21.5.10
KAMU ANAK JANTAN!
“Aku ingin menyampaikan dakwah ini sampai kepada janin di perut ibunya.” -Hasan Al-Banna-
Sukar!
Suatu pencarian yang sukar buat ayah
Memerlukan pemerhatian dan penelitian
Hanya kerana mahukan mujahid ibu dan ayah
Dibesarkan dalam roh Islam
Bukan muzik mengasyikkan menjadi halwa tidurmu
Bukan dedahan aurat menjadi tatapanmu
Bukan udara najis menjadi oksigenmu.
Mujahid ayah!
Carta hidupmu sedang dalam lakaran ayah
Ayah mahu dirimu mendapat tarbiyyah terbaik
Ayah mahu hatimu terisi dengan ayat-ayat cintaNya
Ayah mahu kamu mahir pelbagai bahasa
Ayah mahu kamu mahir segala teknik peperangan
Ayah mahu kamu hidup berlandaskan syiar Islam
Agar hidupmu terarah mulia
Agar hatimu berjiwa pahlawan
Agar langkahmu gagah menegakkan kalimah Allah
Supaya kamu menjadi insan lebih baik daripada dirinya.
Mujahid ibu!
Setibanya kamu tiba di kampung sementara ini nanti
Ketahuilah tempat ini persinggahan cuma
Perjuangan dalam kehidupan adalah sunnatullah
Berjuanglah kamu menegakkan kalimah Allah dengan berani
Berperanglah kamu dengan musuh-musuh Allah
Janganlah kamu gentar dan takut
Mohon dan yakinlah pertolongan Allah
Kerana kita diajar rindukan syurga idaman!
Kita diajar memburu syahid!
Dan kita diajar cintakan akan kematian!
Mujahid ibu dan ayah!
Kamu adalah anak jantan!
Kelahiranmu kelak sudah diwaqafkan atas nama Islam
Muliakanlah ibu dan ayahmu ini
Dengan kesyahidanmu kelak
Pakaikanlah ibu dan ayahmu
Dengan gelaran 'ummu dan abu syuhada'
Segala puji bagi Allah!
Kumpulkan kami di syurga penuh kenikmatan
Ya Rabb!
Izikanlah..
19.5.10
CIKGU-CIKGU
Cikgu memang bukan pemarah
Cikgu memang murah senyum
Cikgu memang agak lembut
Cikgu juga jarang-jarang garang
Tapi cikgu juga bukan terlalu penyabar.
Cikgu memang bukan pemarah
Tapi bila cikgu mula hilang sabar
Disuruh hafal sifir
Kamu gagal pada masa ditetapkan
Maka berdirilah tegak kamu
Di koridor hadapan kelas
Sehingga hafal dan lulus ditasmik cikgu.
Cikgu memang murah senyum
Tapi bila cikgu tidak mampu walau sengeh
Ditinggalkan sebentar sahaja
Mengambil lembaran kerja
Yang jaraknya hanya 2meter
Kamu mula berpesta
Bermain pingpong kreatif ciptaan sendiri
Menggunakan kulit buku keras dan bola kertas
Maka jadilah kamu tiang-tiang elektrik
Dengan jarak 50cm diantara kamu
Berdiri tegak sehingga waktu tamat.
Belum sempat waktu tamat
Satu persatu anak-anak
Datang dan menyatakan kemaafan
Berjanji perkara yang sama tidak berulang
Dan kamu anak-anak cikgu
Masih mengotakan janji-janji kamu sehingga kini.
Cikgu memang agak lembut
Jadi banyaklah kerja-kerja cikgu kamu tangguhi
Dan cikgu masih boleh bertoleransi
Tapi bila lembut bertukar tegas
Setiap satu kesalahan bagi setiap soalan
Pembaris sehasta panjang
Pasti hinggap ditelapak tangan kamu.
Oleh kerana cikgu jarang-jarang garang
Belum pun hukuman dijalankan
Seorang telah menangis
Tapi prinsip adil dan saksama
Maka perlu juga diberi rasa sekali sekala.
Bila kelas tamat
Satu persatu kamu disapu lembut
Menyatakan mengapa cikgu bertindak demikian
Dan yang menangis itu cikgu peluk erat
Sambil membisikkan
Cikgu mahu awak pandai
Dan senyuman terukir dalam sendu.
Anak-anakku
Marah cikgu tanda sayang
Hukuman cikgu untuk mendidik
Cikgu faham bukan salahmu
Kerana cikgu cukup mengerti
Kamu dibesarkan bukan dalam keluarga terdidik
Bukan dibesarkan dengan roh Islam
Maka kamu merupakan tanggungjawab cikgu
Untuk diberi didikan
Bukan sekadar mengajar sains dan matematik
Malah untuk diajar berTuhan
Agar kamu pulang dengan kejayaan
Bukan di dunia sementara
Tapi di akhirat sana
Negeri yang kekal abadi selamanya.
Terima kasih anak-anakku!
Kamu juga merupakan cikgu untuk cikgu
Mengajar cikgu erti kehidupan
Mengajar cikgu erti kasih sayang
Mengajar cikgu erti kesabaran
Dan pasti mengajak cikgu sentiasa ingat akan Tuhan.
Terima kasih cikgu-cikguku!
Kudoakan cikgu-cikgu sentiasa dalam rahmatNya
Serta kasih sayang dan ehsanNya
Moga segala kebaikan dari muridmu ini
Menjadi saham cikgu-cikgu di akhirat sana.
SELAMAT HARI GURU, CIKGU-CIKGU!
OH ANAK-ANAKKU!
Suatu pagi di kelas sains
Sebelum kelas bermula
Kelihatan dua orang murid berbual sesama mereka
Kelas tahun 3 yang hanya mempunyai 2 pasang murid
cikgu: siapa Tuhan awak?
(bertanya murid yang paling pintar dikalangan mereka sambil diperhatikan murid-murid lain)
murid: beadak (tiada)
(hampir keseluruhan penduduk di sini tiada kepercayaan beragama)
cikgu: habis tu, siapa jadikan awak?
murid: berfikir sejenak
cikgu: siapa yang jadikan pokok tu, jadikan cikgu, semuanya yang disekeliling kamu?
murid: masih kebingungan mencari jawapan
Dan cikgu meneruskan pelajaran seperti biasa
Membiarkan murid itu berfikir
Tentang kewujudan Tuhan
Tentang pemilik sebenar cakerawala
Didoakan segala persoalan dicari dan dikaji
Moga diberi taufik dan hidayah
Akan kepastian dan kebenaran
Aqidah mantap percaya hanya Tuhan nan satu.
Hati seorang guru
Apabila tarbiyyah telah menyinggah
Bukan sekadar mengajar tulis baca
Bukan sekadar mengajar sehingga berjaya
Bukan sekadar mengejar cita-cita
Tapi memimpin kepada kebenaran
Membentuk aqidah yakin akan Tuhan yang satu
Percaya akan hari pembalasan
Menjadikan Rasulullah sebagai qudwah yang ulung.
Hati seorang guru
Setiap pagi kurenung
Wajah-wajah suci anak-anakku
Kita sama kerana kita hanya manusia
Tapi sayang aqidah kita berbeza
Dan itu bukan salahmu semata
Cikgu juga punya saham di dalamnya.
Hati seorang guru
Kurenung lagi dan lagi wajah-wajah mereka
Dalam-dalam untuk kucuba selami mereka
Oh anak-anakku!
Kamu sungguh suci!
Kamu masih tiada catatan amal
Ditakdirkan kematian menjengukmu
Pasti syurga tempat yang kekal untukmu.
Ya Allah!
Kupohon padamu kekuatan
Tanggungjawab ini sangat berat.
11.5.10
HIBURAN MELALAIKAN
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
1. Disebut dalam kitab/buku الحيق المختوم: بحث السيرة النبوية علي صاحبها الصلاة والسلام
Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah S.A.W yang ditulis oleh Safiyyu Al-Rahman Al- Mubarakfuri:
Dalam riwayat oleh Ibn’ Abbas menggambarkan bahawa al-Nadr telah membeli beberapa orang penyanyi wanita. Pantang dia mendengar ada seorang lelaki yang cenderung kepada nabi Muhammad s.a.w maka dihantarnya salah seorang penyanyi itu untuknya, agar hilanglah kecenderungannya kepada Islam. Terhadapnya, Allah menurunkan firmanNya:
“Dan ada di antara manusia: orang Yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan Yang melalaikan; Yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah”.(Luqman:6)
2. Para pembaca boleh menyemaknya pada muka surat 133 kitab/buku ini terjemahan Bahasa Melayu. Meneliti perkara ini tidakkah kita terfikir bahawa kaedah ini yang digunakan oleh musuh Islam sekarang untuk melalaikan kita daripada Islam. Hiburan dihidangkan semahunya dan bermacam-macam cara untuk memesongkan hati umat Islam supaya jauh dengan cara hidup Islam.
3. Satu contoh yang boleh difikirkan bersama iaitu televisyen. Televisyen menyiarkan program agama, dimana ia boleh mengajak hati kita cenderung kepada Islam, takut kepada Allah, rasa mula hendak insaf dan sebagainya. Tetapi selepas siaran agama tersebut apa pula yang disiarkan? Program hiburan, nyanyian, perempuan seksi yang mengasyikkan, kisah-kisah cinta, tahyul dan sebagainya. Tidakkah ini akan membalikkan semula hati kita yang tadi telah cenderung kepada iman, takut kepada Allah dan rasa hendak insaf? Tidakkah ini mempunyai persamaan seperti apa yang dilakukan oleh al-Nadr terhadap dakwah Rasulullah.
4. Susah jugak untuk mengatakan tidak pada televisyen kerana kita berhadapan bukan sahaja dengan orang yang tidak faham agama tapi juga mereka yang faham agama dengan pelbagai alasan. Ada yang akan melebelkan kita ini syadid sangat. Ada yang akan cakap nanti anak-anak kita akan pergi rumah orang lain tengok tv. Hidup tidak ‘update’. Sama-sama kita fikir dan bandingkan dengan contoh-contoh lain seperti telefon bimbit yang boleh menyimpan pelbagai hiburan, majalah hiburan dan sebagianya.
5. Kenapa kita susah untuk berubah walaupun kita telah mendengar pelbagai nasihat agama, diberi pelbagai petua agama untuk berubah menjadi baik, sehinggakan kita pernah menangis menyesal atas perbuatan jahil kita, tapi penyesalan itu tidak kekal. Sekejap cuma keinsifan kita tadi.Kenapa? salah satu puncanya ialah HIBURAN yang melalaikan.Fikirkanlah kisah yang berlaku kepada Rasulullah dan ayat Al-Quran tadi.
HIDUP SEDERHANA
1. Hari ini hidup kita makin disusahkan dengan kehidupan dunia yang dipandang oleh kebanyakkan manusia perlu dilihat mewah dan berada. Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan terutamanya pendidik berhadapan dengan satu persepsi masyarakat yang ‘memestikan’ mereka nampak hidup dalam keadaan agak mewah atau ‘update’. Rumah biar nampak besar dan mewah, kereta biar nampak mahal dan berjenama kalau tidak kita akan dianggap kedekut dan tak sama taraf harta yang dimiliki dengan pekerjaan. Begitulah pandangan dan suara-suara yang boleh mengalahkan pengetahuan dan ilmu tentang kehidupan yang dikehendaki oleh Islam didunia ini. Hilang sudah rasa untuk hidup bersederhana.
Hatta jika rumah kita berlampukan lampu kalimantan hari ini ia turut menjadi bahan kutukan. Sedangkan hakikatnya kemewahan ini semuanyaberhutang. Hidup kita nampak mewah tapi telah hilang kemanisan kerana kita membiarkan pandangan dan kata-kata orang sekeliling kita mencorakkan hidup kita. Kita tidak MERDEKA PERASAAN sebenarnya jika demikian keadaannya.
Betul sukar untuk kita mempertahankan kemahuan untuk hidup secara sederhana. Sebagai contoh kita membeli rumah yang agak besar dengan niat untuk keselesaan keluarga dan pengurusan kewangan kita cukup untuk menampungnya. Namun orang-orang disekeliling akan mempengaruhinya supaya rumah tersebut nampak lebih mewah, lampu perlu yang begini-begini, dapur perlu buat ala bar, taman perlu macam ini dan sebagainya seolah-olah rumah itu bukan kita punya.Rumah besar perlu dalamanya mewah sedangkan itu hanya untuk menyenangkan orang disekeliling kita supaya tidak mengutuk kita dan suka duduk serta tengok rumah kita, yang sengsara menaggung hutang dan mungkin disiksa diakhirat akibat belebih-lebihan dan bermewah-mewahan ialah KITA. Itulah dunia hari ini dan kita turut diperbobohkan olehnya.
2. Kita perlu utamakan kita, jangan pedulikan orang disekeliling kita jika mereka pula ingin MEMERINTAHKAN kita buat begitu dan begini terhadap apa yang kita miliki, itulah gambaran kita tidak memiliki apa yang kita miliki Kita perlu selaraskan hidup kita ini dengan pandangan Islam jika suara-suara dari kiri kanan tidak selaras dengan tanda aras ini ketepikan. Matlamatku hidup sederhana. Matlamatku apa yang aku buat ada niatnya dan perlu betul dan bermanfaat. Apa guna bermewah sedangkan semuanya hutang dan lepas itu tiada lagi harta kita untuk manfaat MEMBINA MAHLIGAI DISYURGA.
UNTUK PEMBICARA KEBAIKAN
Pembicara kebaikan,
mudahnya dilafaz dan dilakar
isinya , maklumatnya, hujjahnya mudahnya diperolehi
diolah dilontar dengan bicara mahupun coretan
kita nampak hebat, sempurna, seolah-olah kita yang terbaik.
Pembicara kebaikan,
waspadalah dengan musuh yang ghaib
syaiton sentiasa mengintaimu
menunggu disaat kau lalai dari ALLAH
disaat itu kau dilupakan tentang bicara kebaikan yang telah kau lakarkan
disaat itu riak, takabbur dipanah pada hatimu
waspadalah wahai pembicara-pembicara kebaikan!
Pembicara kebaikan,
ingatlah mungkin ada ujian yang akan menguji bicara-bicara kebaikanmu
yang telah kau lafaz dan lakarkan
teruslah berbicara tentang kebaikan
bersama ingatan pada ALLAH
agar musuh yang ghaib tidak mampu melalaikanmu
Selamat berjuang!
7.5.10
REDHOMU KE SYURGA
Kurenung wajah itu
Lesu pucat tak bermaya
Semakin banyak garis-garis halus
Masih kuat bekerja
Wajah yang sentiasa dihati
Walau apa sekalipun terjadi.
Kupegang erat tangannya
Hangat seperti dulu
Keberkatan air tangannya
Mengasuh mendidik tanpa jemu
Merawat sakitku
Dari hari pertama dilahirkan
Hingga kini
Perjuangannya masih belum selesai.
Terima kasih mak!
Jasamu tidak mungkinku bayar
Walau dengan intan berlian bergunung
Kerana doamu
Pasti kerana izinNya
Aku mampu berdiri seperti sekarang.
Terima kasih ma!
Kerana melahirkan seorang anak yang soleh
Bertanggungjawab yang mendidik
Baik dan sabar
Suamiku yang penyayang.
Mak dan ma
Hari ibu bukan selayaknya bagimu
Kerana jasamu bukan untuk dikenang untuk sehari
Tetapi setiap saat dan detik
Bahkan dijunjung hingga keakhirnya
Redhomu membawa ke syurga!
5.5.10
AKTIF YANG PEMALU
Nenek, kakak-kakak ibu
Tok wan, adik-adik ayah
Kawan-kawan ibu
Kawan-kawan ayah
Semua tak sabar
Selalu bertanya
Lelaki ke perempuan?
Boy ke girl?
Hanya senyuman yang menjawab.
Suatu malam ibu bermimpi
Bersama ayah ke klinik berhampiran
Maka terjawab sudah segala persoalan
Dan di scene lain
Ayah mendukungmu yang ketika itu agak besar
Sambil tersenyum ke arah ibu
Mata macam ayah
Kulit macam ibu
Kerana kamu anak ayah dan ibu
Tetapi semua itu hanya mimpi
Ibu tersedar dikejutkan ayah
Jam menunjukkan hampir 5 pagi.
Seperti biasa pemeriksaan berkala
Temujanji bersama doktor
Alhamdulillah setelah discan
InsyaAllah sama macam mimpi ibu
Tak cukup itu
Ayah membawa lagi ibu ke klinik lain
InsyaAllah jawapannya sama.
Anak ibu sangat aktif
Semasa discan doktor
Berpusing-pusing tak mahu diam
Penat doktor mencari private part
Aktif yang pemalu
Seolah tak mahu doktor tahu.
Di screen TV
Ibu dapat melihat pergerakan anak ibu
Dan ayah turut memerhati
Bibirmu yang comel
Kedua tangan dan kaki
Dengupan jantung
Sudah menjangkau 500 gram
Terlihat panjang.
Alhamdulillah
Walaupun ibu agak penat
Dapat cuti rehat selama 2 hari
InsyaAllah anak ayah dan ibu sihat.
Anak ayah dan ibu
Kami sangat rindukan dirimu
Kami sangat ternantikan kehadiranmu
Kerana kamu mujahid ayah dan ibu
Yang bakal rindu memburu syahid!
Subscribe to:
Posts (Atom)