20.7.15

SAMPUL HADIAH RAYA

Malam raya ke-4.

Salam cium tangan sambil berlaga pipi oleh seorang adik jurujual yang kerap kali kami kunjungi kedai tempatnya bekerja. Ada perasaan terharu. Walaupun seperti lembaga berjalan dan si adik seperti rockers gayanya, dia mesra tanpa segan atau takut kepada saya.

Kakak raya mana? Saya tidak ambil cuti pun. Adik beradik tidak ramai dan tidak apa tidak cuti.

Jam hampir menunjukkan jam 10. Saya agak bergegas dan capai mana yang sempat kerana lampu kedai sudah dimatikan separuh.

Semasa sedang beratur untuk membuat bayaran, si adik tadi meminta kawannya menggantikan sebentar tempatnya dan dia berlari hilang entah ke mana. Saya membuat bayaran dan beransur ke troli berhampiran ditunggu suami dan anak-anak.

Kami dikejarnya dari belakang.

Nah, kak. Untuk anak-anak. Saya tidak tahu mahu memberi kepada siapa. Sambil mengulurkan 4 helai sampul raya kepada saya. Sekali lagi hati saya disentuh.

Sebenarnya, saya mengikuti perkembangan mereka yang pangkat adik-adik saya di kedai kekerapan kunjung saya ini. Semasa mereka mula bekerja, mereka masih cantik bertudung. Kemudian, tidak bertudung dan kejap pakai, kejap tidak. Kali ini, rambut raya mereka ada sedikit keperangan.

Sungguh pun begitu, saya pasti hati-hati mereka jauh lebih mulia dan baik dari saya. Mereka muda. Orang muda jiwanya sentiasa meronta. Sehingga ke saat ini, satu per satu adik-adik ini masih jelas dalam bayangan saya. Sungguh kematian itu sungguh dekat dengan kita.

Kita mahu kematian kita husnul khotimah. Allah cabut nyawa kita dalam keadaan mati mulia. Menjaga aurat di alam maya atau realiti. Jaga dan menjaga mata dari ditonton bersyahwat oleh ajnabi walaupun berkelubung dalam dunia sebenar atau dalam gambar. Memelihara diri dari apa sahaja yang boleh mendatangkan fitnah kepada hati-hati manusia yang rapuh kecuali hanya dengan iman.

Saya sayang mereka kerana Allah. Selain akhlak yang tidak berapa indah, saya masih memikirkan apakah cara yang saya boleh bantu mereka untuk sama-sama kita memperbaki iman untuk tambah taqwa sebagai bekalan akhirat yang kekal disana.

Setiap kali lalu di tanah perkuburan, setiap kali itulah hati berkata, apa sahaja yang kita cari atas dunia, penghujungnya hanya disini. Tinggal semua apa yang ada. Hanya bawa 3 perkara yang tidak nampak. Doa anak yang soleh, ilmu yang manfaat serta sedeqah jariah. Satu perkara yang nampak, jasad dibungkus dengan kain putih.

Itu sahaja.