3.8.12

JURNAL PENYEMPURNAAN PENYUSUAN 2 TAHUN MUHAMMAD

Muhammad hebat yang diredhoi Allah dan Rasul ;)
Selamat ulangtahun yang kedua Muhammad! Mujahid hebat pembela agama Allah! ;) Alhamdulillah hari ini Muhammad genap 2 tahun mengikut kalender hijrah iaitu bersamaan 15 Ramadhan 1433H. Alhamdulillah Allah masih mengurniakan nikmat umur, kesihatan dan pastinya nikmat terbesar iman dan islam. Hari ini juga ibu ingin mencatat perjalanan penyusuan Muhammad sepanjang melengkapkan 2 tahun penyusuan. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana memberi ibu kekuatan dalam meneruskan sunnah selagi terdaya dan termampu mungkin.


Fasa Diploma
Fasa 0-6 bulan pertama. Masalah terbesar adalah air susu ibu belum keluar semasa hari pertama. Sebaik dibenarkan bergerak, ayah membawa ibu ke bilik bayi di mana Muhammad ditempatkan menggunakan kerusi roda. Di sana, jururawat membantu ibu untuk mengeluarkan susu walaupun setakat setitik dua. Memang sakit. Walaupun hanya ada setitik dua, namun ibu menyusukan Muhammad juga. Di dalam bilik khas menyusukan juga, ramai ibu-ibu yang menyambut kelahiran pertama yang mengalami air susu tidak keluar. Disebabkan Muhammad keluar dari alam rahim tidak menangis dan dengup jantung Muhammad laju dari kebiasaan, Muhammad tidak dibenarkan ke wad ibu. Jadi, ibu ayah yang perlu ke bilik tempat Muhammad.

Dua malam kita di hospital, selepas Zohor dalam jam 2 petang, kita dibenarkan keluar. Muhammad kerap menangis mungkin asbab ibu belum pandai sepenuhnya memberikan susu ibu pada kedudukan yang betul. Muhammad menangis, meraung dan setelah penat, Muhammad tidur. Tersedar lagi, ibu menyusukan dalam keadaan susu yang tiada, Muhammad menangis lagi. Lagi dan lagi sehingga terlihat warna kuning. Apabila jururawat datang ke Bayt Al-Iman kita, Muhammad terus dibawa ke klinik. Tidak silap ibu, jaundis (kuning) Muhammad ketika itu sudah melebihi 14. Kita ditahan di hospital.

Allah sahajalah yang tahu betapa penatnya ibu. Betapa tidak seronoknya berada di hospital. Rasa putus asa datang sesekali untuk meneruskan penyusuan. Terima kasih kepada ayah atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kata ayah, kata pejuang. Pejuang perlu kuat semangat. Alhamdulillah di hospital selama 2 malam di sana, susu yang mengandungi cecair emas yang dipanggil kolestrum akhirnya keluar. Ibu pam menggunakan pam pureen manual. Sakit dan penat kerana ketika itu hanya Allah yang tahu. Takdirnya, Allah tidak mengizinkan ibu mengetahui secara mendalam tentang penyusuan susu ibu, keberkesanan alat pam dan pelbagai lagi di awal kelahiran Muhammad. Apa yang ibu ada ketika itu hanya azam yang tinggi dan kuat untuk menyusukan anak-anak ibu selagi termampu sehingga target 2 tahun. Itu sahaja yang ibu tahu. Tiada yang lain.

Sekali sesi pam, dapatlah 3oz dan Muhammad terus menghabiskannya dan tidur. Ibu pam lagi, Muhammad minum lagi sehingga adakalanya tidak cukup dan ibu masih mengepam. Muhammad belum pandai sepenuhnya menyusu terus dengan ibu. Alhamdulillah Muhammad memang menyusu kenyang susu yang dinamakan cecair emas tersebut. InsyaAllah ianya adalah antibodi semula jadi yang Allah kirimkan buat Muhammad selama 2 tahun.

Setelah 2 malam di hospital, susu cecair emas digantikan dengan susu yang berwarna putih pula. Ibu sempat mengurut sekali ketika balik hospital sebelum dimasukkan ke hospital semula kerana Muhammad jaundis. Alhamdulillah kuning Muhammad telah turun ke aras yang membenarkan kita keluar wad dan air susu ibu mula melimpah. Ibu menjadi pengepam tegar hampir setengah bulan selepas kelahiran Muhammad kerana Muhammad masih belum pandai menyusu terus dengan ibu. 

Keberkesanan pam pula sangat rendah. Lama dan sakit untuk setiap kali sesi mengepam. Walau bagaimanapun, pam pureen manual sangat berjasa untuk fasa diploma penyusuan Muhammad. Susu yang berlebihan ibu letakkan di dalam peti ais. Setiap kali Muhammad mahu menysu, ibu akan menyusukan Muhammad dan ayah akan segera memanaskan stok susu yang ada. Muhammad menyusu menggunakan botol kerana ibu boleh lihat Muhammad kenyang berbanding dengan ibu ketika itu. Secara rasminya, Muhammad hanya pandai menyusu terus dengan ibu selepas 15 hari kelahiran Muhammad. Ianya angka yang sangat signifikan dengan 15 Ramadhan 1531H, hari kelahiran Muhammad ;).

Selepas setengah bulan, Alhamdulillah Muhammad telah mahir menyusu dengan susu ibu. Asbab keterbatasan pengetahuan tentang jadual pengepam dan sebaginya, ibu membuat stok susu ikut suka ibu. Apa yang ibu tahu, Muhammad ada susu ketika ibu berkerja nanti. Jika ibu tidak silap, ibu mula mencari tempat menyimpan susu dan ibu ke kedai bayi di bandar. Harga liner sangat mahal. Ketika itu, ibu tidak terlalu pandai menggunakan internet. Dahulu semasa belajar, ibu menggunakan internet untuk assignment dengan keterbatasan tertentu. Ibu perlu banyak berterima kasih kepada rakan-rakan blogger yang menjadi asbab meningkatnya pengetahuan ibu tentang pengendalian penyusuan susu ibu bagi ibu-ibu yang bekerja. Semoga Allah membalas segala usaha mereka.

Pam pureen manual dan liner yang dijual dengan harga mahal di kedai baby berdekatan.

Alhamdulillah 5 bulan pertama berlalu dengan jayanya dengan izin Allah walaupun hanya dengan pam pureen manual. Walau bagaimanapun, kebimbangan ibu semakin memuncak apabila stok susu semakin krtitikal dalam keadaan Muhammad yang sangat kuat menyusu. Sebelum diperkenalkan tentang kajian berpusat di tahfiz medik oleh naqibah ibu, ibu hanya tahu yang susu ibu hanya perlu eksklusif sehingga 6 bulan dan mahu atau tidak selepas itu, ibu perlu memberi makan pula. Bertentangan dengan kajian mereka, sebenarnya susu ibu ini sangat unik dan sekiranya ibu pandai menjaga pemakanan, susu ibu mampu membekalkan makanan dan minuman kepada bayi sehingga 2 tahun penuh dan ianya adalah hikmah untuk najis ringan (mukhaffafah) kanak-kanak lelaki yang berumur kurang 2 tahun yang hanya menyusu susu ibunya sahaja.

Stok susu kritikal ketika bulan ke-5 memasuki bulan ke-6.

Ibu dan ayah terlepas juga hakikat yang satu itu kerana genap 6 bulan, ayah membuat bubur nasi halus yang diletakkan kismis. Ketika itu hanya tinggal beberapa plastik susu EBM sahaja di dalam peti sejuk. Ianya menjadi bubur petama dan terakhir kalinya sehingga Muhammad setahun 4 bulan. Sejak itu, ibu kembali melayari intenet untuk mencari tahu tentang penyusuan susu ibu dan ianya cukup mengujakan! Ibu teruja melihat stok EBM ibu-ibu yang bekerja tetapi masih berjaya menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu walaupun dengan susu beku.

Bubur nasi kismis yang pertama dan terakhir sehingga setahun 4 bulan.

Ketika ini jugalah puting kesukaan Muhammad telah koyak dan Muhammad tidak mahu kepada puting yang lainnya. Muhammad tidak minum susu dirumah pengasuh kecuali hanya sedikit. Ibu benar-benar buntu memikirkan alternatif puting yang sesuai.

Fasa Ijazah
Alhamdulillah dengan izin Allah, selepas 6 bulan, ibu membeli pam jenama Medela Freestyle yang rata-rata ibu-ibu yang menyusukan memberi respon yang cukup positif tentang keberkesanan pam tersebut. Pastinya ibu mencari harga yang termurah di pasaran memandangkan ibu pun baru sahaja bekerja ketika itu. Simpanan ibu setiap bulan, ibu keluarkan untuk hadiahi sebuah pam susu khas untuk kelangsungan susu ibu buat Muhammad. Alhamdulillah pelaburan yang cukup menguntungkan pada ibu. Air susu ibu melimpah-melimpah keluar ketika pertama kali menggunakannya. Paling ibu bersyukur apabila Muhammad boleh menerima puting medela yang didatangkan bersama set pam tersebut. Alhamdulillah! Ibu sangat lega.

Kali pertama menggunakan pam medela. Susu memenuhi kedua-dua botol dengan hanya 10 minit.

Fasa ijazah iaiti 7-12 bulan berjalan dengan jayanya pasti dengan izin Allah. Bekalan susu EBM buat Muhammad tidak pernah terputus malah ibu pula terpaksa memperlahankan sesi pam kerana tempat di dalam peti sejuk 2 tingkat kita amat terhad. Baru terlintas di fikiran ibu, patutlah ibu-ibu menyusukan menggunakan deep freezer yang mempunyai ruang yang cukup luas dan susu pun tahan sehingga setahun lamanya.

Stok susu EBM yang melimpah.

Fasa Sarjana
Fasa 13-18 bulan seterusnya. Alhamdulillah Allah izinkan Muhammad menyusu secara eksklusif dengan susu ibu sahaja tanpa makan sehingga setahun 4 bulan. Ketika itu ibu sedang mengandungkan Abdullah 2 bulan. Ibu sangkakan yang air susu ibu akan keluar seperti biasa walaupun hamil, rupa-rupanya sangkaan ibu cukup meleset. Menjelang setahun 4 bulan, setiap kali Muhammad menyusu, Muhammad akan menangis. Pemerhatian ibu sebagai pengepam tegar mendapati, air susu ibu tidak sebanyak dahulu lagi. Muhammad lapar dan air susu ibu tidak mampu menampung makan dan minum Muhammad dengan susu ibu sahaja ketika itu.

Masih dalam kategori banyak. Sebaik habis trimister pertama kehamilan, susu seakan tidak mahu keluar lagi.

Dengan perasaan berat hati, Muhammad telah diajar makan secara berjadual. Ibu pula tidak mampu lagi untuk pam kerana memang tiada air susu pun yang keluar kecuali sedikit sahaja. Bekalan susu EBM di rumah pengasuh masih boleh diteruskan tetapi dengan catuan sebotol sehari dan ditampung bekalan makanan yang ayah sediakan setiap hari buat Muhammad.

Fasa PHD
Fasa 6 bulan terakhir dalam melengkapkan penyusuan 2 tahun susu ibu. Muhammad secara rasminya telah berhenti menyusu pada usia setahun 7 bulan atas nasihat pengamal di tahfiz medik. Susu yang sedikit itu rupanya terjadi kerana 'mereka' sedang aktif untuk membina susu baru sesuai dengan kandungan ketika itu. Jadi, ibu dinasihatkan untuk memutuskan susu ibu buat Muhammad dengan alasan yang pada ibu masuk akal juga. Walau bagaimanapun, ianya bergantung pada si ibu kerana menurut doktor, tiada masalah untuk meneruskan penyusuan kerana ianya mengikut kemampuan si ibu dan ianya tidak mempengaruhi janin. Keputusan ayah, lebih baik ianya diberhentikan.

Walau bagaimanapun, menjelang minggu-minggu akhir sebelum ibu bersalinkan Abdullah, ibu membenarkan Muhammad 'mengempeng' semula bagi membantu pengeluaran susu baru nanti untuk si adik. Hari pertama, kedua dan ketiga kelahiran Abdullah juga ibu 'memaksa' Muhammad menolong ibu. Muhammad menolak kerana mungkin tidak sedap susu kolestrum yang baru mahu keluar tetapi Muhammad tetap menolong ibu ketika Muhammad tidur iaitu dalam keadaan separa sedar ;). Selepas berakhirnya susu kolestrum di hari ke-4 kelahiran adik, susu telah bertukar warna dari kuning keemasan kepada warna putih. Muhammad masih disusui ibu apabila diperlukan dan insyaAllah hari ini bersamaan 15 Ramadan 1433H, Muhammad telah pun berusia genap 2 tahun, secara rasminya Muhammad telah diberhentikan susu ibu secara mutlak.


Sekian, jurnal penyusuan penyempurnaan penyusuan 2 tahun buat Muhammad seperti yang ibu janjikan. Ibu dan ayah telah menjalankan amanah sunnah penyusuan sebaik mungkin dan takdir Allah mengatasi segalanya dan Alhamdulillah kita semua telah redho segala ketetapanNya. Selamat ulangtahun ke-2 bertepatan 15 Ramadhan 1433H dan semoga membesar sebagai mukmin yang dicintai Allah dan RasulNya! Ibu, ayah dan adik Abdullah kasih, sayang, cinta dan sentiasa rindu Muhammad kerana Allah!

12 comments:

myamyza said...

selamat ulangtahun muhammad hebat, panglima ramadhan 1..

Zefa NorAsmara said...

Selamat hari lahir Muhammad. Semoga dimakbulkan semua doa-doa ibu dan ayah buat Muhammad. Amin ya Rabbal 'alamin

ps: jd big bro yg baik ya.. tolong ibu jaga adik tau.. :D

UmmiUmmarMuaz said...

Sobs...sedihla plak bc jurnal penyusuan.terasa ikhlasnya kasih seorang ibu..semoga Muhammad dan Abdullah jd khalifah yg soleh.amin

IntaNBerliaN said...

selamat ulangtahun muhammad...

oooo muhammad diberi peluang terakhir jugak merasai susu ibu sblm adik minum sepenuhnya yer.. hihi.. nsb muhammad nak tlg gak walau dlm keadaan separuh sedar.. hehe

Ummu Muhammad said...

mummymyza: terime kasih..bamlom pun hebat dan hensem! ;)

kak zefa: fuuhhh memang tolong 'jage' adik..pantang ibu takde kat adik..cepat2 die naik atas katil 'jage' adik die..main keja2 dgn big bro jelah kak kat rumah..
syu: aminnn..ummar n muaz pun hebat n hensem! ;)

intan: memang kene byk terime kasih kt muhammad..alhamdulillah hai pertame kolestrum dah kluar walaupun terlalu sikit..hari ke3 dah bnyk susu..abdullah pun alhamdulillah tak kene jaundis asbab big bro yg syg lil bro die heheh

syiela said...

selamat ulang tahun Muhammad...

Alhamdulillah cukup sudah dua tahun...

♥♥azatiesayang ♥♥ said...

Salam UM.Alhamdulilah dah 2 tahun usia Muhammad yg hebat nikan?

Acik atie doakn semoga pjg usia,murah rezeki,jadi abg yg trbaek tuk Abdullah hensem & panglima Islam yg trbilang.

Aminnnn

Ummi Iman said...

Terlambat nak wish :)
Selamat ulangtahun kelahiran Muhammad yg ke 2. Muda 1 bulan lebih je dari Iman :)
Semoga Allah sentiasa memberkati hidup Muhammad. Jd anak yg soleh dan bijaksana.

Ummu Muhammad said...

kak syiela: alhamdulillah..nak jage hero2 ni kene rujuk akak yg heroes sume ;)

kaktie: aminn ya rab!!

UI: amin ya rabb! smuge anak2 kite semue hebat n hensem! ;)

wan nurul hezrina said...

dah 2 tahun dah yer..selamat ulangtahun muhammad=)alhamdulillah nurul baru lepas peringkat ijazah=)

Huda said...

slmt ulang tahun ke 2 muhammad..maaf acik lmbt sikit ucap :) bestkan pengalaman susukan anak :) indah utk dikenang..

Ummu Muhammad said...

nurul: muhammad sampai sarjana..lepas ni off dulu bagi laluan abdullah 2 tahun susu penuh n besar dgn muhammad heheh

huda:betullah huda..bile nk putuskan susu tu hadoiii perasaan tu..tak smpai hati sgt tgk.. T_T