiri yang menjadi subjek cerita. Mohon Allah mengampunkan dosa-dosa saya dan kita semua. Saya minta kepada sahabat-sahabat yang saya cintai kerana Allah dalam kumpulan mak-mak Jelitawan Organik untuk tidak memuat naik sebarang gambar orang yang tidak menutup aurat sebagai tanda kasih sayang kita kepada saudara kita.

Mungkin orang itu jahil dengan tidak menutup aurat tetapi kita yang inshaAllah Allah bagi celik sedikit kefahaman agama, kita tolong bantu saudara-saudara wanita kita dengan tidak menyebarkan gambar-gambar mereka tanpa menutup aurat. Bukan hanya satu mata yang melihat, tetapi dia menanggung beban dosa mata-mata satu dunia. Allahu! Kasihanilah kami wahai Allah.

3.11.14

ILMU + FAHAM = AMAL

Tidak pasti sama ada semua orang sama atau tidak. Menonton kartun Cinderella, kita juga impikan perkahwinan gilang-gemilang ala-ala fairy tales. Itu ketika kecil. Semasa zaman jahiliyyah awwal iaitu ketika pra remaja saya fikir, saya begitu kagum dengan orang-orang melayu yang petah bercakap bahasa inggeris seperti mengunyah gula-gula getah. Saya mula mengagumi golongan sasterawan yang belajar shakespeare :D.

Lama kelamaan, jiwa saya Allah izinkan untuk condong kepada mencari nilai sebuah agama walaupun saya bukan pelajar aliran agama. Saya aliran akademik yang hanya belajar TITAS -Tamadun Islam-  yang kami panggil Islamic and Civilation sebab semua subjek dalam jurusan saya adalah di dalam Bahasa Inggeris termasuk agama. Sehingga kini saya masih fikirkan, betapa banyak Allah tolong saya menghabiskan kursus 5 tahun setengah ini dengan kepujian kelas kedua dengan keadaan saya yang memang tidak berapa cerdik.

Tamadun Islam ini jika tidak silap saya hanya ada 2 masa dalam seminggu dan selebihnya hanyalah subjek akademik. Nisbahkanlah sendiri berapa lama sangat kita diperlukan untuk mengetahui keindahan Islam. Pagi, petang, siang dan malam kerja pelajar hanya untuk menyiapkan tugasan yang diasingkan daripada nilai agama atau kita panggil SEKULAR.

Datangnya tarbiyyah merubah persepsi saya kepada kedua minat zaman jahiliyyah saya. Maka, minat saya hilang kepada pelajar aliran shakespeare dan juga aliran agama. Saya mula faham dengan orang yang beramal dengan ilmu tidak kiralah dia dari bidang apa pun.

Adapun ustaz-ustaz yang belajar agama dan faham solat berjemaah itu sangat dituntut. Sekiranya mereka tidak beramal dengan apa yang mereka ketahui, maka, orang yang belajar shakespeare yang setiap waktu berjemaah di masjid walaupun bukan aliran agama, maka dialah orang yang amal dengan kefahaman.

Adapun ustazah-ustazah yang faham yang aurat itu keseluruhan tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan, maka mereka akan berbeza dengan wanita lainnya dengan berusaha beramal dengan perintah Allah dengan tutup aurat sempurna. Tudung dilabuhkan, stokin dipakai, lambang mereka duta Islam yang telah Allah anugerahkan tanggungjawab untuk menyantuni manusia lain yang tidak berkefahaman seperti mereka.

Ustaz dan ustazah ini adalah mandat yang Allah berikan oleh Allah untuk menjadi tauladan kepada manusia lainnya. Mereka perlu faham yang Allah pilih mereka untuk faham DeenNya supaya keindahan Islam itu mampu disinarkan. Banyak perkara yang perlu mereka perhatikan. Berhati-hati dalam ikhtilat. Berhati-hati dengan akhlak. Tidak memakan daging saudara sendiri. Menutup aurat sempurna. Pakai stokin, tudung dilabuhkan. Maklum sahaja, mereka adalah DUTA ISLAM.

Malangnya, dunia hari  menyaksikan keterbalikkan fahaman. Pelajar jurusan agama yang diiktiraf sebagai ustaz dan ustazah GAGAL menjadi duta Islam selaras dengan apa yang mereka pelajari. Memang iman dan taqwa bukan diukur pada labuhnya tudung, bukan juga diukur pada panjangnya jubah dan janggut tetapi imej yang terserlah adalah lambang kefahaman kita tentang agama Allah.

Paling penting ketahuilah, yang Islam ini bukan hanya diwariskan buat ustaz dan ustazah. Sebagai orang akademik, adalah penting dengan inasiatif sendiri mencari Allah kerana SETIAP DARIPADA KITA ADALAH DUTA KEPADA ISLAM. Salah satu asbab kerosakkan ummah hari ini apabila kira merasa beban dan tanggungjawab menyedarkan ummat hanya perlu dilakukan ustaz dan ustazah.

Tidak dan bukan! Muslim yang mahukan darjat mukmin akan faham yang agama Islam bukan hanya untuk ustaz dan ustazah. Apabil ramai yang tidak faham hakikat ini, dan ustaz/ustazah pula gagal menjadi duta Islam yang sebenar, maka terjadilah pelbagai fitnah yang melanda Islam hari ini. Kita gagal menunjukkan keindahan Islam sehinggakan tiada apa yang indah dengan Islam melalui diri kita.

Kita adalah orang-orang kuat dalam menjayakan majlis memakan daging saudara kita.
Kita adalah orang-orang yang bangga ke hadapan dalam program realiti hiburan.
Kita juga adalah orang yang berpakaian tetapi telanjang.
Kita juga yang selalu memenuhi kelab malam/karaoke berbanding memenuhi rumah-rumah Allah untuk berjemaah.
Kita adalah perosak agama tanpa kita sedari.
KITA GAGAL MENJADI DUTA ISLAM DENGAN AKHLAK YANG SEBENAR.

Menarik juga untuk dikongsikan ketika saya duduk disebalah seorang senior yang diarahkan untuk menghadiri kursus Neuro Al-Baghdadi yang mana kursus ini adalah mustahil untuk diberikan kepada guru-guru mengajar English seperti saya. Saya berseloroh untuk menggantikan beliau untuk kursus ini. Memang kursus seperti ini saya dambakan.

Kau bukan ustazah.

Jawapan yang saya terima. Pada saya, ini terlalu bias. Kita hanya diberikan kursus mengikut jurusan kita sahaja. Pendapat saya, kursus-kursus seperti ini sepatutnya diberikan secara silang pangkah. Guru-guru akademik, pergi belajar agama dan guru agama yang sudah penuh ilmu agama di dada, pergi pula belajar akademik. Tidaklah guru-guru ini hanya berpengetahuan dalam jurusan mereka sahaja. Tiada kembangan pengetahuan.

Kursus yang didambakan saya.

Sekarang musim isi borang prestasi untuk penjawat awam seperti saya. Ruang latihan yang diperlukan, saya meminta untuk hantar saya ke kursus bahasa arab dengan alasan bahasa arab adalah bahasa pertuturan rasmi di syurga. Kursus kedua pula adalah kursus Al-Quran dengan alasan, Al-Quran dan As-Sunnah bukan hanya diwariskan kepada ustaz dan ustazah.

Sekadar menjentik rasa orang atasan. Uslub dakwah bil tulisan.

1.11.14

MERENDAHKAN EGO

Saya lupa saya dengar kisah seorang alim pergi berguru dengan orang alim melalui bulatan gembira -usrah- atau melalui zauji tetapi ianya masih meresap di hati sehingga kini.

Diceritakan ada seorang alim yang begitu hebat ilmunya datang untuk berguru bagi menambah ilmunya. Dia telah ditunjukkan kepada seorang guru hebat yang berada di suatu tempat terpencil.

Apabila sampai, tok guru tersebut menyuruhnya untuk mencuci tandas. Lantas orang alim ini menyatakan yang dia mahu menimba ilmu dan bukannya tukang bersih. Tok guru tersebut telah mengetahuinya tetapi tetap mahu disuruhnya orang alim ini mencuci lantai.

Sebenarnya dalam suruhan mencuci lantai tandas itu terkandung hikmah 'merendahkan ego' oleh tuan guru hebat tadi. Signifikan juga dengan kita hari ini, untuk mendapatkan ilmu, rendahkanlah martabat walau siapapun kita. Tuan guru hebat itu mengajar anak muridnya yang baru pendidikan akhlak.

Setelah menaip beberapa kata kunci berkenaan kisah ini, saya bertemu dengan satu link yang lebih kurang sama jalan ceritanya. InshaAllah inilah kisah yang saya dengar beberapa tahun sudah.

*********************************************************
Kisah Imam Al-Ghazali Berguru Kepada Tukang Sol Sepatu

Suatu malam disaat orang sedang terlelap, Syekh Abdul Wahab Rokan yang saat itu masih muda dan sedang berguru kepada Syekh Sulaiman Zuhdi di Jabbal Qubis Makkah sedang membersihkan kamar mandi Gurunya menggunakan kedua tangannya tanpa merasa jijik dan melakukan dengan penuh ikhlas.

Di saat Beliau melakukan tersebut, tiba-tiba Guru Syekh Sulaiman Zuhdi lewat dan berkata, “Kelak tanganmu akan di cium raja-raja dunia”. Ucapan Gurunya itu dikemudian hari terbukti dengan banyak raja yang menjadi murid Beliau dan mencium tangan Beliau salah satunya adalah Sultan Musa al-Muazzamsyah, Raja di Kerajaan Langkat, Sumatera Utara.

Kisah berguru dalam ilmu hakikat mempunyai keunikan tersendiri, seperti kisah Sunan Kalijaga yang menjaga tongkat Gurunya dalam waktu lama, dengan itu Beliau lulus menjadi seorang murid. Berikut kisah Ulama Besar Imam Al-Ghazali memperoleh pencerahan bathin bertemu dengan pembimbing rohaninya, kisah ini saya di kutip dari Buku Tuntunan Mencapai Hidayah Ilahi hal. 177, 178. Karya Imam Al Ghazali dari web dokumenpemudatnqn.net.

Imam Ghazali seorang Ulama besar dalam sejarah Islam, hujjatul islam yang banyak hafal hadist Nabi SAW. Beliau dikenal pula sebagai ahli dalam filsafat dan tasawuf yang banyak mengarang kitab-kitab.

Suatu ketika Imam Al Ghazali menjadi imam disebuah masjid . Tetapi saudaranya yang bernama Ahmad tidak mau berjamaah bersama Imam Al Ghazali lalu berkata kepadanya ibunya :

“Wahai ibu, perintahkan saudaraku Ahmad agar shalat mengikutiku, supaya orang-orang tidak menuduhku selalu bersikap jelek terhadapnya“.

Ibu Al Ghazali lalu memerintahkan puteranya Ahmad agar shalat makmum kepada saudaranya Al Ghazali. Ahmad pun melaksanakan perintah sang ibu, shalat bermakmum kepada Al Ghazali.Namun ditengah-tengah shalat, Ahmad melihat darah membasah perut Imam. Tentu saja Ahmad memisahkan diri.

Seusai shalat Imam Al Ghazali bertanya kepada Ahmad, saudaranya itu : “Mengapa engkau memisahkan diri (muffaragah) dalam shalat yang saya imami ? “. Saudaranya menjawab : “Aku memisahkan diri, karena aku melihat perutmu berlumuran darah “.

Mendengar jawaban saudaranya itu, Imam Ali Ghazali mengakui, hal itu mungkin karena dia ketika shalat hatinya sedang mengangan-angan masalah fiqih yang berhubungan haid seorang wanita yang mutahayyirah.

Al Ghazali lalu bertanya kepada saudara : “Dari manakah engkau belajar ilmu pengetahuan seperti itu ?” Saudaranya menjawab, “Aku belajar Ilmu kepada Syekh Al Utaqy AL-Khurazy yaitu seorang tukang jahit sandal-sandal bekas (tukang sol sepatu) . ” Al Ghazali lalu pergi kepadanya.

Setelah berjumpa, Ia berkata kepada Syekh Al khurazy : “Saya ingin belajar kepada Tuan “. Syekh itu berkata : Mungkin saja engkau tidak kuat menuruti perintah-perintahku “.

Al Ghazali menjawab : “Insya Allah, saya kuat “.

Syekh Al Khurazy berkata : “Bersihkanlah lantai ini “.

Al Ghazali kemudian hendak dengan sapu. Tetapi Syekh itu berkata : “Sapulah (bersihkanlah) dengan tanganmu“. Al Ghazali menyapunya lantai dengan tangannya, kemudian dia melihat kotoran yang banyak dan bermaksud menghindari kotoran itu.

Namun Syekh berkata : “Bersihkan pula kotoran itu dengan tanganmu“.

Al Ghazali lalu bersiap membesihkan dengan menyisingkan pakaiannya. Melihat keadaan yang demikian itu Syekh berkata : “Nah bersìhkan kotoran itu dengan pakaian seperti itu” .

Al Ghazali menuruti perintah Syekh Al Khurazy dengan ridha dan tulus.

Namun ketika Al Ghazali hendak akan mulai melaksanakan perintah Syekh tersebut, Syekh langsung mencegahnya dan memerintahkan agar pulang.

Al Ghazali pulang dan setibanya di rumah beliau merasakan mendapat ilmu pengetahuan luar biasa. Dan Allah telah memberikan Ilmu Laduni atau ilmu Kasyaf yang diperoleh dari tasawuf atau kebersihan qalbu kepadanya. [sumber]

********************************************************

Saya juga teringat kata-kata PTT -Puan Tabib Terpercaya- suatu ketika dahulu, seorang doktor sepertinya adalah profession yang sangat dipandang tinggi oleh masyarakat. Maklum sahaja, di negara kita pelajar jurusan kedoktoran adalah khas untuk golongan cerdik pandai sejak di bangku sekolah dengan kata lainnya, mereka mempunyai pemikiran kelas A.

Menurutnya, golongan sepertinya perlu merendahkan ego untuk mendapatkan ilmu tibbun nabawi (perubatan gaya Nabi). Malah PTT tidak berminat untuk menyambung ilmu kedoktorannya kerana beliau lebih fokus kepada kajian khasiat yang dinafikan dunia berkaitan makanan-makanan sunnah oleh perubatan hari ini. InshaAllah kajian menyeluruh dalam usaha mengajak ummat untuk meyakini perubatan tibbun nabawi.

Saya juga pernah bertemu seorang lelaki yang kadangkala sengaja tidak merapikan (baca: iron) pakaiannya. Menurutnya, kadangkala kita perlu keadaan sebegini untuk merendahkan ego kita dan merasai orang-orang yang tidak sebertuahnya.

Banyak juga contoh-contoh orang-orang yang menjaga waraknya supaya hati-hati yang bersifat tertarik dan menarik untuk sentiasa berada di landasan jalan menuju Allah dan Ar-Rasul. Perjalanan untuk menarik seberapa ramai mungkin untuk berada dalam landasan yang betul untuk bertemu kecintaan kita, Allah dan Ar-Rasul ;).

Allah hadirkan siapa sahaja untuk sentuh dan tarbiyyah hati ini. Sungguh, kita memang tiada apa untuk dibanggakan. Nangis.

30.10.14

WANITA DALAM PANDANGAN LELAKI

Semester pertama dalam lingkungan 5-6 tahun adalah tempoh yang cukup untuk saya memahami prinsip zauji. Tahun-tahun awal perkahwinan, kami selalu atau lebih tepatnya terlalu banyak perbezaan pendapat. Dia dengan kefahaman dia dan saya pun tidak mahu kalah, tetap mahu tegakkan pendapat saya.

Pendek kata, SEMUA TIDAK BOLEH.

Perempuan ini walau di dalam kotak, kotak duduk dalam kotak lainnya pun, lelaki tetap tahu yang di dalamnya itu adalah wanita hatta sekalipun dia berkelubung.

Saya masih ingat lagi kata-kata zauji semasa kami bermusafir bertahun-tahun sudah. Dalam fikiran saya, mengapa dahsyat sangat cemburu suamiku. Sehinggakan pernah dia suarakan yang blog iman kami ditutup.

Berhenti muat naik gambar anak-anaknya. Banyak perkara boleh menjadi alat berdakwah. Biarkan orang lain yang lebih layak berdakwah melalui keluarga mereka. Kita bukan sesiapa dan tidak punya apa-apa.

Sama betul kata-kata zauji dengan kuliah Ustaz Basit.

Alhamdulillah setelah lebih 6 tahun usia bayt al-muslim kami, Allah bagi sedar melalui satu khutbah Ustaz Basit. Saya jadi malu sendiri ketika mendengar kuliah Jumaat beliau ketika itu. Panas terasa mukaku.

Orang alim seperti Ustaz Zulkifli Al-Bakri, Ustaz Basit dan perbandingan orang-orang yang faham agama begini kata zauji, ada tak keluarga mereka buat seperti apa yang saya buat hari ini. Zauji rasa rendah diri kerana kami bukan orang alim. Melebih-lebih pula saya dari orang-orang alim.

Takkan tidak rasa apa-apa sekiranya dipuji orang. Tipu kalau sedikit pun tiada dalam lintasan hati.

Orang lelaki sifatnya malas mahu berdebat. Akhir sekali kata zauji, saya perlu dengar banyak kuliah agama :D.

Memang benarlah. Semalam isu niqobis mendapat liputan hangat dari kalangan sahabat-sahabat niqobis saya. Memakai niqob hari ini umpama satu trend. Ada yang pakai niqob selapis tetapi ginju merah menyala di dalamnya. Saya khuatir ada golongan yang sengaja untuk memburukkan golongan niqobis yang memakai niqob kerana Allah dengan memperlekehkan melalui berniqob tetapi tabarruj.

Allahu! Akhir zaman ini terlalu banyak fitnah. Kita memang tidak mampu untuk menutup mulut semua orang daripada terus memfinah tetapi kita sebagai seorang muslim yang sama-sama mahukan darjat mukmin, perlulah mencari solusi dalam diri kita.

Zauji berpesan kepada saya sejak awal usia perkahwinan kami supaya tidak memuat sebarang gambar saya walau hanya dari belakang dan walau hanya menampakkan anggota-anggota badan tertentu kerana dia lelaki dan hanya lelaki akan faham lelaki. Mesej ini untuk renungan bersama betapa mengapa kita perlu sangat memelihara diri demi menjaga nafsu-nafsu lelaki lainnya.

Jazakillah kepada sahabat saya.

Antara status-status lelaki ini:

I always stalk my female fb frens. They love to upload their pictures. And I love to scan their face and bodies.

I dont care of what they wear, i dont care they are hijabis or niqobis. i dont care if they just upload pic of their back, or hand, or eyes on their side. I dont care if they take pic w frens or very small pic. Cz I see more than that.

U might think that i'm gila sex punye orang. But i cant see women bodies if they put pic of car, trees or stone. I am just a NORMAL  guy. There a lots of ur male frens r more extreme thn me. All guys see what i see. It is just u who fool.

Tutup aurat ke pakai sarung tgn ke, Kalau org upload gmbr, aku tgklh. Mana-mana perempuan yg upload gamba tu same. tkde tk penh aku teroke. ckp aku mcm2. kau yg bagi, lelaki mane nk tolak. kau ingat lelaki hitam dahi tu tkde nafsu?

Maafkan saya. Saya bukan sempurna dan tidak mungkin akan sempurna tetapi cita-cita saya untuk berjiran tetangga dengan anda semua di syurga sana. Saya sayang anda semua kerana Allah dan RasulNya. 

29.10.14

NIQOBIS, STOP SELFIE!

Tajuk sentap mak!

Sekali lagi, kuliah-kuliah Ustaz Dr Basit atau lebih dikenali melalui FB beliau Ustaz Dr Abu Anas Mandani berjaya mengetuk kepala apatah lagi hati saya ketika mendengar ceramahnya melalui VCD semasa musafir ke kampung zauji perihal mendedahkan kehidupan peribadi secara keterlaluan. Sedikit sedikit ambil gambar dan masuk ke laman sosial.

Untuk apa semua itu? Mahu tunjuk siapa? Suami isteri berpelukan. Hampir semua sudut dalam rumah mahu ditayangnya. Kita ini ada apa? Apa sangat yang kita ada?

KITA TIADA APA! TIADA APA!

Sebenarnya, kita perlu fahami, apabila golongan agamawan yang mempelopori suasana ini, golongan awam seperti saya akan fikirkan semuanya boleh dan tidak mengapa.

INSAF!

Pandangan masyarakat kepada wanita yang berniqob adalah tinggi dan mereka berfahaman mereka -niqobis- sangat tahu semua perihal agama walaupun tidak semua kerana niqobis juga adalah wanita biasa yang punya keinginan yang sama, sama seperti manusia lain juga.

Cuma, pada pendapat saya, mereka yang mengambil keputusan untuk berniqab perlu memikirkan banyak benda supaya ianya tidak menjadi fitnah kepada agama sendiri. Niqoblah muka tetapi mereka perlu betul-betul, benar-benar niqob hati. Faham tujuan sebenar berniqob. Berniqob dengan ilmu dan bukan ikut-ikutan sehingga ianya boleh menimbulkan fitnah kepada niqobis yang lain.

Menarik juga untuk saya kongsikan sebuah cerpen tulisan Inche Gabbana yang bertajuk PURDAH, khas untuk niqobis. Bacalah dan fahamilah. Wanita ini cantik kerana malunya, bukan kerana niqobnya.

******************************************************************


"Kau tahu tak Yah, tadi si Suri dok jeling-jeling aku lagi. Lepas tu tersengih-sengih macam dubuk busuk. Eeerrgghh geram betul akuuu!"

Basirah membebel-bebel sambil menanggalkan purdahnya, menampakkan wajahnya yang ayu di sebalik purdah itu.

Basirah bukanlah seorang yang lawa, cun meletup, yang jika lelaki terpandang wajahnya, akan tak berkedip mata dan mahu melihatnya berkali-kali sentiasa. Tetapi cukup ayu untuk membuatkan sesiapa sahaja yang menatapnya berasa senang.

Kulit wajahnya mulus. Hidungnya tidak mancung, tetapi kecil dan comel. Bulu matanya melentik; aset terbesar pada wajahnya. Selain itu, yang lain-lain adalah biasa-biasa sahaja. 

Sumayyah hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia mai daaahh...

"Aku tak faham la spesis macam Suri tu. Apa masalahnya aku nak pakai purdah? Sekurang-kurangnya aku tutup aurat, dan cuba yang terbaik untuk jaga kehormatan aku! Dia tu..?? Dah la rambut menggerbang macam pontianak! Pakai baju asek nak ketat je memanjang. Kalau badan lawa macam model takpelah jugak! Ini tak, macam... Ish, buat dosa kering je aku ni!"

"Dah la tu Yong. Apa sangatlah yang nak marah tu."

Sumayyah dan Basirah adalah rakan sebilik sejak enam bulan yang lalu. Mereka sama-sama mengambil jurusan ekonomi dan pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Sewaktu mula-mula mendapat tawaran penempatan di dalam kampus, gelisah juga Sumayyah dibuatnya. Takut-takut dia tak boleh nak 'masuk' dengan rakan sebiliknya nanti.

Namun dia lega apabila pertama kali melihat Basirah; bertudung labuh dan berpurdah. Tidak disangkanya nasibnya akan sebertuah itu, mendapat teman sebilik yang jauh lebih baik dari dirinya. Dia sendiri masih lagi mahu berjinak-jinak mahu memakai tudung labuh.

Maka dia sangat respek pada perempuan seperti Basirah. Kagum. Baginya, ia memerlukan keberanian yang cukup besar untuk memakai purdah. Sumayyah sendiri pernah berangan untuk memakainya suatu hari nanti, tetapi tidaklah dalam masa yang terdekat ini. 

Namun kini dia tidak berapa pasti lagi, sama ada sebilik dengan Basirah adalah suatu kurniaan atau cubaan. Suatu nikmat dariNya atau bala bencana!

"Mahunya tak marah?! Suri tu sengaja nak cari gaduh dengan aku! Daripada dulu dia tak puas hati dengan aku! Aku rasa dia marah dekat aku sebab di Faisal tu minat kat aku! Ha, mesti sebab tu! 

Eleh dia boleh amiklah Faisal tu! Ramai lagi laki kat luar sana yang tergila-gilakan aku! Sekali aku kenyit mata, hah, berpuluh, beratus lelaki datang menyembah aku tahu tak??"

Astaghfirullah. 

Sumayyah memejamkan matanya. Dadanya terasa sedikit sesak. Sebak. Dia mengetapkan bibirnya, mengumpul kekuatan sebelum berkata-kata. 

"Yong, apa ni? Sudah-sudahlah tu. Bawakkan beristighfar. Kalau ye pon kau marah sangat kat Suri tu, jagalah kata-kata kau tu. Tak perlulah nak hamburkan semuanya. Ya rabbi..."

Basirah menjeling tajam. 

"Itulah kau. Sikit-sikit istighfar. Sikit-sikit istighfar. Tak sapot aku langsung!" 

Basirah mencebik. Dia menanggalkan tudungnya dan menyidainya pada penyidai aluminium yang diletakkan di tepi meja belajarnya. Dia kemudian menghempaskan badannya pada katil. Wajahnya masih macam mencuka. 

Sumayyah memerhatikan keletah Basirah buat seketika, sebelum menyambung kerja-kerjanya. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya. 

Lama mereka menyepi, masing-masing dengan kerja sendiri. Sumayyah sibuk mahu menyiapkan esainmennya yang perlu dihantar esok. Basirah pula sejak dari tadi asyik menggaru telefon pintarnya.

Tidak semena-mena suasana kembali menjadi hingar. 

"Eyyyy Yah aku tengok nii! Gambar aku dapat seratus lebih like kat Insta ni! 

Sumayyah sempat memandang siling sebelum beralih pandangannya kepada Basirah. Sepertinya ada Tuhan di siling itu untuk menjawab doanya.

Mungkin ada sedikit rasa bersalah pada Basirah, Sumayyah melayan sahaja karenah rakannya itu. 

"Gambar yang mana?"

"Ni gambar yang aku pakai tudung kaler velvet, matching dengan purdah tu. Yang aku tulis quote, 

'Diriku berserah pada Ilahi,
Menanti hari berganti hari,
Menunggu sesiapa yang sudi,
Diriku melengkapkan rusuk kiri.'

Tengoklah ni!"

Hampir-hampir Sumayyah mahu tersembur ketawa. Bersungguh dia menahannya. Hampir mengalir air mata dibuatnya. 

Diambilnya telefon Lenovi milik Basirah dan dipandangnya skrin telefon itu sekilas lalu. 

"Baguslah."

Tidak perasan dengan ketidakpedulian Sumayyah agaknya, Basirah mengambil semula telefonnya dengan wajah yang penuh bercahaya dan keterujaan. 

"Kau tengok ni! Faisal pon like jugak gambar aku ni! Ahahaha padan muka si Suri tu! Perempuan tak tahu malu!" 

"Yong, aku nak tanya sikit boleh tak. Tapi kau jangan marah pulak."

"Hmmm..?" 

Sumayyah merenung tepat wajah Basirah. Basirah masih lagi tersengih-sengih memerhatikan skrin telefonnya, macam budak kecik yang baharu dapat lolipop. 

"Yong."

Mendengarkan keseriusan pada nada Sumayyah, Basirah akhirnya memberikan Sumayyah perhatian seperti yang dipinta.

"Apa dia?"

"Aku dah lama nak tanya kau ni. Tapi aku takut kau kecik hati."

"Alah kau ni. Macam la kau tak kenal aku. Aku kan happy-go-lucky? Takde masalah aku nak kecik-kecik hati ni!"

Sekali lagi Sumayyah terasa seperti mahu gelak besar. Tetapi dia hanya mengembangkan sedikit hidungnya.

Sebab aku kenal kau lah Basirah oii...

"Ok. Hmm. Sebab apa kau pakai purdah eh sebenarnya?"

Kening Basirah terangkat sebelah, tanda dia terkejut dengan soalan Sumayyah. Dia membetukan duduknya.

"Mestilah sebab nak jaga aurat! Nak jaga kehormatan aku sebagai perempuan Islam! Haihh kau ni, takkan tu pon tak tahu?" 

"Betul ke kau pakai purdah untuk jaga kehormatan?"

Terbeliak mata Basirah mendengarnya. 

"Kau ni dah kenapa? Nak cari gaduh ke apa? Elok-elok mood aku dah nak ok, kau pulak nak cari pasal dengan aku en?"

Sumayyah tersengih. Menyesal pula dia bertanyakan soalan itu kepada Basirah. Namun nasi sudah menjadi bubur. Alang-alang tu, nikmati sahajalah bubur itu dengan lauk-pauk yang ada!

"Bukan apa Yong. Masuk bulan ni, dah nak dekat 6 bulan aku kenal kau. Setengah tahun. Bukan sekejap tu. Tapi semenjak aku kenal kau, kau hampir-hampir ubah persepsi aku pasal orang yang berpurdah ni."

Sekali lagi Basirah membetulkan duduknya. Kali ini dia duduk tegak. Hampir sepenuh perhatiannya kini diberikan kepada Sumayyah.

"Err.. Kenapa pulak?"

"Aku respek tau kat orang macam kau ni, yang pakai purdah ni. Sebab bagi aku, kau orang berani. Bukan semua orang yang berani macam kau orang. Ye lah, walaupon pakai purdah tu tak wajib, tapi aku sendiri memang pernah terasa nak pakai purdah. Sebab pada aku, ia lambang emansipasi wanita. Kebebasan! Bukan calang-calang orang yang mampu untuk berpurdah!"

Hidung Basirah sedikit kembang. Bangga. 

"Tapi... Lepas kenal kau, entahlah. Hari-hari dengan kau, yang aku dengar caci dan maki. Caci dan maki. Gossip sana, gossip sini. Lepas tu asyik berselfie, nak tunjuk satu dunia yang kau tu berpurdah. Kau tu berpurdah, sebab Allah atau makhluk Allah? 

Kalau kita beramal untuk dilihat manusia, apa lagi yang tinggal untuk dilihat olehNya..?"

Tersentap Basirah dibuatnya. Kalau ketika itu Basirah boleh menghapdet status MukaBuku atau Instagramnya, sudah pasti "Sentap kau maaakk!" yang akan ditulisnya. 

"Kau kata kau pakai purdah untuk jaga kehormatan. Tapi apa definisi kehormatan bagi kau? Kehormatan tu jauh lebih besar dari sekadar menutup anggota badan yang telah disyariatkan. Kehormatan tu akhlak. Kehormatan tu integriti. Kehormatan tu adab! Dan sorry to say Yong, semua tu aku tak nampak pada kau."

Merah padam muka Basirah. Dia mahu memprotes, tapi Sumayyah pantas mencelah.

"Aku rasa, orang macam kau ni lah yang selalu buat orang salah faham pasal perempuan yang bertudung, pasal Islam in a bigger context. Aku selalu dengar orang kata, 'Eleh buat apa bertudung bagai kalau perangai macam jin sungai!' Sebab apa? 

Sebab orang macam kita ni gagal jadi duta Islam dengan baik. Orang macam kita ni tak pakejkan sekali akhlak dengan tudung yang kita pakai. Alih-alih keluar statement, 'Alah, daripada pakai tudung tapi asek nak mengata orang, mencaci dan mengeji, lebih baik tak pakai tudung tapi jaga mulut dan hati! Lagi bagus!' Alahai sedihnya."

Wajah Basirah berubah. Kurang tegangnya. Ada bibit-bibit keinsafan pada raut mukanya.

"Kau jangan salah faham Yong. Aku bukan tak suka kau pakai purdah. Aku suka malah aku galakkan kau terus pakai. Sebab aku sayang kau lah aku cakap benda ni.

Tapi sebelum kau nak pakai purdah untuk tutup muka, aku rasa baik kau pakai purdah pada hati dan jiwa, untuk protect dari sebarang bisikan syaitan dan kejahatan. Kalau kau pakai purdah demi sebuah kehormatan, lebih baik kau bersihkan dulu hati dan jiwa kau demi sebuah ketaqwaan!"

Mengalir air mata Basirah. Dadanya berombak.

"Kau... Kau dah abes?"

Sumayyah sedikit jengkel dengan soalan Basirah itu. 

Dia ni dengar tak apa yang aku cakap tadi..?

"Dah."

"To...Tolong bagi aku...purdah aku tu."

Tersekat-sekat suara Basirah dalam sedunya.

"Nak buat apa?"

"Nak buat lap air mata."


*******************************************************************

Sekiranya saya seorang niqobis, setelah membaca cerpen ini, saya akan padam semua gambar saya lebih-lebih lagi sedang berselfie. Malu! Kembali kepada niat mengapa kita berniqob? Adakah setelah menutup keseluruhan tubuh dan hanya menampakkan mata sahaja, yang haram semuanya telah kembali halal? Mahu tunjukkan apakah?

Wanita soleheh itu cantik kerana tinggi malunya.

28.10.14

MENANTU loves MERTUA

Dua hari lepas, saya belajar satu perkara baru tetapi telah lama 'dinyanyikan' oleh zauji, iaitu, kemahiran berfikir aras tinggi atau bahasa pendidikannya hari ini ialah KBAT!

Apakah KBAT?

Definisi ringkas yang paling mudah difahami ialah berkifir untuk menyelesaikan masalah. Selama ini kita -termasuk saya- selalu menyalahkan itu dan ini tetapi tahap berfikir yang paling tinggi ialah cara atau kaedah untuk menyelesaikan masalah yang selalu kita salahkan itu. 

Berbalik kepada tajuk entry hari ini, ramai sahabat-sahabat mengadu kepada tentang mertua yang tidak suka kepada mereka dan baru-baru ini, saya ke sebuh kedai dan jurujual merangkap pemilik kedai tersebut dengan mudahnya mengalirkan air matanya untuk menggambarkan betapa serabutnya fikiran beliau ketika itu. Masalah yang sama. Masalah rumahtangga yang melibatkan mertuanya dan tentu sekali suaminya.

Alhamdulillah Allah kurniakan mertua yang baik buat saya. Mertua saya walaupun bukan berpendidikan tinggi, tetapi sangat rajin duduk dalam majlis-majlis ilmu di masjid berdekatan rumah. Jadi, walaupun beliau bukan seorang terdidik lagi terpelajar, tetapi asas agama yang baik menjadikan manusia ini lain. Manusia yang beramal dengan kefahaman agama sememangnya istimewa. InshaAllah saya teringin mengulas isu antara faham dan amal.

Pada pendapat saya, 5 tahun pertama adalah semester pertama kita taaruf (suai kenal) sesama ahli keluarga baharu kita sebagaimana tempoh masa dan ruang perkenalan antara kita dan suami. Kita cuba faham setiap daripada mereka dan kita cuba fahami situasi mereka. Adatlah dalam tempoh ini kita berhabis setempayan air mata, hati remuk bagai dicincang dan bercantum kembali serta sebagainya bergantung kepada cara kita berfikir.

Kebanyakkan sahabat saya yang punya masalah dengan mertua mereka adalah berpunca daripada sifat mertua yang TAMAK dan pastinya kerana WANG! Mereka -ibu mertua- merasakan yang mereka telah penat membesarkan dan sepatutnya semua wang anak lelakinya adalah untuk membalas budi penat lelah mereka membesarkan dan memberi pendidikan sewajarnya.

Belum lagi cerita, mertua sihir menantu dan anaknya. Menantu bekerja ditatang bagai minyak yang penuh. Menantu yang tidak berkerja menghabiskan duit anaknya sahaja. Dikriminasi dan pelbagai versi tomahan yang semuanya mempunyai pokok cerita yang sama. 

Baiklah. Isunya memang mertua kita yang salah. Di pihak kita, berhenti untuk menyalahkan mereka.

Saya pernah berbual dengan jiran dunia dan syurga saya di tempat kerja. Kami -saya dan rakan-rakan- jarang boleh duduk berbual sesama kami kerana setiap minggu kami mempunyai 31 masa ke atas untuk dipenuhkan. Jadi, masa-masa bertemu ini kadangkala kami sempat bualkan banyak isu antaranya kes mertua dan menantu yang tidak sekufu. Tajuk bebas, asalkan bukan mengumpat.

Suka saya kongsikan mutiara kata dari FB Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman untuk muhasabah diri dari semasa ke semasa supaya hari ini dan mendatang lebih baik dari semalam.

Seorang yang jiwanya penuh ingin kecantikan, pasti mudah kagum dengan orang cantik.

Seorang yang cintakan Rasulullah pasti berlumba walau sukar, untuk pelajari dan contohi akhlak & amalan baginda. Tidak caci maki.

Seorang yang jiwanya cinta ilmu, mudah mesra dan kagum dengan org berilmu.

Seorang yang jiwanya hasad dan dendam, sentiasa melihat manusia dengan dendam serta hasad & suka ber'team' dengan penghasad.

Seorang yang jiwanya penuh sangka buruk, keladak lagi busuk, sentiasa suka bersangka buruk sehingga & suka ber'team' dengan ahli keladak.

Seorang yang jiwanya suka maki hamun, sentiasa suka dan puas membaca dan mempelopori makin dan hamunan.

Lalat pasti akan ke najis..jangan kita ikut rentak lalat, nanti bernajis jua.

Semoga kita adalah jiwa-jiwa yang tenang yang hidup untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati inshaAllah. Berbalik kepada tajuk, bak kata zauji, kita tidak akan mampu mengubah seseorang untuk menjadi apa yang kita inginkan dan solusinya ialah kitalah yang perlu merubah cara dan corak kita berfikir untuk mengatasi masalah atau kepincangan yang ada.

Nasihat saya buat sahabat-sahabat saya yang saya yakin rata-rata diluar sana juga mempunyai permasalahan yang sama supaya jangan balas dan cuba, cuba dan CUBALAH pandang mertua kita dari sudut yang positif, dari sisi mereka yang lain seperti:

1. Berapa lama sangat masa mereka tinggal untuk hidup. Maka, maafkanlah mereka.
2. Letakkan diri kita di tempat kesusahan mereka ketika mereka membesarkan anak-anak mereka. Mereka bergadai, berhutang, demi sebuah kehidupan untuk anak-anak mereka. Maka, fahami dan selami perasaan penat letih mereka menyemai benih yang baik tetapi kitalah pula yang menuai hasilnya. Fahami dan hargailah perasaan mereka ini. Kesusahan dahulu menjadi asbab mereka berfikiran seperti sekarang dan kita pula perlu sedar yang Allah sedang tarbiyyah kita dengan baik melalui situasi ini supaya perkara yang sama tidak berulang.

3. Raikan mereka dan adik-beradik ipar dengan hadiah lebih-lebih lagi wang. Percayalah yang Allah akan membalas lebih lagi atas kesabaran dan rasa ikhlas kita.
4. Sihir atau apa sahaja yang sama bentuknya HANYA akan terjadi dengan izin Allah. Usahlah memikirkannya sehingga terbit di hati yang sedikit sakit, orang yang buat kita, kerana syaitan sangat suka akan hal ini. Laknatullah ini amat gemar memecah belahkan manusia sehingga bergaduh dan mereka tidak akan puas sehingga kita mati.
5. Ubah hati dan sentiasa hidupkan dengan zikir, majlis ilmu untuk mendapatkan REDHA atas segala ketentuan Allah. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan dan kata-kata yang terpandu kepada kebaikkan inshaAllah.

InshaAllah jadikan semua yang berlaku antara kita dan mertua sebagai pelajaran yang paling baik untuk kehidupan sebagai mertua apabila sampai masanya kelak. InshaAllah Allah memberi pelajaran kepada kita yang suatu hari, kita juga adalah ibu kepada anak-anak lelaki. Usah membuatkan anak-anak lelaki kita tersepit antara isteri mereka dan kita, ibunya.

Sekali anak-anak lelaki kita melangkah keluar untuk mengembara ilmu bermakna kita telah MEWAQAFKAN mereka buat ummah! Usah ditunggu kepulangan mereka. Lepaskan. Lepaskan. Lepaskan! Sehingga mereka mampu berdikari dan punya keluarga sendiri kerana kita pernah menjadi isteri dan menantu kepada mertua kita yang dahulu. Sejarah lama jangan diulang. Jadilah mertua yang disayangi dan dihormati menantu-menantu kita kerana akhlak mulia sebagai mertua mereka.

Buat ibu mertuaku yang dicintai kerana Allah dan RasulNya,
Sungguh, Allah kurniakan apa sahaja buat kita, bukanlah sia-sia!

26.10.14

BESAN SEFIKRAH

Sekali seumur hidup.

Asbab ayat ini, ramai anak-anak muda sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mencapai darkat 'raja dan ratu' sehari. Idamkan cantik dan kacak ala-ala puteri dan putera raja golongan bangsawan sehingga sanggup berhabis puluhan malah ratusan ribu ringgit.

Harga hantaran perkahwinan sekarang mashaAllah. Sekiranya saya seorang lelaki juga saya boleh pitam. Bak kata Ustaz Azhar, goreng ikan pun hangit, tumit kaki pecah, minta hantaran berpuluh ribu. Semoga Allah melindungi para ulama' kita di hujung usia dunia ini.

Alhamdulillah, Allah beri sedikit kesedaran dan kematangan kepada zauji dalam urusan walimah kami lebih 6 tahun sudah. Tiada sebarang pinjaman peribadi dan hasil simpanan berhemahnya dari gaji permulaan dan Alhamdulillah mak abah juga tidak meletakkan sebarang harga. Ikut semampu suamiku.

Kesedaran fenomena belanja kahwin yang sangat membebankan, kami berhasrat supaya anak-anak kami tidak akan terbelenggu dek hutang piutang yang terikat. Saya tolong sayangkan wang para bakal pengantin yang mengalir terlalu banyak semata-mata untuk satu hari itu sahaja kerana kita bukan orang berada, golongan bangsawan, anak raja yang wang bukan menjadi masalah.

Satu hari bahagia, 20 tahun menderita.

Alangkah eloknya sekiranya pengantin dan keluarga mempelai memandang sedikit ke hadapan yang anak-anak akan terbeban dengan hutang perkahwinan dengan keadaan mereka baru hendak memulakan hidup yang memerlukan pelbagai perbelanjaan sebagai asas rukun untuk hidup. 50K yang dibelanjakan boleh sahaja dikembangkan untuk permulaan perniagaan selepas berkahwin.

Bertitik tolak dengan fenomena hari ini, kami suami isteri telah memulakan tabungan bulanan buat anak-anak dengan harapan apabila mereka dewasa, anak-anak kami tidak perlu berhutang itu dan ini. Biarlah mereka hidup bahagia tanpa hutang keliling pinggang seperti mana kita hari ini.

Kini saya mengerti mengapa murabbi saya tidak beli rumah, tiada kereta, kerana mereka sangat faham yang dunia hanya untuk mereka menjalankan tugas mengapa manusia diciptakan. Mereka terlalu faham yang dunia hanya tempat persinggahan untuk kehidupan yang kekal.

Rupanya, kami silap. Masih ada manusia yang berfikiran luar biasa! Berkahwin dengan cara paling barakah dengan syarat kita punya orang tua yang sangat faham agama dan tuntutan insaniah. MashaAllah tanpa hantaran, tanpa jurugambar, tanpa kos sampingan, majlis akad nikah selesai dengan hanya bermaskahwinkan seset kitab. Subhanallah!


Anak-anak masing-masing baru berusia 4 tahun dan 2 tahun, mak anak-anak sudah fikirkan bakal-bakal besan :D. Doa saya moga anak-anak saya dan bakal-bakal menantu saya dikurniakan perkahwinan yang paling barakah disisi Allah, hidup bahagia tanpa hutang sampai jannah inshaAllah!

25.10.14

IMPIAN HIJRAH 1436

Di tempat kerja, saya berjiran dengan sahabat seusia saya yang juga seorang pengedar vitamin tambahan terkenal dan selalu juga kami berbual berkenaan aura positif perniagaan dan impian serta terpenting keyakinan yang rezeki adalah hanya dan semata-mata daripada Allah. 

Alhamdulillah saya bersyukur, Allah pertemukan sahabat-sahabat yang baik di tempat-tempat kerja. Saya tidak pernah mendengar mereka bercakap berkenaan rakan-rakan lain malah sangat positif. Suka saya kongsikan tazkirah ringkas di FB Dr Abu Anad Mandani berkenaan 'Angkara Lidah!'

Berkata pula Imam Ibnu al-Qayyim rhm:
Pada hari Kiamat, terdapat seorang hamba yang datang dengan membawa amalan kebaikan sebesar gunung; tetapi malangnya, didapati (kejahatan) lidahnya telah menghapuskan semua itu darinya.
Ad-Da'u wa ad-Dawa', ms 375.
*Oleh itu jauhilah mengumpat dan ghibah serta mengungkit pemberian dan anugerah.

Antara yang terkesan di hati saya, jiran di tempat kerja dan mudah-mudahan jiran tetangga juga di syurga, sebaik menunaikan solat dhuha, rezeki terus melimpah. Selepas membaca surah Al-Waqiah (sesetangah orang memanggil surah orang kaya), terus sahaja 2K masuk dengan senang hatinya. Betapa hanya Allah Pemberi rezeki dan bukannya manusia. Resepi kejayaan, murah rezeki hanya kembali menjadi hamba yang taat.

Menarik juga untuk dikongsikan isi-isi perbualan kami, antaranya tampal apa yang kita impikan dan inshaAllah Allah akan tunaikan impian kita kerana inshaAllah setiap hari kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Sebenarnya banyak perkara yang boleh kita bualkan untuk manfaat bersama untuk terus maju. Tidak perlu bercakap itu dan ini berkenaan orang lain. Mahu naik, tidak perlu menjatuhkan orang lain.

Impian dan azam saya setiap tahun sentiasa berubah-ubah mengikut peristiwa semasa yang Allah tetapkan. Penubuhan TTM juga bukan antara koleksi azam tahunan saya. TTM langsung tiada dalam perancangan tetapi perancangan Allah untuk penubuhan TTM inshaAllah saya pasti adalah terbaik untuk agamaNya inshaAllah. 

Bermula dengan TTM ini, saya mula berangan-angan. Alangkah seronoknya, andai Tentera Tentera al-Malik ini punya kesinambungan sekolah rendah sebelum mereka terbang mengembara bertalaqqi (baca: berguru) dengan tuan-tuan guru muktabar.

Ibu ayah yang boleh mendidik anak-anak mereka dengan mengorbankan kerjaya mereka mashaAllah mereka memang sangat dahsyat. Pengorbanan bukan sedikit. Sunnatullah generasi awwal kebiasaannya, anak-anak akan dihantar ke tuan-tuan guru alim sebagai contoh mak imam syafie yang berusaha mendapatkan pendidikan yang sebaiknya buat anaknya. 

Sama seperti kita. InshaAllah bukan untuk anak-anak saya malah anak-anak saya yang diluar sana. Takdir setiap dari kita berbeza. Ada yang Allah fahamkan dahulu tentang apa sebenarnya tujuan kehidupan kita tetapi masih terlalu ramai ibu ayah yang belum tahu mengapakah Allah menjadikan kita sebagai hamba (51:56) dan khalifah (2:30) di muka bumiNya ini. 

Saya lebih seronok anak-anak lelaki saya memahirkan diri untuk sunnah-sunnah Ar-Rasul ketika kecil seperti mengembala kambing dan berniaga. Dalam sirah ulung Baginda SAW mengikut bapa saudara Baginda berdagang ke Syam. Antara akhlak dalam berniaga yang menjadi sebahagian sunnah Baginda ialah kita diajar untuk merendah diri. Pendidikan akhlak.

Pernah atau tidak kita berasa bangga dengan apa yang Allah izinkan kita miliki hari ini. Kita bangga mendapat pekerjaan tetap. Kita bangga berkereta besar dan punya rumah mewah. Kita bangga anak-anak kita cemerlang UPSR, PMR, SPM, serta menjawat jawatan bergaji lumayan sehinggakan kita memandang orang sekeliling kita yang tidak setaraf dengan apa yang kita miliki. Kita memandang semua orang kecil dan kerdil. Cara bercakap dan gaya bahasa badan pun mengujakan.

InshaAllah melalui perniagaan Allah ajarkan kita untuk berakhlak. Sifat ego dan tinggi diri inilah yang Allah sediakan untuk kita koreksi dan muhasabah diri untuk direndahkan. Saya pernah bualkan dengan jiran di dunia dan syurga saya di tempat kerja. Sahabat saya mengiyakan. Belum lagi perihal pelanggan yang pelbagai ragam. Kadang barang yang dipos tidak sampai atau lambat sampai, kita dipersalahkan. Begitulah hikmah yang Allah sediakan bagi insan-insan yang mengambil pengajaran.

Fenomena hari ini umpama sejarah akan berulang. Hari ini dunia perniagaan bukan lagi dipelopori bangsa cina malah orang melayu yang sangat signifikan dengan ‘orang kerajaan’ juga mula dan semakin maju dalam perniagaan. Dahulu terlalu sukar untuk dengar sukan-sukan sunnah seperti memanah, berkuda dan berenang tetapi hari ini sukan-sukan sunnah ini semakin popular. Malah, sekarang ramai wanita-wanita yang berhenti kerja dan kerjaya mereka kembali ke rumah.

Melalui kumpulan Whatsup Homeschool is Rock!, saya belajar yang kemahiran perlu diajar satu per satu sehingga anak-anak menguasai satu-satu kemahiran dengan baik. InshaAllah untuk permulaan, TTM fokus kepada sukan sunnah berenang terlebih dahulu dengan matlamat, tentera-tentera Al-Malik ini mampu menguasai sekurang-kurangnya satu gaya renang.

Kemudian, saya berangan yang anak-anak huffaz ini akan belajar kemahiran memanah dan berkuda di sekolah rendah, kesinambungan dari TTM selain belajar mengembala kambing, menternak dan bertani. Di sana-sana anak-anak diajar untuk menghafal Al-Quran dari tuan-tuan guru dari pasentran Indonesia.

Sekolan rendah TTM juga memerlukan kawasan lapang untuk anak-anak ini riadah. Selepas menguasai sunnah berenang, kita beralih pula kepada kemahiran menunggang kuda dan memanah. Impian saya, mudah-mudahan TTM punya beberapa ekor kuda dalam jangka masa 3 tahun mendatang disamping tanah lapang untuk mereka mengamalkan sukan-sukan sunnah seperti berkuda, memenah dan juga sunnah-sunah kehidupan seperti mengembala kambing dan berniaga.

Kuda yang menjadi subjek untuk matlamat TTM seterusnya ;).
Gambar ehsan dari admin Homeschool is Rock!

Pendek kata, anak-anak ini sekiranya di campak di belukar, tanah yang tandus sekalipun, berupaya menjadi sebuah pulau yang cantik. Boleh hidup dan menghidupkan jiwa-jiwa orang lain inshaAllah.

MashaAllah alangkah indahnya sekolah rendah kesinambungan TTM ini punya jaringan yang baik dengan pasentran Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa arab. Saya sangat sukakan kaedah menghafaz anak-anak Indonesia yang lahir dari program realiti TV Indonesia melalui program Hafidz Indonesia Cinta Al-Quran. Subahnallah, para huffaz yang sangat kualiti hafalannya.

Setelah anak-anak TTM berusia 15 tahun dan target Al-Quran juga sudah mumtaz hafalannya, anak-anak ini diterbangkan pula ke pasentran tok-tok guru Indonesia beliau yang mengajar Al-Quran disini untuk belajar kitab-kitab muktabar lainnya. Jaringan Al-Quran antara Malaysia dan Indonesia.

Selepas Tentera Tentera al-Malik ini mengusai Al-Quran dan sunnah-sunnah Baginda SAW, inshaAllah mereka jugalah akan bertebaran ke seluruh pelosok dunia untuk menyambung penyebar risalah Ar-Rasul sebagai doktor Tibbun Nabawi, sebagai sheikh-sheikh mengajar Al-Quran, apa sahaja selagi mana mereka terdidik dalam suasana dakwah dan tarbiyyah. MashaAllah umpama Al-Quran merayap ke seluruh dunia!

Saya juga berdoa agar Allah menyibukkan dan matikan kami dalam keadaan kami sibuk dengan urusan-urusan menegakkan kalimah Allah. Dunia memang tempat berkerja keras, kerana syurga adalah tempat istirehat yang panjang. Wahai bonda ayahanda yang dicintai kerana Allah dan Ar-Rasul, izinkan anakanda untuk fokus menghafal dan mengamalkan Al-Quran sebaiknya T__T.

Sekian, impian 1 Muharram 1436H. Doakan kami agar generasi Al-Quran di selatan sini berkembang mekar menyinari alam. Salam maal hijrah 1436.

Lagi buku-buku sebagai idea pendidikan kewangan TTM.