24.12.09
DOA IBU
Ya Allah
Peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku
dan sihatkanlah dia
Engkaulah yang menyembuhkan
tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu
penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.
Ya Allah
Rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada di dalam kandunganku
dengan rupa yang baik
dan tetapkanlah ke dalam hatinya
iman kepadaMu dan kepada RasulMu.
Ya Allah
Keluarkanlah dia dari kandunganku
dengan mudah dan selamat.
Ya Allah
Jadikanlah dia sihat yang sempurna
berakal dan cerdik
alim dan beramal soleh.
Ya Allah
Panjangkanlah umurnya
sihatkanlah badannya
dan elokkanlah akhlaknya
fasihkanlah lisannya
merdukankanlah suaranya untuk membaca Al-Quran
dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad SAW
dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam
Ya Rabb!
Perkenankanlah doa hambaMu ini..
Amin..
19.12.09
BAYT AL-IMAN
Bayt al-iman
Al-Baqarah pembuka langkah
Memakmurkan segala isinya
Menuju insan taqwa
Hanya mengharap redho dan rahmatNya.
Bayt al-iman
Dipilih atas dasar agama
Berhampiran masjid
Memudahcara mendidik mujahid-mujahid
Agar jinak hatinya kepada Allah
Tiada alasan untuk tinggal berjemaah
Mewarisi tokoh-tokoh ulung Islam
Tokoh-tokoh hebat pembebas bumi Palestin
Tidak pernah tinggal akan solat berjemaah
Tidak pernah tinggal akan solat sunat rawatib
Tidak pernah tinggal akan solat malam
Demi untuk Allah!
Bayt al-iman
Gelanggang ibadah
Memperbaiki iman
Mempertingkat fikrah
Pecutan tarbiyyah
Hanya mengharap pertolonganNya
Istiqomah menuju Allah dan Rasul.
SALAM 1431H
Moga tahun baru membuah taqwa
Dipermudah tarbiyyah
Mengharap redho Allah.
p/s: takziah buat ukht teh afifah syahirah. semoga zaujnya allahyarham akh mohd ariff abd kadir bersama ibubapa dan sahabatnya ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang dijamin syurga-Al-Fatihah!
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya.. (2:286)
2.12.09
PEMBOHONGAN FILEM 2012
Ahmad Thomson di dalam bukunya yang berjudul Dajjal – The AntiChrist mengatakan bahawa dunia yang sedang kita jalani dewasa ini (terutama sejak hampir satu abad yang lalu) telah menggunakan Sistem Dajjal. Peradaban dunia semenjak sistem Islam yang bernama Khilafah Islamiyyah telah perlahan namun pasti mengarah dan membentuk diri menjadi sebuah peradaban yang sarat dengan Dajjalic Values. Semakin hari semakin jelas bahawa nilai-nilai Ilahi yang suci dan mulia secara sistematik mengalami gangguan ke arah pembenterasan.
Sedemikian liciknya sistem Dajjal sehingga menurut Ahmad Thomson apabila waktu terdekat Dajjal muncul di tengah umat manusia dan akan dinobatkan menjadi pemimpin sistem yang dijulang itu melalui sistem yang dibangun dengan sebutan Novus Ordo Seclorum (the New World Order) ini sangat kompleks dengan karakteristik Dajjal. Pelbagai bentuk kehidupan telah dirancang dan dibentuk agar sesuia dengan the arrival of the AntiChrist (kedatangan Dajjal). Segenap lingkungan kehidupan manusia yang mencakupi ideologi, politik, ekonomi, sosial, budaya, ketenteraan, pendidikan dan hukum dijauhkan dari diennullah atau nilai-nilai Islam. Sehingga aspek entertainment juga diarahkan menyambut kedatangan Dajjal.
Sebagaimana kini filem yang menjadi primadona dalam bentuk hiburan di abad moden yang menjadi filem box office yang dewasa ini sedang diberikan perhatian sebahagian besar penduduk dunia iaitu filem berjudul 2012. Apakah agenda Barat di sebalik penayangan filem ini? Ana cuba melihat dari kaca mata ana sendiri, dan moga-moga kita sekaliannya berfikir bahawa banyak unsur yang menjahanamkan ummat manusia terutamanya kepada Ummat Islam.
Pertama, filem ini meletakkan umat manusia untuk meyakini bahawa the end of time atau apocolypse atau Hari Kiamat bakal terjadi pada tarikh tertentu yang sudah boleh dianggarkan iaitu pada 21 Disember 2012. Ini merupakan suatu ramalan yang sangat berbahaya dari sudut pandang Aqidah Islam. Mengapa? Kerana Islam mengajarkan setiap kita untuk menyedari bahawa hanya Allah sahaja yang tahu bilakah berlakunya Hari Kiamat. sesungguhnya Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam juga tidak tahu bilakah tibanya Hari Kiamat itu.
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّيلَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِلَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَاقُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
”Mereka bertanyakan kepadamu tentang Kamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah di sisi Tuhanku. Tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". (QS Al-A’raaf ayat 187)
Satu-satunya isyarat soal kedatangan Hari Kiamat dari Rasulullah alallahu Alaihi Wasallam hanyalah bahawa ianya bakal terjadi pada Hari Jumaat. Namun jumaat tanggal, bulan dan tahun berapa? Tidaklah dikhabarkan. Allahu `alam. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Rasulullah alallahu Alaihi Wasallam bersabda:
وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ
“Dan tidak akan terjadi Hari Kiamat kecuali pada Hari Jum’at.” (HR Muslim)
Maka sesiapa yang sudah mahupun belum menonton filem ini meyakini bahawa hari Kiamat pasti bakal terjadi pada 21 Disember tahun 2012, bererti dia telah mempertaruhkan kualiti aqidahnya kerana seorang muslim senantiasa meyakini bahawa hanya Allah Yang Maha Tahu perkara nyata mahupun ghaib. Jika ada pihak selain Allah yang layak memberi tahu kita soal perkara ghaib seperti perkhabaran Kiamat, maka itu sepatutnya adalah Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam utusan Allah yang seringkali memang diberitahu Allah perkara ghaib. Namun dalam hal ini kita tidak mendapati satu hadith pun yang menjelaskan bilakah kejadian hari Kiamat. Sikap mempercayai adanya pihak selain Allah yang mengetahui perkara ghaib boleh menjerumuskan kepada dosa syirik.! Kerana dia mengalihkan kepercayaannya dalam perkara ghaib kepada pihak selain Allah.
Kedua, filem 2012 ini berakhir dengan masih adanya segelintir manusia yang dapat survive atau bertahan hidup sesudah peristiwa dasyat Hari Kiamat. Padahal dalam keimanan Islam, kita diajarkan bahawa pada saat Malaikat Israfil meniup sangkakala pertama kali sebagai tanda Kiamat berlangsung, maka segenap makhluk bernyawa akan dimatikan Allah. Bukti bahawa semua dimatikan ialah bahawa kemudian Malaikat Israfil akan meniup sangkakala kedua kalinya sebagai pertanda berlangsungnya hari Berbangkit, iaitu hari dimana kembalilah roh-roh ke jasadnya masing-masing untuk hidup kembali.
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْض
إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَى فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُون
”Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikhendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (putusan masing-masing).” (QS Az-Zumar ayat 68)
Ertinya, kita dapat menyimpulkan bahawa idea di sebalik filem ini sungguh mengerikan, kerana mengajak penonton mengingkari adanya Kiamat dalam pengertian Aqidah Islam.
Islam mengajarkan bahawa Hari Kiamat merupakan the day of total destruction of the whole universe by Allah the Al-Mighty Creator (Hari Penghancuran keseluruhan alam semesta atas kehendak Pencipta Yang Maha Kuasa, Allah Subhanahu wa ta’la). Hari Kiamat merupakan berakhirnya kehidupan fana dunia dan selanjutnya akan hadir kehidupan abadi akhirat yang sangat berbeza dengan dunia fana ini.
Sedangkan Kiamat menurut prengarah filem peradaban Sistem Dajjal hanyalah sebuah proses evolusi perjalanan kehidupan manusia di dunia. Sehingga setelah berlangsungnya 'apocolypse' masih ada segelintir manusia yang sanggup terus hidup melewati dahsyatnya Hari Kehancuran tersebut. Lalu tentunya akan ada sejenis kehidupan dan peradaban baru yang muncul di muka bumi. Selanjutnya, siapakah yang bakal memimpin dan berkuasa di dunia sesudah 2012?
Ketiga, jika kita buka laman (KLIK SINI) yang merupakan 2012 - Official Movie Site, maka apabila kita klik di tajuk 'The Experience', maka akan ditemukan salah satu kotak pilihan lagi dengan judul Vote For The Leader of the Post 2012 World (Pilihlah Pemimpin Dunia Pasca 2012). Apakah gerangan maksudnya?
Sungguh ana risau sekiranya gagasan yang diketengahkan di sebalik filem ini ialah keinginan produsernya untuk secara tersurat mempromosikan kehadiran Seorang Penyelamat Dunia Palsu iaitu Dajjal. Dajjal akan digambarkan sebagai Pemimpin dan Pelindung para survivors (orang-orang yang berjaya selamat melepasi bencana 2012).
Sungguh, mereka benar-benar berharap bahawa umat manusia akan memandang Dajjal sebagai figur pemilik syurga dan neraka atau dialah Tuhan. Barangsiapa mematuhinya dan merasa memerlukan kepadanya bakal diberikan syurga kepadanya. Dan barangsiapa yang mengingkarinya dan merasa tidak perlu kepadanya bakal dimasukkan ke dalam neraka Dajjal. Sehingga Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda:
وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنَّ مَعَهُ جَنَّةً وَنَارًا فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ
“Dan sesungguhnya di antara fitnahnya dajjal memiliki suyrga dan neraka. Maka nerakanya adalah syurga (Allah) dan syurganya adalah neraka (Allah).” (HR Ibnu Majah)
Maka sudah tiba masanya bagi setiap muslim untuk mempersiapkan diri dan keluarganya dari fitnah yang paling dahsyat sepanjang zaman, iaitu fitnah dajjal. Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam mengajarkan beberapa doa untuk menyelamatkan diri dari fitnah dajjal, di antaranya:
Pertama, bacalah doa permohonan perlindungan Allah pada ketika duduk solat tahiyyat akhir, sebelum memberi salam kanan dan kiri:
اللهم إني أعوذبك بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab jahannam, dari azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian serta dari jahatnya fitnah Al-Masih Ad-Dajjal" (HR Muslim)
Kedua, bacalah surat Al-Kahfi di malam Jumaat atau Hari Jumat sesuai hadith berikut :
من قرأ سورة الكهف يوم الجمعة فأدرك
الدجال لم يسلط عليه ، - أو قال : لم يضره
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi di hari Jumaat, maka Dajjal tidak mampu menguasainya atau memudharatkannya.” (HR Baihaqi)
Ketiga, hafalkan sepuluh ayat pertama surat Al-Kahfi sesuai hadith berikut :
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ
"Barangsiapa menghafal sepuluh ayat pertama surah Al-Kahfi, dia terlindungi dari fitnah Dajjal." (HR Abu Daud)
Keempat, menjauh dan tidak berkeinginan mendekati Dajjal pada masa kemunculannya telah tiba sesuai hadith berikut :
مَنْ سَمِعَ بِالدَّجَّالِ فَلْيَنْأَ عَنْهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَأْتِيهِ
وَهُوَ يَحْسِبُ أَنَّهُ مُؤْمِنٌ فَيَتَّبِعُهُ مِمَّا يَبْعَثُ بِهِ
مِنْ الشُّبُهَاتِ أَوْ لِمَا يَبْعَثُ بِهِ مِنْ الشُّبُهَاتِ هَكَذَا قَال
"Barangsiapa mendengar tentang Dajjal, hendaknya dia berusaha menjauh darinya, kerana -demi Allah- sesungguhnya ada seseorang yang mendekatinya (Dajjal) sedang dia mengira bahawa Dajjal tersebut mukmin kemudian dia mengikutinya kerana faktor syubhat (tipu daya) yang ditimbulkannya." (HR Abu Dawud)
Kelima, menetap di Mekah atau Madinah pada masa Dajjal telah keluar dan berkeliaran dengan segenap fitnah yang ditimbulkannya. Sebagaimana hadith berikut :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنْ بَلَدٍ إِلَّا سَيَطَؤُهُ الدَّجَّالُ إِلَّا مَكَّةَ وَالْمَدِينَةَ وَلَيْسَ نَقْبٌ مِنْ أَنْقَابِهَا إِلَّا عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ صَافِّينَ تَحْرُسُهَا
"Tidak ada negeri (di dunia) melainkan akan dijejak (dilanda) oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijagai oleh barisan Malaikat." (HR Bukhari-Muslim)
Oleh Atriza
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=5044
26.11.09
FI ZILAALIT-TARBIYYAH
Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.
Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!
Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.
Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…
uhubbukum fillah abadan abada…
coretan seorang sister setelah 6 tahun di luar negara
http://muntalaq.wordpress.com/
p/s: Dan aku? Aku juga mahu fikrah sepertimu..hanya kerana Allah!
18.11.09
BADAR
Kursus ini hampir 3 minggu lamanya
Bilangan peserta seramai 313 orang
Sama ramainya dengan tentera Islam
Pada peperangan pertama kita iaitu badar
Melawan 1000 tentera kafir
Nisbahnya hampir seorang Islam lawan 3 kafir
Namun kita menang bergaya
Dan bilangan bukan masalahnya
Kerana apa?
Hebatnya Rasulullah mentarbiyyah sahabat-sahabat
Aqidah mereka mantap!
Kualiti mereka tiada bandingnya
Mereka hanya mengharap syahid atau menang
Dan kita?
Perasaan pun kalah.
Di suatu sudut
Aku keseorangan memikirkan hebatnya sahabat
Dan kulihat satu persatu saudara-saudara seagamaku
Setiap hari lalu dan pergi dihadapanku
Tahukah kamu apa perasaanku?
Tahukah kamu betapa pedihnya hati ini?
Betapa tiada guna aku sebagai seorang manusia
Betapa lemahnya imanku
Betapa aku tak mampu untuk mengubah sesuatu
Memang salahku!
Pernahkah kamu merasa perasaan semacam ini?
Andainya 313 ini mantap aqidahnya
Sudah cukup memakmurkan dunia keseluruhannya
Hebatnya anak-anak didik pasti gurunya hebat
Dan melihat gelagat-gelagat saudara-saudaraku ini
Kegerunanku cukup mengerikan
Tidak mampu kubayangkan
Ya Allah..aku tak sanggup..
Aku ingin sekali pergi kepada saudaraku
Ingin sekali kukhabarkan kepada mereka tentang Islam
Menceritakan kebesaran Tuhan
Meyakinkan hari pembalasan
Dan kematian itu suatu kepastian
Kuingin mereka merasakan iman
Merasakan diri berTuhan
Kerana mereka bukan haiwan
Punya akal membezakan yang halal dan haram
Punya hati yang tidak pernah berdusta
Dan aku begitu terasing
Betapa aku sayangkan saudara-saudaraku
Tetapi mereka tak faham
Kerana pemikiran kita berbeza
Pandangan tentang kehidupan kita tak sama
Aku seolah-olah ganjil
Tarbiyyah mengajarkan menjadi lebih dewasa
Hidup perlu survive
Dan kebergantungan hanya kepada Allah.
Ketahuilah saudara-saudaraku
Perasaan kasih dan sayangku kepadamu
Mungkin tak terlihat pada pandanganmu
Aku mungkin keras dan tegas dipandanganmu
Tapi jauh di sudut hatiku
Aku mohon hidayah itu bertaburan disekelilingmu
Untuk kau kutip sebagai bekalanmu
Kembali kepada fitrah
Kembali kepada Allah
Dan kehibaan hati ini kian menebal..
17.11.09
AKU INGIN BERSAMA-MU
BERSYUKUR
Hak kita
Berdoa dan belajar bersungguh-sungguh
Berusaha untuk mendapat terbaik.
Hak Allah
Beri mengikut kadarNya
Kerana itu adalah hakNya
PengetahuanNya meliputi segala sesuatu.
Oleh itu
Tiada makna kecewa
Tiada erti bersedih
Kerana apa yang kita perolehi
Sikit atau banyak
Cantik atau tidak
Adalah yang terbaik untuk kita.
Maka
Bersyukurlah!
Alhamdulillah..
Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz). (11:6)
13.11.09
LAHIRKANLAH
Kesedaran akan pentingnya aqidah
Perlu diterapkan dijiwa anak-anak
Sedari sebelum mereka terjadi
Dan oleh itu
Kesedaran ibu ayah itu penting
Agar benih yang terbentuk itu
Terjadi berdasarkan nilai-nilai norma
Yang telah ditetapkan syarak
Berdasarkan ajaran Ar-Rasul
Supaya apa-apa sahaja yang mereka lakukan
Semuanya kerana Allah
Sama ada baik atau buruk
Sama ada mereka suka atau tidak
Kebergantungan mereka hanya untuk Allah
Dan Allah segala-galanya
Dari apa sudut sekalipun
Sentiasa berbaik sangka dengan Allah
Dan hidup mereka pasti terpandu
Ke arah masa depan Islam yang gemilang.
Lahirkanlah Umar Al-Khattab
Lahirkanlah Umar Abdul Aziz
Lahirkanlah Salahuddin Al-Ayyubbi
Lahirkanlah Muhammad Al-Fateh
Lahirkanlah ramai mujahid-mujahid
Lahirkanlah ulama-ulama
Lahirkanlah pakar-pakar ekonomi Islam
Lahirkan mereka-mereka ini
Secara beramai-ramai
Merdekakanlah bumi Palestin
Agar Islam kembali menjejaki
Marhalah Ustaziatul A'lam
Lahirkanlah!
Maka mulakanlah dengan kita
Jagalah hak-hak Allah selayaknya
Tunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkanNya
Jauhi perkara-perkara mungkar
Kikis semua karat-karat jahiliyyah
Bakar semua saki baki mazmumah
Kembalilah kepada fitrah
Demi kerana Allah!
Demi kerana Allah!
Demi kerana Allah!
HATI
Kalau berubah kerana Allah
Pasti hati kuat dilanda badai
Kalau berubah kerana manusia
Pasti hati rapuh ditelan taufan
Maka berusahalah mencari kekuatan hati
Berdoalah untuk dikurniakan rasa berTuhan
Sebagai benteng dalam diri
Malu untuk mengulangi kejahilan itu lagi
Kerana takut azab Allah yang tidak terperi.
SAYANG KERANA ALLAH
Diam tak diam
Hampir empat tahun lamanya
Berlalu segala kenangan
Kemas dalam lipatan sejarah peribadi
Yang sangat berguna
Pengalaman yang tidak ternilai harganya
Research manusia yang sangat menarik.
Terima kasih jiran yang baik-baik
Selalu menghulur bantuan
Tidak kira lapang atau tidak
Kamu pasti tidak mengecewakan.
Terima kasih saudara-saudara
InsyaAllah keseiringan jalan kita
Kesengsaraan jalan yang kita pilih
Pasti ada kemanisan yang bukan disini
Ukhuwwah ini pastinya kerana Allah
Dan tiada makna wida’
Dalam kamus hidup kita semua
Kerana kita pasti pertemuan yang hakiki
Mengumpul hati-hati ini kembali
Yang keterikatannya hanya kerana Allah
Sayang kamu semua kerana Allah!
SAHABAT SAYA
Orang kata
Sahabat adalah cerminan diri
Setuju!
Saya juga punya sahabat
Walaupun baru berkenalan
Walaupun baru setahun
Walaupun selalu punyai pandangan berbeza
Kerana dia orang lama dan saya orang muda
Walaupun tidak sama kegemaran
Dia pandai masak dan saya tidak
Saya pandai menjahit dan dia tidak
Kami tetap punya keserasian yang sama
Iaitu kami dua orang yang sangat degil!
Kami sangat tegas kepada prinsip masing-masing
Kami juga sentiasa bercanggah pendapat
Tetapi Alhamdulillah sentiasa diatasi dengan toleransi
Kami juga spesis yang tidak mudah percaya akan orang
Kami selalu membuat pemerhatian
Kami juga selalu menguji keadaan
Yang kadangkala pasti kami juga selalu diuji
Kami percaya yang benar akan sentiasa benar
Yang salah akan tetap salah
Harapannya kami sentiasa menjadi sahabat
Di dunia lebih-lebih lagi akhirat
Jika kamu mahu melihat saya
Maka lihatlah dia
Kalau kamu melihat dia
Kamu pasti melihat saya juga
Kerana saya pakaian dia
Dan dia pakaian saya
Saya sangat sayang sahabat saya
Saya juga selalu rindu sahabat saya
Terima kasih sahabat!
Terima kasih cikroz!
12.11.09
AKAR YANG MANTAP
Batang yang kukuh
Dahan yang kuat
Buah yang manis
Semuanya bermula dari akar yang mantap.
Jadilah seperti batang yang kukuh
Agar tidak mudah tumbang dibuai angin yang kencang
Jadilah seperti dahan yang kuat
Agar tahan dek beban yang berat
Jadilah seperti buah yang manis
Agar dapat dimanfaati bersama
Carilah kekuatan hati dalam diri
Supaya boleh menjadi akar yang mantap
Untuk menghasilkan batang yang kukuh
Membina dahan yang kuat
Dan membuahkan buah yang sedap.
11.11.09
MAAFKAN
Maafkan
Bukan penghargaan yang kupinta
Bukan juga pengisytiharan
Apatah lagi kemahsyuran
Aku juga dalam muhasabah
Muhasabah iman dari masa ke semasa
Kumasih mencari kemanisan ubudiah (tunduk kepada Allah)
Mencari kewujudan Malaikat Hafazah (penjaga)
Membina aqidah yang sejahtera untuk hati
Mengukuh ibadat yang sahih
Menyemai akhlak yang mantap
Menjauhi tempat-tempat yang lalai
Berjuang supaya mampu bekerja untuk Islam
Dan jalan ini bukan mudah
Penuh onak ranjau lagi berduri
Kukorbankan segala perasaan
Kutahu Allah itu sangat dekat denganku
Kutahu Allah sangat sayang akan diriku
Segala kepahitan sepanjang jalan
Pasti ada kemanisan berpanjangan
Kerana kuyakin pasti
Masa depan adalah untuk Islam
Allahuakbar!
10.11.09
KITA PERLU FAHAM
Mereka tidak faham
Kenapa kita beriya-iya
Mereka tidak mengerti
Kenapa kita begitu tegas
Mereka tidak tahu
Kita semua punya tugas yang maha berat.
Kita PERLU sangat faham
Manusia kini sangat kronik dan kritikal
Kalau dulu Allah timpakan bala untuk satu-satu kebatilan
Contohnya:
Kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad yang kaya dengan hasil bumi dan benteng-benteng
Ditimpa bala dengan angin hitam yang dahsyat selama 8 hari 7 malam
Akibat ingkar kerana menyembah batu bata
Kaum Nabi Salleh iaitu kaum Tsamud ingkar
Dengan membunuh unta betina yang keluar dari batu karang besar
Dan akhirnya mereka disambar petir
Hanya kerana mahu membuktikan kebenaran kata-kata Nabi Salleh
Kamu Nabi Luth yang terkenal dengan homoseksual
Terpersona akan ketampanan pemuda (malaikat)
Dan ditimpa gemba bumi, angin kencang dan hujan batu
Dan sejarah itu adalah sunnatullah yang sentiasa berulang-ulang
Telah banyak Allah menimpakan bencana demi bencana
Sebagai peringatan tetapi manusia umpama buta dan tuli
Ikhtibar dari tsunami di Acheh, gempa bumi di Padang, bah yang kerap berlaku
Masih belum diambil ikhtibar sepenuhnya
Masih ingkar, masih lalai.
Kalau dulu kederhakaan mereka hanya kerana satu-satu kesalahan
Kaum Nabi Hud sembah batu bata dan dtimpa bencana
Kaum Nabi Salleh membunuh unta betina ditimpa bencana
Kaum Nabi Luth terkenal dengan homoseksual juga ditimpa bencana
Dan kita?
Bukankah jahiliyyah kita umpama diadun semua kejahilan diatas
Dan bala masih tertangguh
Mungkin masa yang Allah bagi untuk bertaubat
Masa untuk merenung semula tanggungjawab kita
Bukan lagi hanya sebagai suami, isteri
Bukan hanya sebagai anak, guru, doktor
Tapi tanggungjawab paling utama yang disuruh Allah
Iaitu hamba dan khalifah
Menjaga u’bud dan amal yakin dengan ilmu
Disamping memberi peringatan kepada mereka diluar sana
Berbekal aqidah dan ilmu yang dibentuk dalam halaqah demi halaqah
Dan bukan bertelagah yang tidak-tidak
Yang merugikan dan pasti akan dipertanggungjawabkan.
Pepatah Melayu ada mengatakan
Takut yang dikejar tidak dapat,yang dikendong berciciran
Oleh yang demikian
Kita insyaAllah tidak akan rugi apa-apa
Kerana apa sahaja yang kita buat hanya untuk Allah
Kesatuan hati itu pasti mengundang berkat
Perpecahan dan perbalahan tempat dikhuatiri mengundang murkaNya
Kerana setiap inci yang ada pada kita ataupun setiap butir tanah yang kita pijak
Semua bukan milik kita, semuanya milik Allah
Kerana kita hanya meminjam segala nikmatNya
Perlu sentiasa positif dan rasional
Kerana kita mampu merubahnya
Fikir-fikirkanlah!
SILAKAN
Kepada pembaca
sesiapa yang ingin copy and paste isi dari blog ini
atau link ke mana-mana sahaja
silakan kerana ia milik kita dan antum semua
silakan untuk sumbangkan kepada sesiapa sahaja
yang penting ia adalah untuk kebaikan bersama
walau tiada disertakan sumbernya
moga dapat dimanfaati bersama
insyaAllah ia tidak akan sia-sia
kerana pahalanya pasti akan kembali
mencari sesiapa yang punya saham di dalamnya
jika ada apa-apa isi yang dianggap tidak betul
komen dan teguran anda amat dihargai
jazakallah.
9.11.09
AQIDAH ITU TERPENTING
Tahukah kamu?
Apabila kamu mencari cinta manusia
Kamu sebenarnya telah menduakan cinta kepada Allah.
Kenapa?
Kerana kamu tiada keyakinan atas qada’ dan qadar Allah
Kamu berburuk sangka kepada Allah!
Kamu tidak bersetuju dengan jodoh yang ditetapkan untukmu
Kamu mungkir janjimu dengan Allah.
Bagaimana?
Kamu masih membaca SMS lebih dari membaca Al-Quran
Kamu masih merenungi ayat-ayat cinta boyfriend dari ayat-ayat cinta Allah
Kamu masih menghitung hari untuk keluar berdating lebih dari menghitung hari untuk mati
Kamu pencuri dalam solat kerana terkejar-kejar akan YM mahupun Facebook
Kamu sentiasa mendahulukan cinta manusia dan dunia lebih dari cinta kepadaNya.
Kenapa?
Aqidahmu terlalu rapuh
Hatimu tidak sejahtera
Hatimu dihijab oleh mazmumah-mazmumah
Hatimu dibiar diusap-usap oleh jahiliyyahh-jahiliyyah
Kamu tidak percaya akan janji-janji Allah.
Kenapa aqidah itu terpenting?
Kenapa keyakinan kepada Allah perlu utuh?
Kerana bila cinta hanya dilabuh kepadaNya
Maka tiadalah tempat untuk cinta manusia
Tiadalah tempat untuk kemaksiatan
Tiada leka dan lalai untuk hati
Yang hanya adalah Allah.
Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu dan takutlah pada hari yang ketika itu seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sungguh, janji Allah pasti benar, maka janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia, dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam mentaati Allah. (31:33)
NIAT GURU
Sahaja aku menjadi guru kerana..
aku mempunyai tanggungjawab untuk menanam kefahaman aqidah
iaitu keyakinan yang tidak berbelah bahagi
serta kecintaan yang penuh hanya untuk Allah
dan sedar akan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba
yang mana setiap diri anak-anak didikku
tidak perlu mencari cinta selain Allah
kerana ketaqwaan dan keimanan kepadaNya
bisa menggoncang dunia dengan tangan-tangan mereka
memartabatkan Ad-Deen dipersada dunia
..kerana Allah Ta'ala.
5.11.09
BANGUNLAH PEMUDA
Panas mentari tak sama panasnya darah yang mengalir
Dinginnya bayu tak sama dinginnya hati
Sejuknya salji tak sama sejuknya diri
Derasnya hujan tak sama deras air mata mengalir
Perasaan yang bercampur baur tika ini.
Melayari web-web remaja masakini
Menyusuri blog-blog pemuda-pemuda kini
Meninjau-ninjau generasi muda di jalan-jalan raya
Memerhati gelagat bakal-bakal guru harapan bangsa
Sangat memberi kesan teramat mendalam
Bagai tersentap dek tamparan yang maha hebat
Tamparan-tamparan yang makin kuat
Tenaga-tenaga pemuda yang dibazirkan sebegitu rupa
Terkontang kanting asbab lemahnya iman
Kurangnya peringatan-peringatan yang memberi bekas
Atau hati yang kian hitam mengeras
Ketempangan arah dalam mencari identiti sebenar
Hilang matlamat dan haluan hidup.
Dimanakah pemuda-pemuda Islam berjiwa pahlawan!
Dimanakah kita untuk membantu mereka!
Dimanakah semangat juang Rasulullah dan para sahabat!
Dimana?
Dimana!
Wahai pemuda belia bangsa!
Jika hari ini
Kau biarkan dirimu dibuai-buai perasaan
Kau biarkan dirimu diikat hedonism keterlaluan
Kau biarkan dirimu diulit musik-musik cinta khayal
Kau biarkan dirimu ditikam cinta monyet
Kau biarkan dirimu dibelenggu kisah silam lampau
Kau biarkan dirimu dibelai jahiliyyah berpanjangan
Kau biarkan dirimu dijajah nafsu dan iblis laknatullah
Dan sekiranya takdirNya kau mati tiba-tiba
Apakah jawapanmu dihadapanNya?
Apakah jawapanmu terhadap hati yang lalai dan leka?
Apakah jawapanmu untuk mata yang buta melihat peringatanNya?
Apakah jawapanmu untuk telinga yang tuli dari mendengar firman-firmanNya?
Apakah jawapanmu untuk tangan yang masih mengendong yang haram?
Apakah jawapanmu untuk kaki yang dihayun ke jalan kemaksiatan?
Apakah jawapanmu untuk tugas hamba dan khalifah yang kau pikul?
Wahai pemuda-pemuda!
Tugas kita teramat berat
Masa kita terlalu singkat
Tiada masa berSMS sehingga patah jari-jemari
Tiada masa berdating dan berkasih-kasihan
Tiada masa menonton wayang
Tiada masa ke pusat-pusat hiburan
Tiada masa duduk melepak dan merokok bersama kawan-kawan
Tiada masa melayan filem korea dan hindustan
Tiada masa untuk hiburan keduniaan
Kerana masa itu perlu diisi hiburan akhirat
Hiburan yang menyeronokkan
Mengunjungi rumah-rumah Allah saban ketika
Mendengar kuliah-kuliah agama
Solat yang dijaga seawal waktu
Zikir peneman diri dikala kesunyian
Munajat kepadaNya sepertiga malam
Masa yang penuh terisi dengan Allah
Tiada ruang bergelak ketawa
Tiada masa bersuka ria
Itupun andai kita punya akal sihat dan waras
Hati yang cerdik dan ikhlas
Sanubari yang jernih dan bersih
Perasaan segar dan mekar
Keazaman yang gagah lagi tabah
Dalam menyahut seruan Allah dan Rasul
Kerana pemuda adalah tiang pasak kebangkitan ummat!
Kerana pemuda adalah rahsia kekuatan sesebuah bangsa!
Dan kita adalah penjulang panji-panji fikrah perjuangan!
Oleh itu wahai pemuda-pemuda!
Kita menghadapi kewajipan yang bertambah banyak
Tugas yang semakin menimbun
Tuntutan-tuntutan ummat kian berganda-ganda
Amanah dipikul menjadi semakin berat
Dan kita
Sepatutnya punya fikiran rasional yang panjang
Dengan tampil ke hadapan demi menyelamatkan ummat
Dalam menunaikan hak-hak ummat dengan sempurna
Bekerja keras membantu pemuda-pemuda yang kelumpuhan hati
Yang lumpuhnya masih bisa digerakkan
Dan boleh jadi hati itu bisa bergerak lebih pantas dari biasa
Dan pancaran hatinya
Bisa menerangi banyak lagi hati-hati yang mengalami kesakitan yang sama.
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. (18:13)
Ayuh pemuda!
Tinggalkan mazmumah-mazmumah membelenggu dirimu
Buang segala karat-karat jahiliyyah
Bangunkan semula jiwa pahlawanmu
Sejahterakan hati-hatimu
Usir segala kemahuan duniamu
Bangkit bersamaku mara ke medan perjuangan
Usah gusar onak duri dan ranjau
Mara dan terus mara
Tanpa menoleh kebelakang walau sedikit sekalipun!
Allahuakbar!
Siapa yang masih teragak-teragak dan berdolak dalih, Tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira sedikit atau ramai. (3:126)
3.11.09
BIDADARI SYURGA
Perbualan kami cukup menarik semalam
Kisah sang bidadari syurga
Wah! Seronoknya dia.
Selalu dia kuusik
Apabila isteri tidak patuh akan suaminya
Sang bidadari seringkali mengintai si suami dari syurga
Ha! Siapa tidak mahu bidadari syurga
Tiada pernah dinoda
Katanya sambil mengusap janggut
Yang menurutnya tempat bidadari bergayut
Dan pasti ada mata yang meliriknya tajam sekali.
Kata dia
Kenapa bidadari-bidadari yang dijanjikan Allah?
Kerana lelaki-lelaki di dunia mesti banyak mujahadah
Terutama melawan nafsu yang paling disukai lelaki
Tentu sekali wanita perhiasan dunia
Pentingnya diri mengawal pandangan dari yang haram
Kerana itu wanita perlu banyak berhati-hati
Setiap langkah wanita itu
Tidak kira wanita itu tua apatah lagi muda
Berpakaian yang menjolok mata atau tidak
Berwangi-wangian sebatu sudah terhidu
Tabarruj berlebih-lebihan
Pastinya menarik perhatian lelaki
Dan wanita yang beriman itu
Perlu sentiasa menjaga iman lelaki
Supaya tidak lemah akan ajakan nafsu dan syaitan.
Katanya lagi
Wanita mudah terpedaya akan tipu daya lelaki
Lelaki sering menampakkan dirinya innocent
Hakikatnya lelaki adalah suatu spesis yang sangat cerdik.
Benarlah kata seorang ustaz
Dalam ceramahnya ada mengatakan
Jangan percaya kepada lelaki kecuali orang yang bercakap ini
Ingatan yang mengundang ketawa kami berdua.
Kusingkap lagi kenangan kami
Ketika kami bermusafir
Sering kali dia meminta disemak hafalannya
Kali itu surah Ar-Rahman
Dan tadabburku pagi ini
Sekali lagi menyingkap rahsia syurga
Melalui surah Ar-Rahman
Gambaran syurga yang penuh nikmat
Bidadari-bidadari yang sangat menawan rupawan
Kecantikkan yang tidak dapat digambar
Menanti suaminya yang soleh di dunia
Bakal dilayan penuh mesra dan kecintaan
Sebagai imbalan taat akan suruhanNya.
Wahai bidadari syurga,
Ku sangat cemburu akan dirimu
Yang pastinya seringkali mengintai suamiku
Kumohon padaNya
Ditabalkan sebagai ketua bidadarinya
Di dalam syurga yang kekal abadi.
HIKMAH
Pasti punya hikmah besar
Moga diberi taufik dan hidayah
Peringatan demi peringatan dariNya
Ya insyaAllah diriku lebih mengerti
HadiahNya cukup ternilai.
Ya Allah!
Tunjukkan akan kebenaran yang sebenar
Bukakanlah hijab sekalian hati
Hindari dari segala kemaksiatan jiwa
Bersihkanlah ia sesuci-sucinya
Berikan pengertian mendalam dalam DeenMu
Berikan keikhlasan dalam pelaksanaannya
Agar Islam kembali gemilang
Ya Rabb kumohon.
31.10.09
MUHASABAH IMAN
Sebenarnya
Tebal atau nipisnya iman seseorang itu
Bergantung bagaimana hatinya merasakan kebesaran Allah
Yakinnya dia akan janji-janji Allah
Yang menjadi asbab mendorongnya melakukan ibadah
Sebagai pengabdian diri kepadaNya.
Sebenarnya
Allah itu terlalu hampir dengan kita
Lebih hampir dari urat nyawa sekalipun
Kenapa masih angkuh?
Kenapa masih bongkak?
Masih bergelumung dalam maksiat berpanjangan
Bukankah kita hanya hamba?
Tidak punya apa-apa
Semua bukan milik kita
Hanya pinjaman sementara.
Sebenarnya
Dosa berpanjangan itu
Merupakan hijab yang menutup hati
Asbab terasa diri jauh dengan Ilahi
Dari merasakan kewujudanNya yang sentiasa disisi.
Sebenarnya
Iman menjadi asas kepada keislaman seseorang
Yang manisnya perlu dicari dan digali
Melalui proses musyahadah dan muraqobah.
Pernahkan kamu
Memerhati alam ciptaan Tuhan yang indah?
Alam yang indah selain wanita perhiasan dunia kesukaan kamu?
Mengkaji organ-organ dalam badan dan fungsinya?
Hikmah dijadikanNya haiwan yang pelbagai jenis?
Kenapa Allah menjadikan siang malam serta cakrawala yang luas terbentang?
Lihat sahaja sifat objek, ada yang manis, masin, bulat, lonjong?
Memerhati gelagat manusia dengan pelbagai pekerjaannya?
Semua ini menuntut kita memerhati dan bermusyahadah
Untuk menguatkan keimanan terhadap Yang Maha Besar.
Tahukah kamu
A’lim ulama dahulu pernah mengatakan
Bertafakkur satu saat adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun
Ini bukan bermakna tidak perlunya beribadat
Tetapi ianya menggambarkan
Tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan ibadat.
Rasulullah saw juga bermusyahadah
Dengan beruzlah/menyendiri di Gua Hira'
Dalam mencari ketenangan dan kebenaran.
Oleh itu
Proses musyahadah perlu dilakukan dengan latihan yang berterusan
Sehingga menjadi sebahagian aktiviti wajib harian
Sehingga terasa benar segala sesuatu dijadikan Allah tiada sia-sia
Kesemuanya punya hikmah
Di luar kemampuan manusia memikirkannya.
Tahukah kamu?
Musyahadah itu tidak cukup tanpa muraqobah
Apakah itu moraqobah?
Yakni proses menghampirkan diri kepada Allah
Dengan melakukan amal fardu dan sunat
Menjaga hubungan sesama manusia
Apatah lagi hubungan dengan Pencipta.
Hakikatnya
Konsep Allah bersama kamu
Perlulah duhayati serta diyakini setiap ketika
Kerana kesedaran konsep ini
Membuatkan manusia itu rajin beribadat dan takut berbuat maksiat
Inilah dia kunci tauhid
Iaitu pengesaan terhadap Allah dalam perbuatan, sifat dan zatNya.
Moga kita dapat amal
Dengan latihan yang berterusan
Meningkat taqwa menyubur iman
Melalui proses musyahadah dan muraqobah
Dalam istiqomah menuju Allah dan Rasul.
-Ulasan ringkas tazkirah Ustaz Abdul Halim, SK Felda Pasak
30.10.09
ALLAH JAWAB
Sudah bersedia?
Selepas ini lebih banyak dugaan dan ujian
Istikhorah malam ni..
Perlu banyak persediaan mental dan fizikal.
InsyaAllah saya kuat.
Tugas saya hanya dua, hamba dan khalifah.
Yang ada cuma dua dalam kamus hidupku
Menang atau syahid!
Kuharap jawapanMu Tuhan
Moga amalku diterima
Istiqomah dalam pengabdianku kepadaMu
Walau sibuk sebagai khalifahMu
Dan tadabburku selepas solat
Memberi sinar dan jawapan yang terang.
Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin. (51:55)
29.10.09
TARBIYYAH ALLAH
Kenapa couple itu haram?
Kerana Allah suruh.
Kenapa dilarang berdua-duaan lelaki dan wanita?
Kerana Allah suruh.
Kenapa perlu menjaga pandangan?
Kerana Allah suruh.
Kenapa dilarang berSMS tanpa darurat?
Kerana Allah suruh.
Kenapa masih ingkar?
Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri. (10:44)
Adikku
Merindui suami itu Allah redha
Kerana rindu itu halal
Malah diberikan pahala
Merindui boyfriend itu Allah tidak redha
Kerana rindu itu adalah tidak halal
Maka ditambah dosa.
Jangan kita mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang
Tiada cinta untuk boyfriend sebelum bernikah
Kerana belum tentu dia jodoh kita
Kelak kamu pasti menyesal akan akibatnya
Kerana ianya bermula bukan dengan cara yang Allah redhai
Dan peliharalah cinta itu
Kudus hanya untuk suamimu.
Wahai adikku
Rumahtangga yang tidak berkat kelak
Umpama neraka yang dipercepat
Ibarat neraka yang panas menggelegak
Kerana apa?
Sesetengahnya yang mendirikan rumahtangga
Belum cukup bersedia membuang semua karat-karat jahiliyyah
Mazmumah yang masih dibiar melingkari dari zaman bercinta.
Wahai adik
Islam tidak membenarkan cinta sebelum bernikah
Kenapa mahu bercinta juga?
Bila sudah berkahwin
Lupa pula menghapus dengan bertaubat akan dosa-dosa lampau
Akibatnya?
Ada-ada sahaja persengketaan dan konflik yang berterusan
Anak-anak juga yang menjadi mangsa
Kerana itulah generasi pewaris Islam mundur
Institusi kekeluargaan yang begitu rapuh
Tidak bisa menjana tauladan dan memberi didikan agama yang sempurna.
Kakakmu ini
Mengajak dan mengingati diri dan semua adik-adik
Berbaik sangkalah dengan Allah!
Terhadap segala ujian dan dugaan yang menimpa
Anggap ianya sebagai tarbiyyah dari Allah
Tarbiyyah yang mengajak dan memotivasikan diri
Ke arah yang lebih positif
Muhasabah cinta kepada yang hak
Mengajak merenung kembali diri
Mengajak semula mendekati Allah dan Rasul
Mengajak kembali kepada Al-Quran dan sunnah
Dalam mematangkan diri
Mengurus konflik perasaan
Dan ianya adalah hadiah dari Allah
Untuk meraih jiwa cekal, matang
Dan berani mencari solusi dalam meleraikan masalah.
Remaja yang rasa berTuhan
Dia tidak akan keseorangan
Kenapa?
Kerana dia tahu yang Allah sayang
Walaupun rakan-rakan seolah-olah tidak menghargai dirinya
Tetapi Allah sentiasa menjadi ubat dan penawar
Yang mampu merawat segala luka-luka mazmumahnya.
Oleh itu wahai adik
Tarbiyyah dari Allah ini
Mengajar dirimu untuk matang memilih
Jangan biar konflik jiwa ini
Bersarang dalam rumahtanggamu nanti
Hanya dengan sebab bercinta sebelum bernikah
Jangan mudah terkesan dengan suasana dan keadaan
Walupun ia sungguh menguji perasaan dan naluri remajamu.
Gagahkan jiwamu!
Kuatkan perasaanmu!
Simpan cintamu dalam-dalam
Korbankanlah ianya buat seketika
Bila musim cinta halalmu tiba
Semailah ia untuk ketenangan dan kebahagiaan
Agar sentiasa harum dan mewangi
Baitul muslimmu pasti penuh keberkatan
Sentiasa mendapat keredhaanNya
Dan hakikatnya,
Cinta halal itu merupakan gelanggang ibadah
Untuk meraih pahala berganda-ganda
Subhanallah!
28.10.09
MUJAHADAH CINTA
Semester akhir bakal tiba kepenghujung
Alhamdulillah segala tugasan sudah selesai
Tetapi tugasan dakwah masih tertangguh
InsyaAllah kumohon doa mereka
Dilembutkan hati yang keras
Dan sesungguhnya hati itu milik Allah
Bisa lembut tiba-tiba dan bila-bila masa
Boleh jadi hati itu lebih kental dan berjiwa pahlawan
Berdoa dan teruskan berdoa
Dimudahkan segala urusan dakwah.
Hati ini diruntun rindu
Adik-adik yang sentiasa menyokong
Di mana ketika sahabat memandang serong
Kekuatanku ketika itu berada dengan mereka
Disandarkan segalanya kepada Allah
Dan mereka kini malah lebih hebat tarbiyyahnya
Moga dapat diaplikasi dengan berkesan
Dan terkesan di hati-hati mad’unya.
Dikala dakwah kian bersemarak
Hadir tiga butir permata yang ingin menyinar
Tetapi yang benar-benar mahu bersinar hanyalah sebutir
Hadirnya tarbiyyah
Dia berusaha sedayanya membuang karat-karat jahiliyyah
Dia mencari Allah semampunya
Hatinya yang sejahtera bersama aqidah dan iman yang mantap
Membuatkannya berani mengubah penampilan
Penuh ciri-ciri muslimah solehah
Kerana yakinnya akan suruhan Allah
Akhirnya muncul seorang lagi akhowat sejati
Yang kilauannya bisa mengundang segan sang kumbang.
Sebagai manusia biasa
Iman itu bisa naik dan bisa juga turun
Futur yang hendaknya masih dibatasi sunnah
Dan dia dalam ujian remaja
Kerana dia juga gadis dan manusia biasa
Masih bermujahadah dan perlu memperbaharui iman
Dari masa ke semasa
Dan kuyakin pasti dirinya bisa menang
Dalam pertarungan mendidik nafsu
Dan menjauhi larangan Tuhan
Kerana seorang akhowat itu perlu kuat
Melawan segala kemahuan duniawi
Menghalau pergi segala rontaan perasaan
Tidak mudah berkecil hati, marah dan sebagainya
Dan yang terpenting
Maruahnya tidak mudah diinjak-injak!
Sebagaimana marahya dia apabila Islam diinjak-injak!
Wahai akhowat!
Masa remaja adalah singkat
Masa yang sangat begitu menguji ketahananmu
Mujahadah melawan tipu daya dunia yang hina
Andai kamu bisa mengalahkan nafsu yang satu ini
Kamu telah bebas dari banyak belenggu dosa
Kamu sudah mampu mendidik nafsu yang degil
Kamu sudah menang dalam pertarungan mengakis jahiliyyahmu
Bebas dari perlakuan yang dimurkai Allah
Zina contohnya
Dan zina itu bukan sahaja lahiriah
Bahkan yang paling tersorak iaitu batiniah.
Akhowat!
Bangunkanlah hati-hatimu
Yang pasti meronta-ronta
Mahu menyayangi dan disayangi
Melihat ramai kawan-kawan sudah punya pasangan
Dilihatnya mereka begitu bahagia
Umpama belangkas yang tidak mampu dipisahkan
Disamping sogokan novel yang khayal
Filem-filem cinta yang menipu daya
Semuanya punya elemen cinta yang mempersona
Kamu mula terleka dan panjang angan-angan.
Ketahuilah!
Tanamkan jauh di dasar hatimu
Kita adalah akhowat!
Dan akhowat berbeza dengan yang awam
Kenapa?
Kerana kita sudah ditarbiyyah
Kita sudah faham akan tarbiyyah
Dan yang terpenting
Mujahadah kita adalah kerana Allah.
Wahai akhowat!
Jangan dirisau akan jodohmu
Kelak ianya akan tiba juga
Cepat atau lambat
Ada atau tiada
Dan sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui
Kerana Allah Maha Hebat PerancanganNya
Letakkan sepenuh kepercayaanmu kepada Allah
Jangan berburuk sangka kepadaNya.
Akhowat-akhowat!
Ketahuilah alam remaja adalah sebentar cuma
Medan mujahadah melawan nafsu yang bengkok
Medan yang memerlukan mujahadah yang bukan sedikit
Dan ini hanyalah ujian-ujian kecil sahaja
Mengukur tahap keimananmu
Tahap tawakkalnya kamu
Dan andai ujian perasaan sekecil ini
Tidak mampu kamu tandingi
Mampukah kita berhadapan denganNya kelak?
Entah esok atau sekarang
Andai kamu bisa keluar dengan aqidah sejahtera
Kamu telah berjaya melawan hasutan demi hasutan laknatullah
Kamu telah berjaya mendidik nafsumu.
Wahai akhowat sekalian!
Bebaskanlah dirimu dari jahiliyyah yang satu ini
Kerana jahiliyyah ini permulaan dosa-dosa besar
Leraikanlah belenggu jahiliyyah ini
Buang pergi jauh dari hati
Letakkan Allah penuh di dalam hatimu
Dan Allah pasti membantumu
Selamat bermujahadah!
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya dia (syaitan) menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Kalau bukan kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu, nescaya tidak seorang pun di antara kamu bersih (dari perbuatan yang keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. (24:21)
DUA NAKHODA
Benar!
Mana mungkin dua nakhoda dalam satu kapal
Tapi sekiranya seorang nakhoda itu munafiq bagaimana?
Atau fasiq apatah lagi kafir
Membawa belayar kapal penuh muatan
Kemanakah arahnya?
Benar!
Dua nakhoda kan jadi pertelingkahan
Tapi pernahkah kamu terfikir
Nakhoda yang dianggap penunjuk jalan nan terang
Punya kompas dan peta luas terbentang
Bisa sahaja sesat
Kenapa?
Bayangkan!
Seorang nakhoda yang dianggap unggul
Dilihat penuh yakin dan berkaliber
Tetapi dalam masa yang sama
Terselindung disebalik imej yang jernih
Punya lingkaran wanita yang luas
Pergaulan tanpa batas
Malu yang semakin terhakis
Pandangan tidak dijaga dari yang haram.
Setuju!
Keburukan tidak akan ditutup dengan kebaikan!
Sungguhpun nakhoda itu bersusah payah
Menampilkan imej contoh bersifat teladan
Bertazkirah berdegar-degar
Tetapi!
Tidak mengawal hati daripada SMS wanita
Mengurat cara terhormat penuh rahsia
Sentiasa menganggap wanita yang di SMSnya sebagai adik
Menghalalkan bicara kosong lelaki dan wanita
Kerana status abang dan adik yang direka cipta
Bertanya itu dan ini
Menarik perhatian wanita-wanita dengan kelebihan yang ada
Cara yang sama dan berulang-ulang
Nafsu yang tidak diurus sebaiknya
Akhirnya kan terbongkar juga.
Berkat istikhorah
Seorang wanita diselamatkan Allah
Dari terus disakiti mungkin hingga akhir hayat
Ditunjukkan satu per satu yang tersembunyi
Sedikit demi sedikit
Kerana Allah itu Maha Adil
Dia bisa mendapatkan sebaiknya
Dari dikhianati selamanya.
Wahai nakhoda?
Tidakkah kamu berasa malu?
Bukan dengan dirimu bukan juga manusia
Tetapi dengan Allah
Kamu pasti lebih tahu akan dosa dan pahala
Kerana tarbiyyah awalmu
Bukan untuk dijadikan topeng untuk berselindung
Tapi dirimu adalah untuk manfaat ummat
Dalam menegakkan Ad-Deen dimuka bumi.
Percaya!
Hanya satu nakhoda diperlukan
Memandu anak kapal ke destinasi hakiki
Bukan nakhoda yang fasik
Yang punya aqidah tapi tidak syari’e
Bukan juga munafiq
Yang tiada aqidah tapi berselindung disebalik syari’e
Apatah lagi kafir
Tiada aqidah tiada juga syari’e
Dan dunia kehausan nakhoda beriman
Punya iman dan taqwa yang melangit tinggi
Aqidah mantap atas manhaj sebenar.
Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkanNya kepada mereka. (47:5-6)
Oleh itu
Mulakanlah dengan yang kecil
Jadilah pemimpin yang jujur dan amanah
Contohilah kepimpinan Rasulullah
Yang penuh qudwah hasanah
Walau dalam komuniti dan kelompok yang kecil
Dan kita perlu untuk merubah diri
Mendidik jiwa dengan latihan berterusan
Mencari taqwa dalam menyubur iman
Untuk manfaat dan bukan merosak ummat
Di dunia lebih-lebih lagi akhirat
Berubahlah wahai nakhoda!
-Ulasan ringkas kuliah fiqh Ustaz Mohd Rozman, usrah cinta pondok iman
27.10.09
ADIK-ADIKKU SAYANG
Adik-adik
Seorang muslimin yang beriman
Akan sentiasa menjauhi yang haram
Sentiasa menjaga pandangan
Perkataan ditutur selari akan perlakuan
Tidak mengambil peluang
Apatah lagi kesempatan.
Adik-adik
Muslimin yang sejati itu
Tidak mudah memandang akan perempuan
Apatah lagi bercakap, bertanya tiada kepentingan
Anda muslimat ka?
Anda akhowat ka?
Atau anda masturat ka?
Dan tidak mungkin sengaja membuka tirai
Mengintai peluang keemasan.
Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. (24:30)
Adik-adik
Allah kurniakan kita akal yang waras
Layakkah lelaki-lelaki haram itu
Bertanya itu dan ini perihal peribadi kita?
Perlukah kita untuk menjawab?
Berhati-hatilah!
Bujang, berkahwin, muda apatah lagi tua
Mereka tetap lelaki
Dan perempuan tetap kesukaan mereka.
Adik-adik
Muslimin yang soleh
Tidak mudah menghantar SMS
Membuat panggilan
Konon atas nama komuniti masjid atau musollah
Perlunya interaksi berbeza jantina
Ala-ala darurat yang tenat
Rupanya hanya mahu khabarkan berita gembira bagi mereka
Oh! Anda berjaya untuk ditemuramah untuk menjadi JKK Pematah!
Sila balas SMS ini. Jika tidak, pihak kami akan membuat panggilan untuk anda kerana suara anda keutamaan kami.
Adik-adik
Jangan mudah terpedaya luaran yang hebat
Jangan terlalu mudah percaya pandangan mata
Carilah Allah untuk bantu melihat dengan mata hati.
Adik-adik
Perteguhlah imanmu
Syaitan itu berada dimana-mana
Dihidangkan kita pelbagai juadah dosa
Yang bakal disantap bila-bila masa
Andai kita mudah kalah
Dengan usikan-usikan
Dengan ujian-ujian
Yang terlalu kecil ini
Dikhuatiri hidayahNya sentiasa menjauh.
Adik-adik
Jangan mudah mengagumi seseorang itu
Hanya dengan ceramah yang panjang berjela
Hingga tiada jumpa noktah penyudah
Disamping suara yang lunak mendayu
Menggamit rasa ingin tahu
Hindarilah perasaan itu
Sesungguhnya hatimu sedang dibolak balikkan oleh laknatullah.
Adik-adik
Kakakmu ingin sekali ketemu
Ammirul ummah yang begitu hebat
Sehebat sahabat-sahabat
Pemimpin sebenar atas nama Islam sejati
Dan tentu bukan
Cakap tapi tarak bikin!
Adik-adik
Hari ini masih terlalu muda untuk kamu
Kamu masih mentah untuk menilai
Kamu masih kurang pengalaman
Kelak kamu akan berdepan ujian penuh debaran
Cabaran dan dugaan yang tidak pernah putus.
Adik-adik
Hari ini mungkin kamu masih pelik
Kenapa kamu ditemuramah bukan seperti selayaknya syarak
Mengapa kamu dibiarkan berseorangan berdepan lelaki
Mengapa lelaki haram semacam halal melihat kamu
Mengapa semua wanita boleh dianggap seperti adik sendiri
Walau tiada pertalian darah!
Adik-adik
Ketahuilah!
Islam kini Islam dagang
Hanya sedikit yang masih amal
Umpama genggam bara api
Kejian dan nista bakal menjadi hiasan
Untuk manusia yang mahu amal
Sentiasa dituduh SESAT!
Tuduhan terlalu berat
Dan ingatlah wahai pemfitnah!
Doa orang teraniaya, doa yang tidak terhijab!
Adik-adik kakak yang tersayang
Ketahuilah
Kakakmu ini bimbang akan dirimu
Bimbang akan terumbang ambingnya kamu
Dalam mencari cinta
Dunia remaja yang penuh pancaroba
Medan mujahadah perasaan
Dan diriku
Ingin melihat kebaikan dan kebahagiaan
Sentiasa disampingmu sampai bila-bila
Berdoa dan terus berdoa
Allah sentiasa disisi
Dihindari bisikan-bisikan syaitan penuh tipu daya.
Adik-adik tersayang
Kekuatan dirimu itu terletak pada hatimu
Terletak pada ketaqwaan dan keimanan
Dan hati itu perlu sentiasa dibiar segar
Cerah disinari hidayah serta rahmatNya
Moga kamu sentiasa dibawah perlindungan Allah.
Salam sayang,
Kakakmu.
5.10.09
TRAGEDI KAPAL FUN-CRUISE
Semester akhir hampir ke penghujung
Bermakna tiada lagi tugasan yang bertimbun
Tahun terakhir untuk senior
Minggu-minggu tersibuk dihadapi dengan tenang
Tugasan diserahkan sesuai waktunya.
Sekumpulan dari mereka berbincang
Tempat yang paling bermakna untuk keraian
Makan malam terakhir 70 bakal guru terlatih
Membawa mereka menaiki kapal idaman
Fun-Cruise berhampiran kolej kediaman
Terletak di Dungu Bay
Yang tidak asing bagi mereka.
Seminggu sebelum majlis
Semua telah sibuk mencari busana glamour
Sesuai untuk makan malam persis bintang filem.
Kebanyakkan mereka telah berhias sejak petang
Ada berwuduk sebelum bersolek
Mungkin lebih cantik berhadapan dengan Tuhan
Atau mungkin tidak sempat sekiranya berhias kemudian
Maklumlah majlis bakal bermula tepat jam8
Kapal Fun-Cruise akan mula bergerak
Dari pinggiran ke tengah lautan.
Akhirnya tibalah masa yang dinanti
Tanggal 23 Oktober 2009 tepat jam8 malam
Hampir semua 70 dari mereka telah bersedia
Belayar dengan megah laksana Titanic
Segelintir mereka ditinggal kapal
Untuk menunaikan hak Allah
Iaitu solat isyak yang lebih utama
Dan dari kejauhan rakan-rakan melambai tangan.
Di dalam kapal
Mereka menikmati juadah dengan gembiranya
Alunan muzik yang mengasyikkan
Paduan suara lelaki wanita menggamit suasana
Hilai ketawa yang tiada penyudah
Terpenuh aktiviti menghiburkan
Pertunjukkan aurat terdedah
Foto-foto manja sebagai kenangan
Hedonism yang keterlaluan.
Tiba-tiba
Tepat di garisan tengah penanda lautan
Sebelum kapal Fun-Cruise berpatah semula
Jam menunjukkan angka 9.09 p.m.
Keadaan bertukar rupa
Tiada lagi hilai tawa
Tiada lagi paduan suara bergema
Yang ada hanya jeritan demi jeritan
Masing-masing berpaut pada tiang-tiang kapal
Langit bertukar warna
Dunia gelap gelita
Kilat sabung menyabung
Dimana-mana manusia cuba menyelamatkan diri
Gegaran semakin kuat
Air semakin tinggi
Keadaan semakin tidak terkawal.
Terdengar suara azan terlaung kuat
Manusia yang lupa Tuhan mula memanggil Tuhan
Manusia mula berdoa mendapat belas ehsan
Kapal seolah disedut kuat dari dasar
Sedikit demi sedikit
Dan akhirnya tenggelam keseluruhannya.
Dan berikanlah peringantan (Muhammad) kepada manusia pada hari (ketika) azab datang kepada mereka, maka orang yang zalim berkata,“Ya Tuhan kami, berikanlah kami kesempatan (kembali ke dunia) walaupun sebentar, niscaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.”(Kepada mereka dikatakan), “Bukankah dahulu (di dunia) kamu telah bersumpah bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa? (14:44)
Dan kamu telah tinggal di tempat orang yang menzalimi diri sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan. (14:45)
Dari kejauhan
Seorang dua guru pelatih yang tidak serta
Melihat gambaran yang dahsyat di kaca TV
Di mana-mana dilaporkan berita terkini
Gempa bumi di Sumatera menjalar ke serata benua
Gegarannya bisa terasa
Ombak lautan dua ganda lipatan thunami
Selatan tanahair ibarat padang masyar
Habis disapu bersih umpama umat di zaman Nabi Nuh
Mangsa-mangsa kapal Fun-Cruise masih menjadi tanda tanya
Angka kematian meningkat dan terus meningkat
Dan sebenarnya mereka punya hak
Pilih untuk mati hina atau mati mulia.
Bagaimana kalau ini benar-benar berlaku?
p/s: elakkan diri anda dari tempat-tempat yang mengundang kemurkaan Allah
MENCARI YANG HALAL
Menjadi kebiasaanku
Hasil tarbiyyah si dia
Meneliti kandungan makanan
Coklat, keropok, gula-gula
Serta segalanya sebelum membeli
Pastikan tiada kod ‘E471’
Mahupun segala kod bermula ‘E’
Kerana haramnya binatang itu
Walau hanya lemak
Walau punya cop halal jakim.
Suatu petang
Keinginanku kepada coklat kian tak tertahan
Beriringan ke pasaraya berdekatan
Dari satu pek coklat ke pek coklat yang lain
Punah!
Hampa!
Kecewa!
Semua berkod 'E'
Maka kucuba mujahaddah lagi
Kukuburkan niat untuk coklat dunia
Menunggu coklat syurga yang tiada tanding nikmatnya.
Kursus pendidikan kesihatan itu
Berhampiran penghujung benua Asia
Kek layer coklat tertera halal jakim
Memang enak rasanya
Dihidangkan sebagai santapan
Juadah ringan minum petang atau tengah malam
Tetapi sayang
Bukan semua punya pengetahuan jua kesedaran
Terdapatnya kod binatang haram.
Bukan semua boleh menerima pendapat
Bukan semua boleh berlapang dada
Tak ditegur rasa bersalah
Bila ditegur dipersalahi.
Berhati-hatilah
Makanan kan menjadi darah daging
Malah mampu mempengaruhi amal
Hati kian hitam
Maka lahirlah manusia yang mengaku berTuhan
Tetapi mengalahkan haiwan yang hanya berTuan.
Manusia kian parah
Hebatnya pengaruh barat
Perancangan teramat rapi
Sogokan hiburan keterlaluan
Snooker, dam, tembakau menjadi pilihan
Waktu sembahyang dipersendakan
Mencari dan terus mencari tipu daya dunia
Keseronokan sementara
Akibat pemakanan diabai
Tiada sensitif larangan Allah
Apatah lagi teguran ikhlas manusia.
Hidup amat memerlukan mujahaddah
Yang bukan sedikit
Yakinlah kenikmatan hakiki janji Ilahi
Hidupkanlah hati-hati yang mati
Suburkanlah iman dan taqwa
Tingkatkanlah fikrah
Maka mulakan langkah pertama
Menjaga pemakanan mengikut syarok
Kerana mencari yang halal adalah fardhu
Dalam meraih keberkatan hidup
Menuju syurgaNya yang abadi
Istiqomah menuju Allah dan Rasul.
p/s: Carta kod babi
3.10.09
BILA DIA BERPUJANGGA
Puisi yang diterima via SMS
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selamat ulangtahun perkahwinan.
Sayang
Semakin kita dapat nikmat
Semakin hampir kita dengan penamat
Semakin kita dapat nikmat
Semakin banyak ujian yang dapat
Nikmat bukan untuk dirai dengan bahagia semata
Tapi juga untuk dirai sebagai peringatan dari Pemiliknya.
Sayang
Kita bersama setahun
Kita rasai nikmatnya
Raikan sebagai suatu kebahagiaan
Dan suatu peringatan.
Sayang
Sesungguhnya kumencintaimu
Selagi sayang mencintai kekasihku yang sejati
ALLAH yang memiliki cinta.
Ya sayang
ALLAH cintaku yang sejati
Bukan dirimu
Jagalah cintamu padaNya
Kan sayang dapat cintaku padamu.
Sayang
Jagalah cintaku padaNya
Agar tidak melebihi cintaku padamu
Supaya cintaku padamu berkekalan sayang.
Sayang
Yakinlah dengan cinta ALLAH
Rebutlah cinta ALLAH
Cinta manusia menurutinya.
Sayangku
Solehahku
Humairahku
Comelku
Jelitaku
Gadisku
Aku mencintaimu selagi engkau mencintai ALLAH.
12.01 a.m.
10 Syawal 1430H
28.9.09
GENAP SETAHUN
Nikah diusia muda
Bukanlah menjadi prioriti
Bahkan tidak pernah terlintas
Namun hebatnya manusia merancang
Hebat lagi perancanganNya.
Bermulanya proses takruf
Hanya dengan keyakinan
Jawapan istikhorah yang bukan sekali
Tetapi berkali-kali.
Bukan keutamaan
Mengharap pendamping fakih
Ilmu agama segunung menggampai langit
Mahupun lulusan universiti timur tengah
Kerana tahunya siapa diri
Dan bukan juga
Yang punya perwatakan bagai ahli sufi
Berjubah berkopiah warak dipandangan
Kerana mata melihat selalu menipu
Pandangan akal dangkal
Pandangan nafsu khayal
KurayuNya melihat dengan mata hati
Walau tiada berharta
Hanya punya roda dua
Cukuplah pemilik rusuk kiri ini
Punya matlamat yang sama
Istiqomah amal yakin dengan ilmu
Sentiasa mahu meningkat fikrah
Dalam usaha menyemai taqwa
Menyubur iman.
Kita berdua tidak sama
Langit dan mungkin hingga ke bumi
Pemikiran lama vs pemikiran muda
Fikrah yang berbeza
Namun punya keserasian
I’tiqad yakin atas aqidah sejahtera
Sama cita mengaharap mardhotillahNya.
Usia setahun
Terlalu mentah untuk suatu penilaian
Bukan juga jaminan kekal untuk kebahagiaan
Terisi dengan ilmu kehidupan yang tidak dijual
Pengalaman yang pelbagai ragam
Membina sifat matang
Moga rahmat nikah awal
Berkat berpanjangan
Berdoa dan terus berdoa.
Kasih
Masih segarkah ingatanmu?
Kita jalan beriringan berpimpinan tangan
Menuju ke pasar awam
Riadah di waktu petang
Keliling bandar burung spesis kluang
Dan kaki ini sebagai bukti
Suatu kenangan indah
Terpahat selamanya.
Rindu
Masihkah kau ingat?
Di awal musim bunga kita
Bersama di dalam satu tongkang
Beramai-ramai lama berjam-jam
Berlayar bersama pulang ke desamu
Dari bandar burung spesis kluang
Ke suatu tempat batu yang dipahat
Menyusuri pantai-pantai di selatan yang memukau
Hingga bertemu sungai terpanjang
Untuk sampai ke negeri penyu bertelur
Berulang-ulang.
Akhirnya sampai jua di negeri penyu bertelur
Berbekal roda dua yang agak lama
Memecut halaju kura-kura
Sentiasa dipintas sang kelisa
Apatah lagi spesis-spesis paus dan jerung
Penuh buih-buih karbon monoksida
Bahkan pernah disimbah percikan becak
Akibat perlumbaan jerung dan paus
Di kala hujan renyai nan lebat
Menuju ke pulau-pulau sekitar
Melihat penyu-penyu bertelur
Dipinggiran pantai
Sambil menikmati juadah laut yang digoreng
Merasa nasi yang penuh kerabu
Singgah selalu berteduh di bawah sayap malaikat
Subhanallah!
Bulan madu dunia yang indah
Sehingga lahirnya Insyirah
Rezeki kurniaanNya
Segalanya kekal sejarah kita.
Cinta
Di pondok iman nan usang
Kita menyulam sayang
Di penghujung rindu
Berjanji bersama
Ikrar taat dan setia
Allah adalah segalanya
Rasulullah pedoman ulung
Firdaus destinasi utama
Bulan madu yang kekal hakiki
Bahagia tiada noktah penyudah.
Sayang
Di manakan kucari ganti
Sang badang gagah perkasa
Berdikari tiada manja
Mengurus pakaian sendiri
Chef yang sentiasa dihati
Memudah urusan rumahtangga
Yang tiada mampu kuurus sendiri
Dikau tiada galang ganti.
Suamiku
Terima kasih atas segalanya
Kupohon ampun salah silap
Yang zahir mahupun tersembunyi
Dihalalkan makan dan minum
Dari mula tertabalnya diriku sebagai pemaisuri hidupmu
Sehingga pantas waktu genap ke angka satu
Izinkan sekali lagi diriku menjadi bidadarimu
Dalam Firdaus yang kekal abadi.
Selamat Ulangtahun ke-1
10 Syawal 1430H
19.9.09
Subscribe to:
Posts (Atom)