20.12.10

JANTINA LAPTOP?

Jom cuba..

1. Buka notepad dan paste ayat ini dalam notepad:
CreateObject("SAPI.SpVoice").Speak"I love YOU"

2. Selepas itu tekan save. Ubah save as type kepada All Files (pastikan save di desktop supaya senang nak cari/buka nanti).
Save as = love u.vbs

3. Close notepad apabila habis save. Then double click file td (love u.vbs) dan akan dengar suara "i love u."

laptop abu Muhammad ni berjantina male (;
makcik-makcik pakcik-pakcik?

kredit: gadis solehah (;

15.12.10

EXCLUSIVE BREASTFEEDING (EBF)

Tulisan ini khas untuk sahabat-sahabat
Yang sedang mengandung, baru melahirkan bayi, dalam hari dll
Yang mahu memberi susu ibu sepenuhnya
Atau disebut EBF (Exclusive Breastfeeding) sekurangnya-kurangnya 6 bulan
Semoga dikurniakan azam yang kuat.

Mengikut pengalaman saya sendiri
Pada awalnya, air susu memang payah/susah/lambat untuk keluar
Ianya memerlukan ransangan bayi dengan kekerapan yang tinggi
Dan disini emosi ibu-ibu baru dengan kelahiran pertama selalu diuji.

Begitu juga saya
Agak lemah semangat sehingga menjadi tekanan
Tapi Alhamdulillah
Berkat sokongan moral suami dan emak
Yang sangat menyokong susu badan sepenuhnya
Saya dengan azam yang berkobar sejak mengandung lagi
Doa yang berterusan
Dengan izin Allah terutamanya
Alhamdulillah, dikurniakan susu yang melimpah.

Pada awal kelahiran, selepas rangsangan bayi
susu mula banyak dan berlebihan untuk bayi anda
Oleh itu nasihat saya, carilah botol, bag simpanan susu dll
Simpan susu anda yang berlebihan itu
Kerana ia dapat menampung keperluan susu anak anda nanti
terutamanya ketika anda bekerja.

Ingat waktu anda dah mula bekerja, mungkin anda
tidak ada banyak masa untuk perahan susu
Jadi ini adalah antara waktu terbaik untuk simpanan susu

Bayi memerlukan susu yang semakin banyak
sesuai dengan pertumbuhannya,
maknanya makin hari makin banyak susu yang diperlukan
Jadi ini sebab kedua kenapa perlu simpanan susu diawal kelahiran.

Dikhuatiri nanti,
Susu badan anda hanya cukup-cukup untuk anak
Dan tiada sisa untuk diperah sebagai simpanan
Ingat apabila anda bekerja bayi tidak sepanjang masa bersama anda
Jadi susu simpananlah sebagai penggantinya untuk diberikan kepada pengasuh.


Berdasarkan pengalaman saya sendiri
Sekurang-kurang 3 bag susu yang setiap satu lebih kurang 4oz
Habis untuk 7 jam ditinggalkan di rumah pengasuh
Dan di tempat kerja
Mungkin anda hanya mampu memerah 2 bag susu
Yang setiap satu lebih kurang 4 oz.

Sekiranya perahan anda mampu sehingga sebotol penuh
Bolehlah dibahagi dua atau tiga bag
Bergantung kepada keperluan anak anda
Sebagai contoh anak hanyah menyusu hanya 3oz pada 2bulan pertama
Jadi simpan sebanyak itu setiap bag
Ini untuk mengelakkan pembaziran susu
Dan menjimatkan stok susu.

Ingat!
6 bulan ialah jangka masa lama
Anak anda pula semakin hari semakin banyak keperluan susunya
Mungkin 4oz sekali penyusuan
Dan susu simpanan ini perlu diberi untuk sekali penyusuan sahaja
Kerana ianya mudah basi.

Stok terkini susu perahan yang setiap satu lebih kurang 5oz untuk sekali penyusan anak yang hampir 3bulan 3minggu. Agak sedikit jumlahnya kerana ada 2bulan lagi untuknya mendapat EBF dari saya ketika saya bekerja.

Cara baru yang saya dapat untuk menjimatkan ruang peti sejuk disini.

Mudah untuk diletakkan dipintu peti ais beku.

Cara lama yang menyempitkan ruang.

Bandingan dua cara menyimpan susu.

Bag susu yang baru dibeli secara online di fabulousmom lebih murah dan berkualiti berbanding brand lama yang saya beli dikedai dengan harga yang sangat mahal dan kurang kualiti. Saya membuat beberapa kajian berkenaan beg susu Jingle Jungle disini.

Inilah sedikit pengalaman untuk dikongsi
Kepada ibu-ibu muda seperti saya
Yang menyokong penuh susu badan (breastfeeding)
Hak anak yang perlu ditunaikan!
InsyaAllah.

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang baik." (Al-Baqarah: 233).


p/s: lagi untuk menyahut cabaran di MY BREASTFEEDING HEAVEN CONTEST ;)

7.12.10

1432H

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Amin ya Allah..

17.11.10

IDIL ADHA 1431H

Semoga Aidiladha kali ini menjadi madrasah jiwa, perindu syurga buat kita semua-InsyaAllah.
-Abu Muhammad, Ummu Muhammad & Muhammad-

10.10.10

10.10.10


Tahun lepas 10.10.09
10 + 10 + 09 = 29
2+ 9 = 11
1 + 1 = 2
Maka ulang tahun pertama kami ber-2.


Hari ini 10.10.10
10 + 10 + 10 = 30
3 + 0 = 3
Alhamdulillah! Allah pinjamkan kurniaan agung putera kami Muhammad
Maka kami sudah ber 3 ;)


p/s: Hanya tahun lepas dan hari ini sahaja valid untuk pengiraan Matematik..Tahun depan jangan cuba kira-kira..TETAPI Allah sahajalah penentunya.. ;)

9.9.10

SALAM EID MUBARAK

Salam lebaran dari kami sekeluarga,
Maaf zahir & batin
-Abu & Ummu Muhammad-

8.9.10

YANG TERPUJI, DIRAHMATI


Ya Allah!
Jadikanlah nama ini berkat bagi anakku
Dan jadikanlah taat kepada Engkau perkerjaannya
Dan barang yang Engkau redhai menjadi cita-citanya
Menuntut ilmu Mu menjadi perjuangannya
Dan akhirilah hidupnya dengan amalan soleh.

Ya Allah!
Panjangkanlah umurnya dalam ketaatan kepadaMu dan RasulMu
Jadikanlah badannya dalam keadaan sihat afiat dan sejahtera.

Ya Allah!
Jadikanlah dia pemimpin di waktu besarnya
Dan tetapkanlah imannya seperti iman para Nabi-NabiMu
Hingga ke hari qiamat.

Ya Allah!
Berikanlah anakku rezeki yang halal lagi baik
Dan dekatkanlah dia dengan perkara-perkara yang baik
Dan jauhkanlah dia dari perkara-perkara yang buruk lagi jahat
Dengan kemurahanMu wahai Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Amin..

24.8.10

KISAH BUDAK KECIL


Sebaik sahaja Sayyidina Ali ra dilantik menjadi khalifah
Beliau terus berkunjung ke masjid-masjid di dalam negara
Untuk memastikan perjalannya.

Sekali peristiwa semasa di Basrah
Beliau telah berpeluang mendengar majlis ilmu
Yang disampaikan oleh seorang budak lelaki kecil
Majlis itu dipenuhi ramai orang.

Selepas tamat majlis itu
Sayyidina Ali memanggil orang muda tadi lalu berkata:

Wahai budak, engkau telah berkata
dan engkau sungguh pandai dalam berkata-kata
dan engkau seorang yang fasih,
dan engkau menepati (kebenaran).

Aku akan tanya kamu 2 soalan,
Pertama, apakah dia tiang agama?
Jawab budak tadi: WARA'.

Sayyidina Ali bertanya lagi:
Yang kedua, apa dia perosak kepada agama?
Jawabnya lagi: TAMAK.

Sayyidina Ali seterusnya berkata:
Teruskanlah wahai budak.
Sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik orang yang aku lihat.

Budak kecil itu ialah HASSAN AL-BASRI
Budak kecil ini sampai ke peringkat ilmunya yang tinggi
Disebabkan pendidikan yang dilaluinya di masjid
Kerana kepimpinan dan ilmu itu diperolehi di masjid.

Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!
Mari ibu-ibu kita melahirkan lebih ramai Hassan Al-Basri
Berdoalah! Berusahalah! Mintalah pada yang Esa!

Kredit:
Anakku Hebat, Anakku Soleh muka surat 45.

AL-QADR


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam qadar (malam qadar mempunyai beberapa erti, di antaranya malam kemuliaan, kerana malam itu permulaan diturunkannya Al-Quran dari Lauh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW)
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan
5. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.

Subhanallah! Astagfirullah!
Mata terpaku seiring sesejuk badan yang berteleku
Hati tertarik untuk mentadabbur surah Al-Qadr
Dalam mengalunkan beberapa surah-surah terakhir di dalam juzu' amma
Dan semalam seusai solat Asar
Sesudah mengalun lembut zikir mathurat
Alhamdulillah!
Allah mengabulkan doa
Masih memberi ruang dan peluang untuk khatam Al-Quran
Di bulan penuh berkah bersama khalifah kecil ini.

Hati kecil selalu berdoa
Moga Allah pertemukan kami dengan malam penuh kemuliaan itu
Moga Jibril datang menyambut menyapa mulia kelahiran mujahid kami
Moga sekalian malaikat mendoakan keberkatan kelahirannya
Moga anak ini membawa kemuliaan ibu dan ayahnya
Di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Terima kasih kepada suami tercinta
Keupayaanku untuk terus tadarrus+tadabbur
Semangat untuk terus gagah berpuasa+berterawih
Kesihatan yang baik kerana rehat yang cukup sepanjang Ramadhan
Sesungguhnya semuanya daripada Allah
Melalui dia yang banyak berkorban untukku
Menyediakan iftar setiap hari untukku dan mujahid kami seorang diri
Membiarkan kami ber'uzla di musolla bayt al-iman
Rendang, nasi goreng sotong, kari daging, dan pelbagai jenis lauk berlainan setiap hari
Karipap daging, kueh gulung dan keria sebagai juadah pemanis
Hanya Allah yang dapat membalasnya!
Hanya Allah yang selayaknya!

Ya Rabb!
Alhamdulillah!
Hambamu ini terlalu bersyukur..

22.8.10

IMAM SYAFIE


Dalam buku Amalan-amalan Semasa Mengandung dan Panduan Menyambut Cahaya Mata oleh Ustaz Hj. Taib Azamudden Md. Taib dan Ustazah Ngah Puteh Abdul Shukur, muka surat 13 manyebutkan bahawa:

Imam Syafie semasa dalam kandungan
Ibunya sentiasa membaca surah Al-Fatihah dan Surah Yaasin
Dan menyeru kandungannya supaya memahami apa yang dibacanya
Maka tidak hairanlah Imam Syafie boleh menghafal Al-Quran
30 juzu' sejak umurnya 7 tahun
Kerana sejak dalam kandngan lagi beliau telah belajar Al-Quran.

Subhanallah! Allahuakbar!
Moga mujahid ibu dan ayah
Bakal mengulang sejarah.

Aku suka
Sekiranya semua ibu-ibu yang mengandung diluar sana
Bisa membuat sesuatu yang hebat untuk anak-anak
Sejak mereka dalam kandungan lagi
Kerana lahirnya mereka kelak
Bakal membina satu pasukan tentera-tentera Allah
Yang bakal mengembalikan kegemilangan Islam
Alangkah indahnya..

Kredit:
Amalan Ibu Mengandung muka surat 25.

21.8.10

SENTUHAN PAGI JUMAAT


Pagi Jumaat yang lepas
Entah mengapa hati begitu tersentuh
Dalam perjalanan ke sekolah memasuki ladang sawit bertanah merah
Yang jauhnya hampir 10km dtemani IKIM yang setia
Manik-manik halus deras menggelongsor dari kelongsong mata
Seiring dengan tegaknya roma
Esakan semakin kuat tatkala mendengar
Mutiara kata yang selalu bermain di corong radio

Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa mengajarkan anak-anak mereka 3 perkara iaitu:
1. Cintakan Rasulullah SAW
2. Cintakan keluarga Rasulullah SAW
3. Cintakan Al-Quran: Orang yang menghafal Al-Quran akan dibangkitkan dengan roh para-para Nabi

Subhanallah!
Ya Allah kurniakanlah anak di dalam rahimku
Keupayaan untuk menghafal+memahami+amal qalamMu
Esakkan semakin tidak terkawal
Betapa aku mendamba kurniaan agung ini
Betapa aku mengharap Allah mengurniakan
Betapa aku memohon dipinjamkan
Anak-anak dari golongan yang soleh.

Ya Tuhanku, kurniakanku (seorang anak) daripada golongan orang-orang yang soleh (As-Saffat 37: 100)

20.8.10

10 HARI FASA RAHMAT


Subhanallah! Alhamdulillah! Astagfirullah!
Tiada ungkapan lagi untuk menyatakan rasa kesyukuran
Masih diberi nikmat sampai ke bulan penuh berkah
Masih diberi kesempatan melalui 1/3 rahmatnya
Berdoa lagi untuk merasai kesempatan fasa keampunan
Dan insyaAllah bersama kurniaan agung untuk fasa terakhir
Ramadhan ya Ramadhan!
Pertemukan kami dengan lailatul qadarmu!

Subhanallah! Alhamdulillah! Astagfirullah!
10 hari hampir berlalu
10 hari Engkau masih memberiku meneguk kasih Ramadhan
10 hari Engkau masih menganugerahi nikmat puasa Ramadhan
10 hari Engkau masih memberiku semangat berterawih
10 hari Engkau masih membawaku tenggelam dalam asyik alunan suci qalamMu
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?

Subhanallah! Alhamdulillah! Astagfirulah!
Wahai anakku sayang,
Moga kekuatan dan semangat yang Allah berikan pada ibu
Untuk terus berpuasa Ramadhan
Untuk terus gagah berterawih 20 rakaat
Untuk terus mengalun ayat suci Allah hinggakan ke surah terakhir
Dalam menanti saat-saat akhir kelahiranmu ini
Menjadikan dirimu bakal khalifah agung
Menjadikanmu jundi Allah yang rindu akan syahid
Hebat seperti para ulama-ulama ulung
Dalam menyambung risalah Rasulullah SAW
Ya Rabb!
Perkenankanlah!
Kumpulkan kami disyurgaMu yang penuh kenikmatan..

8.8.10

AMALAN KEROHANIAN IBU


1. Berikut antara amalan kerohanian yang perlu diberi perhatian oleh ibu mengandung:
(i) banyak bertaubat
a. doa sayyidul istighfar untuk keampunan dosa

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah! Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku akan setia pada perjanjianku denganMu semampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”


(Barangsiapa membacanya dengan yakin ketika sore hari, lalu ia meninggal dunia pada malam itu, maka ia masuk Surga. Dan demikian juga ketika pagi hari.” HR. Al-Bukhari 7/150)
(kredit: http://sunniy.wordpress.com/2007/09/28/sayyidul-istighfar/)


- doa ini sebahagian dari doa di dalam zikir ma'thurat yang diamalkan 3 kali setiap pagi selepas subuh dan selepas asar. oleh itu, amalkanlah membaca ma'thurat.

b. selain itu, amatlah cantik jika boleh beristighfar sebelum tidur sebayak 100 kali
- kerana Rasulullah SAW yang dijamin syurga oleh Allah juga beristighfar paling kurang 70 kali

* suami isteri perlu istiqomah melakukan taubat dan istighfar dan berdoa semoga Allah merahmati keduanya dan anak di dalam kandungan termasuk segala isi rumah.


(ii) banyak membaca Al-Quran
a. surah Al-Fatihah~ untuk penerang hati + kuat ingatan
b. surah Maryam~ untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar + taat
c. surah Luqman~ untuk memperoleh anak cerdik akal + cerdik jiwa
d. surah Yusuf~ untuk memperoleh anak cantik rupa + cantik akhlak
e. surah Hujurat~ untuk memperbanyakkan susu ibu + anak bersifat hati-hati
f. surah Yaasin~ untuk ketenangan hati + anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan untuk mengajak maksiat
g. surah At-Taubah~ untuk membersih jiwa + terpelihara daripada maksiat
h. surah An-Nahl~ untuk melahirkan anak yang berdisiplin

* perlu diingatkan Al-Quran merupakan surat cinta dari Allah yang mana semua kandungannya adalah istimewa dan perlu diamal (dibaca + tadabbur) secara istiqomah
* amalkan membaca Al-Quran setiap pagi selepas subuh (bacaan harian) dan menjadikan waktu antara maghrib dan isyak sebagai masa eksklusif untuk membaca surah-surah diatas secara berulang-ulang



(iii) banyakkan berdoa
a. doa agar anak dalam kandungan dipelihara
(cuba hafal dan jadikan amalan setiap selesai solat fardhu)



b. doa untuk pelindungan diri
(amal selepas maghrib untuk menghindari gangguan makhluk halus, jin, syaitan, dajjal dan sebagainya yang baik untuk diri mahupun anak dalam kandungan)





c. doa mendapat zuriat/keturunan yang soleh~ (surah Ali-Imran: 38)
d. doa agar anak tetap mengerjakan solat~ (surah Ibrahim: 40-41)
e. doa mohon rahmat- (surah Ali-Imran: 8-9)
f. doa untuk pasangan dan zuriat penenang hati~ (surah Al-Furqon: 74)
g. doa ingin zuriat~ (surah Al-Anbiya': 89)

*untuk doa-doa (c-g) eloklah sekiranya dapat diamalkan sebelum berkahwin lagi.


(iv) pendidikan semasa mengandung
a. mengamalkan solat wajib dan sunat
b. mengamalkan zikir
c. membaca Al-Quran
d. mendengar muzik yang tenang
e. membaca buku-buku ilmiah
f. berbual dengan anak dalam kandungan
g. menjaga adab dan emosi
h. makan makanan yang baik dari segi zahiriah dan batiniah
i. menjauhi sifat-sifat mazmumah
j. sentiasa senyum dan sabar
k. menutup aurat
l. berpuasa sunat (terutama suami)
m. tidak bercakap sia-sia
n. menjaga pandangan


* kebanyakkan amalan-amalan di atas bukan sahaja perlu dititik beratkan semasa mengandung tetapi ianya perlu dilakukan secara istiqomah dalam kehidupan sehari-hari sebagai ibadat hanya dan kerana Allah.


Rujukan:













P/s:
~ Sedikit perkongsian yang diamalkan ketika hamil kini khas untuk sahabat-sahabat yang bertanya.
~ Boleh mendapatkan buku-buku diatas sebagai rujukan penuh.
~ Semoga Allah memilih kita untuk melahirkan generasi penyambung risalah Rasulullah SAW. InsyaAllah.

7.8.10

AMALAN PEMAKANAN IBU

Set pemakanan yang menjadi amalan pagi dan malam

1. Antara amalan pemakanan semasa mengandung:
(i) sedayanya istiqomah mencontohi pemakanan sunnah Rasulullah SAW:
- susu kambing + kurma
- madu
- kismis
- air zam-zam
Makanan tambahan:
~ pil mega-3 HPA (isi ikan untuk perkembangan otak bayi)
~ pil spirulina HPA (membekal tenaga untuk ibu)
~ teh herba HPA (insyaAllah memudahkan proses bersalin)

Rahsia pemakanan ilmuan Islam:
1. Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.

2. Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.

3. Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.

4. Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli – ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

5. Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.

6. Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”



(ii) hindari/boikot semahunya barang-barang zionis (israel)
- mujahadah makan di KFC, PIZZA HUT, MCDONALD walaupun ianya lazat dan berkrim
- hindari berbelanja di gudang/paasaraya milik yahudi contohnya CARREFOUR, TESCO dll
- jauhi barang-barang yahudi seperti milo, nescafe (keluaran NESTLE) dan semua barangan yang berhubung kait dengan yahudi. ingatlah penderitaan saudara kita di Palestin!
- coca-cola mengandungi kandungan yang meragukan dan sesetengah ulama menetapkan ianya haram sehinggakan meminum coca-cola perlulah disucikan dengan meminum air zam-zam (kerana coca-cola mengeraskan hati).
- jauhi rokok. rokok penyebab kegoblokkan anak-anak (anak-anak keras hati, sukar untuk dinasihati walaupun ada yang bijak akademik tapi belum tentu bijak akal + cantik akhlak) dan tentu sekali penyumbang saham terbesar untuk setiap peluru yang membunuh saudara-saudara kita di Palestin
- TV dan media massa antara agen perosak pemikiran ummat Islam (kita dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah aurat, anak-anak dirangsang dengan adagen seks yang tiada batas..kasihanilah mereka!)



Kod babi yang terdapat di dalam kandungan makanan yang menjadi keraguan

(iii) carilah makanan yang sohih halal dan berkhasiat
- biasakan menyemak kandungan barangan makanan ataupun kosmetik walaupun terdapat cop halal JAKIM
- biasakan membuat research untuk makanan
- pilihlah makanan yang baik bukan sahaja halal tapi bermutu


P/s:
~ Khas untuk sahabat-sahabat yang bertanya. Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini menjadi titik tolak kesedaran kita sebagai perintis untuk melahirkan khalifah-khalifah agung Islam kerana percayalah kegemilangan Islam itu bakal tiba. Teruskan berdoa dan berusaha mengamalkan cara hidup bersyariat.
~ Ingatan tegas terutama diri sendiri.
~ Komen dan segala penambah baik dari segi pemakanan ibu mengandung amatlah dialu-alukan. Jzzk.

6.8.10

RINDU TAK TERLUAH


Aku merindui TEMAN untuk berjuang
Aku rindukan SAHABAT untuk berjihad
KAWAN senda dan tawa
SADIQ untuk sama-sama beribadat
RAKAN untuk sama-sama bermuhasabah
Yang sama-sama menuntut ilmu ALLAH
Sama-sama bekerja demi ISLAM
Sama-sama berkorban demiNya
Dan saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran
Ya ALLAH!
Sampaikanlah rinduku pada ukhtiku ini
Amin..
14 Jun 2010
10:00:18 pm



Mesej ini masih tersimpan rapi dalam peti mesej telefon bimbitku
Betapa ingatanku begitu kuat kepada insan ini
Dan dalam doa rabitoh di setiap pagi dan petangku
Betapa kurasakan keterikatan hati-hati kami
Masih terbayang bulatan manusia yang gigih bekerja demi ISLAM
Satu persatu wajah-wajah mereka muncul selembut alunan ma'thurat
Dan aku masih berteleku di atas sejadah
Tak terluah rinduku yang dalam
Merayu diampunkan segala keterbatasan
Betapa lemahnya aku
Betapa gigihnya mereka
Moga solatku, ibadatku, hidupku dan matiku
Dikira sebagai amal ibadah berpanjangan
Hanya dan kerana Allah..

Ya Rabb!
Aku merayu kepadaMu
Ampunkanlah..

1.8.10

MENANTI KHALIFAH KECIL


Tugasan ayah ;)

Hari pertama:
1. Azan dan iqamat
2. Suapan pertama (tahnik): moga dimudahkan ketemu orang alim dan bertaqwa
3. Menanam uri

Hari ketujuh:
1. Memberikan nama
2. Mencukur rambut
3. Aqiqah
4. Khitan

Semoga diberikan kekuatan dan dimudahkan segala urusan untuk melaksanakan tugasan dalam keberkatan dan rahmatNya! ;)

4.7.10

MESTI TONTON!


Just Intro!

Lihat ummat!
Bagaimana dunia telah merancang
Begitu berstrategi dan tersusun
Begitu cantik dan halus
Dan ianya bukan suatu kebetulan
Tapi ianya memang satu RANCANGAN!

Mengapa ikhwah dan akhowat begitu bersemangat?
Mengapa mereka begitu komited dengan 'kerja' mereka?
Mengapa mereka dilihat begitu agresif pada pandangan kamu?
Semuanya bakal terjawab di sini.

Apa yang pasti
Mereka telah bersiap sedia menggalas tanggungjawab
Sebagai khalifah sebagai hamba
Dan kita? saya? kami?
Adakah hanya memilih kehidupan selesa
Disamping isteri, suami dan anak-anak?

Luangkan sedikit masa anda:

http://www.selatanonline.net/v1/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=1665#19929

p/s: Pastikan anda menonton bermula dengan 'Satu Kedatangan'.

21.5.10

KAMU ANAK JANTAN!


“Aku ingin menyampaikan dakwah ini sampai kepada janin di perut ibunya.” -Hasan Al-Banna-

Sukar!
Suatu pencarian yang sukar buat ayah
Memerlukan pemerhatian dan penelitian
Hanya kerana mahukan mujahid ibu dan ayah
Dibesarkan dalam roh Islam
Bukan muzik mengasyikkan menjadi halwa tidurmu
Bukan dedahan aurat menjadi tatapanmu
Bukan udara najis menjadi oksigenmu.

Mujahid ayah!
Carta hidupmu sedang dalam lakaran ayah
Ayah mahu dirimu mendapat tarbiyyah terbaik
Ayah mahu hatimu terisi dengan ayat-ayat cintaNya
Ayah mahu kamu mahir pelbagai bahasa
Ayah mahu kamu mahir segala teknik peperangan
Ayah mahu kamu hidup berlandaskan syiar Islam
Agar hidupmu terarah mulia
Agar hatimu berjiwa pahlawan
Agar langkahmu gagah menegakkan kalimah Allah
Supaya kamu menjadi insan lebih baik daripada dirinya.

Mujahid ibu!
Setibanya kamu tiba di kampung sementara ini nanti
Ketahuilah tempat ini persinggahan cuma
Perjuangan dalam kehidupan adalah sunnatullah
Berjuanglah kamu menegakkan kalimah Allah dengan berani
Berperanglah kamu dengan musuh-musuh Allah
Janganlah kamu gentar dan takut
Mohon dan yakinlah pertolongan Allah
Kerana kita diajar rindukan syurga idaman!
Kita diajar memburu syahid!
Dan kita diajar cintakan akan kematian!

Mujahid ibu dan ayah!
Kamu adalah anak jantan!
Kelahiranmu kelak sudah diwaqafkan atas nama Islam
Muliakanlah ibu dan ayahmu ini
Dengan kesyahidanmu kelak
Pakaikanlah ibu dan ayahmu
Dengan gelaran 'ummu dan abu syuhada'
Segala puji bagi Allah!
Kumpulkan kami di syurga penuh kenikmatan
Ya Rabb!
Izikanlah..

19.5.10

CIKGU-CIKGU

Terima kasih anak-anak cikgu!

Cikgu memang bukan pemarah
Cikgu memang murah senyum
Cikgu memang agak lembut
Cikgu juga jarang-jarang garang
Tapi cikgu juga bukan terlalu penyabar.

Cikgu memang bukan pemarah
Tapi bila cikgu mula hilang sabar
Disuruh hafal sifir
Kamu gagal pada masa ditetapkan
Maka berdirilah tegak kamu
Di koridor hadapan kelas
Sehingga hafal dan lulus ditasmik cikgu.

Cikgu memang murah senyum
Tapi bila cikgu tidak mampu walau sengeh
Ditinggalkan sebentar sahaja
Mengambil lembaran kerja
Yang jaraknya hanya 2meter
Kamu mula berpesta
Bermain pingpong kreatif ciptaan sendiri
Menggunakan kulit buku keras dan bola kertas
Maka jadilah kamu tiang-tiang elektrik
Dengan jarak 50cm diantara kamu
Berdiri tegak sehingga waktu tamat.

Belum sempat waktu tamat
Satu persatu anak-anak
Datang dan menyatakan kemaafan
Berjanji perkara yang sama tidak berulang
Dan kamu anak-anak cikgu
Masih mengotakan janji-janji kamu sehingga kini.

Cikgu memang agak lembut
Jadi banyaklah kerja-kerja cikgu kamu tangguhi
Dan cikgu masih boleh bertoleransi
Tapi bila lembut bertukar tegas
Setiap satu kesalahan bagi setiap soalan
Pembaris sehasta panjang
Pasti hinggap ditelapak tangan kamu.

Oleh kerana cikgu jarang-jarang garang
Belum pun hukuman dijalankan
Seorang telah menangis
Tapi prinsip adil dan saksama
Maka perlu juga diberi rasa sekali sekala.

Bila kelas tamat
Satu persatu kamu disapu lembut
Menyatakan mengapa cikgu bertindak demikian
Dan yang menangis itu cikgu peluk erat
Sambil membisikkan
Cikgu mahu awak pandai
Dan senyuman terukir dalam sendu.

Anak-anakku
Marah cikgu tanda sayang
Hukuman cikgu untuk mendidik
Cikgu faham bukan salahmu
Kerana cikgu cukup mengerti
Kamu dibesarkan bukan dalam keluarga terdidik
Bukan dibesarkan dengan roh Islam
Maka kamu merupakan tanggungjawab cikgu
Untuk diberi didikan
Bukan sekadar mengajar sains dan matematik
Malah untuk diajar berTuhan
Agar kamu pulang dengan kejayaan
Bukan di dunia sementara
Tapi di akhirat sana
Negeri yang kekal abadi selamanya.

Terima kasih anak-anakku!
Kamu juga merupakan cikgu untuk cikgu
Mengajar cikgu erti kehidupan
Mengajar cikgu erti kasih sayang
Mengajar cikgu erti kesabaran
Dan pasti mengajak cikgu sentiasa ingat akan Tuhan.

Terima kasih cikgu-cikguku!
Kudoakan cikgu-cikgu sentiasa dalam rahmatNya
Serta kasih sayang dan ehsanNya
Moga segala kebaikan dari muridmu ini
Menjadi saham cikgu-cikgu di akhirat sana.

SELAMAT HARI GURU, CIKGU-CIKGU!

OH ANAK-ANAKKU!


Suatu pagi di kelas sains
Sebelum kelas bermula
Kelihatan dua orang murid berbual sesama mereka
Kelas tahun 3 yang hanya mempunyai 2 pasang murid

cikgu: siapa Tuhan awak?
(bertanya murid yang paling pintar dikalangan mereka sambil diperhatikan murid-murid lain)

murid: beadak (tiada)
(hampir keseluruhan penduduk di sini tiada kepercayaan beragama)

cikgu: habis tu, siapa jadikan awak?
murid: berfikir sejenak
cikgu: siapa yang jadikan pokok tu, jadikan cikgu, semuanya yang disekeliling kamu?
murid: masih kebingungan mencari jawapan

Dan cikgu meneruskan pelajaran seperti biasa
Membiarkan murid itu berfikir
Tentang kewujudan Tuhan
Tentang pemilik sebenar cakerawala
Didoakan segala persoalan dicari dan dikaji
Moga diberi taufik dan hidayah
Akan kepastian dan kebenaran
Aqidah mantap percaya hanya Tuhan nan satu.

Hati seorang guru
Apabila tarbiyyah telah menyinggah
Bukan sekadar mengajar tulis baca
Bukan sekadar mengajar sehingga berjaya
Bukan sekadar mengejar cita-cita
Tapi memimpin kepada kebenaran
Membentuk aqidah yakin akan Tuhan yang satu
Percaya akan hari pembalasan
Menjadikan Rasulullah sebagai qudwah yang ulung.

Hati seorang guru
Setiap pagi kurenung
Wajah-wajah suci anak-anakku
Kita sama kerana kita hanya manusia
Tapi sayang aqidah kita berbeza
Dan itu bukan salahmu semata
Cikgu juga punya saham di dalamnya.

Hati seorang guru
Kurenung lagi dan lagi wajah-wajah mereka
Dalam-dalam untuk kucuba selami mereka
Oh anak-anakku!
Kamu sungguh suci!
Kamu masih tiada catatan amal
Ditakdirkan kematian menjengukmu
Pasti syurga tempat yang kekal untukmu.

Ya Allah!
Kupohon padamu kekuatan
Tanggungjawab ini sangat berat.

11.5.10

HIBURAN MELALAIKAN


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

1. Disebut dalam kitab/buku الحيق المختوم: بحث السيرة النبوية علي صاحبها الصلاة والسلام
Al-Rahiq Al-Makhtum. Sirah Nabawiyyah S.A.W yang ditulis oleh Safiyyu Al-Rahman Al- Mubarakfuri:

Dalam riwayat oleh Ibn’ Abbas menggambarkan bahawa al-Nadr telah membeli beberapa orang penyanyi wanita. Pantang dia mendengar ada seorang lelaki yang cenderung kepada nabi Muhammad s.a.w maka dihantarnya salah seorang penyanyi itu untuknya, agar hilanglah kecenderungannya kepada Islam. Terhadapnya, Allah menurunkan firmanNya:

“Dan ada di antara manusia: orang Yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan Yang melalaikan; Yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah”.(Luqman:6)

2. Para pembaca boleh menyemaknya pada muka surat 133 kitab/buku ini terjemahan Bahasa Melayu. Meneliti perkara ini tidakkah kita terfikir bahawa kaedah ini yang digunakan oleh musuh Islam sekarang untuk melalaikan kita daripada Islam. Hiburan dihidangkan semahunya dan bermacam-macam cara untuk memesongkan hati umat Islam supaya jauh dengan cara hidup Islam.

3. Satu contoh yang boleh difikirkan bersama iaitu televisyen. Televisyen menyiarkan program agama, dimana ia boleh mengajak hati kita cenderung kepada Islam, takut kepada Allah, rasa mula hendak insaf dan sebagainya. Tetapi selepas siaran agama tersebut apa pula yang disiarkan? Program hiburan, nyanyian, perempuan seksi yang mengasyikkan, kisah-kisah cinta, tahyul dan sebagainya. Tidakkah ini akan membalikkan semula hati kita yang tadi telah cenderung kepada iman, takut kepada Allah dan rasa hendak insaf? Tidakkah ini mempunyai persamaan seperti apa yang dilakukan oleh al-Nadr terhadap dakwah Rasulullah.

4. Susah jugak untuk mengatakan tidak pada televisyen kerana kita berhadapan bukan sahaja dengan orang yang tidak faham agama tapi juga mereka yang faham agama dengan pelbagai alasan. Ada yang akan melebelkan kita ini syadid sangat. Ada yang akan cakap nanti anak-anak kita akan pergi rumah orang lain tengok tv. Hidup tidak ‘update’. Sama-sama kita fikir dan bandingkan dengan contoh-contoh lain seperti telefon bimbit yang boleh menyimpan pelbagai hiburan, majalah hiburan dan sebagianya.

5. Kenapa kita susah untuk berubah walaupun kita telah mendengar pelbagai nasihat agama, diberi pelbagai petua agama untuk berubah menjadi baik, sehinggakan kita pernah menangis menyesal atas perbuatan jahil kita, tapi penyesalan itu tidak kekal. Sekejap cuma keinsifan kita tadi.Kenapa? salah satu puncanya ialah HIBURAN yang melalaikan.Fikirkanlah kisah yang berlaku kepada Rasulullah dan ayat Al-Quran tadi.

HIDUP SEDERHANA


1. Hari ini hidup kita makin disusahkan dengan kehidupan dunia yang dipandang oleh kebanyakkan manusia perlu dilihat mewah dan berada. Bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan terutamanya pendidik berhadapan dengan satu persepsi masyarakat yang ‘memestikan’ mereka nampak hidup dalam keadaan agak mewah atau ‘update’. Rumah biar nampak besar dan mewah, kereta biar nampak mahal dan berjenama kalau tidak kita akan dianggap kedekut dan tak sama taraf harta yang dimiliki dengan pekerjaan. Begitulah pandangan dan suara-suara yang boleh mengalahkan pengetahuan dan ilmu tentang kehidupan yang dikehendaki oleh Islam didunia ini. Hilang sudah rasa untuk hidup bersederhana.

Hatta jika rumah kita berlampukan lampu kalimantan hari ini ia turut menjadi bahan kutukan. Sedangkan hakikatnya kemewahan ini semuanyaberhutang. Hidup kita nampak mewah tapi telah hilang kemanisan kerana kita membiarkan pandangan dan kata-kata orang sekeliling kita mencorakkan hidup kita. Kita tidak MERDEKA PERASAAN sebenarnya jika demikian keadaannya.

Betul sukar untuk kita mempertahankan kemahuan untuk hidup secara sederhana. Sebagai contoh kita membeli rumah yang agak besar dengan niat untuk keselesaan keluarga dan pengurusan kewangan kita cukup untuk menampungnya. Namun orang-orang disekeliling akan mempengaruhinya supaya rumah tersebut nampak lebih mewah, lampu perlu yang begini-begini, dapur perlu buat ala bar, taman perlu macam ini dan sebagainya seolah-olah rumah itu bukan kita punya.Rumah besar perlu dalamanya mewah sedangkan itu hanya untuk menyenangkan orang disekeliling kita supaya tidak mengutuk kita dan suka duduk serta tengok rumah kita, yang sengsara menaggung hutang dan mungkin disiksa diakhirat akibat belebih-lebihan dan bermewah-mewahan ialah KITA. Itulah dunia hari ini dan kita turut diperbobohkan olehnya.

2. Kita perlu utamakan kita, jangan pedulikan orang disekeliling kita jika mereka pula ingin MEMERINTAHKAN kita buat begitu dan begini terhadap apa yang kita miliki, itulah gambaran kita tidak memiliki apa yang kita miliki Kita perlu selaraskan hidup kita ini dengan pandangan Islam jika suara-suara dari kiri kanan tidak selaras dengan tanda aras ini ketepikan. Matlamatku hidup sederhana. Matlamatku apa yang aku buat ada niatnya dan perlu betul dan bermanfaat. Apa guna bermewah sedangkan semuanya hutang dan lepas itu tiada lagi harta kita untuk manfaat MEMBINA MAHLIGAI DISYURGA.

UNTUK PEMBICARA KEBAIKAN


Pembicara kebaikan,
mudahnya dilafaz dan dilakar
isinya , maklumatnya, hujjahnya mudahnya diperolehi
diolah dilontar dengan bicara mahupun coretan
kita nampak hebat, sempurna, seolah-olah kita yang terbaik.

Pembicara kebaikan,
waspadalah dengan musuh yang ghaib
syaiton sentiasa mengintaimu
menunggu disaat kau lalai dari ALLAH
disaat itu kau dilupakan tentang bicara kebaikan yang telah kau lakarkan
disaat itu riak, takabbur dipanah pada hatimu
waspadalah wahai pembicara-pembicara kebaikan!

Pembicara kebaikan,
ingatlah mungkin ada ujian yang akan menguji bicara-bicara kebaikanmu
yang telah kau lafaz dan lakarkan
teruslah berbicara tentang kebaikan
bersama ingatan pada ALLAH
agar musuh yang ghaib tidak mampu melalaikanmu
Selamat berjuang!

7.5.10

REDHOMU KE SYURGA


Kurenung wajah itu
Lesu pucat tak bermaya
Semakin banyak garis-garis halus
Masih kuat bekerja
Wajah yang sentiasa dihati
Walau apa sekalipun terjadi.

Kupegang erat tangannya
Hangat seperti dulu
Keberkatan air tangannya
Mengasuh mendidik tanpa jemu
Merawat sakitku
Dari hari pertama dilahirkan
Hingga kini
Perjuangannya masih belum selesai.

Terima kasih mak!
Jasamu tidak mungkinku bayar
Walau dengan intan berlian bergunung
Kerana doamu
Pasti kerana izinNya
Aku mampu berdiri seperti sekarang.

Terima kasih ma!
Kerana melahirkan seorang anak yang soleh
Bertanggungjawab yang mendidik
Baik dan sabar
Suamiku yang penyayang.

Mak dan ma
Hari ibu bukan selayaknya bagimu
Kerana jasamu bukan untuk dikenang untuk sehari
Tetapi setiap saat dan detik
Bahkan dijunjung hingga keakhirnya
Redhomu membawa ke syurga!

5.5.10

AKTIF YANG PEMALU


Nenek, kakak-kakak ibu
Tok wan, adik-adik ayah
Kawan-kawan ibu
Kawan-kawan ayah
Semua tak sabar
Selalu bertanya
Lelaki ke perempuan?
Boy ke girl?
Hanya senyuman yang menjawab.

Suatu malam ibu bermimpi
Bersama ayah ke klinik berhampiran
Maka terjawab sudah segala persoalan
Dan di scene lain
Ayah mendukungmu yang ketika itu agak besar
Sambil tersenyum ke arah ibu
Mata macam ayah
Kulit macam ibu
Kerana kamu anak ayah dan ibu
Tetapi semua itu hanya mimpi
Ibu tersedar dikejutkan ayah
Jam menunjukkan hampir 5 pagi.

Seperti biasa pemeriksaan berkala
Temujanji bersama doktor
Alhamdulillah setelah discan
InsyaAllah sama macam mimpi ibu
Tak cukup itu
Ayah membawa lagi ibu ke klinik lain
InsyaAllah jawapannya sama.

Anak ibu sangat aktif
Semasa discan doktor
Berpusing-pusing tak mahu diam
Penat doktor mencari private part
Aktif yang pemalu
Seolah tak mahu doktor tahu.

Di screen TV
Ibu dapat melihat pergerakan anak ibu
Dan ayah turut memerhati
Bibirmu yang comel
Kedua tangan dan kaki
Dengupan jantung
Sudah menjangkau 500 gram
Terlihat panjang.

Alhamdulillah
Walaupun ibu agak penat
Dapat cuti rehat selama 2 hari
InsyaAllah anak ayah dan ibu sihat.

Anak ayah dan ibu
Kami sangat rindukan dirimu
Kami sangat ternantikan kehadiranmu
Kerana kamu mujahid ayah dan ibu
Yang bakal rindu memburu syahid!

28.4.10

ROKOK DAN BABI


Kini heboh seantero dunia dalam gabus (filter) rokok ada sel babi. Namun saya perhatikan perokok tegar tidak ambil 'pot'. Di bahagian beranda surau kampung saya ada tersedia beberapa tempat habuk rokok. Demikian juga di beberapa surau dan masjid lain di seluruh negara. Ramai orang veteran gemar duduk-duduk di tangga atau beranda surau dan masjid, menghembuskan asap penuh kenikmatan, terutama selepas solat asar dan isyak. Jadi, tidakkah 'asap babi' bertebaran di ruang surau dan masjid. Apakah hukum perbuatan ini?

Di sini sukacita saya menjalankan amanah menegur perbuatan merokok berdasarkan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka.

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Sehubungan itu saya berharap, penghisap rokok menghentikan tabiat buruk itu terutama di beranda serta tangga surau dan masjid. Dibimbangi anda menghebus dan menebarkan asap zat babi dalam masjid dan surau. Tentulah ini kesalahan amat serius dan suatu dosa besar.

Kepada pengurusan masjid dan pihak penguat kuasa agama, saya berpendapat tidak cukup dengan hanya meletakkan papan tanda DILARANG MEROKOK atau MEROKOK ADALAH HARAM di dinding atau ruang depan masjid.

Tangkap saja orang merokok di kawasan masjid terutama di berandanya dan hadapkan mereka ke mahkamah. Apabila berita mereka tersiar di dada-dada akhbar, barulah penghisap 'sel babi' di kawasan sekitar masjid akan takut dan lama kelamaan akan insaf.

Kepada penanam tembakau, marilah kita bersama-sama menukar kepada tanaman lain untuk mendapat keberkatan Ilahi. Sekian, harap dimaaf teguran saya dan terima kasih.

Kredit: http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=7304

23.4.10

AMALAN YANG TERBALIK


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah yang mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil.

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan biar habis apa yang dijamu kerana rasa segan dan malu,sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa sepatutnya yang terendah.

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain?

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.Maka dihantarlah ke kelas tuition walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mau hantar tiution baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuition sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir, tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja.Tapi ke rumah Allah( masjid) tak hujan, tak panas,tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahnya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah biar bersama suami atau berseorangan, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia dan banyak suami makan hati.



HADITH

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya:

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.
2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.
3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.
4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.
5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.
6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.
7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya
8. Anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.



HUKUM

Soalan :
Ustaz, apakah hukum jika saya mengerjakan haji menggunakan wang pinjaman bank yg melaksanakan perbankan Islam?

Jawapan :
Setakat ini hanya pakej umrah, ziarah dan pelancungan sahaja yg menggunakan konsep 'travel now and pay later', yakni banyak koperasi dan perbankan syari'ah yg menawarkan pakej Umrah dan Ziarah di mana insitusi tsb membiayai umrah&ziarah secara ba'i bithaman 'ajil (bayaran balik secara ansuran). Mengenai pembiayaan haji secara 'Haji now and pay later' ini belum diputuskan oleh fuqaha' hari ini kerana ia memerlukan suatu qarar (keputusan bersama) kerana ia menyentuh perkembangan semasa dan kemudahan pembiayaan yg tidak ada di zaman silam.

Kalau kita mengkaji kitab-kitab feqah yg ditekankan ialah syarthul qabul (syarat-syarat haji yg mabrur) yakni salah satunya kos haji dan perbekalannya mestilah datang dari punca-punca halal, di dalam batas-batas kemampuan dan tidak menyusahkan dirinya dan keluarganya setelah selesai haji nanti. Maka di sinilah lahirnya idea LUTH (lembaga urusan tabung Haji), menabung dulu, bila dan cukup wang,mendaftar, barulah naik Haji. Maka mengerjakan Haji secara kredit atau kemudahan Haji now and pay later seperti pakej umrah, ziarah, tourism, pembiayaan kereta, rumah dan asset yg lain, memerlukan ijtihad fuqaha'

Mantan Syaikhul alAzhar, Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah : Imam alBaihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Awfa ra bahawa dia melihat seorang bertanyakan akan Nabi saw," bolehkah dia meminjam wang untuk mengerjakan haji?" Nabi bersabda," Jangan."

Fatwa Islam online tanggal 11 February 2001,
Harus hukumnya membuat pinjaman (tanpa riba) untuk pembiayaan Haji walaupun ia tidak wajib berbuat demikian dan Hajinya sah. Sebaik-baik pinjaman ialah pinjaman jangkapanjang. Setakat inilah maklumat yg kita dapat dalam loan untuk haji. Pendapat Islam online ini sesuai dengan aliran dlm madzhab Syafi'iy yg meluaskan skop sumber pembiayaan untuk Haji seluas mungkin, asalkan halal (alBujairimi, Hashiah atas Iqna', 2/349.) Allahu a'alam. Allahu a'alam



BAHASA ARAB

مديـــر : Pengetua ( L)
مديـــرة : Pengetua ( P )
معــلم \ معـلمة : Guru (P) \ Guru (L)
تـلـميـذ \ تـلـميـذة : Pelajar (P) \ Pelajar (L)


Ikhsan dari:
Biro Dakwah
Badan Kebajikan Guru & Kakitangan (BKGK 2006)

14.4.10

AYAH


Anak ibu,
4 hari sudah berlalu
Dan ayah telahpun genap ke angka 31 pada tahun hijrah
Tetapi ayah lupa akan hari lahirnya
Kerana ayah seorang yang tidak gemar mengingat tarikh
Tidak kira masihi atau hijrah
Keduanya tidak penting bagi ayah
Tidak perlu menunggu hari-hari tertentu
Untuk menghargai dan mendoakan sesiapa sahaja
Kerana setiap hari adalah penting
Kerana setiap hari adalah penghargaan
Dan setiap hari perlu saling mendoakan.

Anak ibu,
Ketahuilah pengorbanan ayah
Sejak dirimu berada di dalam kandungan ibu
Ayah juga tidak sihat apabila ibu sakit
Ayah juga tidak lena sehingga ibu terlena
Kerana ayah adalah mesin urut manual ibu
Kerana itu ayah turut tidak sihat apabila ibu sakit
Dan ayah tidak boleh lena selagi ibu belum terlena.

Anak ibu,
Ketahuilah sayang
Ayah sentiasa berinteraksi denganmu seperti ibu
Ayah sentiasa menanti kehadiranmu seperti ibu
Ayah juga sentiasa mendoakanmu seperti ibu.

Anak ibu,
Menjadi kelaziman ayah dan ibu
Selepas ayah pulang solat subuh berjemaah
Ayah dan ibu akan duduk bertadabbur bersama
Dan ayah akan memberi tazkirah pendeknya
Dimana ibu sentiasa diribaannya
Sambil ayah mengusap sayang dirimu
Setiap hari setiap pagi
Sebelum bersiap menunaikan hak anak-anak didik kami
Senaman pagi ibu dan ayah
Moga kelahiranmu kelak
Penambah seri usrah cinta kami
Yang mudah-mudahan istiqomah sehingga akhirnya.

Anak ibu,
Mari bersama ibu
Mendoakan kesihatan dan kebaikan
Umur yang berkat buat ayah
Kuat dan bersemangat
Supaya ayah sentiasa melindungi kita
Di dunia lebih-lebih lagi akhirat.

Abang,
Selamat ulangatahun ke31
27 Rabi'ul akhir 1431H
Moga dirimu sentiasa diberkati dan dirahmatiNya
Sayang cinta dan rindu abang
Hanya dan kerana Allah!

10.4.10

PEMALU


Bila ditanya boy ke girl?
Jawapannya mujahid/mujahidah
Pemalu macam ayah..
Kenapa ayah?
Ayah memang penuh dengan sifat malu
Ayah selalu jaga adab dengan malaikat
Ayah kata orang muslim yang beriman
Berilmu dan beramal
Akan selalu menjaga adab
Dari yang sekecil-kecil perkara
Hinggalah yang sebesar-besar perkara
Walau dalam rumah
Hanya ada ibu dan ayah
Hatta walau ayah berseorangan.

Bila ayah memasak
Bila ayah mengemas
Pakaian ayah seolah-olah mahu ke masjid
Berpakaian lengkap siap berkopiah
Dan kalau ayah bersiram
Kain basahan tak pernah ditinggal
Ayah sebolehnya menghindar waktu maghrib
Kerana menurut kuliah yang pernah ayah dengar
Jin suka mengintai
Dan akibat dari mandi waktu magrib
Akan ada kesan lebam di mana-mana bahagian kaki
Dan ini hanya perihal mandi waktu maghrib
Bagaimana pula yang masih brtebaran di waktu maghrib?
Lebih-lebih lagi yang bergelar perempuan.

Manusia hari ini
Telah ramai yang hilang sifat malu
Hasilnya ialah pembuangan bayi kian tak terbendung
Kerana aqidah yang kian terpesong
Berqiblatkan hollywood, bollywood
Filem-filem cinta yang khayal lagi menipu
Tersasar jauh dari surahan Allah
Al-Quran dan As-sunnah.

Moga sifat malu anak ibu berkekalan
Malu yang bertempat
Yang tidak menghalang usaha dakwah
Menegakkan amal makruf dan nahi mungkar.

Anak ibu,
Mengendongmu 21 minggu ini
Adalah kurniaan Allah yang indah
Nikmat yang ingin dirasa sekalian wanita halal
Dan ibu telah merasa mujahaddah seorang ibu
Perit jerih ujian-ujian kecil
Sebelum menempuh jihad melahirkanmu
Moga hadirmu kelak ke dunia ini
Menambah kuat barisan jundi-jundi Allah
Penyambung risalah Rasulullah
Pewaris obor jihad generasi sebelummu
Memartabatkan Deen di persada dunia.

Moga dunia di genggammanmu
Dan akhirat sentiasa dihatimu!

23.3.10

18 MINGGU


Minggu ke 18
Anak ibu sudah pandai berkata-kata
"Ibu jangan makan!"
Rintihan kecil yang menyentap tangkai hati
Tatkala menjamah makanan
Di hentian puduraya selepas usai solat subuh
Menuju ke putrajaya
Ayam goreng yang umpama mati bertahun lamanya
Dipandang sepi di hujung pinggan.

Minggu ke 18
Menurut 'info ibu'
Anak ibu sudah dapat mendengarkan suara dari luar tubuh ibu
Anak ibu akan bergerak atau melompat ketika mendengarkan suara keras
Otot anak ibu sudah dapat berkontraksi dan relaks
Anak ibu sudah dapat menendang atau meninju.

Minggu ke 18
Anak ibu sangat aktif
Sekejap mengeras di bahagian bawah
Selalu berehat di bahagian kiri
Kekadang penuh di semua bahagian.

Moga anak ibu sentiasa dalam perlindungan Allah!
Ibu sangat rindu!