26.11.09

FI ZILAALIT-TARBIYYAH


Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.

Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!

Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.

Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…

uhubbukum fillah abadan abada…

coretan seorang sister setelah 6 tahun di luar negara
http://muntalaq.wordpress.com/


p/s: Dan aku? Aku juga mahu fikrah sepertimu..hanya kerana Allah!

18.11.09

BADAR


Kursus ini hampir 3 minggu lamanya
Bilangan peserta seramai 313 orang
Sama ramainya dengan tentera Islam
Pada peperangan pertama kita iaitu badar
Melawan 1000 tentera kafir
Nisbahnya hampir seorang Islam lawan 3 kafir
Namun kita menang bergaya
Dan bilangan bukan masalahnya
Kerana apa?
Hebatnya Rasulullah mentarbiyyah sahabat-sahabat
Aqidah mereka mantap!
Kualiti mereka tiada bandingnya
Mereka hanya mengharap syahid atau menang
Dan kita?
Perasaan pun kalah.

Di suatu sudut
Aku keseorangan memikirkan hebatnya sahabat
Dan kulihat satu persatu saudara-saudara seagamaku
Setiap hari lalu dan pergi dihadapanku
Tahukah kamu apa perasaanku?
Tahukah kamu betapa pedihnya hati ini?
Betapa tiada guna aku sebagai seorang manusia
Betapa lemahnya imanku
Betapa aku tak mampu untuk mengubah sesuatu
Memang salahku!
Pernahkah kamu merasa perasaan semacam ini?

Andainya 313 ini mantap aqidahnya
Sudah cukup memakmurkan dunia keseluruhannya
Hebatnya anak-anak didik pasti gurunya hebat
Dan melihat gelagat-gelagat saudara-saudaraku ini
Kegerunanku cukup mengerikan
Tidak mampu kubayangkan
Ya Allah..aku tak sanggup..

Aku ingin sekali pergi kepada saudaraku
Ingin sekali kukhabarkan kepada mereka tentang Islam
Menceritakan kebesaran Tuhan
Meyakinkan hari pembalasan
Dan kematian itu suatu kepastian
Kuingin mereka merasakan iman
Merasakan diri berTuhan
Kerana mereka bukan haiwan
Punya akal membezakan yang halal dan haram
Punya hati yang tidak pernah berdusta
Dan aku begitu terasing
Betapa aku sayangkan saudara-saudaraku
Tetapi mereka tak faham
Kerana pemikiran kita berbeza
Pandangan tentang kehidupan kita tak sama
Aku seolah-olah ganjil
Tarbiyyah mengajarkan menjadi lebih dewasa
Hidup perlu survive
Dan kebergantungan hanya kepada Allah.

Ketahuilah saudara-saudaraku
Perasaan kasih dan sayangku kepadamu
Mungkin tak terlihat pada pandanganmu
Aku mungkin keras dan tegas dipandanganmu
Tapi jauh di sudut hatiku
Aku mohon hidayah itu bertaburan disekelilingmu
Untuk kau kutip sebagai bekalanmu
Kembali kepada fitrah
Kembali kepada Allah
Dan kehibaan hati ini kian menebal..

17.11.09

AKU INGIN BERSAMA-MU


Ya Allah!
Rasakanlah dalam hatiku sentiasa bersamaMu
Supaya aku rasa ada kawan yang melindungiku
Supaya aku tidak sepi dalam hidupku
Supaya aku rasa malu melanggar suruhanMu
Dan aku siap siaga menunaikan perintahMu.

BERSYUKUR


Hak kita
Berdoa dan belajar bersungguh-sungguh
Berusaha untuk mendapat terbaik.

Hak Allah
Beri mengikut kadarNya
Kerana itu adalah hakNya
PengetahuanNya meliputi segala sesuatu.

Oleh itu
Tiada makna kecewa
Tiada erti bersedih
Kerana apa yang kita perolehi
Sikit atau banyak
Cantik atau tidak
Adalah yang terbaik untuk kita.

Maka
Bersyukurlah!
Alhamdulillah..

Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (11:6)

13.11.09

LAHIRKANLAH


Kesedaran akan pentingnya aqidah
Perlu diterapkan dijiwa anak-anak
Sedari sebelum mereka terjadi
Dan oleh itu
Kesedaran ibu ayah itu penting
Agar benih yang terbentuk itu
Terjadi berdasarkan nilai-nilai norma
Yang telah ditetapkan syarak
Berdasarkan ajaran Ar-Rasul
Supaya apa-apa sahaja yang mereka lakukan
Semuanya kerana Allah
Sama ada baik atau buruk
Sama ada mereka suka atau tidak
Kebergantungan mereka hanya untuk Allah
Dan Allah segala-galanya
Dari apa sudut sekalipun
Sentiasa berbaik sangka dengan Allah
Dan hidup mereka pasti terpandu
Ke arah masa depan Islam yang gemilang.

Lahirkanlah Umar Al-Khattab
Lahirkanlah Umar Abdul Aziz
Lahirkanlah Salahuddin Al-Ayyubbi
Lahirkanlah Muhammad Al-Fateh
Lahirkanlah ramai mujahid-mujahid
Lahirkanlah ulama-ulama
Lahirkanlah pakar-pakar ekonomi Islam
Lahirkan mereka-mereka ini
Secara beramai-ramai
Merdekakanlah bumi Palestin
Agar Islam kembali menjejaki
Marhalah Ustaziatul A'lam
Lahirkanlah!

Maka mulakanlah dengan kita
Jagalah hak-hak Allah selayaknya
Tunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkanNya
Jauhi perkara-perkara mungkar
Kikis semua karat-karat jahiliyyah
Bakar semua saki baki mazmumah
Kembalilah kepada fitrah
Demi kerana Allah!
Demi kerana Allah!
Demi kerana Allah!

HATI


Kalau berubah kerana Allah
Pasti hati kuat dilanda badai
Kalau berubah kerana manusia
Pasti hati rapuh ditelan taufan
Maka berusahalah mencari kekuatan hati
Berdoalah untuk dikurniakan rasa berTuhan
Sebagai benteng dalam diri
Malu untuk mengulangi kejahilan itu lagi
Kerana takut azab Allah yang tidak terperi.

SAYANG KERANA ALLAH


Diam tak diam
Hampir empat tahun lamanya
Berlalu segala kenangan
Kemas dalam lipatan sejarah peribadi
Yang sangat berguna
Pengalaman yang tidak ternilai harganya
Research manusia yang sangat menarik.

Terima kasih jiran yang baik-baik
Selalu menghulur bantuan
Tidak kira lapang atau tidak
Kamu pasti tidak mengecewakan.

Terima kasih saudara-saudara
InsyaAllah keseiringan jalan kita
Kesengsaraan jalan yang kita pilih
Pasti ada kemanisan yang bukan disini
Ukhuwwah ini pastinya kerana Allah
Dan tiada makna wida’
Dalam kamus hidup kita semua
Kerana kita pasti pertemuan yang hakiki
Mengumpul hati-hati ini kembali
Yang keterikatannya hanya kerana Allah
Sayang kamu semua kerana Allah!

SAHABAT SAYA


Orang kata
Sahabat adalah cerminan diri
Setuju!
Saya juga punya sahabat
Walaupun baru berkenalan
Walaupun baru setahun
Walaupun selalu punyai pandangan berbeza
Kerana dia orang lama dan saya orang muda
Walaupun tidak sama kegemaran
Dia pandai masak dan saya tidak
Saya pandai menjahit dan dia tidak
Kami tetap punya keserasian yang sama
Iaitu kami dua orang yang sangat degil!
Kami sangat tegas kepada prinsip masing-masing
Kami juga sentiasa bercanggah pendapat
Tetapi Alhamdulillah sentiasa diatasi dengan toleransi
Kami juga spesis yang tidak mudah percaya akan orang
Kami selalu membuat pemerhatian
Kami juga selalu menguji keadaan
Yang kadangkala pasti kami juga selalu diuji
Kami percaya yang benar akan sentiasa benar
Yang salah akan tetap salah
Harapannya kami sentiasa menjadi sahabat
Di dunia lebih-lebih lagi akhirat

Jika kamu mahu melihat saya
Maka lihatlah dia
Kalau kamu melihat dia
Kamu pasti melihat saya juga
Kerana saya pakaian dia
Dan dia pakaian saya
Saya sangat sayang sahabat saya
Saya juga selalu rindu sahabat saya
Terima kasih sahabat!
Terima kasih cikroz!

12.11.09

AKAR YANG MANTAP


Batang yang kukuh
Dahan yang kuat
Buah yang manis
Semuanya bermula dari akar yang mantap.

Jadilah seperti batang yang kukuh
Agar tidak mudah tumbang dibuai angin yang kencang
Jadilah seperti dahan yang kuat
Agar tahan dek beban yang berat
Jadilah seperti buah yang manis
Agar dapat dimanfaati bersama
Carilah kekuatan hati dalam diri
Supaya boleh menjadi akar yang mantap
Untuk menghasilkan batang yang kukuh
Membina dahan yang kuat
Dan membuahkan buah yang sedap.

11.11.09

MAAFKAN


Maafkan
Bukan penghargaan yang kupinta
Bukan juga pengisytiharan
Apatah lagi kemahsyuran
Aku juga dalam muhasabah
Muhasabah iman dari masa ke semasa
Kumasih mencari kemanisan ubudiah (tunduk kepada Allah)
Mencari kewujudan Malaikat Hafazah (penjaga)
Membina aqidah yang sejahtera untuk hati
Mengukuh ibadat yang sahih
Menyemai akhlak yang mantap
Menjauhi tempat-tempat yang lalai
Berjuang supaya mampu bekerja untuk Islam
Dan jalan ini bukan mudah
Penuh onak ranjau lagi berduri
Kukorbankan segala perasaan
Kutahu Allah itu sangat dekat denganku
Kutahu Allah sangat sayang akan diriku
Segala kepahitan sepanjang jalan
Pasti ada kemanisan berpanjangan
Kerana kuyakin pasti
Masa depan adalah untuk Islam
Allahuakbar!

10.11.09

KITA PERLU FAHAM


Mereka tidak faham
Kenapa kita beriya-iya
Mereka tidak mengerti
Kenapa kita begitu tegas
Mereka tidak tahu
Kita semua punya tugas yang maha berat.

Kita PERLU sangat faham
Manusia kini sangat kronik dan kritikal
Kalau dulu Allah timpakan bala untuk satu-satu kebatilan
Contohnya:

Kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad yang kaya dengan hasil bumi dan benteng-benteng
Ditimpa bala dengan angin hitam yang dahsyat selama 8 hari 7 malam
Akibat ingkar kerana menyembah batu bata

Kaum Nabi Salleh iaitu kaum Tsamud ingkar
Dengan membunuh unta betina yang keluar dari batu karang besar
Dan akhirnya mereka disambar petir
Hanya kerana mahu membuktikan kebenaran kata-kata Nabi Salleh

Kamu Nabi Luth yang terkenal dengan homoseksual
Terpersona akan ketampanan pemuda (malaikat)
Dan ditimpa gemba bumi, angin kencang dan hujan batu

Dan sejarah itu adalah sunnatullah yang sentiasa berulang-ulang
Telah banyak Allah menimpakan bencana demi bencana
Sebagai peringatan tetapi manusia umpama buta dan tuli
Ikhtibar dari tsunami di Acheh, gempa bumi di Padang, bah yang kerap berlaku
Masih belum diambil ikhtibar sepenuhnya
Masih ingkar, masih lalai.

Kalau dulu kederhakaan mereka hanya kerana satu-satu kesalahan
Kaum Nabi Hud sembah batu bata dan dtimpa bencana
Kaum Nabi Salleh membunuh unta betina ditimpa bencana
Kaum Nabi Luth terkenal dengan homoseksual juga ditimpa bencana
Dan kita?
Bukankah jahiliyyah kita umpama diadun semua kejahilan diatas
Dan bala masih tertangguh
Mungkin masa yang Allah bagi untuk bertaubat
Masa untuk merenung semula tanggungjawab kita
Bukan lagi hanya sebagai suami, isteri
Bukan hanya sebagai anak, guru, doktor
Tapi tanggungjawab paling utama yang disuruh Allah
Iaitu hamba dan khalifah
Menjaga u’bud dan amal yakin dengan ilmu
Disamping memberi peringatan kepada mereka diluar sana
Berbekal aqidah dan ilmu yang dibentuk dalam halaqah demi halaqah
Dan bukan bertelagah yang tidak-tidak
Yang merugikan dan pasti akan dipertanggungjawabkan.

Pepatah Melayu ada mengatakan
Takut yang dikejar tidak dapat,yang dikendong berciciran
Oleh yang demikian
Kita insyaAllah tidak akan rugi apa-apa
Kerana apa sahaja yang kita buat hanya untuk Allah
Kesatuan hati itu pasti mengundang berkat
Perpecahan dan perbalahan tempat dikhuatiri mengundang murkaNya
Kerana setiap inci yang ada pada kita ataupun setiap butir tanah yang kita pijak
Semua bukan milik kita, semuanya milik Allah
Kerana kita hanya meminjam segala nikmatNya
Perlu sentiasa positif dan rasional
Kerana kita mampu merubahnya
Fikir-fikirkanlah!

SILAKAN


Kepada pembaca
sesiapa yang ingin copy and paste isi dari blog ini
atau link ke mana-mana sahaja
silakan kerana ia milik kita dan antum semua
silakan untuk sumbangkan kepada sesiapa sahaja
yang penting ia adalah untuk kebaikan bersama
walau tiada disertakan sumbernya
moga dapat dimanfaati bersama
insyaAllah ia tidak akan sia-sia
kerana pahalanya pasti akan kembali
mencari sesiapa yang punya saham di dalamnya
jika ada apa-apa isi yang dianggap tidak betul
komen dan teguran anda amat dihargai
jazakallah.

9.11.09

AQIDAH ITU TERPENTING


Tahukah kamu?
Apabila kamu mencari cinta manusia
Kamu sebenarnya telah menduakan cinta kepada Allah.

Kenapa?
Kerana kamu tiada keyakinan atas qada’ dan qadar Allah
Kamu berburuk sangka kepada Allah!
Kamu tidak bersetuju dengan jodoh yang ditetapkan untukmu
Kamu mungkir janjimu dengan Allah.

Bagaimana?
Kamu masih membaca SMS lebih dari membaca Al-Quran
Kamu masih merenungi ayat-ayat cinta boyfriend dari ayat-ayat cinta Allah
Kamu masih menghitung hari untuk keluar berdating lebih dari menghitung hari untuk mati
Kamu pencuri dalam solat kerana terkejar-kejar akan YM mahupun Facebook
Kamu sentiasa mendahulukan cinta manusia dan dunia lebih dari cinta kepadaNya.

Kenapa?
Aqidahmu terlalu rapuh
Hatimu tidak sejahtera
Hatimu dihijab oleh mazmumah-mazmumah
Hatimu dibiar diusap-usap oleh jahiliyyahh-jahiliyyah
Kamu tidak percaya akan janji-janji Allah.

Kenapa aqidah itu terpenting?
Kenapa keyakinan kepada Allah perlu utuh?
Kerana bila cinta hanya dilabuh kepadaNya
Maka tiadalah tempat untuk cinta manusia
Tiadalah tempat untuk kemaksiatan
Tiada leka dan lalai untuk hati
Yang hanya adalah Allah.

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sungguh, janji Allah pasti benar, maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia, dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam mentaati Allah. (31:33)

NIAT GURU


Sahaja aku menjadi guru kerana..

aku mempunyai tanggungjawab untuk menanam kefahaman aqidah
iaitu keyakinan yang tidak berbelah bahagi
serta kecintaan yang penuh hanya untuk Allah
dan sedar akan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba
yang mana setiap diri anak-anak didikku
tidak perlu mencari cinta selain Allah
kerana ketaqwaan dan keimanan kepadaNya
bisa menggoncang dunia dengan tangan-tangan mereka
memartabatkan Ad-Deen dipersada dunia


..kerana Allah Ta'ala.

5.11.09

BANGUNLAH PEMUDA


Panas mentari tak sama panasnya darah yang mengalir
Dinginnya bayu tak sama dinginnya hati
Sejuknya salji tak sama sejuknya diri
Derasnya hujan tak sama deras air mata mengalir
Perasaan yang bercampur baur tika ini.

Melayari web-web remaja masakini
Menyusuri blog-blog pemuda-pemuda kini
Meninjau-ninjau generasi muda di jalan-jalan raya
Memerhati gelagat bakal-bakal guru harapan bangsa
Sangat memberi kesan teramat mendalam
Bagai tersentap dek tamparan yang maha hebat
Tamparan-tamparan yang makin kuat
Tenaga-tenaga pemuda yang dibazirkan sebegitu rupa
Terkontang kanting asbab lemahnya iman
Kurangnya peringatan-peringatan yang memberi bekas
Atau hati yang kian hitam mengeras
Ketempangan arah dalam mencari identiti sebenar
Hilang matlamat dan haluan hidup.

Dimanakah pemuda-pemuda Islam berjiwa pahlawan!
Dimanakah kita untuk membantu mereka!
Dimanakah semangat juang Rasulullah dan para sahabat!
Dimana?
Dimana!

Wahai pemuda belia bangsa!
Jika hari ini
Kau biarkan dirimu dibuai-buai perasaan
Kau biarkan dirimu diikat hedonism keterlaluan
Kau biarkan dirimu diulit musik-musik cinta khayal
Kau biarkan dirimu ditikam cinta monyet
Kau biarkan dirimu dibelenggu kisah silam lampau
Kau biarkan dirimu dibelai jahiliyyah berpanjangan
Kau biarkan dirimu dijajah nafsu dan iblis laknatullah
Dan sekiranya takdirNya kau mati tiba-tiba
Apakah jawapanmu dihadapanNya?
Apakah jawapanmu terhadap hati yang lalai dan leka?
Apakah jawapanmu untuk mata yang buta melihat peringatanNya?
Apakah jawapanmu untuk telinga yang tuli dari mendengar firman-firmanNya?
Apakah jawapanmu untuk tangan yang masih mengendong yang haram?
Apakah jawapanmu untuk kaki yang dihayun ke jalan kemaksiatan?
Apakah jawapanmu untuk tugas hamba dan khalifah yang kau pikul?

Wahai pemuda-pemuda!
Tugas kita teramat berat
Masa kita terlalu singkat
Tiada masa berSMS sehingga patah jari-jemari
Tiada masa berdating dan berkasih-kasihan
Tiada masa menonton wayang
Tiada masa ke pusat-pusat hiburan
Tiada masa duduk melepak dan merokok bersama kawan-kawan
Tiada masa melayan filem korea dan hindustan
Tiada masa untuk hiburan keduniaan
Kerana masa itu perlu diisi hiburan akhirat
Hiburan yang menyeronokkan
Mengunjungi rumah-rumah Allah saban ketika
Mendengar kuliah-kuliah agama
Solat yang dijaga seawal waktu
Zikir peneman diri dikala kesunyian
Munajat kepadaNya sepertiga malam
Masa yang penuh terisi dengan Allah
Tiada ruang bergelak ketawa
Tiada masa bersuka ria
Itupun andai kita punya akal sihat dan waras
Hati yang cerdik dan ikhlas
Sanubari yang jernih dan bersih
Perasaan segar dan mekar
Keazaman yang gagah lagi tabah
Dalam menyahut seruan Allah dan Rasul
Kerana pemuda adalah tiang pasak kebangkitan ummat!
Kerana pemuda adalah rahsia kekuatan sesebuah bangsa!
Dan kita adalah penjulang panji-panji fikrah perjuangan!

Oleh itu wahai pemuda-pemuda!
Kita menghadapi kewajipan yang bertambah banyak
Tugas yang semakin menimbun
Tuntutan-tuntutan ummat kian berganda-ganda
Amanah dipikul menjadi semakin berat
Dan kita
Sepatutnya punya fikiran rasional yang panjang
Dengan tampil ke hadapan demi menyelamatkan ummat
Dalam menunaikan hak-hak ummat dengan sempurna
Bekerja keras membantu pemuda-pemuda yang kelumpuhan hati
Yang lumpuhnya masih bisa digerakkan
Dan boleh jadi hati itu bisa bergerak lebih pantas dari biasa
Dan pancaran hatinya
Bisa menerangi banyak lagi hati-hati yang mengalami kesakitan yang sama.

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. (18:13)

Ayuh pemuda!
Tinggalkan mazmumah-mazmumah membelenggu dirimu
Buang segala karat-karat jahiliyyah
Bangunkan semula jiwa pahlawanmu
Sejahterakan hati-hatimu
Usir segala kemahuan duniamu
Bangkit bersamaku mara ke medan perjuangan
Usah gusar onak duri dan ranjau
Mara dan terus mara
Tanpa menoleh kebelakang walau sedikit sekalipun!
Allahuakbar!

Siapa yang masih teragak-teragak dan berdolak dalih, Tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira sedikit atau ramai. (3:126)

3.11.09

BIDADARI SYURGA


Perbualan kami cukup menarik semalam
Kisah sang bidadari syurga
Wah! Seronoknya dia.

Selalu dia kuusik
Apabila isteri tidak patuh akan suaminya
Sang bidadari seringkali mengintai si suami dari syurga
Ha! Siapa tidak mahu bidadari syurga
Tiada pernah dinoda
Katanya sambil mengusap janggut
Yang menurutnya tempat bidadari bergayut
Dan pasti ada mata yang meliriknya tajam sekali.

Kata dia
Kenapa bidadari-bidadari yang dijanjikan Allah?
Kerana lelaki-lelaki di dunia mesti banyak mujahadah
Terutama melawan nafsu yang paling disukai lelaki
Tentu sekali wanita perhiasan dunia
Pentingnya diri mengawal pandangan dari yang haram
Kerana itu wanita perlu banyak berhati-hati
Setiap langkah wanita itu
Tidak kira wanita itu tua apatah lagi muda
Berpakaian yang menjolok mata atau tidak
Berwangi-wangian sebatu sudah terhidu
Tabarruj berlebih-lebihan
Pastinya menarik perhatian lelaki
Dan wanita yang beriman itu
Perlu sentiasa menjaga iman lelaki
Supaya tidak lemah akan ajakan nafsu dan syaitan.

Katanya lagi
Wanita mudah terpedaya akan tipu daya lelaki
Lelaki sering menampakkan dirinya innocent
Hakikatnya lelaki adalah suatu spesis yang sangat cerdik.

Benarlah kata seorang ustaz
Dalam ceramahnya ada mengatakan
Jangan percaya kepada lelaki kecuali orang yang bercakap ini
Ingatan yang mengundang ketawa kami berdua.

Kusingkap lagi kenangan kami
Ketika kami bermusafir
Sering kali dia meminta disemak hafalannya
Kali itu surah Ar-Rahman
Dan tadabburku pagi ini
Sekali lagi menyingkap rahsia syurga
Melalui surah Ar-Rahman
Gambaran syurga yang penuh nikmat
Bidadari-bidadari yang sangat menawan rupawan
Kecantikkan yang tidak dapat digambar
Menanti suaminya yang soleh di dunia
Bakal dilayan penuh mesra dan kecintaan
Sebagai imbalan taat akan suruhanNya.

Wahai bidadari syurga,
Ku sangat cemburu akan dirimu
Yang pastinya seringkali mengintai suamiku
Kumohon padaNya
Ditabalkan sebagai ketua bidadarinya
Di dalam syurga yang kekal abadi.

HIKMAH


Pasti punya hikmah besar
Moga diberi taufik dan hidayah
Peringatan demi peringatan dariNya
Ya insyaAllah diriku lebih mengerti
HadiahNya cukup ternilai.

Ya Allah!
Tunjukkan akan kebenaran yang sebenar
Bukakanlah hijab sekalian hati
Hindari dari segala kemaksiatan jiwa
Bersihkanlah ia sesuci-sucinya
Berikan pengertian mendalam dalam DeenMu
Berikan keikhlasan dalam pelaksanaannya
Agar Islam kembali gemilang
Ya Rabb kumohon.