10.1.13

DUDUK PERTAMA ABDULLAH

Abdullah hensem yang diredhoi Allah dan Ar-Rasul ;)
Sedikit perkembangan fizikal terbaru adik ketika ini iaitu kurang lebih 5 bulan setengah mengikut perkiraan tahun hijrah, Alhamdulillah adik secara rasminya telah diizinkan Allah untuk duduk tegak buat pertama kalinya pada hari semalam Selasa, 28 Safar 1434H. Ianya hanya buat pertama kalinya sahaja, dan beberapa ketika duduk, adik tumbang ;).

Semalam memang hari ibu sibuk hingga ke lewat petang. Abang besar dan Abdullah seperti biasa di rumah nenek. Habis sahaja exam semalam, ibu balik BAi dan ke rumah nenek bersama ayah. Ayah juga balik lewat semalam. Jadi, maghrib sampai ke malam, kita berkampung dirumah nenek. Paksu yang baru tahun 6 sekolah rendah meminta ibu untuk menyemak lembaran kerja matematiknya.

Sedang ibu leka dengan Paksu menghadap lembaran kerjanya, tiba-tiba ibu terkejut yang Abdullah telah duduk disisi Paksu. Paksu beralih sedikit, beberapa saat kemudian, adik tumbang ke sisi. Biasalah baru belajar mahu duduk. Alhamdulillah, walaupun ibu bekerja tetapi Allah masih izin ibu menjadi orang pertama untuk melihat perkembangan Abdullah dari masa ke semasa ;).

Latihan untuk duduk dari mula menginjak 5 bulan ;).

Selain duduk, Abdullah juga ketika ini sedang belajar ansur maju ke hadapan. Tangan sudah boleh ditegakkan dan kaki juga seperti sedia untuk merangkak. Perkembangan fizikal yang persis abang besar dikala usia begini. Cuma gigi masih belum tumbuh. Abang besar diusia ini sudah ada 2 batang gigi bawah yang tumbuh serentak ;).

Menarik juga untuk dikongsikan, proses membesar abang besar mahupun adik mengingatkan ibu tentang sejarah kita. Bagaimana tingkatan dakwah Rasulullah SAW itu bermula dengan individu muslim iaitu Rasulullah SAW, berkembang sedikit dengan pengislaman wanita pertama Siti Khadijah, lelaki pertama Abu Bakr, dari kalangan budak iaitu Ali, dan dari golongan hamba iaitu Bilal bin Rabah. Semuanya berkembang secara berperingkat sama seperti proses tumbesaran manusia jika ingin dikaitkan ;).

Walaupun dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun (3 tahun secara sirr (senyap) dan 10 tahun secara terang-terangan) hanya meraih bilangan 313 orang sahaja tetapi Allah sediakan hadiah selepas hijrah Baginda ke Madinah yang mana bermulanya pembentukan daulah sebelum masuk semula ke Mekah yang seterusnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dikala itu.

Seterusnya Islam berkembang melalui khulafa' ar-rashidin setelah wafatnya Baginda. Diteruskan di zaman pemerintahan umaiyyah dan mencapai ustaziatul a'lam ketika di fasa abasiyyah yang mana Islam menjadi rujukan diserata dunia sebelum mengalami sunnahtullah kemerosotan di fasa turki uthmaniyyah. Aduhai rindu bertandang lagi kepada bulatan gembira ibu semasa zaman belajar. Terasa mahu sahaja berhijrah dekat dengan makcik-makcik T_T.

Adik sudah ansur maju ke depan.

Lagi perkembangan lain, hobi adik sejak usia 4 bulan, adik memang suka menyakat abang besar. Tarik rambut! Sekarang lebih lagi apabila mula laju menjalar dan berpusing 360 darjah seiring dengan bunyi yang pelbagai. Nampak sahaja abang besar berdekatan atau sedang tidur, segera bergolek dan menggenggam erat rambut si kawan tadi. 'Sakkihlah Abbuwwah...' ayat comel abang besar. Kadang-kadang adik belum tarik lagi sudah keluar perkataan 'sakkihlah...' ;D.

Perihal penyusuan pula, Alhamdulillah Allah masih izinkan adik sepenuhnya susu ibu tanpa makan. Target pertama ibu ialah Abdullah menyusu susu ibu sahaja untuk setahun pertama. Jika diizinkan Allah berjaya untuk setahun pertama, maka target ibu akan meningkat setahun suku bulan pula. Lihat kepada keadaan Abdullah ketika itu in shaa Allah!

Kebiasaannya setiap pagi ibu mengambil masa setengah jam selepas solat subuh untuk membekalkan susu segar buat Abdullah setiap pagi dan ianya cukup sehingga ibu habis bertugas. Jadi, susu EBM di dalam peti sejuk beku hanya terusik sedikit sahaja sekiranya ibu kerja lebih masa. Solusinya sekarang, hasil setiap pagi, ibu stokkan menjadi EBM dan EBM beku yang tersimpan sejak hari ke-5 kelahiran Abdullah digunakan sekarang. Tidak sanggup ibu untuk melontarkannya ke dalam perut tong sampah sekiranya expired nanti. Betapa gigihnya ibu mengumpul stok semata-mata dengan niat jangan berulang sejarah abang besar dahulu.

Target ibu sehari satu beg susu EBM sahaja. Ibu tidak suka tergesa-gesa di kemudian hari. Penat dan stress itu nanti memberi impak penghasilan air susu. Biar sedikit tetapi istiqomah. Abang besar dahulu Allah izin menyusu dengan susu ibu tanpa makan setahun 4 bulan dan berhenti menyusu sama ada dengan ibu mahupun susu EBM sepenuhnya ketika berumur setahun 7 bulan. Jadi, adik Abdullah mudah-mudahan Allah izin lebih baik lagi walaupun sekarang bukan main lagi mengunyah sekiranya duduk semeja dengan ibu, ayah dan abang besar yang sedang makan.

Satu lagi yang menarik perhatian ibu dan ianya juga kajian buat ibu untuk Abdullah yang diizinkan Allah untuk khitan hari ke-7 kelahiran. Nampak sangat berbeza dengan abang besar yang Allah izinkan berkhitan diusia 38 hari. Adik tidak bersepah-sepah ;). Dalam tempoh 5 bulan ini, ibu ingat hanya sekali sahaja adik jadi 'bomba' ;).

Sekian sahaja untuk edisi 5-6 bulan Diari ABDULLAH ;). In shaa Allah perkembangan lain menyusul nanti. Ibu sedang usahakan sistem umpama sistem rumah As-Syahid Hassan Al-Banna. Masa memang sangat cemburukan ibu di awal tahun begini. Memang banyak yang perlu dikejarkan supaya ibu tidak menyusahkan orang lain. Di tempat kerja, buat kerja. Di rumah pula, selalunya kerja rumah sedang menanti. Mudah-mudahan Allah lapangkan masa ibu untuk terus dengan tabiat membaca dan menulis supaya tidak lupa dan mudah-mudahan menjadi hujjah dan saham berpanjangan di alam sana yang kekal abadi selamanya. In shaa Allah sambung lagi nanti. Sayang abang besar dan adik kerana Allah! ;).

4 comments:

nurbijen said...

seronok baca perkembangan si adik.... Alhamdulillah, masih lagi dapat tgk perkembangan anak depan mata walaupun kita ummi berkerjaya, kan?

Teruskan menulis ummi, suka baca catatan ummi :)

umialya said...

Tak sabar Muhammad nak berlari2 ngan adik tu.. cepatlah Abdullah berjalan..

Ummi Iman said...

Cepat juga perkembangan Abdullah..

CeqGu said...

seronokkan dapat tgk perkembangan anak depan mata.semoga mereka membesar sebagai anak soleh aaminn